Baik kawan mahupun lawan, sama ada anda penyokong
United atau tidak, anda akhirnya terpaksa mengakui bahawa Ryan Giggs adalah
pemain yang pastinya sukar dicari ganti selepas beliau bersara pada 2014. Semasa
bergelar pemain United, Giggsy memiliki koleksi medal kejuaraan paling banyak
dalam sejarah bolasepak England. Sejak memulakan kariernya bersama United pada
1990 hinggalah detik terakhirnya sebagai pemain, Giggs sudah memenangi 13 medal
kejuaraan Liga Perdana, tiga Piala FA, empat Piala Liga, sembilan Perisai
Komuniti, satu Piala Super UEFA, satu Piala Antara Benua dan dua Liga
Juara-Juara selain pengiktirafan-pengiktirafan individu yang diterimanya dari
berbagai pihak.
Ketika zaman remajanya, Giggs sudah
memberikan gambaran awal kepada pemerhati-pemerhati bolasepak bahawa dia akan
menjadi bintang besar satu hari nanti apabila muncul pemain pertama memenangi
anugerah Pemain Remaja Terbaik Tahunan England selama dua tahun berturut-turut
iaitu pada 1992 dan 1993. Sejak melakukan penampilan pertamanya bersama United
ketika menentang Everton pada 2 Mac 1991, nama Giggs sudah tercatat sebagai
satu-satunya pemain yang berjaya menjaringkan gol selama 21 musim
berturut-turut di Liga Perdana. Di peringkat antarabangsa, Giggs mengumpul 64
caps bersama skuad kebangsaan Wales dan diberi penghormatan memakai lilitan
ketua pasukan ketika skuad Great Britain bertanding buat pertama kalinya dalam
acara bolasepak di Olimpik London 2012 (4 caps).
Ketika usia beliau mencecah 40 tahun, Giggs masih
lagi tidak henti-henti mencipta pencapaian unik dalam kariernya. Giggs
melakukan penampilan ke-1000 dalam karier profesionalnya pada 6 Mac 2013 saat
United berdepan Real Madrid dalam saingan Liga Juara-Juara. Di atas padang,
prestasi serta komitmen beliau sebagai pemain memang tiada tandingan dan
sehingga kini saya masih tercari-cari pemain mana yang layak untuk dibandingkan
dengan Giggs….jawapannya `Tiada’. Kehidupan luar padang zaman muda Giggs juga
sebenarnya lebih `aman’ berbanding kehidupan pemain muda sekarang yang penuh
gemerlap. Mungkin ini faktor yang menyebabkan Giggs mampu bertahan dan bermain
di peringkat tertinggi hingga keusia mencecah 40 tahun.
PERJALANAN
KARIER GIGGS
1990:
Giggs menjalani trial bersama United
pada Julai dan menandatangani kontrak profesional pada bulan Disember.
1991: Diusia
17 tahun, Giggs melakukan penampilan pertama untuk United pada 2 Mac ketika
berdepan Everton sebagai pemain gantian. Dua bulan kemudian Giggs menjaringkan
gol kemenangan ke atas Manchester City di Old Trafford. Prestasi bagus yang
dipamerkan Giggs mendorong beliau dipanggil menyertai skuad kebangsaan Wales. Pada
usia 17 tahun 322 hari Giggs muncul pemain termuda Wales yang bermain untuk
skuad kebangsaan ketika berdepan Jerman di Nuremberg pada bulan Oktober. UEFA
Super Cup pula merupakan trofi pertama yang berjaya dimenangi Giggs bersama
United selepas mereka menewaskan Red Star Belgrade.
1992:
Membantu United menjulang Piala Liga dan dianugerahkan sebagai Pemain Muda
Terbaik Tahunan musim tersebut (1991-92).
1993:
Membantu United menamatkan kemarau 26 tahun kejuaraan liga selain berjaya
mempertahankan anugerah Pemain Muda Terbaik Tahunan untuk musim kedua
berturut-turut.
1994:
Memenangi double menerusi kejayaan
menjulang kejuaraan Liga Perdana dan Piala FA
1996:
Sekali lagi berjaya memenangi kejuaraan double
(Liga Perdana dan Piala FA).
1997:
Menjulang kejuaraan Liga Perdana buat kali ketiga dalam tempoh empat tahun.
Pada bulan Oktober pula Giggs menjaringkan gol ketika United menewaskan
Juventus (3-2) dalam aksi Liga Juara-Juara.
1999:
Menjaringkan gol kemenangan United ke atas Arsenal pada pertemuan ulangan
separuh akhir Piala FA di Villa Park. Gol itu juga dianggap gol paling ikonik
dari Giggs yang kekal diingati hingga kini. Musim 1998-99 juga merupakan musim
paling gemilang dalam karier Giggs apabila beliau berjaya memenangi kejuaraan treble (Liga Perdana, Piala FA dan Liga
Juara-Juara).
2000:
Memenangi kejuaraan Liga Perdana buat kali keenam dalam tempoh lapan tahun.
2001:
Menambah koleksi kejuaraan Liga Perdana ketujuh dan secara keseluruhan Giggs
sudah memenangi 12 medal kejuaraan sepanjang tempoh sepuluh tahun menyarung
jersi United. Pada bulan Julai, Giggs menandatangani kontrak baharu yang
menyaksikan beliau kekal selama lima tahun lagi di Old Trafford.
2002:
Pada 23 Ogos, Giggs menjaringkan gol ke-100 untuk United ketika berdepan
Chelsea dalam saingan liga.
2003:
Membantu United merampas kembali kejuaraan Liga Perdana dari Arsenal.
2004:
United menamatkan saingan liga (musim 2003-04) di tangga ketiga namun Giggs
berjaya membantu kelab menjulang Piala FA selepas mereka menewaskan Milwall 3-0
di final.
2007:
Selepas dua musim gagal menjulang trofi liga, Giggs kembali berada di atas
podium apabila berjaya membantu United merampas kejuaraan Liga Perdana dari
Chelsea. Ini juga merupakan kejuaraan liga kesembilan buat Giggs. Pada 30 Mei,
atas pandangan yang diberikan Sir Alex Ferguson, Giggs mengumumkan persaraan
dari skuad kebangsaan Wales pada usia 33 tahun. Giggs kemudiannya dianugerahkan
pingat OBE (Order of the British Empire) pada 11 Disember atas segala jasa yang
beliau curahkan dalam arena bolasepak.
2008:
Pada 11 Mei, Giggs tampil buat kali ke-758 ketika berdepan Wigan Athletic
sekaligus menyamai rekod penampilan Sir Bobby Charlton. United juga berjaya
mempertahankan kejuaraan Liga Perdana (2007-08) sekaligus koleksi kesepuluh
buat Giggs. Pada 21 Mei pula, Giggs memecahkan rekod penampilan Sir Bobby
selepas beliau masuk sebagai pemain gantian ketika berdepan Chelsea di final
Liga Juara-Juara. Giggs juga antara penyumbang gol dalam penentuan sepakan
penalti pada aksi yang dilangsungkan di Moscow itu. Ini juga merupakan
kejuaraan Liga Juara-Juara kedua buat Giggs.
2009:
Pada 26 April, Giggs dipilih sebagai Pemain Terbaik Tahunan dan pada 16 Mei beliau
berjaya membantu United mempertahankan kejuaraan liga buat kali ketiga
berturut-turut, sekaligus menambah koleksi kejuaraan liga peribadi beliau buat
kali kesebelas.
2010:
Pada bulan Februari, Giggs berjaya memenangi Piala Liga selepas United menewaskan
Aston Villa 2-1 di perlawanan akhir.
2011:
Giggs merakamkan penampilan ke-600 dalam saingan liga untuk United ketika
berdepan Tottenham Hotspurs di White Hart Lane. Giggs kemudiannya memadam rekod
Sir Bobby selepas beliau tampil dalam perlawanan liga ke-607 ketika berdepan
Liverpool.
2012:
Pada bulan Februari, Giggs melakukan penampilan ke-900 dalam karier
profesionalnya ketika United menewaskan Norwich 2-1.
2013:
Gol yang dijaringkan Giggs ke gawang Everton pada 10 Februari menyaksikan beliau
muncul satu-satunya pemain yang tidak pernah gagal menjaringkan gol di Liga
Perdana setiap musim. Pada 5 Mac pula, beliau merakamkan penampilan ke-1000 ketika
berdepan Real Madrid dalam pusingan kalah mati Liga Juara-Juara. Musim tersebut
(2012-13) juga menyaksikan Giggs berjaya menjulang trofi Liga Perdana buat kali
ke-13.
2014:
Selepas David Moyes dipecat, Giggs dilantik sebagai pengurus sementara pada 22
April dan beliau sempat mengendalikan United dalam empat perlawanan terakhir.
Di akhir musim Giggs mengumumkan persaraan sebagai pemain dan dilantik sebagai
penolong dalam staf kejurulatihan di era Louis Van Gaal.
KATA-KATA
TENTANG GIGGS DARI TOKOH BOLASEPAK DUNIA
SEPP
BLATTER
“Pencapaiannya sungguh mengagumkan dan dia
pemain yang luar biasa. Sebagai individu yang berkecimpung dalam dunia
bolasepak saya sukar mempercayai. Bukan mudah untuk mana-mana pemain bermain
1000 perlawanan atau lebih 600 perlawanan untuk sebuah pasukan yang sama. Itu
sungguh hebat. Giggs bermain bolasepak dengan hatinya dan Manchester United
adalah tempatnya”.
SIR
ALEX FERGUSON
“Apa lagi perkataan yang saya tidak pernah
perkatakan tentang Ryan. Sebagai pemain dia memang mengagumkan dan sebagai
manusia dia adalah luar biasa. Dia memiliki tenaga yang fantastis untuk bermain
bolasepak dan saya bersyukur dapat menyaksikannya bermain. Dia sudah
menjaringkan gol di saingan liga selama 23 musim berturut-turut. Dalam dunia
bolasepak moden perkara seperti ini sangat-sangat mengagumkan. Prestasinya
bersama kami musim ini membuktikan kemampuan dan cintanya terhadap bolasepak
tidak pernah surut. Saya gembira dia bersetuju menyambung kontraknya”.
PAUL
SCHOLES
“Saya pernah bermain dengan ramai pemain
hebat di kelab ini. Namun jika saya terpaksa memilih siapa di antara mereka
yang paling hebat, tentunya pilihan saya ialah Giggsy. Di atas padang, dia
mampu melakukan segalanya”.
GIANFRANCO
ZOLA
“Dia sungguh luarbiasa. Satu-satunya
kekurangan dan kesilapan yang saya lihat dilakukan Giggs ialah dia bermain
untuk kelab yang salah. Dia sepatutnya bermain untuk kami (Chelsea)”.
ROBERTO
MANCINI
“Bagi saya Giggs adalah salah seorang pemain
terbaik dunia. Dia bukannya pemain yang muda tetapi tetap bermain dengan bagus.
Dia pemain yang fantastis”.
JOHAN
CRYUFF
“Eric Cantona adalah pemain hebat, tetapi dia
tidak sehebat Ryan Giggs”.
GARY
LINEKER
“Rekodnya sungguh menakjubkan. Jumlah trofi
yang dimenanginya, jumlah perlawanan yang dimainkannya serta gol-gol yang
dirancang dan diciptanya sangat mengagumkan. Dia adalah profesional tulen yang
selalunya menampilkan permainan kelas tertinggi setiap saat”.
ALESSANDRO
DEL PIERO
“Hanya dua orang pemain yang boleh membuatkan
saya menangis setiap kali menonton permainan mereka. Yang pertama adalah Diego
Maradona dan yang kedua adalah Ryan Giggs”.
BERAKHIRNYA
IKATAN GIGGS DAN UNITED
Selepas 26 tahun menjalin ikatan dengan
Manchester United, Giggs akhirnya mengambil keputusan meninggalkan kelab untuk
mencari cabaran baharu. Sama ada benar atau tidak kehadiran Jose Mourinho
mempengaruhi keputusan Giggs meninggalkan kelab itu persoalan yang masih samar.
Selepas lebih dua dekad menyaksikan aksinya di atas padang sebagai pemain dan
juga pembantu pengurus, ketiadaan Giggs musim depan pastinya dirasai. Sebagai
pemain Giggs sudah membuktikan kehebatannya menerusi segala statistik dan medal
kejuaraan yang beliau menangi.
Jika medal kejuaraan mahu dijadikan ukuran
menilai kehebatan seseorang pemain, saya percaya Giggs sudah melangkauinya.
Hebatnya Giggs bukan hanya kerana kelincahan beliau merobek pertahanan lawan
tetapi juga kerana rekod disiplinnya. Saya percaya individu sehebat Giggs boleh
`hidup’ di mana-mana pun destinasi yang beliau pergi. Mungkin ketika ini United
bukan lagi tempat sesuai untuk beliau tetapi satu hari nanti saya percaya Giggs
akan kembali semula ke tempat di mana beliau bermula.
Dan saya masih percaya bahawa satu hari nanti
saya akan melihat kelibat Giggs memberikan arahan kepada pemain-pemainnya dari
tepi padang…bukan lagi sebagai pembantu tetapi sebagai pengurus United. Hingga
detik itu tiba, biarkan sahaja beliau pergi menimba ilmu dan pengalaman untuk
menjadi pengurus/jurulatih yang lebih bagus. United adalah tempat untuk beliau
dan percayalah sejauh manapun beliau pergi, pasti satu hari nanti Giggs akan
pulang semula ke pangkuan kelab. Beliau akan pulang sebagai individu yang lebih
besar dan bersedia menguruskan kelab sebesar Manchester United…Glory Glory
Manchester United!!! - AJ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan