Sir Alex Ferguson pernah menyebut bahawa “Menyerang memberikan anda kemenangan dalam
perlawanan, tetapi pertahanan memberikan anda kejuaraan”. Apa yang disebut
beliau ini ada kebenarannya jika diambilkira fakta bahawa ketajaman jentera
serangan skuadnya turut diimbangi dengan kekentalan di benteng pertahanan. Pada
musim 2007-08, tatkala Cristiano Ronaldo bermaharajalela di hadapan gawang lawan menerusi
31 gol yang dihasilkannya, benteng pertahanan United yang diterajui Nemanja
Vidic dan Rio Ferdinand pula hanya membenarkan gawang mereka dibolosi sebanyak
22 kali.
Meskipun jumlah tersebut masih gagal memecah
rekod pasukan paling kurang dibolosi dalam semusim milik Chelsea (gawang The Blues hanya dibolosi 15 gol pada
musim 2004-05), United tetap menamatkan musim tersebut dengan bergaya. Musim
2007-08 menyaksikan United berjaya memenangi kejuaraan liga buat kali ke-17 dan
mereka kemudiannya melengkapkan antara musim paling gemilang dalam sejarah
kelab apabila menjulang trofi Liga Juara-Juara buat kali ketiga di Moscow.
Pesona milik Dennis Viollet, Jack Rowley,
George Best, Bobby Charlton, Denis Law, Eric Cantona, Andy Cole, Dwight Yorke, Teddy
Sheringham, Ole Gunnar Solskjaer, Ruud Van Nistelrooy, Cristiano Ronaldo, Wayne
Rooney, Dimitar Berbatov dan Robin Van Persie akan sentiasa diingati sebagai
antara penggempur terbaik pernah disaksikan menyarung jersi merah United.
Tetapi dalam pada itu jangan lupakan juga mereka yang berada di barisan
belakang, mereka yang ditugaskan merantai pergerakan penyerang lawan dan mereka
yang diamanahkan untuk memastikan agar gawang sendiri tidak dibolosi.
Selama berdekad, bukan sedikit pemain-pemain
pertahanan terbaik yang pernah membarisi benteng pertahanan United dan mereka
juga turut memainkan peranan penting di sebalik suksesnya pencapaian kelab di
peringkat domestik mahupun Eropah. Dari masa kesemasa, benteng United sentiasa
diisi oleh pemain-pemain pertahanan yang hebat dan kehadiran pemain-pemain
seperti Steve Bruce, Gary Pallister, Jaap Stam, Ronny Johnsen, Rio Ferdinand
dan Nemanja Vidic membantu Manchester United menjadi kelab paling sukses di
Liga Perdana.
Jika Viollet, Rowley, Best, Charlton, Law,
Cantona, Cole, Yorke, Sheringham, Solskjaer, Van Nistelrooy, Ronaldo, Rooney,
Berbatov dan Van Persie pernah menghadirkan rasa gerun kepada mana-mana benteng
pertahanan lawan, bagaimana pula dengan kombinasi pertahanan tengah terbaik yang
pernah disaksikan dalam sejarah kelab? Kali ini mari kita imbas kembali mereka-mereka
yang pernah dibentuk untuk menjadi gandingan pertahanan tengah terbaik buat United,
gandingan yang pernah menghadirkan rasa gerun kepada mana-mana penyerang lawan dari
dekad 70an hinggalah ke era Sir Alex Ferguson.
MARTIN BUCHAN & GORDON MCQUEEN
Di penghujung dekad 70an, zaman ketika kelab
berada di era kemelesetan, United masih mampu melahirkan gandingan pertahanan
tengah yang digeruni dalam saingan liga. Gandingan yang saya maksudkan ialah
Martin Buchan dan Gordon McQueen. Buchan sebenarnya tiba lebih awal di Old
Trafford berbanding McQueen selepas beliau ditandatangani Tommy Docherty dari
Aberdeen pada 1972. Dari saat beliau ditandatangani, Buchan pernah digandingkan
bersama Jim Holton dan Brian Greenhoff hinggalah akhirnya beliau menemui gandingan
serasi selepas ketibaan McQueen.
McQueen dibawa masuk oleh Dave Sexton dari
Leeds United pada 1978 dan gandingan beliau bersama Buchan dianggap saling
melengkapi antara satu sama lain kerana kedua-duanya memiliki tipikal permainan
yang berbeza. McQueen pertahanan tinggi lampai, memiliki kekuatan ketika
perebutan bola tinggi dan lawan sepadan untuk mana-mana penyerang tinggi lampai
ketika itu. Buchan pula ada kepantasan dan bijak meletakkan diri di posisi yang
tepat ketika bertahan. Era gandingan Buchan dan McQueen berakhir pada 1983
selepas prestasi Buchan mula menurun dan beliau kemudiannya menyertai Oldham
Athletic.
STEVE
BRUCE & GARY PALLISTER
Selepas mencuba ramai pemain untuk membentuk
pertahanan tengah yang ampuh, Sir Alex Ferguson akhirnya menemui pasangan
sesuai untuk beliau letakkan di jantung pertahanan skuadnya. Steve Bruce dan
Gary Pallister antara watak penting di sebalik kejayaan United menjulang kejuaraan
Piala FA pada 1990 dan anggota dari skuad yang berjaya menamatkan kemarau 26
tahun kejuaraan liga pada 1993. Mereka jugalah antara perintis saat bermulanya
kembali era kegemilangan kelab selepas berdepan tempoh suram lebih dari dua
dekad.
Berbanding Buchan dan McQueen, Bruce serta
Pallister memiliki type permainan
hampir sama. Keras ketika mengasak, bijak membaca tempo serangan lawan, kuat di
udara dan sukar dilepasi. Pallister bagi saya bukti awal ketajaman Sir Alex
Ferguson dalam mengesan bakat terbaik untuk dibawa masuk bagi menguatkan
skuadnya. Hadir pada 1989 dari Middlesbrough, Pallister tidak perlu menunggu
terlalu lama untuk mencetuskan impak menerusi gandingannya bersama Bruce.
Gandingan Bruce dan Pallister bermain lebih
600 perlawanan, dan hingga kini pun mereka sentiasa menjadi kayu ukur terbaik
buat mana-mana pemain pertahanan tengah United.
Mereka adalah contoh pemain yang bermain dengan `hati’, yang memberikan
segala-galanya untuk kelab ketika berada di atas padang. Jika Bruce cukup
terkenal sebagai pertahanan yang tiada kompromi menerusi asakan-asakan kerasnya
dan kuat dalam perebutan bola di udara, Pallister pula memang dikenali sebagai
pertahanan yang sukar dilepasi dan mampu membangunkan serangan dari bawah.
RONNY
JOHNSEN & JAAP STAM
Ramai di antara kita yang mungkin tidak
mengenali Martin Buchan dan Gordon McQueen (termasuk saya) kecuali generasi
penyokong-penyokong United yang dilahirkan di era 60an dan sebelumnya. Tetapi
jika anda tidak mengenali siapa itu Ronny Johnsen dan Jaap Stam anda bukanlah
penyokong Manchester United sejati. Gandingan Johnsen dan Stam adalah bukti
kekebalan pertahanan United dan juga saksi saat bersejarah ketika kelab
menjulang kejuaraan Treble pada 1999.
Johnsen tiba di Old Trafford dua tahun lebih awal berbanding Stam yang
ditandatangani Sir Alex dari PSV Eindhoven pada 1998.
Meskipun baru digandingkan, Johnsen dan Stam
tidak memerlukan masa yang lama untuk membentuk gandingan ampuh di benteng
pertahanan United selepas berakhirnya era Bruce dan Pallister. Jika anda
mengatakan bahawa final Liga Juara-Juara 1999 di Nou Camp sebagai momen terbaik
untuk Johnsen dan Stam diingati, saya pula berpendapat sebaliknya. Saya memilih
momen di Turin pada 22 April 1999 sebagai antara prestasi terbaik pernah
dipamerkan Johnsen dan Stam ketika mereka ditugaskan mengawal benteng
pertahanan United.
Meskipun pada mulanya membenarkan Fillipo
Inzaghi dua kali menembusi gawang United, mereka kemudiannya berjaya memastikan
benteng kekal kebal biarpun Juve melakukan pelbagai cara selepas kedudukan
terikat 2-2. Gol Andy Cole memadam terus sebarang harapan Juve untuk melangkah
ke final, tetapi kelibat Johnsen dan Stam perlu diakui antara watak penting di
sebalik kejayaan United mencipta laluan ke Nou Camp dan merakamkan kemenangan pertama
mereka di bumi Itali ketika menewaskan Juventus dalam perlawanan itu.
Era gandingan Johnsen dan Stam berakhir
selepas Stam dijual secara drastik ke Lazio pada 2001 hanya menerusi satu
panggilan telefon yang dibuat oleh Sir Alex. Walaupun hanya tiga musim sempat
bersama, anda tidak sekali-kali boleh menafikan peranan penting yang dimainkan
Johnsen dan Stam terutamanya disebalik kejayaan gemilang musim 1998-99.
Sepertimana pentingnya peranan Beckham, Keane, Schmeichel, Scholes, Neville, Giggs,
Sheringham, Cole, Yorke dan Solskjaer ketika itu, begitu jugalah pentingnya
peranan Johnsen dan Stam selaku jeneral di benteng United.
RIO
FERDINAND & NEMANJA VIDIC
Tanpa berselindung, Didier Drogba mengakui
bahawa kombinasi Rio Ferdinand dan Nemanja Vidic merupakan lawan paling sukar
pernah beliau hadapi. Selama lapan musim dari 2004 hingga 2012 Drogba mengetuai
jentera serangan Chelsea, selama itu jugalah beliau perlu berdepan dengan
kombinasi dua pertahanan tengah terbaik pernah disaksikan dalam saingan Liga Perdana.
Selepas bertahun-tahun terpaksa berdepan Ferdinand dan Vidic, penilaian Drogba
bagi saya adalah kayu ukur paling tepat jika anda mahu bercakap tentang
kemampuan sebenar milik dua lagenda United itu.
Jika Buchan dan McQueen saling melengkapi
antara satu sama lain, Ferdinand dan Vidic pula kombinasi pertahanan tengah
paling lengkap pernah di saksikan dalam sejarah kelab. Kedua-duanya memiliki
corak permainan yang keras tanpa kompromi, jaguh dalam perebutan bola tinggi,
bijak membaca tipu muslihat penyerang lawan, pantas, berkeyakinan tinggi dan
paling penting kehadiran mereka sentiasa menghadirkan mimpi ngeri kepada
mana-mana penyerang lawan.
Ferdinand terlebih dahulu tiba di Old
Trafford selepas beliau ditandatangani dari Leeds United pada 2002. Pengalaman
bermain sebagai penyerang ketika zaman remajanya sedikit sebanyak membentuk
karakter Ferdinand sebagai seorang centre
back. Jadi tidak hairanlah mengapa Ferdinand memiliki teknik kawalan bola
yang bagus, punya keyakinan tinggi ketika bola berada dikakinya dan dilabel
sebagai pertahanan tengah paling bergaya ketika zaman kemuncaknya. Dan bukanlah
sesuatu yang menghairankan juga bila anda melihat bagaimana beliau mampu
`bermain-main’ dengan penyerang lawan di kawasan sendiri hasil dari teknik
kawalan bola yang beliau miliki.
Sebelum kehadiran Vidic, Ferdinand sering
digandingkan bersama Mikael Silvestre tetapi empat tahun selepas itu dunia mula
menyaksikan kombinasi pertahanan tengah terbaik dibentuk bila Sir Alex
menandatangani Vidic dari Spartak Moscow pada 2006. Vidic diberikan gelaran `The Serbian Terminator’ kerana gaya
permainan keras tanpa kompromi yang dimilikinya. Vidic adalah contoh pertahanan
klasik yang bermain dalam era bolasepak moden, keras ketika melakukan tackle, sukar dilepasi dan sentiasa
bersedia mengawal zon permainannya.
Kenyataan bahawa Ferdinand dan Vidic sebagai
kombinasi pertahanan tengah terbaik pernah disaksikan bukan hanya bersandarkan
kepada statistik mereka di atas padang tetapi juga jumlah medal kejuaraan yang
sudah mereka menangi. Bersama United, Ferdinand memenangi 17 medal kejuaraan
manakala Vidic pula 15 dan kemuncak pencapaian mereka tentunya ketika menjulang
trofi Liga Juara-Juara di Moscow pada 2008. Mereka sekali lagi berjaya membantu
United ke pentas final Liga Juara-Juara musim berikutnya tetapi tewas kepada
Barca dalam aksi yang berlangsung di Rome.
SIAPA
PENYAMBUNG LEGASI SETERUSNYA?
Selepas berakhirnya era Ferdinand dan Vidic,
kelab masih tercari-cari pengganti yang mampu meneruskan kesinambungan
kehebatan pemain-pemain pertahanan tengah sebelum ini. Chris Smalling yang
pernah bermain ketika era Sir Alex kekal sebagai pengganti berpotensi, tetapi
beliau perlukan seorang rakan gandingan yang mampu meletakkan kombinasi mereka sebaris
dengan gandingan Buchan/McQueen, Bruce/Pallister, Johnsen/Stam dan
Ferdinand/Vidic. Smalling juga saya yakini akan kekal antara tonggak United untuk
musim-musim akan datang biarpun kelab kini diterajui Jose Mourinho.
Reputasi Mourinho yang gemar membina pasukannya
berteraskan kekuatan di benteng pertahanan bakal menyaksikan perubahan di
barisan belakang skuad United musim depan. Sebagai langkah permulaan, beliau
menandatangani Eric Bailly dari Villareal Jun lalu bagi membentuk kombinasi
bersama Smalling di posisi pertahanan tengah. Bersandarkan kepada bakat dan
potensi yang dimiliki Smalling serta Bailly, besar kemungkinan kita bakal
menyaksikan satu lagi kombinasi `maut’ di benteng pertahanan United dilahirkan.
Adakah Smalling/Bailly bakal meneruskan legasi yang ditinggalkan
Buchan/McQueen, Bruce/Pallister, Johnsen/Stam dan Ferdinand/Vidic? Berikan
sahaja mereka masa untuk membuktikannya…Glory Glory Manchester United!!! - AJ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan