Manchester United dan Liverpool memang diakui
memiliki sejarah perseteruan yang panjang, bermula dari era revolusi
perindustrian di Britain hinggalah sekarang. Pertembungan antara dua kelab yang
memiliki sejarah dan tradisi paling gemilang di tanah Inggeris itu sentiasa
dinantikan penuh minat oleh pemerhati dan peminat bolasepak dunia. Selain
Liverpool, United juga perlu menangani cabaran yang datang dari musuh domestik
mereka yang lain seperti Arsenal, Chelsea dan jiran sekota mereka, Manchester
City.
Momen paling diingati jika bercakap tentang
perseteruan United dan Arsenal pula sudah tentu berlaku di terowong pemain
pada10 Oktober 2004. Insiden yang cukup dikenali dengan gelaran Pizza Gate atau Battle of the Buffet itu berlaku sebaik perjalanan epik Invincibles Arsenal dihentikan menerusi
jaringan Ruud Van Nistelrooy dan Wayne Rooney masih tetap segar dalam ingatan
biarpun sudah hampir 12 tahun berlalu.
Permusuhan Manchester Derby pula diterjemahkan Roy Keane menerusi terjahan
kerasnya akibat dendam lama yang menamatkan terus kerjaya Alf Inge Haaland
sebagai pemain bolasepak profesional. Selepas pulih dari kecederaan itu,
Haaland cuba untuk kembali bermain tetapi kesan kecederaan parah dari hentakan boot Keano menyebabkan beliau akhirnya menyerah
dan terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada karier profesionalnya pada usia
31 tahun.
Kehadiran Roman Abramovich yang menyuntik
dana beratus juta Pound ke Stamford Bridge pula menyaksikan Chelsea muncul
kuasa baharu bolasepak Inggeris sekaligus menghadirkan cabaran yang bukan
sedikit buat United. Ditambah pula dengan perlantikan Jose Mourinho yang penuh
karakter itu sebagai pengurus The Blues,
Chelsea berjaya menamatkan dominasi United dan Arsenal apabila mereka menjulang
kejuaraan liga dua musim berturut-turut (2004-05 dan 2005-06).
Andai ditanya kelab manakah musuh nombor satu
United? Anda pastinya akan mendengar jawapan yang beragam dan pelbagai dari
kalangan rakan-rakan penyokong United yang lain. Liverpool, Arsenal, Chelsea
dan Manchester City adalah nama yang akan selalu anda dengar sekiranya soalan
ini ditanyakan kepada mereka. Rekod pertemuan silam, jumlah trofi yang
dikumpul, persaingan dalam liga, wang dan aspek geografi menjadi penyebab
mengapa anda memilih Liverpool, Arsenal, Chelsea dan Manchester City sebagai
musuh nombor satu United.
Tetapi bagaimana pula jika anda tanyakan
soalan kepada penyokong-penyokong Leeds United tentang kelab manakah yang
mereka letakkan sebagai musuh nombor satu mereka? Untuk soalan ini, saya yakin
hanya ada satu nama yang akan keluar dari mulut mereka iaitu Manchester United.
Mengapa United? Jawapannya ialah kerana sejarah silam yang berlaku di abad
ke-15. Apa yang berlaku di England di abad ke-15? Okey mari kita buka kembali
buku sejarah.
Perang
Dua Wilayah
Perseteruan antara wilayah Lancashire dan
Yorkshire di abad ke-15 berakhir dengan peperangan yang dikenali sebagai War of the Roses (Lancashire menggunakan
mawar merah sebagai lambang mereka manakala Yorkshire pula menggunakan mawar
putih). Rupa-rupanya peperangan antara dua wilayah yang berlaku beratus tahun
dahulu akhirnya membawa kepada tercetusnya permusuhan abadi di atas padang bolasepak
membabitkan dua kelab Inggeris iaitu Manchester United dan Leeds United.
Persaingan
Matt Busby & Don Revie
Dekad 60an boleh dikatakan persaingan di liga
Inggeris berkisar kepada perseteruan antara United dan Leeds. Sejarah silam
peperangan yang pernah berlaku antara wilayah Lancashire dan Yorkshire turut
terbawa-bawa hingga ketengah padang setiap kali United dan Leeds bertemu.
Perkelahian, kekasaran melampau dan provokasi sesama pemain antara adegan wajib
yang ada setiap kali berlangsungnya Roses
Derby (atau disebut juga sebagai Roses Rivalry).
Di era itu (60an) kedua-dua kelab memiliki
barisan yang seimbang tetapi dengan adanya pemain-peman seperti George Best,
Bobby Charlton dan Dennis Law, skuad United kendalian Sir Matt dianggap lebih glamour berbanding Leeds. Bagaimanapun
ketika era 60an memasuki fasa penghujung, Leeds di bawah asuhan Revie dianggap
pasukan lebih kuat berbanding United menerusi kualiti yang ada pada Jack
Charlton, Billy Bremmer dan Norman Hunter.
Selepas
Era Matt Busby & Don Revie
Ketegangan perseteruan antara United dan
Leeds mula kendur di awal dekad 70an selepas berakhirnya era Sir Matt manakala
Revie pula meninggalkan Elland Road selepas dilantik sebagai pengurus skuad
kebangsaan England. Zaman malap yang dihadapi United selepas ditinggalkan Sir
Matt dan Leeds juga menerima tempias yang sama selepas pemergian Revie
menyaksikan edisi-edisi Roses Derby
tidak lagi sepanas dekad sebelumnya.
Bagaimanapun ketegangan dan persaingan antara
kedua-dua kelab di atas padang yang kian kendur tidak langsung mempengaruhi
rasa benci yang masih menebal di kalangan penyokong-penyokong kedua-dua
pasukan. Di era 70an ketika semangat hooliganisme
dalam bolasepak sedang memuncak, kes pertempuran penyokong membabitkan Red Army (United) dan Service Crew (Leeds) turut mencatatkan
jumlah tertinggi berbanding mana-mana perlawanan derby dan menjadi cerita paling terkenal di bumi Inggeris.
Perpindahan
Pemain Tonggak
Permusuhan antara United dan Leeds bukan
sahaja melibatkan saingan di atas padang dan pertempuran penyokong di luar
padang tetapi juga melibatkan hal kesebelasan mana yang lebih baik. 14 tahun
sebelum Eric Cantona berpindah dari Elland Road ke Old Trafford, United
menandatangani dua pemain penting Leeds hampir serentak dan pemain yang saya
maksudkan ialah Joe Jordan serta Gordon McQueen.
Perpindahan Jordan dan McQueen memanaskan
lagi api permusuhan antara United dan Leeds apatah lagi McQueen selepas itu
mengeluarkan kenyataan bahawa “99% pemain ingin bermain untuk Manchester United
dan 1% lagi adalah pembohong”. Kenyataan McQueen itu menimbulkan kemarahan
penyokong-penyokong Leeds kerana hanya seminggu sebelumnya dalam satu temubual
dengan Shoot Magazine, beliau mengatakan
ingin bermain untuk Leeds sepanjang kariernya.
Ketika luka dari perpindahan Jordan dan
McQueen masih berbekas, penyokong-penyokong Leeds terpaksa menyaksikan seorang
lagi idola di Elland Road berpindah ke kelab paling dibenci mereka. Dengan
`restu’ yang diberikan Bill Fotherby (Pengerusi Leeds ketika itu), Eric Cantona
akhirnya berpindah ke Old Trafford pada musim panas 1992 biarpun musim sebelumnya
beliau mengetuai Leeds menewaskan United dalam perebutan kejuaraan liga.
Sepertimana pentingnya peranan yang dimainkan
beliau ketika membantu Leeds menjulang kejuaraan liga, begitu jugalah yang
dilakukan Cantona di Old Trafford. Cantona meneruskan sentuhan magisnya apabila
beliau berjaya membantu The Red Devils
menamatkan kemarau 26 tahun kejuaraan liga. Menyaksikan pemain yang sebelumnya
dianggap sebagai dewa membantu musuh nombor satu mereka menjulang kejuaraan
liga menambahkan lagi rasa benci penyokong-penyokong Leeds terhadap United.
Jika dahulunya beliau dijulang sebagai wira
tetapi kini Cantona dianggap petualang pula oleh penyokong-penyokong Leeds.
Jadi tidak hairanlah mengapa setiap kali beliau kembali ke Elland Road, Cantona
akan diberikan sambutan yang cukup `meriah’ oleh mereka-mereka yang dahulu
pernah memujanya. Cantona rupa-rupanya bukanlah yang terakhir kerana selepas
itu ada lagi bintang Leeds yang berpaling tadah.
Perpindahan pemain tonggak masih lagi menjadi
penyebab mengapa api permusuhan antara kedua-dua kelab kekal marak. Sepuluh
tahun selepas perpindahan sensasi Cantona dari Elland Road ke Old Trafford,
kini tiba giliran Rio Ferdinand pula melakukan hal yang sama. Perpindahan
Ferdinand pada 2002 menjadikan beliau muncul pemain pertahanan termahal dunia
dan mencatat rekod perpindahan British ketika itu.
Dua tahun kemudian giliran Alan Smith pula melukakan
hati penyokong-penyokong Leeds apabila beliau mengambil keputusan menyertai
Ferdinand di Old Trafford. Smith yang cukup terkenal dengan kebiasaan beliau
mencium badge Leeds setiap kali
berjaya menjaringkan gol pernah mengatakan bahawa beliau tidak akan sesekali
menyertai United. Perpindahan Smith membuktikan kebenaran kata-kata McQueen
bahawa “99% pemain ingin bermain untuk Manchester United dan 1% lagi adalah
pembohong”.
`Nyanyian
Ewood Park’
Apa yang berlaku di Ewood Park pada 1994
adalah contoh terbaik sejauh mana tahap kebencian penyokong-penyokong Leeds
terhadap United. Ketika upacara bertafakur bagi menghormati kematian Sir Matt
Busby dilakukan sebelum sepak mula, segelintir penyokong-penyokong Leeds yang
berada di Ewood Park sebaliknya bertindak memecah kesunyian dengan melaungkan chant “There’s only one Don Revie, one Don Revie….”
Berbeza dengan Sir Matt yang dianggap lagenda
dan antara pengurus paling berjaya dalam sejarah bolasepak Britain, lain pula
halnya dengan layanan yang diterima oleh Revie. Meskipun berjaya dua kali
membawa Leeds muncul juara liga Divisyen 1 (1968-69 &1973-74) selain Piala
FA dan Piala Liga, Revie dikritik kerana corak permainan keras yang diterapkan
dalam permainan pasukannya hinggakan barisan Leeds diberikan gelaran Dirty Leeds.
Hingga saat kematian beliau akibat kanser
pada 1989, media-media Inggeris ketika itu masih tetap memberikan gambaran
buruk terhadap Revie. Penyokong-penyokong Leeds menganggap lagenda mereka itu
tidak diberikan layanan yang adil dan penghormatan selayaknya berbanding apa
yang diterima Sir Matt. Perseteruan silam ketika era Busby Babes dan Revie Boys
selain layanan double standard yang diberikan
warga bolasepak Britain kepada Revie berbanding Sir Matt akhirnya mencetus `Nyanyian
Ewood Park’ pada 1994.
Gelora
Yang Semakin Reda
Pertemuan terakhir membabitkan kedua-dua
kelab berlaku pada 20 September 2011 dalam saingan Piala Liga di Elland Road.
Kemenangan 3-0 yang dilakar United menerusi dua jaringan Michael Owen dan satu
gol sumbangan Ryan Giggs bukanlah sesuatu yang mengejutkan jika diambilkira
status kedua-dua kelab. Ketika itu United dalam prestasi bagus dan mereka
adalah pendahulu carta Liga Perdana manakala Leeds pula sekadar berada di
tangga ketujuh Liga Kejuaraan.
Jurang darjat yang kian dalam antara
kedua-dua kelab pernah bermusuhan ini menyaksikan Roses Derby tidak lagi sepanas ketika era 60an hingga 90an. Aksi di
Elland Road lima tahun lalu membuktikan kebenaran bahawa gelora Roses Derby yang berpunca dari perang
antara dua wilayah ratusan tahun dahulu kini semakin reda. Meskipun begitu
penyokong-penyokong United tidak pernah melupakan sejarah perseteruan yang
membabitkan United dan Leeds.
Chant
dari penyokong-penyokong United yang menyebut tentang Leeds masih berkumandang
di Theatre of Dreams sebagai tanda
bahawa mereka menghargai nilai perseteruan yang pernah berlaku antara dua kelab
Lancashire dan Yorkshire itu sebelum ini. Ketika ramai yang kini memilih
Liverpool, Arsenal, Chelsea dan Manchester City sebagai musuh nombor satu
United, mereka terlupa bahawa perseteruan United dan Leeds lama dahulu pernah
menyebabkan bolasepak England `huru-hara’.
Roses
Derby hanya mampu dirindukan untuk disaksikan aksinya serta
mungkin tidak akan berlaku dalam waktu terdekat memandang United dan Leeds kini
berada dalam kasta yang berbeza. Ketika generasi baharu penyokong-penyokong
United disogokkan dengan sensasi Manchester
Derby, generasi terdahulu pula mungkin masih merindui ketegangan dan
hangatnya Roses Derby. Semoga suatu
hari nanti permusuhan antara United dan Leeds akan kembali memanaskan bolasepak
Inggeris, sebuah pertarungan yang bukan hanya membabitkan pemain ditengah
padang tetapi juga pertarungan melibatkan harga diri dan tradisi antara United’s Red Army dan Leeds Service Crew…Glory Glory
Manchester United!!! - AJ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan