31 Ogos 2016

BELAJARLAH UNTUK KEMBALI MENYAYANGI FELLA

Ketika mula-mula menjejakkan kakinya di Old Trafford sebagai pemain United, Marouane Fellaini berazam menggantikan peranan Roy Keane di bahagian tengah tetapi hakikatnya beliau gagal bersinar di era David Moyes dan Louis Van Gaal. Prestasi Fella dikritik penyokong-penyokong hinggakan ramai yang mahukan supaya beliau dijual.

Kedatangan Mourinho semakin menguatkan desas-desus bahawa Fellaini antara pemain yang bakal dilepaskan musim ini selain Juan Mata, Daley Blind, Matteo Darmian dan beberapa pemain lagi. Bagaimanapun hakikatnya tidak terjadi begitu, malah Fella kini antara nama yang wajib ada dalam line up permulaan United.

Mourinho sendiri mengakui bahawa Fella kini antara pemain penting dalam skuadnya kerana kemampuan beliau bermain bersama Michael Carrick atau Ander Herrera, malah kedatangan Paul Pogba menjadikan penampilan Fella di atas padang kini jauh lebih bagus berbanding dahulu.

Apa yang menyebabkan Fella kini pemain yang jauh berbeza berbanding musim-musim sebelumnya? Jawapannya ialah kerana peranan sebagai pemain tengah bertahan yang diberikan Mourinho kepada beliau. Di era Moyes dan Van Gaal, Fella sering dikerah untuk bermain lebih ke hadapan sebagai pemain tengah menyerang.

Fella mengakui peranan sebagai pemain tengah menyerang tidak sesuai dengan dirinya hingga gagal memaksimakan potensi yang beliau miliki. Beliau cuba menyesuaikan diri dengan tugas yang diberikan Moyes dan Van Gaal tetapi ternyata Fella memang tidak cocok memainkan peranan yang lebih offensive.

Menurut Fella, beliau lebih gemar memainkan peranan sebagai box to box midfielder dan Mourinho akhirnya merealisasikan apa yang beliau impikan. Kesilapan yang dilakukannya ketika berdepan Leicester City dalam perlawanan merebut Perisai Komuniti dikritik penyokong tetapi Mourinho nampaknya tidak langsung terkesan dengan komen-komen negatif yang dilemparkan kepada Fella.

Jika dilihat kepada reputasi Mourinho dan sikap tiada kompromi beliau terhadap kesilapan-kesilapan kecil yang dilakukan pemain-pemainnya, saya jangkakan sukar untuk Fella merebut kembali tempat dalam kesebelasan utama United selepas kesilapan yang dilakukan beliau di Wembley 7 Ogos lalu. Bagaimanapun jangkaan saya meleset dan Fella masih terus menjadi sandaran utama Mourinho di bahagian tengah.

Setakat ini Fella tersenarai dalam kesebelasan utama United sebanyak empat kali (termasuk ketika saingan merebut Perisai Komuniti), sesuatu yang mungkin tidak pernah anda jangka jika diambilkira khabar angin pra musim bahawa beliau antara pemain yang bakal terkeluar dari perancangan Mourinho.

Ketika berdepan Bournemouth dalam perlawanan pembukaan liga musim ini, Fella berhasil melakukan 6 tackle bersih dari 10 yang dilakukannya serta melakukan empat clearance. Ketika berdepan Southampton pula, kehadiran Fella cukup dirasai menerusi kemampuan beliau dalam perebutan bola tinggi.

Fella menang empat dari enam perebutan bola di udara (ketika berdepan Southampton) dan kerap melakukan hantaran terus kepada Anthony Martial di sebelah kiri atau Juan Mata di sebelah kanan sekaligus melancarkan pergerakan United ketika melakukan serangan.

Kekerapan bertarung dalam situasi bola tinggi dikatakan punca utama kecederaan belakang yang dialami Fella ketika berdepan Hull City. Selepas menyaksikan sumbangan dan peranan yang dimainkan Fella dalam perlawanan-perlawanan awal United musim ini, tidak hairanlah mengapa Mourinho sedikit gusar bila mengetahui kecederaan yang dialami tonggak tengah skuadnya itu.

Jelas kini kelibat Fella amat penting di mata Mourinho bukan hanya kerana kekuatan fizikal dimiliki pemain ini yang sesuai dengan corak permainan diterapkan beliau tetapi juga pengalaman yang ada dalam diri Fella. Lapan musim bermain di Liga Perdana, Fella sudah tentu faham benar dengan segala sepak terajang bolasepak Inggeris.

Sesuai dengan perancangan taktikal Mourinho dan keinginan Fella, kini kelibatnya dalam petak penalti lawan semakin jarang anda lihat kerana beliau lebih senang memainkan peranan sebagai `pelindung’ kepada empat pertahanan yang berada di belakangnya.

United memulakan musim 2016/17 dengan cukup baik, begitu juga halnya dengan Fella. Jika dahulu prestasinya di atas padang dicemuh penyokong sendiri manakala potongan rambut terbarunya dijadikan bahan ejekan, kini penyokong-penyokong United sepatutnya mula belajar untuk kembali menyayangi Fella sepertimana ketika mereka menyambut kedatangannya di Old Trafford tiga tahun lalu. Glory Glory Manchester United!!! - AJ

29 Ogos 2016

APA YANG PERLU DILAKUKAN MOURINHO JIKA MAHU MEMENANGI TROFI LIGA PERDANA

Tiga kemenangan dari tiga perlawanan awal liga musim ini satu permulaan yang cukup bagus buat Manchester United selepas mengharungi tiga musim yang tidak menentu sebelum ini. Prestasi bagus di awal musim juga saya anggap satu amaran buat pencabar-pencabar domestik yang lain bahawa United di bawah kendalian Jose Mourinho skuad yang cukup berbeza berbanding apa yang mereka lihat dalam tempoh tiga musim terakhir.

Ditambah dengan pembelian bintang-bintang hebat seperti Zlatan Ibrahimovic, Paul Pogba, Henrikh Mkhitaryan dan Eric Bailly, United nampaknya sudah melaungkan amaran awal bahawa mereka kini jauh lebih bersedia untuk merampas kembali kejuaraan liga. Ya, selepas menyaksikan kelab berbelanja besar membawa empat bintang ternama ini, sedikit sebanyak penyokong juga menaruh harapan tinggi terhadap barisan kendalian Mourinho agar mereka mampu merampas kembali trofi Liga Perdana.

Terlepas slot ke Liga Juara-Juara musim ini, kejuaraan Liga Perdana kini sasaran penting yang patut United menangi dan misi yang sepatutnya diberikan keutamaan bermula sekarang. Sukar tapi bukan mustahil jika United mahu membolot semua trofi domestik dan Eropah (Liga Europa), tapi dengan ketatnya persaingan dan padatnya jadual perlawanan kita juga seebnarnya patut bersikap lebih realistik.

Menjulang trofi Liga Perdana dan kemudian layak ke saingan Liga Juara-Juara musim depan lebih manis berbanding kejayaan memenangi trofi Liga Europa tapi di akhir musim kelab sekadar menamatkan saingan di tangga kedua, ketiga atau keempat liga. Seperti yang saya sebutkan tadi, dengan jadual perlawanan yang padat dan ketatnya persaingan di Liga Perdana, United perlu memilih sasaran yang mereka inginkan dan mengorbankan apa yang mereka kurang perlukan.

Sudah tentu trofi Liga Perdana adalah sasaran utama Mourinho dan beliau juga faham bukan mudah untuk trofi ini dimenangi berbanding ketika beliau berada di Serie A ataupun La Liga. Jadi jika mahu mengembalikan semula trofi Liga Perdana ke Old Trafford, apa yang harus dilakukan Mourinho bagi meralisasikan harapan tinggi penyokong dan juga pihak pengurusan kelab? Berikut adalah langkah yang mungkin diambil Mourinho demi mencapai sasaran utamanya iaitu meletakkan kembali United sebagai raja di Liga Perdana.

Penggiliran Pemain

Berdepan jadual padat dan persaingan yang sentiasa sengit setiap musim, Mourinho perlu bijak melakukan penggiliran pemain-pemainnya demi memastikan mereka sentiasa cergas bagi menghadapi musim yang panjang. Bagaimanapun dalam sesebuah pasukan, penting juga bagi seorang pengurus memiliki formasi kesebelasan terbaiknya atau `winning team’. Mourinho sudah menunjukkan gambaran pemain mana yang bakal memikul peranan sebagai `key player’ beliau musim ini menerusi tiga aksi awal dalam saingan liga setakat ini.

Zlatan Ibrahimovic, Wayne Rooney, David De Gea, Paul Pogba, Eric Bailly, Antonio Valencia dan Luke Shaw saya kira akan memainkan watak penting dalam kesebelasan utama Mourinho. Itu belum lagi diambilkira potensi yang ada di bangku simpanan United terutamanya menerusi kelibat Henrikh Mkhitaryan. Dengan musim yang masih panjang, penting bagi Mourinho menentukan pemain mana yang patut diturunkan dalam perlawanan-perlawanan seterusnya bagi memastikan `key player’ beliau sentiasa cergas dan bebas dari kecederaan.

Abaikan Liga Europa

Saya yakin ada di antara anda tidak bersetuju dengan pendapat ini, tetapi jika Mourinho mahu membawa United menjulang kembali trofi Liga Perdana, beliau perlu melupakan saingan Liga Europa. Mungkin kenyataan ini seperti sedikit angkuh, tetapi kelab sekelas Manchester United tidak perlu berhabis-habisan hanya kerana mahu menjuarai kejohanan `kelas dua’ seperti Liga Europa. Pentas pertarungan sebenar United ialah di Liga Juara-Juara dan mereka sepatutnya menumpukan usaha untuk kembali ke sana.

Bermain pada awal pagi Jumaat dan kemudiannya turun menentang lawan domestik pada perlawanan hujung minggu pula pasti melelahkan. Itu belum lagi diambil kira jadual padat bulan Disember yang memerlukan pemain bermain enam hingga tujuh perlawanan liga sebulan. Dan sudah tentu Mourinho juga tidak mahu melihat pemain-pemain utamanya tewas satu demi satu akibat kecederaan kesan dari jadual padat yang boleh menjejaskan misi menjulang trofi Liga Perdana.

Pemain seperti Ander Herrera memasang impian mahu menjulang trofi Liga Europa tetapi percayalah persaingan yang cukup sengit di Liga Perdana tidak memungkinkan mana-mana kelab England menjulang dua trofi sekaligus (Liga Europa dan Liga Perdana). Jadi adalah lebih bijak sekiranya Mourinho memastikan pemain-pemain terbaiknya sentiasa kekal cergas, fokus dan sedia bertarung hingga ke perlawanan terakhir dalam usaha mereka mengembalikan semula trofi Liga Perdana ke Old Trafford.

Menjadikan Theatre of Dreams Kembali Digeruni Lawan

Jika mahu muncul kembali sebagai juara Liga Perdana, Mourinho perlu memastikan skuadnya meraih sebanyak mungkin mata ketika beraksi di gelanggang sendiri. Musim lalu, United tewas sebanyak dua kali dan mencatatkan lima keputusan seri ketika bermain di Old Trafford. Kemenangan-kemenangan yang dicapai mereka ketika melayan kunjungan kelab-kelab pertengahan dan bawahan liga pula menerusi margin jaringan yang cukup tipis serta kurang menyakinkan.

Keciciran 16 mata dari aksi di gelanggang sendiri sepertimana yang berlaku musim lalu sepatutnya tidak lagi berulang dan menjadikan aksi di Theatre of Dreams mimpi buruk kepada lawan juga tugas yang sangat penting bagi Mourinho. Rekod 77 perlawanan tanpa kalah di gelanggang sendiri sepanjang Mourinho mengendalikan Chelsea dari 2004 hingga 2007 dan kemudiannya kembali semula ke Stamford Bridge pada 2013 menyakinkan saya bahawa United di bawah kendalian beliau akan lebih kebal bila mereka bermain di Old Trafford.

Elak Kekalahan Ketika Berdepan Kelab-Kelab Pencabar Kejuaraan

Salah satu faktor mengapa Leicester City berjaya menjulang kejuaraan liga musim lalu ialah kerana konsistensi mereka menerusi keputusan positif yang dicapai ketika berdepan kelab-kelab besar Liga Perdana. Hanya Arsenal satu-satunya pasukan dari kelompok lima teratas yang mampu menewaskan skuad Claudio Ranieri itu sebanyak dua kali dalam saingan liga. Ketika berdepan kelab-kelab besar yang lain seperti United, Chelsea, Liverpool, Manchester City dan Tottenham Hotspurs pula, Leicester berjaya mengutip 17 mata.

Selaku pengurus yang cukup berpengalaman dalam persaingan Liga Perdana, Mourinho pastinya tahu bahawa United tidak boleh tewas bila berdepan Manchester City, Chelsea, Arsenal, Tottenham Hotspurs dan Liverpool sambil waspada dengan ancaman yang mampu diberikan Southampton, Everton, West Ham dan juara bertahan Leicester City. Jika mahu muncul juara, United perlu menewaskan kelab-kelab pencabar kejuaraan yang lain atau sekurang-kurangnya mengelak dari mengalami kekalahan bila berdepan mereka.

Memotivasikan Para Pemainnya

Dalam hal ini saya tidak pernah meragui kemampuan Mourinho sebagai pengurus. Beliau sudah membuktikannya ketika bersama FC Porto, Chelsea, Inter Milan dan Real Madrid sebelum ini. Mourinho sentiasa ada kata-kata keramat untuk memotivasikan pemain-pemainnya yang mampu mempengaruhi aksi mereka ketika di atas padang. Lihat sahaja aksi menentang Hull City tempohari sebagai bukti paling hampir.

Ketika barisan The Red Devils kebuntuan dalam percubaan mereka memecah benteng lawan yang bertahan dengan cukup berdisiplin, Mourinho pula tanpa jemu sentiasa memberikan arahan dan kata-kata perangsang dari tepi padang. Beliau berjaya meniup api perjuangan dalam diri pemain-pemainnya yang menghujani pintu gol lawan menerusi percubaan demi percubaan hingga ke penghujung perlawanan sebelum akhirnya Marcus Rashford meledak gol kemenangan.

Situasi ini sebenarnya sudah agak lama tidak kita lihat sejak persaraan Sir Alex Ferguson lebih tiga tahun lalu dan lebih penting sepanjang tempoh itu juga barisan pemain-pemain United dilihat kurang memiliki kemahuan yang kuat untuk memenangi kejuaraan liga. Kini saya berharap Mourinho mampu menjadikan pemain-pemainnya lebih bermotivasi di atas padang, ada kemahuan untuk menang dan tidak pernah jemu mengasak biarpun lawan bermain secara negatif sepertimana yang mereka pamerkan ketika berdepan Hull tempohari.

Apakah Misi Sebenar Mourinho

Mourinho sudah menjelaskan bahawa beliau mahu kembali berada di atas podium kejuaraan dengan membawa United menjulang trofi Liga Perdana musim ini. Kemenangan ke atas Hull bukan sekadar kemenangan ketiga berturut-turut United di awal musim dan yang pertama berjaya mereka lakukan sejak 2011, tetapi lebih penting penyokong boleh mengharapkan penampilan lebih segar dan bermaya dipamerkan barisan The Red Devils musim ini.

Meskipun dilimpahi dengan pemain ternama dan kualiti ada dalam pasukan, bersikap realistiklah bahawa United tidak akan memenangi semua kejohanan musim ini. Jika berjaya memenuhi misinya dengan membawa United menjulang trofi Liga Perdana, itu merupakan satu penamat sempurna pada musim pertama Mourinho di Old Trafford. Buktikan kepada kami Mourinho bahawa anda memang seorang `Yang Istimewa’ dengan meletakkan United kembali sebagai juara...Glory Glory Manchester United!!! - AJ

20 Ogos 2016

HAL-HAL YANG BOLEH ANDA HARAPKAN MUSIM INI APABILA UNITED DI BAWAH KENDALIAN MOURINHO

Pemecatan Louis Van Gaal dan perlantikan Jose Mourinho sebagai pengganti beliau merupakan salah satu langkah serius Manchester United untuk mengembalikan semula kegemilangan yang telah pudar selepas tiga musim ditinggalkan Sir Alex Ferguson. Tiga musim di bawah kendalian David Moyes dan Van Gaal, United hanya mampu memenangi satu trofi Community Shield dan satu Piala FA manakala pencapaian terbaik mereka dalam saingan liga pula sekadar di tangga keempat (musim 2014-15).

Tiga musim dirasakan cukup lama bagi penyokong-penyokong United yang sebelum ini sudah terbiasa dengan kejuaraan demi kejuaraan dibawa ke Old Trafford sepanjang era kegemilangan Sir Alex. Dan perlantikan Mourinho juga saya anggap isyarat paling jelas dari penyokong mahupun pihak pengurusan yang sudah bosan melihat pencapaian sederhana barisan The Red Devils sepanjang tiga musim terakhir. Jadi adakah kehadiran Mourinho mampu mengubah keadaan dan menjadikan athmosphere di Theatre of Dreams kembali ghairah?

Menyaksikan pencapaian Mourinho sebelum ini di Liga Perdana, kontroversi-kontroversi yang melingkari karier beliau, mulut celuparnya dan sikap angkuhnya, saya percaya akan banyak berlaku hal-hal menarik yang bakal menanti kita musim ini. Perseteruan panjang antara beliau dan Arsene Wenger, selain kehadiran Pep Guardiola `di rumah sebelah’ yang bakal menyaksikan Manchester Derby kembali panas, antara faktor mengapa musim 2016-17 bakal menjadi musim yang menarik untuk penyokong-penyokong United. Selain dari itu apa lagi yang mampu ditawarkan Mourinho?

Pakar Perang Psikologi

Siapa yang mampu menyangkal bahawa Mourinho antara pengurus yang cukup mahir melancarkan perang psikologi terhadap lawan sebelum perlawanan bagi menganggu konsentrasi mereka. Bukan hanya pakar dalam menyusun strategi bagi memerangkap lawan tetapi mulut celupar Mourinho juga sentiasa menyebabkan banyak hati yang terluka.

Dengan adanya Pep Guardiola di Stadium Etihad, anda kini boleh mengimpikan panasnya el classico versi Inggeris bila United dan City bertemu nanti, kisah panjang dari perseteruan beliau dengan Arsene Wenger akan menyebabkan perlawanan membabitkan United dan Arsenal kembali membara, dan paling menarik apa yang bakal dilakukan Mourinho bila beliau berdepan kembali dengan bekas kelabnya, Chelsea.

Sindirannya terhadap Wenger dan Jurgen Klop berkaitan perpindahan Paul Pogba yang mencatat rekod dunia satu isyarat awal bahawa bahang saingan Liga Perdana musim ini akan lebih panas. Lawan mungkin kurang senang dengan perang psikologi yang dilancarkan beliau, tetapi percayalah anda selaku penyokong-penyokong United akan terhibur dengan kata-kata yang keluar dari mulutnya.

Mourinho Sebagai Seorang Juara

FC Porto, Chelsea, Inter Milan dan Real Madrid semuanya muncul juara dalam saingan liga di negara masing-masing ketika mereka di bawah kendalian Mourinho, jadi hal yang sama juga boleh anda harapkan berlaku untuk United. Saya sebenarnya tidak mahu meletakkan harapan yang tinggi untuk melihat kelab kembali menjulang kejuaraan liga pada musim pertama Mourinho di Old Trafford. Bagaimanapun selepas menyaksikan rekod beliau selama ini, tidak salah kiranya saya juga memasang sedikit harapan agar di akhir musim nanti, United kembali dinobatkan sebagai juara Liga Perdana.

Mourinho sepertinya sentiasa mampu memenuhi kehendak kelab yang menggajikan beliau sebelum ini dan selepas melalui tiga musim yang suram, penyokong-penyokong United juga mahu melihat Mourinho meneruskan sentuhan emas beliau. Mourinho sendiri ada sesuatu yang beliau ingin buktikan selepas diaibkan Chelsea musim lalu, dan selepas berehat selama enam bulan dari dunia pengurusan, tentunya beliau akan mengerah segala idea dan kemampuannya untuk kembali berada di atas podium sebagai seorang juara.

Revolusi Di Old Trafford

Setakat ini Mourinho sudah menandatangani Eric Bailly, Zlatan Ibrahmovic, Henrikh Mkhitaryan, manakala perpindahan Paul Pogba pula meletakkan beliau sebagai pemain termahal dunia ketika ini. Selepas empat pemain ini, mungkinkah ada nama lain yang bakal dibawa masuk Mourinho untuk memperkuatkan skuadnya musim ini? Ya, saya yakin akan ada seorang atau dua lagi pemain yang Mourinho fikirkan sesuai untuk beliau bawa masuk sebagai sebahagian dari revolusi yang ingin dilakukannya di Old Trafford.

Siapakah seterusnya selepas Pogba? Jose Fonte, Gabriel Barbosa atau mungkinkah akan ada lagi perpindahan yang bakal menggoncang dunia dilakukan Mourinho selepas ini? Menyaksikan aksi United ketika berdepan Leicester City (dalam perlawanan merebut Perisai Komuniti) dan AFC Bournemouth (dalam saingan liga), saya yakin Mourinho tidak akan berpuashati dengan barisan pemain yang sudah beliau miliki. Dan meskipun United bermain baik ketika melayan kunjungan Southampton awal pagi tadi, saya tetap percaya urusan kelab dalam pasaran perpindahan kali ini masih belum selesai.

Mental Juara

Anda sudah saksikan apa yang Mourinho pernah lakukan ketika bersama FC Porto, Chelsea, Inter Milan dan Real Madrid sebelum ini dan itulah yang bakal beliau lakukan juga untuk United. Saya bukan bercakap tentang kemampuan beliau menghadiahkan kejuaraan tetapi sebaliknya tentang kemampuan beliau memotivasikan pemain-pemainnya. Mourinho sering sahaja berjaya membawa pasukannya keluar dari situasi sukar melalui taktik dan pendekatan secara personal terhadap pemain-pemainnya.

Apa yang dilakukan Mourinho ini sebenarnya ada persamaan dengan pendekatan yang pernah dilakukan Sir Alex dahulu. Jika dalam tempoh dua musim terakhir ini anda hanya melihat pengurus United sekadar duduk di bangku pemain simpanan sambil melakar strategi di atas kertas, hal yang sama tidak akan berlaku lagi selepas ini. Suasana di bilik persalinan juga tentunya akan berbeza dengan adanya individu yang punya karakter seperti Mourinho ditambah pula dengan kehadiran pemain berpengalaman seperti Ibrahimovic.

Penyokong Kini Kembali Positif

Kehadiran Mourinho di Old Trafford sudah mula menampakkan perubahan dan salah satunya ialah corak permainan yang dipamerkan pemain-pemainnya. Saya akui United tidak beraksi dengan baik ketika berdepan Leicester City dan Bournemouth tetapi wajah sebenar `Setan Merah’ sudah mula terlihat ketika mereka berdepan Southampton awal pagi tadi. Tiada lagi perasaan mengantuk biarpun saya terpaksa berjaga di awal pagi dan tiada lagi perasaan bosan di hadapan kaca TV menanti tamatnya 90 minit permainan.

Realitinya United tidak akan menang kesemua perlawanan mereka musim ini, tetapi jika corak permainan ketika berdepan Southampton mampu dikekalkan secara konsisten, saya percaya ada sesuatu yang menggembirakan bakal menanti kita di penghujung musim nanti. Kini di bawah kendalian Mourinho, saya percaya United akan memperolehi kembali apa yang sepatutnya mereka miliki, sesuatu yang hilang dari genggaman mereka sepanjang tiga musim yang lalu...Glory Glory Manchester United!!! - AJ

11 Ogos 2016

TUJUH PERPINDAHAN `UNIK' YANG MEMBABITKAN MANCHESTER UNITED


Beberapa hari lalu Paul Pogba secara rasmi diumumkan sebagai pemain Manchester United, dan secara rasmi juga perpindahan beliau memecah rekod dunia yang sebelumnya dipegang Gareth Bale. Perpindahan Pogba dianggap unik bukan sahaja kerana beliau pulang semula ke Old Trafford selepas meninggalkan kelab empat tahun lalu tetapi juga kerana harga yang terpaksa dibayar United untuk mendapatkan kembali khidmatnya.

Pogba sudah mencetuskan sensasi dalam musim perpindahan pemain kali ini menerusi rekod dunia yang diciptanya, tetapi United sebenarnya sudahpun mencatatkan beberapa cerita unik lama sebelum kedatangan semula Pogba. Ada unsur-unsur dramatik, pengkhianatan serta mengejutkan di sebalik perpindahan-perpindahan unik yang saya senaraikan di bawah dan mungkin juga kisah mereka lebih menarik berbanding perpindahan sensasi Pogba. Apa sebenarnya yang berlaku ketika itu?

Billy Meredith (1907)

Pemain kebangsaan Wales ini berhijrah dari Manchester City ke United ketika beliau masih berada dalam tempoh penggantungan 18 bulan yang dikenakan oleh The Citizens. Hukuman penggantungan ke atas Billy ini dikenakan atas tuduhan mengatur keputusan perlawanan pada 1905. Berbaki tujuh bulan sebelum hukuman penggantungannya berakhir, Billy mengambil keputusan berpindah ke Old Trafford pada usia 32 tahun. Beliau bermain untuk United selama 15 tahun sekaligus muncul pemain tertua pernah bermain untuk kelab. Gandingan Billy bersama Sandy Turnbull membantu United memenangi dua kejuaraan liga, satu Piala FA dan dua Perisai Komuniti.

Albert Pape (1925)

Perpindahan unik ini terjadi pada 1925 ketika Pape masih bermain untuk Clapton Orient dan mungkin inilah kisah pengkhianatan paling sensasi dalam sejarah bolasepak. Pape menyertai The Red Devils hanya dalam tempoh beberapa jam sebelum kelabnya menentang United di Old Trafford. Ketika sampai di kota Manchester, Pape secara rasmi menyertai United di mana segala urusan perjanjian dan kontrak berjaya diselesaikan oleh pihak FA. Luka di pihak Orient bertambah parah bila Pape menjaringkan satu gol untuk membantu United menewaskan kelab lamanya, 4-2.

Hugh McLenahan (1927)

Dua tahun setelah perpindahan menarik Pape, berlaku lagi perpindahan unik di Old Trafford, kali melibatkan pemain tengah Stockport County, Hugh McLenahan.  United tidak perlu mengeluarkan wang yang besar bagi mendapatkan tandatangan McLenahan tetapi kelab sebaliknya hanya memberikan satu peti sejuk yang penuh berisi aiskrim sebagai pertukaran. Hal ini dilakukan sebagai bantuan kepada Stockport yang ketika itu mengalami masalah kewangan serius.

TommyTaylor (1953)

Sir Matt Busby tertarik mendapatkan penyerang muda Barnsley, Tommy Taylor yang berjaya menjaringkan 26 gol dari 44 perlawanan liga. Bagaimanapun perpindahan Taylor tertangguh kerana Sir Matt beranggapan nilai £30,000 terlalu mahal. Selepas melakukan sesi tawar menawar yang panjang dan rumit, Barnsley akhirnya setuju melepaskan Taylor dengan nilai £29,999 manakala baki £1 lagi diberikan kepada seorang pelayan yang menuangkan teh bernama Lily Wilby sebagai tip. Sepanjang kariernya bersama United, Taylor menjaringkan 131 gol dari 191 penampilan sebelum terkorban dalam Tragedi Munich 1958.

Stan Crowther (1958)

Stan Crowther sebenarnya sedang bersiap menonton perlawanan United di Old Trafford. Bagaimanapun semasa dalam perjalanan menuju ke stadium, Eric Houghton (pengurus Aston Villa) berjaya memujuk Crowther supaya menyertai United yang ketika itu mengalami krisis kekurangan pemain selepas Tragedi Munich. Setiba di Manchester, Crowther menandatangani kontrak bersama United dan kemudiannya diturunkan dalam kesebelasan utama.

Lou Macari (1973)

Pada Januari 1973, Liverpool tertarik mendapatkan Macari dari Celtic. Sebelum majlis menandatangani kontrak dilakukan, Macari telah dijemput dalam satu majlis sebagai tetamu kehormat Bill Shankly yang turut disertai penolong pengurus United, Paddy Crerand. Ketika itulah Crerand berjaya memujuk Macari supaya membatalkan hasratnya bermain untuk Liverpool dan menyertai United. Akhirnya Macari menyertai United di mana sepanjang kariernya di Old Trafford beliau bermain 404 perlawanan, menjaringkan 97 gol dan memenangi Piala FA pada 1977.

Eric Cantona (1992)

Perpindahan Eric Cantona dari Leeds ke Manchester mungkin perpindahan paling sensasi pernah dilakukan Sir Alex. Bermula dengan niat Bill Fotherby (Pengerusi Leeds United ketika itu) yang menghubungi Martin Edwards bagi menyatakan minat mereka untuk mendapatkan khidmat Dennis Irwin akhirnya bertukar kepada perpindahan Cantona dari Elland Road ke Old Trafford. Meletakkan Irwin dengan status `Tidak Dijual’, Sir Alex sebaliknya melakukan tawaran balas bagi mendapatkan khidmat Cantona dan hanya beberapa hari selepas itu `King Eric’ menyertai United secara rasmi.

United Masih Lagi Lubuk Pemain Ternama

Selain perpindahan yang saya senaraikan di atas, terdapat beberapa lagi perpindahan yang agak `unik’ membabitkan United. Antaranya kejayaan kelab mendapatkan khidmat Roy Keane yang sebenarnya hanya selangkah lagi menuju ke Ewood Park. Selain itu `pengkhianatan’ dilakukan John Obi Mikel tetap kekal dalam ingatan bilamana beliau disaat akhir memilih menyertai Chelsea walaupun sudah diperkenalkan kepada media sebagai pemain United.


Walaupun berdepan tempoh suram dalam tiga musim terakhir selepas persaraan Sir Alex, United tetap berjaya menarik beberapa pemain kelas dunia menyarung jersi kelab. Radamel Falcao, Angel Di Maria, Juan Mata dan Bastian Schweinsteiger antara nama besar yang berjaya dibawa masuk hinggalah kemuncaknya bila kelab memecah rekod perpindahan dunia menerusi kepulangan semula Pogba. Seperti yang dinyatakan The Guardian, Manchester United masih lagi pentas terbaik untuk pemain kelas dunia memperagakan aksi mereka, dari dahulu hingga sekarang...Glory Glory Manchester United!!! - AJ

05 Ogos 2016

JOSE MOURINHO...SEORANG YANG ISTIMEWA ATAU `PRAGMATIS' BOLASEPAK

Saingan kompetitif United musim depan akan bermula dengan aksi menentang Leicester City bagi merebut trofi Perisai Komuniti, Ahad ini. Perlawanan menentang juara Liga Perdana itu juga akan menjadi gambaran awal kepada kita bagaimanakah corak permainan United di bawah kendalian Jose Mourinho nanti. Adakah falsafah bolasepak Mourinho sesuai dengan tradisi United dan kehendak penyokong-penyokong mereka atau adakah pemainan United akan `kaku’ di bawah kendalian beliau?

Umum mengetahui bahawa strategi `parkir bas’ cukup terkenal bila anda bercakap tentang sosok bernama Jose Mourinho, tetapi adakah benar bahawa beliau memang seorang pengurus yang `pragmatis’ dalam menerapkan taktikal permainan pasukannya? Belum pun lagi pemain-pemain United menyepak bola dalam perlawanan kompetitif pertama mereka di bawah kendalian Mourinho, ramai juga penyokong-penyokong yang mula bimbangkan gaya menyerang The Red Devils akan terjejas akibat dari falsafah permainan defensive Mourinho.

Perlantikan Mourinho sebagai pengurus United menimbulkan pro dan kontra baik di kalangan lagenda kelab ataupun penyokong-penyokong sendiri. Ada pihak yang gembira menyambut kedatangan Mourinho tetapi bukan sedikit juga yang merasakan bahawa corak permainan United akan `beku’ di bawah kendalian beliau. Memang saya akui Mourinho merupakan seorang pengurus yang cukup mementingkan kekuatan benteng pertahanan skuad yang beliau kendalikan dan hal ini sudah terbukti saat beliau berada di Estadio do Dragao hinggalah yang terakhir di Stamford Bridge.

Bukankah dahulu Sir Alex pernah berkata bahawa “Attack wins you games, defence wins you titles”, jadi tiada salahnya jika ketajaman menyerang turut diimbangi dengan kekuatan ketika bertahan. Bagaimanapun itu juga tidak bermakna bahawa Mourinho terlalu obses dalam hal bertahan hingga mengabaikan aspek menyerang. Buktinya? Pada 2002, sebaik beliau dilantik menggantikan Octavio Machado di Esdatio do Dragao di pertengahan musim, FC Porto di bawah kendalian beliau menjaringkan 35 gol dari 15 perlawanan.

FC Porto di bawah kendalian Mourinho muncul pasukan paling banyak menjaringkan gol di Premeira Liga selama dua musim berturut-turut (musim 2002-03 dan 2003-04). Selain itu, mereka juga menjaringkan 20 gol ketika menjuarai saingan Liga Juara-Juara (musim 2003-04). Selepas Mourinho berpindah ke Stamford Bridge pada 2004 pula, barisan hadapan Chelsea yang diterajui Didier Drogba menjaringkan 208 gol dalam tempoh tiga musim untuk berada di belakang Arsenal dan United selaku pasukan paling produktif di hadapan gawang lawan dalam saingan liga.

Sepertimana ketika beliau di Premiera Liga dan Liga Perdana, Mourinho juga berjaya menjadikan barisan hadapan Inter Milan sebagai mesin gol digeruni selepas beliau berpindah ke Serie A dan kemudiannya di La Liga bersama Real Madrid. Dua musim berturut-turut Inter muncul pasukan paling banyak menjaringkan gol di Serie A manakala di La Liga pula jentera hadapan Real Madrid yang diketuai Cristiano Ronaldo menghasilkan 223 gol (mengatasi Barcelona dengan 209 gol dalam tempoh dua musim).

121 gol yang dijaringkan kesebelasan Real sepanjang musim 2011-12 menyaksikan mereka mencipta rekod sebagai pasukan yang paling banyak menjaringkan gol dalam sejarah La Liga bagi tempoh semusim. Dan paling manis Real bukan sahaja berjaya mengatasi Barcelona, pasukan yang dilabel memiliki corak permainan paling menarik didunia dari segi jumlah jaringan gol, tetapi mereka juga berjaya menjulang kejuaraan La Liga pada musim kedua Mourinho di Santiago Bernabeu.

Jika anda bercakap tentang seorang pengurus yang cenderung menggunakan gaya permainan bertahan membosan semata-mata mahukan kemenangan, Mourinho pada pandangan saya bukanlah seperti itu. FC Porto, Chelsea, Inter Milan dan Real Madrid di bawah kendalian beliau memang memiliki kekuatan ketika bertahan tetapi dalam masa yang sama turut memiliki ketajaman ketika menyerang. Sejak 2000 hinggalah yang terakhir di Stamford Bridge sebelum beliau dipecat, Mourinho sudah mengharungi 513 perlawanan liga dalam kariernya.

Dari 513 perlawanan itu, skuad yang Mourinho kendalikan sudah menjaringkan 1,053 gol atau purata 2.09 gol setiap perlawanan. Memang benar kita sering melihat Mourinho meletakkan tujuh hingga lapan pemain di kawasan sendiri ketika bertahan hinggakan istilah `parkir bas’ sudah cukup sinonim dengan beliau. Bagaimanapun melihat kepada statistik yang saya sebutkan tadi, adakah adil untuk label `pragmatis’, `anti football’ atau yang sewaktu dengannya terus diletakkan ke atas Mourinho selepas ini?

Anda mungkin sudah ada jawapan untuk soalan di atas, tetapi sebagai salah seorang pengurus/jurulatih berprofil tinggi dalam dunia bolasepak, Mourinho tentunya mahukan hasil terbaik buat pasukannya sebaik tamat tempoh 90 minit permainan. Anda tidak boleh samakan apa yang dilakukan Diego Simeone bersama Atletico dengan apa yang sudah dilakukan Mourinho ketika bersama Benfica, Uniao Leiria, FC Porto, Chelsea, Inter Milan, Real Madrid dan kembali semula ke Chelsea.

Ada yang melabelkan Simeone sebagai pakar taktikal dan genius bolasepak menerusi corak permainan defensif dan counter attack yang beliau terapkan dalam permainan Atletico hingga membolehkan mereka menyingkirkan Barcelona dan Bayern Munich dalam laluan ke final Liga Juara-Juara musim lalu. Ya, Atletico memang berjaya menerusi taktik Diego’s Wall yang sering membuatkan jentera serangan terbaik dunia hampa bila berdepan mereka, tetapi dalam masa yang sama mereka juga sebenarnya sangat minima dalam menghasilkan gol.

Bayangkan dalam tempoh dua musim terakhir saingan La Liga, mereka hanya menjaringkan 130 gol, hampir separuh dari jaringan yang dihasilkan Real Madrid dan Bercelona walaupun dalam tempoh tersebut mereka berada di kedudukan ketiga. Jadi jangan samakan permainan `membosankan’ Atletico dengan apa yang diterapkan Mourinho terutamanya ketika beliau mengendalikan FC Porto, Chelsea, Inter Milan dan Real Madrid. Contoh paling hampir dan terbaik ialah bagaimana permainan Chelsea di bawah kendalian Mourinho ketika mereka menjuarai trofi Liga Perdana musim 2014-15.

Siapa sangka Chelsea ketika itu bermain secara terbuka biarpun Mourinho dilabel sebagai seorang pengurus yang `pragmatis’. Sepanjang musim 2014-15, Chelsea menjaringkan 73 gol untuk berada di belakang Manchester City selaku pasukan yang paling banyak menjaringkan gol di Liga Perdana. Keupayaan mereka menjaringkan banyak gol tetap diimbangi dengan kekuatan di benteng pertahanan bilamana The Blues mencatatkan 17 clean sheet dan gawang mereka pula hanya dibolosi sebanyak 32 kali.

Mourinho antara salah seorang jurulatih/pengurus berprofil tinggi dalam dunia bolasepak hari ini dan fakta ini dibuktikan beliau menerusi jumlah trofi yang sudah beliau menangi di setiap kelab yang beliau sertai sebelum ini. Menyaksikan statistik jaringan FC Porto, Chelsea, Inter Milan dan Real Madrid ketika mereka di bawah kendalian beliau, saya agak hairan mengapa selama ini Mourinho sering dilabel sebagai seorang yang `pragmatis’.

Kejayaan Mourinho selama ini sebenarnya bukan kerana taktik bertahan, serang balas pantas atau kemampuan barisan hadapan pasukannya menjaringkan banyak gol, tetapi kerana bagaimana bijaknya beliau menyesuaikan plan permainanan pasukannya dengan kekuatan lawan yang bakal beliau hadapi. Maka atas sebab itulah walaupun skuad kendalian beliau kadangkala dilihat bermain secara defensif namun mereka tetap berupaya menjaringkan banyak gol setiap musim.

Pemecatan beliau musim lalu mungkin meninggalkan sedikit titik hitam dalam kariernya, namun hal itu tetap tidak akan memadam hakikat bahawa nama Jose Mourinho dan kejuaraan umpama teman yang akrab. Mourinho mungkin bukan pilihan yang sempurna untuk United, tetapi dengan mentaliti juara dan sedikit sikap angkuh yang ada dalam dirinya, saya percaya beliau akan menjadikan nama Manchester United kembali dihormati dan digeruni.

Adakah Mourinho benar-benar seorang `Yang Istimewa’ sepertimana didakwa beliau di hadapan wartawan pada 2004? Atau adakah beliau memang seorang yang `pragmatis’, sanggup mengorbankan permainan bolasepak menarik hanya semata-mata kerana mahukan kemenangan? Jika nantinya beliau berjaya membawa kelab kembali menjuarai trofi Liga Perdana sambil barisan hadapan United pula menjadi igauan ngeri pertahanan lawan, ketika itu terpulanglah kepada anda untuk menilai sama ada Mourinho benar-benar `Istimewa’ atau beliau memang seorang yang `Pragmatis’…Glory Glory Manchester United!!! - AJ

01 Ogos 2016

BONNIE...PEMAIN YANG PATUT DIBERIKAN KEUTAMAAN UNTUK UNITED TANDATANGANI

Saya tidak pernah menyaksikan aksi Giacinto Fachetti, Claudio Gentile, Tarcisio Burgnish atau Giovanni Trapattoni secara langsung kerana ketika era kegemilangan mereka sebagai pemain, saya mungkin baru belajar merangkak. Walaupun tidak pernah menyaksikan mereka bermain, tetapi kini saya tahu mereka antara pemain pertahanan terbaik pernah Itali lahirkan. Ya, dari dulu hingga kini Itali memang tidak pernah ketandusan bakat-bakat hebat yang membarisi benteng pertahanan skuad Gli Azzurri terutamanya di posisi pertahanan tengah.

Saya beruntung kerana sempat menyaksikan bagaimana tenangnya Franco Baresi saat mengawal benteng Itali dan AC Milan ketika zaman gemilang beliau, kerasnya corak permainan tapi penuh taktikal milik Guiseppe Bergomi, gaya permainan Alessandro Nesta yang penuh elegan, Fabio Cannavaro yang bertubuh kecil tapi cukup dinamik dan Marco Materazzi yang tiada belas kasihan ketika mengasak pemain lawan. Pemain-pemain inilah antara sebahagian pertahanan tengah terbaik Itali yang pernah saya saksikan aksi mereka, baik ketika mereka bermain untuk kelab ataupun ketika menyarung jersi biru skuad kebangsaan.

Walaupun Itali terkandas di peringkat suku akhir kejohanan Euro 2016 yang lalu, hakikat yang perlu kita akui ialah bahawa mereka memiliki antara barisan pertahanan terbaik dalam kejohanan empat tahun sekali itu. Itali ada Andrea Barzagli dan Giorgio Chiellini yang kaya pengalaman tetapi Leonardo Bonucci pada pandangan saya paling menonjol di benteng pertahanan mereka. Bukan hanya memiliki kekuatan di udara dan bijak melakukan terjahan bersih, Bonucci juga sering dilihat memainkan peranannya membangunkan serangan dari bawah.

Lihat bagaimana umpanan cantik yang beliau lakukan hingga terhasilnya gol pertama Itali jaringan Emanuele Giaccherini ketika berdepan Belgium dalam kejohanan Euro 2016 yang lalu. Bonnie disenaraikan antara salah seorang ball-playing centre back terbaik di Eropah dan faktor ini sebenarnya didorong dari pengalaman beliau yang pernah bermain di bahagian tengah. Memiliki keyakinan yang cukup tinggi ketika bola berada di kakinya, Bonnie juga mengakui bahawa beliau melakukan latihan menggelecek secara persendirian setiap kali tamat sesi latihan baik bersama Juventus mahupun ketika bersama skuad kebangsaan.

Kejayaan Itali melangkah hingga ke peringkat suku akhir kejohanan Euro 2016 meskipun pada mulanya diberikan gambaran buruk oleh media mereka sendiri memang agak mengejutkan. Dibarisi dengan pemain-pemain yang sudah berusia, Itali digambarkan sebagai kereta yang sudah usang dan diramalkan bakal pulang awal. Bagaimanapun dengan Bonnnie mengawal benteng pertahanan sambil dibantu dua lagi rakan sepasukannya dari Juventus (Chiellini dan Barzagli), Itali membuktikan bahawa mereka masih layak dihormati.

Aksi heroic Bonucci ketika berdepan Bayern Munich dalam perlawanan pertama pusingan kalah mati Liga Juara-Juara musim lalu juga mengundang pujian Pep Guardiola. Dengan masalah kecederaan yang sering melanda Vincent Kompany sejak kebelakangan ini, Guardiola memang memerlukan seorang pemain berkebolehan seperti Bonnie untuk diletakkan di benteng pasukannya. Jadi tidak hairanlah mengapa kini anda sering mendengar laporan bahawa City antara kelab yang begitu berminat membawa keluar Bonnie dari Turin.

Melihat kepada penampilan Bonnie ketika ini siapa sangka bahawa perpindahan beliau ke Turin pada 2010 pernah dikecam hebat oleh penyokong-penyokong Juventus sendiri. Nilai sebanyak €15 juta yang terpaksa dibayar Juventus bagi mendapatkan khidmatnya dianggap terlalu tinggi untuk seorang pemain pertahanan `kelas pertengahan’ seperti beliau. Seperti dijangka musim pertamanya di Turin bukanlah mudah buat Bonnie dan beliau dianggap titik paling lemah di barisan belakang Juventus pimpinan Luigi Delneri.

Sering melakukan kesilapan mudah ketika melakukan hantaran dan tidak berada di posisi yang betul ketika bertahan seolah-olah mengiyakan segala kritikan yang dilemparkan ke atas beliau sebelum ini. Bagaimanapun nasib Bonnie berubah selepas kedatangan Antonio Conte yang menggantikan posisi Delneri. Conte menyedari bahawa kelemahan ketara Bonnie ialah dalam aspek man to man marking dan sistem empat pertahanan yang digunakan Delneri menyebabkan penampilan Bonnie kelihatan sangat buruk di atas padang.

Di sebalik kelemahan yang ada, Conte sebaliknya melihat Bonnie memiliki kekuatan dalam aspek melakukan hantaran, kuat di udara dan punya visi permainan yang bagus. Bonnie menurut Conte calon bek terbaik Itali seterusnya, generasi pemain yang bakal meneruskan legasi cattenaccio tetapi lahir dalam bentuk yang lebih moden dan matang. Conte membuktikan kebenaran kata-kata beliau menerusi sistem tiga pertahanan yang beliau gunakan selepas mengambil alih pengurusan dari Delneri.

Menerusi formasi 3-5-2 yang digunakan Conte, Bonnie diapit Chiellini serta Barzagli dan kini peranannya lebih seperti seorang sweeper, kadangkala berkongsi tugas dengan Andrea Pirlo sebagai deep lying midfielder yang bertindak mengawal tempo permainan, melakukan hantaran jauh ke hadapan dan wajib berada di kawasan penalti lawan dalam situasi bola mati. Hasilnya penampilan beliau kini jauh berbeza dan benarlah tanggapan Conte bahawa peranan Bonnie sebenarnya lebih menyerlah dalam sistem tiga pertahanan.

Di bawah kendalian Conte, Juventus yang bertukar kepada sistem tiga pertahanan berjaya menjulang kejuaraan Scudetto lima musim berturut-turut, selain sering berada di kelompok tiga teratas kelab yang memiliki barisan pertahanan terbaik di Eropah. “Mungkin kedengaran sedikit angkuh, tetapi Gianluigi Buffon, Giorgio Chiellini, Andrea Barzagli dan saya adalah kombinasi barisan belakang terbaik di dunia. Statistik tidak akan pernah berbohong”, kata Bonnie selepas kejayaan membenam Sepanyol di Euro 2016.

Juventus telah mengubah karakter Bonnie dari seorang pemain muda yang kerap melakukan kesilapan mudah kepada `tembok’ kukuh di barisan belakang mereka dan mungkin kini antara pertahanan tengah terbaik Itali sepanjang zaman. Di bawah kendalian Massimiliano Allegri, permainan Juventus lebih variasi dengan menggunakan tiga, empat atau lima pertahanan sekaligus. Jadi tidak hairanlah mengapa gawang mereka hanya dibolosi 40 gol (dalam semua kejohanan), yang juga merupakan jumlah kedua terendah selepas Barcelona dalam saingan di Eropah.

Jika enam tahun dulu kedatangannya ke Turin disambut dengan kritikan-kritikan hebat, kini Bonnie adalah nama besar untuk skuad Old Lady. Posisinya kini tidak tergantikan oleh mana-mana pemain, baik Chiellini mahupun Barzagli yang berbeza type permainan apatah lagi Angelo Ogbonna yang diletakkan sebagai pelapis beliau. Biarpun Conte sudah pergi dan Allegri pula mengambil alih, satu hakikat yang masih tidak berubah ialah Bonnie kekal sebagai pemain penting untuk Juventus.

Di bawah kendalian Allegri, meskipun Juventus bertukar dari formasi 3-5-2 kepada 4-3-1-2 yang menggunakan empat pertahanan, Bonnie tetap berjaya menyesuaikan diri hasil dari pengalaman dan kematangannya sebagai pemain. Bonnie mengakui kini tidak lagi berdepan masalah bermain dalam sistem empat pertahanan berbanding ketika peringkat awal kedatangannya ke Turin namun tetap berpendapat formasi 3-5-2 akan lebih menyerlahkan potensi beliau.

Bonnie membuktikan kata-katanya bahawa beliau memang tidak bermasalah walaupun Juventus menggunakan sistem empat pemain menerusi statistik yang dicatatkannya sepanjang musim lalu. Jumlah gol, pintasan hantaran, clearance dan bentesan yang dilakukan merupakan jumlah tertinggi sepanjang kariernya dan yang tertinggi berbanding mana-mana pemain pertahanan Juventus. Hal ini sebenarnya sedikit sebanyak dibantu oleh corak permainan Juventus yang lebih variasi di bawah kendalian Allegri.

Meskipun 4-3-1-2 menjadi formasi pilihan utama Allegri, sistem permainan Juventus akan segera berubah kepada 3-5-2 ketika mereka dalam mode menyerang. Ketika inilah Bonnie akan mara lebih jauh ke hadapan meninggalkan gandingan Rugani/Barzagli atau Barzagli/Chiellini di belakang. Beliau sering menjadi pemain pertama yang memulakan serangan Juventus menerusi kemampuan menyusun gerakan dan melakukan hantaran-hantaran jauh ke kawasan lawan.

12 gol dari 198 perlawanan liga tentulah jumlah yang banyak untuk seorang pemain pertahanan tengah dan naluri menyerang yang dimiliki Bonnie melengkapkan lagi pakej beliau sebagai salah seorang centre back terbaik dunia ketika ini. Kemampuan membangunkan gerakan dari bawah yang cukup mengagumkan dan ketatnya beliau mengawal benteng ketika bertahan hingga berjaya membantu Juventus mencatat rekod clean sheet di Serie A (tidak dibolosi sepuluh perlawanan berturut-turut atau lebih tepatnya 974 minit) menjadi penyebab mengapa United patut meletakkan Bonnie dalam radar buruan mereka.

Sehingga kini saya masih menanti akan kesudahan khabar-khabar angin tentang minat United terhadap Bonnie. Jika beliau sudah bosan dengan dominasi berterusan Juventus di Serie A dan mahukan cabaran baharu, Liga Perdana adalah `medan peperangan' seterusnya yang patut beliau sertai. Secara jujurnya saya lebih gemar melihat pemain pertahanan kelas dunia seperti Bonnie dibawa masuk bagi memperkuatkan benteng United berbanding menjadikan Paul Pogba sebagai pemain termahal dunia…Glory Glory Manchester United!!! - AJ