Beberapa hari lalu Paul Pogba secara rasmi
diumumkan sebagai pemain Manchester United, dan secara rasmi juga perpindahan
beliau memecah rekod dunia yang sebelumnya dipegang Gareth Bale. Perpindahan
Pogba dianggap unik bukan sahaja kerana beliau pulang semula ke Old Trafford
selepas meninggalkan kelab empat tahun lalu tetapi juga kerana harga yang
terpaksa dibayar United untuk mendapatkan kembali khidmatnya.
Pogba sudah mencetuskan sensasi dalam musim
perpindahan pemain kali ini menerusi rekod dunia yang diciptanya, tetapi United
sebenarnya sudahpun mencatatkan beberapa cerita unik lama sebelum kedatangan
semula Pogba. Ada unsur-unsur dramatik, pengkhianatan serta mengejutkan di
sebalik perpindahan-perpindahan unik yang saya senaraikan di bawah dan mungkin juga
kisah mereka lebih menarik berbanding perpindahan sensasi Pogba. Apa sebenarnya
yang berlaku ketika itu?
Billy
Meredith (1907)
Pemain kebangsaan Wales ini berhijrah dari
Manchester City ke United ketika beliau masih berada dalam tempoh penggantungan
18 bulan yang dikenakan oleh The Citizens.
Hukuman penggantungan ke atas Billy ini dikenakan atas tuduhan mengatur
keputusan perlawanan pada 1905. Berbaki tujuh bulan sebelum hukuman
penggantungannya berakhir, Billy mengambil keputusan berpindah ke Old Trafford pada
usia 32 tahun. Beliau bermain untuk United selama 15 tahun sekaligus muncul
pemain tertua pernah bermain untuk kelab. Gandingan Billy bersama Sandy
Turnbull membantu United memenangi dua kejuaraan liga, satu Piala FA dan dua
Perisai Komuniti.
Albert
Pape (1925)
Perpindahan unik ini terjadi pada 1925 ketika
Pape masih bermain untuk Clapton Orient dan mungkin inilah kisah pengkhianatan
paling sensasi dalam sejarah bolasepak. Pape menyertai The Red Devils hanya dalam tempoh beberapa jam sebelum kelabnya
menentang United di Old Trafford. Ketika sampai di kota Manchester, Pape secara
rasmi menyertai United di mana segala urusan perjanjian dan kontrak berjaya diselesaikan
oleh pihak FA. Luka di pihak Orient bertambah parah bila Pape menjaringkan satu
gol untuk membantu United menewaskan kelab lamanya, 4-2.
Hugh
McLenahan (1927)
Dua tahun setelah perpindahan menarik Pape,
berlaku lagi perpindahan unik di Old Trafford, kali melibatkan pemain tengah
Stockport County, Hugh McLenahan. United
tidak perlu mengeluarkan wang yang besar bagi mendapatkan tandatangan McLenahan
tetapi kelab sebaliknya hanya memberikan satu peti sejuk yang penuh berisi aiskrim
sebagai pertukaran. Hal ini dilakukan sebagai bantuan kepada Stockport yang
ketika itu mengalami masalah kewangan serius.
TommyTaylor
(1953)
Sir Matt Busby tertarik mendapatkan penyerang
muda Barnsley, Tommy Taylor yang berjaya menjaringkan 26 gol dari 44 perlawanan
liga. Bagaimanapun perpindahan Taylor tertangguh kerana Sir Matt beranggapan
nilai £30,000 terlalu mahal. Selepas melakukan sesi tawar menawar yang panjang
dan rumit, Barnsley akhirnya setuju melepaskan Taylor dengan nilai £29,999
manakala baki £1 lagi diberikan kepada seorang pelayan yang menuangkan teh
bernama Lily Wilby sebagai tip. Sepanjang kariernya bersama United, Taylor menjaringkan
131 gol dari 191 penampilan sebelum terkorban dalam Tragedi Munich 1958.
Stan
Crowther (1958)
Stan Crowther sebenarnya sedang bersiap
menonton perlawanan United di Old Trafford. Bagaimanapun semasa dalam perjalanan menuju
ke stadium, Eric Houghton (pengurus Aston Villa) berjaya memujuk Crowther
supaya menyertai United yang ketika itu mengalami krisis kekurangan pemain
selepas Tragedi Munich. Setiba di Manchester, Crowther menandatangani kontrak
bersama United dan kemudiannya diturunkan dalam kesebelasan utama.
Lou
Macari (1973)
Pada Januari 1973, Liverpool tertarik
mendapatkan Macari dari Celtic. Sebelum majlis menandatangani kontrak
dilakukan, Macari telah dijemput dalam satu majlis sebagai tetamu kehormat Bill
Shankly yang turut disertai penolong pengurus United, Paddy Crerand. Ketika
itulah Crerand berjaya memujuk Macari supaya membatalkan hasratnya bermain
untuk Liverpool dan menyertai United. Akhirnya Macari menyertai United di mana
sepanjang kariernya di Old Trafford beliau bermain 404 perlawanan, menjaringkan
97 gol dan memenangi Piala FA pada 1977.
Eric
Cantona (1992)
Perpindahan Eric Cantona dari Leeds ke
Manchester mungkin perpindahan paling sensasi pernah dilakukan Sir Alex.
Bermula dengan niat Bill Fotherby (Pengerusi Leeds United ketika itu) yang
menghubungi Martin Edwards bagi menyatakan minat mereka untuk mendapatkan
khidmat Dennis Irwin akhirnya bertukar kepada perpindahan Cantona dari Elland
Road ke Old Trafford. Meletakkan Irwin dengan status `Tidak Dijual’, Sir Alex
sebaliknya melakukan tawaran balas bagi mendapatkan khidmat Cantona dan hanya
beberapa hari selepas itu `King Eric’ menyertai United secara rasmi.
United
Masih Lagi Lubuk Pemain Ternama
Selain perpindahan yang saya senaraikan di
atas, terdapat beberapa lagi perpindahan yang agak `unik’ membabitkan United.
Antaranya kejayaan kelab mendapatkan khidmat Roy Keane yang sebenarnya hanya
selangkah lagi menuju ke Ewood Park. Selain itu `pengkhianatan’ dilakukan John
Obi Mikel tetap kekal dalam ingatan bilamana beliau disaat akhir memilih
menyertai Chelsea walaupun sudah diperkenalkan kepada media sebagai pemain
United.
Walaupun berdepan tempoh suram dalam tiga
musim terakhir selepas persaraan Sir Alex, United tetap berjaya menarik
beberapa pemain kelas dunia menyarung jersi kelab. Radamel Falcao, Angel Di
Maria, Juan Mata dan Bastian Schweinsteiger antara nama besar yang berjaya
dibawa masuk hinggalah kemuncaknya bila kelab memecah rekod perpindahan dunia menerusi
kepulangan semula Pogba. Seperti yang dinyatakan The Guardian, Manchester United masih lagi pentas terbaik untuk
pemain kelas dunia memperagakan aksi mereka, dari dahulu hingga
sekarang...Glory Glory Manchester United!!! - AJ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan