Tiga kemenangan dari tiga perlawanan awal
liga musim ini satu permulaan yang cukup bagus buat Manchester United selepas
mengharungi tiga musim yang tidak menentu sebelum ini. Prestasi bagus di awal
musim juga saya anggap satu amaran buat pencabar-pencabar domestik yang lain
bahawa United di bawah kendalian Jose Mourinho skuad yang cukup berbeza
berbanding apa yang mereka lihat dalam tempoh tiga musim terakhir.
Ditambah dengan pembelian bintang-bintang
hebat seperti Zlatan Ibrahimovic, Paul Pogba, Henrikh Mkhitaryan dan Eric
Bailly, United nampaknya sudah melaungkan amaran awal bahawa mereka kini jauh
lebih bersedia untuk merampas kembali kejuaraan liga. Ya, selepas menyaksikan
kelab berbelanja besar membawa empat bintang ternama ini, sedikit sebanyak
penyokong juga menaruh harapan tinggi terhadap barisan kendalian Mourinho agar
mereka mampu merampas kembali trofi Liga Perdana.
Terlepas slot ke Liga Juara-Juara musim ini,
kejuaraan Liga Perdana kini sasaran penting yang patut United menangi dan misi
yang sepatutnya diberikan keutamaan bermula sekarang. Sukar tapi bukan mustahil
jika United mahu membolot semua trofi domestik dan Eropah (Liga Europa), tapi
dengan ketatnya persaingan dan padatnya jadual perlawanan kita juga seebnarnya patut
bersikap lebih realistik.
Menjulang trofi Liga Perdana dan kemudian
layak ke saingan Liga Juara-Juara musim depan lebih manis berbanding kejayaan
memenangi trofi Liga Europa tapi di akhir musim kelab sekadar menamatkan
saingan di tangga kedua, ketiga atau keempat liga. Seperti yang saya sebutkan
tadi, dengan jadual perlawanan yang padat dan ketatnya persaingan di Liga
Perdana, United perlu memilih sasaran yang mereka inginkan dan mengorbankan apa
yang mereka kurang perlukan.
Sudah tentu trofi Liga Perdana adalah sasaran
utama Mourinho dan beliau juga faham bukan mudah untuk trofi ini dimenangi berbanding
ketika beliau berada di Serie A ataupun La Liga. Jadi jika mahu mengembalikan
semula trofi Liga Perdana ke Old Trafford, apa yang harus dilakukan Mourinho
bagi meralisasikan harapan tinggi penyokong dan juga pihak pengurusan kelab?
Berikut adalah langkah yang mungkin diambil Mourinho demi mencapai sasaran
utamanya iaitu meletakkan kembali United sebagai raja di Liga Perdana.
Penggiliran
Pemain
Berdepan jadual padat dan persaingan yang
sentiasa sengit setiap musim, Mourinho perlu bijak melakukan penggiliran
pemain-pemainnya demi memastikan mereka sentiasa cergas bagi menghadapi musim
yang panjang. Bagaimanapun dalam sesebuah pasukan, penting juga bagi seorang
pengurus memiliki formasi kesebelasan terbaiknya atau `winning team’. Mourinho sudah menunjukkan gambaran pemain mana yang
bakal memikul peranan sebagai `key player’
beliau musim ini menerusi tiga aksi awal dalam saingan liga setakat ini.
Zlatan Ibrahimovic, Wayne Rooney, David De
Gea, Paul Pogba, Eric Bailly, Antonio Valencia dan Luke Shaw saya kira akan
memainkan watak penting dalam kesebelasan utama Mourinho. Itu belum lagi
diambilkira potensi yang ada di bangku simpanan United terutamanya menerusi
kelibat Henrikh Mkhitaryan. Dengan musim yang masih panjang, penting bagi
Mourinho menentukan pemain mana yang patut diturunkan dalam
perlawanan-perlawanan seterusnya bagi memastikan `key player’ beliau sentiasa cergas dan bebas dari kecederaan.
Abaikan
Liga Europa
Saya yakin ada di antara anda tidak bersetuju
dengan pendapat ini, tetapi jika Mourinho mahu membawa United menjulang kembali
trofi Liga Perdana, beliau perlu melupakan saingan Liga Europa. Mungkin
kenyataan ini seperti sedikit angkuh, tetapi kelab sekelas Manchester United
tidak perlu berhabis-habisan hanya kerana mahu menjuarai kejohanan `kelas dua’
seperti Liga Europa. Pentas pertarungan sebenar United ialah di Liga
Juara-Juara dan mereka sepatutnya menumpukan usaha untuk kembali ke sana.
Bermain pada awal pagi Jumaat dan kemudiannya
turun menentang lawan domestik pada perlawanan hujung minggu pula pasti melelahkan.
Itu belum lagi diambil kira jadual padat bulan Disember yang memerlukan pemain
bermain enam hingga tujuh perlawanan liga sebulan. Dan sudah tentu Mourinho
juga tidak mahu melihat pemain-pemain utamanya tewas satu demi satu akibat
kecederaan kesan dari jadual padat yang boleh menjejaskan misi menjulang trofi
Liga Perdana.
Pemain seperti Ander Herrera memasang impian
mahu menjulang trofi Liga Europa tetapi percayalah persaingan yang cukup sengit
di Liga Perdana tidak memungkinkan mana-mana kelab England menjulang dua trofi
sekaligus (Liga Europa dan Liga Perdana). Jadi adalah lebih bijak sekiranya
Mourinho memastikan pemain-pemain terbaiknya sentiasa kekal cergas, fokus dan
sedia bertarung hingga ke perlawanan terakhir dalam usaha mereka mengembalikan
semula trofi Liga Perdana ke Old Trafford.
Menjadikan
Theatre of Dreams Kembali Digeruni
Lawan
Jika mahu muncul kembali sebagai juara Liga
Perdana, Mourinho perlu memastikan skuadnya meraih sebanyak mungkin mata ketika
beraksi di gelanggang sendiri. Musim lalu, United tewas sebanyak dua kali dan
mencatatkan lima keputusan seri ketika bermain di Old Trafford.
Kemenangan-kemenangan yang dicapai mereka ketika melayan kunjungan kelab-kelab
pertengahan dan bawahan liga pula menerusi margin jaringan yang cukup tipis
serta kurang menyakinkan.
Keciciran 16 mata dari aksi di gelanggang
sendiri sepertimana yang berlaku musim lalu sepatutnya tidak lagi berulang dan
menjadikan aksi di Theatre of Dreams
mimpi buruk kepada lawan juga tugas yang sangat penting bagi Mourinho. Rekod 77
perlawanan tanpa kalah di gelanggang sendiri sepanjang Mourinho mengendalikan
Chelsea dari 2004 hingga 2007 dan kemudiannya kembali semula ke Stamford Bridge
pada 2013 menyakinkan saya bahawa United di bawah kendalian beliau akan lebih
kebal bila mereka bermain di Old Trafford.
Elak
Kekalahan Ketika Berdepan Kelab-Kelab Pencabar Kejuaraan
Salah satu faktor mengapa Leicester City
berjaya menjulang kejuaraan liga musim lalu ialah kerana konsistensi mereka
menerusi keputusan positif yang dicapai ketika berdepan kelab-kelab besar Liga
Perdana. Hanya Arsenal satu-satunya pasukan dari kelompok lima teratas yang
mampu menewaskan skuad Claudio Ranieri itu sebanyak dua kali dalam saingan
liga. Ketika berdepan kelab-kelab besar yang lain seperti United, Chelsea,
Liverpool, Manchester City dan Tottenham Hotspurs pula, Leicester berjaya
mengutip 17 mata.
Selaku pengurus yang cukup berpengalaman
dalam persaingan Liga Perdana, Mourinho pastinya tahu bahawa United tidak boleh
tewas bila berdepan Manchester City, Chelsea, Arsenal, Tottenham Hotspurs dan Liverpool
sambil waspada dengan ancaman yang mampu diberikan Southampton, Everton, West
Ham dan juara bertahan Leicester City. Jika mahu muncul juara, United perlu
menewaskan kelab-kelab pencabar kejuaraan yang lain atau sekurang-kurangnya
mengelak dari mengalami kekalahan bila berdepan mereka.
Memotivasikan
Para Pemainnya
Dalam hal ini saya tidak pernah meragui
kemampuan Mourinho sebagai pengurus. Beliau sudah membuktikannya ketika bersama
FC Porto, Chelsea, Inter Milan dan Real Madrid sebelum ini. Mourinho sentiasa ada
kata-kata keramat untuk memotivasikan pemain-pemainnya yang mampu mempengaruhi
aksi mereka ketika di atas padang. Lihat sahaja aksi menentang Hull City
tempohari sebagai bukti paling hampir.
Ketika barisan The Red Devils kebuntuan dalam percubaan mereka memecah benteng lawan
yang bertahan dengan cukup berdisiplin, Mourinho pula tanpa jemu sentiasa
memberikan arahan dan kata-kata perangsang dari tepi padang. Beliau berjaya
meniup api perjuangan dalam diri pemain-pemainnya yang menghujani pintu gol
lawan menerusi percubaan demi percubaan hingga ke penghujung perlawanan sebelum
akhirnya Marcus Rashford meledak gol kemenangan.
Situasi ini sebenarnya sudah agak lama tidak
kita lihat sejak persaraan Sir Alex Ferguson lebih tiga tahun lalu dan lebih
penting sepanjang tempoh itu juga barisan pemain-pemain United dilihat kurang
memiliki kemahuan yang kuat untuk memenangi kejuaraan liga. Kini saya berharap
Mourinho mampu menjadikan pemain-pemainnya lebih bermotivasi di atas padang,
ada kemahuan untuk menang dan tidak pernah jemu mengasak biarpun lawan bermain
secara negatif sepertimana yang mereka pamerkan ketika berdepan Hull tempohari.
Apakah
Misi Sebenar Mourinho
Mourinho sudah menjelaskan bahawa beliau mahu
kembali berada di atas podium kejuaraan dengan membawa United menjulang trofi
Liga Perdana musim ini. Kemenangan ke atas Hull bukan sekadar kemenangan ketiga
berturut-turut United di awal musim dan yang pertama berjaya mereka lakukan sejak
2011, tetapi lebih penting penyokong boleh mengharapkan penampilan lebih segar
dan bermaya dipamerkan barisan The Red
Devils musim ini.
Meskipun dilimpahi dengan pemain ternama dan
kualiti ada dalam pasukan, bersikap realistiklah bahawa United tidak akan
memenangi semua kejohanan musim ini. Jika berjaya memenuhi misinya dengan
membawa United menjulang trofi Liga Perdana, itu merupakan satu penamat
sempurna pada musim pertama Mourinho di Old Trafford. Buktikan kepada kami
Mourinho bahawa anda memang seorang `Yang Istimewa’ dengan meletakkan United
kembali sebagai juara...Glory Glory Manchester United!!! - AJ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan