Saingan kompetitif United musim depan akan
bermula dengan aksi menentang Leicester City bagi merebut trofi Perisai
Komuniti, Ahad ini. Perlawanan menentang juara Liga Perdana itu juga akan
menjadi gambaran awal kepada kita bagaimanakah corak permainan United di bawah
kendalian Jose Mourinho nanti. Adakah falsafah bolasepak Mourinho sesuai dengan
tradisi United dan kehendak penyokong-penyokong mereka atau adakah pemainan
United akan `kaku’ di bawah kendalian beliau?
Umum mengetahui bahawa strategi `parkir bas’
cukup terkenal bila anda bercakap tentang sosok bernama Jose Mourinho, tetapi
adakah benar bahawa beliau memang seorang pengurus yang `pragmatis’ dalam menerapkan taktikal permainan
pasukannya? Belum pun lagi pemain-pemain United menyepak bola dalam perlawanan
kompetitif pertama mereka di bawah kendalian Mourinho, ramai juga penyokong-penyokong
yang mula bimbangkan gaya menyerang The
Red Devils akan terjejas akibat dari falsafah permainan defensive Mourinho.
Perlantikan Mourinho sebagai pengurus United
menimbulkan pro dan kontra baik di kalangan lagenda kelab ataupun
penyokong-penyokong sendiri. Ada pihak yang gembira menyambut kedatangan
Mourinho tetapi bukan sedikit juga yang merasakan bahawa corak permainan United
akan `beku’ di bawah kendalian beliau. Memang saya akui Mourinho merupakan
seorang pengurus yang cukup mementingkan kekuatan benteng pertahanan skuad yang
beliau kendalikan dan hal ini sudah terbukti saat beliau berada di Estadio do
Dragao hinggalah yang terakhir di Stamford Bridge.
Bukankah dahulu Sir Alex pernah berkata
bahawa “Attack wins you games, defence
wins you titles”, jadi tiada salahnya jika ketajaman menyerang turut
diimbangi dengan kekuatan ketika bertahan. Bagaimanapun itu juga tidak bermakna
bahawa Mourinho terlalu obses dalam hal bertahan hingga mengabaikan aspek
menyerang. Buktinya? Pada 2002, sebaik beliau dilantik menggantikan Octavio
Machado di Esdatio do Dragao di pertengahan musim, FC Porto di bawah kendalian
beliau menjaringkan 35 gol dari 15 perlawanan.
FC Porto di bawah kendalian Mourinho muncul
pasukan paling banyak menjaringkan gol di Premeira Liga selama dua musim
berturut-turut (musim 2002-03 dan 2003-04). Selain itu, mereka juga menjaringkan
20 gol ketika menjuarai saingan Liga Juara-Juara (musim 2003-04). Selepas Mourinho
berpindah ke Stamford Bridge pada 2004 pula, barisan hadapan Chelsea yang
diterajui Didier Drogba menjaringkan 208 gol dalam tempoh tiga musim untuk berada
di belakang Arsenal dan United selaku pasukan paling produktif di hadapan
gawang lawan dalam saingan liga.
Sepertimana ketika beliau di Premiera Liga
dan Liga Perdana, Mourinho juga berjaya menjadikan barisan hadapan Inter Milan
sebagai mesin gol digeruni selepas beliau berpindah ke Serie A dan kemudiannya
di La Liga bersama Real Madrid. Dua musim berturut-turut Inter muncul pasukan
paling banyak menjaringkan gol di Serie A manakala di La Liga pula jentera
hadapan Real Madrid yang diketuai Cristiano Ronaldo menghasilkan 223 gol (mengatasi
Barcelona dengan 209 gol dalam tempoh dua musim).
121 gol yang dijaringkan kesebelasan Real
sepanjang musim 2011-12 menyaksikan mereka mencipta rekod sebagai pasukan yang
paling banyak menjaringkan gol dalam sejarah La Liga bagi tempoh semusim. Dan
paling manis Real bukan sahaja berjaya mengatasi Barcelona, pasukan yang
dilabel memiliki corak permainan paling menarik didunia dari segi jumlah
jaringan gol, tetapi mereka juga berjaya menjulang kejuaraan La Liga pada musim
kedua Mourinho di Santiago Bernabeu.
Jika anda bercakap tentang seorang pengurus
yang cenderung menggunakan gaya permainan bertahan membosan semata-mata mahukan
kemenangan, Mourinho pada pandangan saya bukanlah seperti itu. FC Porto,
Chelsea, Inter Milan dan Real Madrid di bawah kendalian beliau memang memiliki
kekuatan ketika bertahan tetapi dalam masa yang sama turut memiliki ketajaman
ketika menyerang. Sejak 2000 hinggalah yang terakhir di Stamford Bridge sebelum
beliau dipecat, Mourinho sudah mengharungi 513 perlawanan liga dalam kariernya.
Dari 513 perlawanan itu, skuad yang Mourinho
kendalikan sudah menjaringkan 1,053 gol atau purata 2.09 gol setiap perlawanan.
Memang benar kita sering melihat Mourinho meletakkan tujuh hingga lapan pemain
di kawasan sendiri ketika bertahan hinggakan istilah `parkir bas’ sudah cukup
sinonim dengan beliau. Bagaimanapun melihat kepada statistik yang saya sebutkan
tadi, adakah adil untuk label `pragmatis’, `anti
football’ atau yang sewaktu dengannya terus diletakkan ke atas Mourinho
selepas ini?
Anda mungkin sudah ada jawapan untuk soalan
di atas, tetapi sebagai salah seorang pengurus/jurulatih berprofil tinggi dalam
dunia bolasepak, Mourinho tentunya mahukan hasil terbaik buat pasukannya sebaik
tamat tempoh 90 minit permainan. Anda tidak boleh samakan apa yang dilakukan
Diego Simeone bersama Atletico dengan apa yang sudah dilakukan Mourinho ketika
bersama Benfica, Uniao Leiria, FC Porto, Chelsea, Inter Milan, Real Madrid dan
kembali semula ke Chelsea.
Ada yang melabelkan Simeone sebagai pakar
taktikal dan genius bolasepak menerusi corak permainan defensif dan counter attack yang beliau terapkan
dalam permainan Atletico hingga membolehkan mereka menyingkirkan Barcelona dan
Bayern Munich dalam laluan ke final Liga Juara-Juara musim lalu. Ya, Atletico
memang berjaya menerusi taktik Diego’s
Wall yang sering membuatkan jentera serangan terbaik dunia hampa bila
berdepan mereka, tetapi dalam masa yang sama mereka juga sebenarnya sangat
minima dalam menghasilkan gol.
Bayangkan dalam tempoh dua musim terakhir saingan
La Liga, mereka hanya menjaringkan 130 gol, hampir separuh dari jaringan yang
dihasilkan Real Madrid dan Bercelona walaupun dalam tempoh tersebut mereka berada
di kedudukan ketiga. Jadi jangan samakan permainan `membosankan’ Atletico
dengan apa yang diterapkan Mourinho terutamanya ketika beliau mengendalikan FC
Porto, Chelsea, Inter Milan dan Real Madrid. Contoh paling hampir dan terbaik
ialah bagaimana permainan Chelsea di bawah kendalian Mourinho ketika mereka
menjuarai trofi Liga Perdana musim 2014-15.
Siapa sangka Chelsea ketika itu bermain
secara terbuka biarpun Mourinho dilabel sebagai seorang pengurus yang `pragmatis’.
Sepanjang musim 2014-15, Chelsea menjaringkan 73 gol untuk berada di belakang
Manchester City selaku pasukan yang paling banyak menjaringkan gol di Liga Perdana.
Keupayaan mereka menjaringkan banyak gol tetap diimbangi dengan kekuatan di
benteng pertahanan bilamana The Blues
mencatatkan 17 clean sheet dan gawang
mereka pula hanya dibolosi sebanyak 32 kali.
Mourinho antara salah seorang
jurulatih/pengurus berprofil tinggi dalam dunia bolasepak hari ini dan fakta
ini dibuktikan beliau menerusi jumlah trofi yang sudah beliau menangi di setiap
kelab yang beliau sertai sebelum ini. Menyaksikan statistik jaringan FC Porto,
Chelsea, Inter Milan dan Real Madrid ketika mereka di bawah kendalian beliau, saya
agak hairan mengapa selama ini Mourinho sering dilabel sebagai seorang yang `pragmatis’.
Kejayaan Mourinho selama ini sebenarnya bukan
kerana taktik bertahan, serang balas pantas atau kemampuan barisan hadapan pasukannya
menjaringkan banyak gol, tetapi kerana bagaimana bijaknya beliau menyesuaikan
plan permainanan pasukannya dengan kekuatan lawan yang bakal beliau hadapi. Maka
atas sebab itulah walaupun skuad kendalian beliau kadangkala dilihat bermain
secara defensif namun mereka tetap berupaya menjaringkan banyak gol setiap
musim.
Pemecatan beliau musim lalu mungkin
meninggalkan sedikit titik hitam dalam kariernya, namun hal itu tetap tidak
akan memadam hakikat bahawa nama Jose Mourinho dan kejuaraan umpama teman yang
akrab. Mourinho mungkin bukan pilihan yang sempurna untuk United, tetapi dengan
mentaliti juara dan sedikit sikap angkuh yang ada dalam dirinya, saya percaya
beliau akan menjadikan nama Manchester United kembali dihormati dan digeruni.
Adakah Mourinho benar-benar seorang `Yang
Istimewa’ sepertimana didakwa beliau di hadapan wartawan pada 2004? Atau adakah
beliau memang seorang yang `pragmatis’, sanggup mengorbankan permainan
bolasepak menarik hanya semata-mata kerana mahukan kemenangan? Jika nantinya
beliau berjaya membawa kelab kembali menjuarai trofi Liga Perdana sambil
barisan hadapan United pula menjadi igauan ngeri pertahanan lawan, ketika itu
terpulanglah kepada anda untuk menilai sama ada Mourinho benar-benar `Istimewa’
atau beliau memang seorang yang `Pragmatis’…Glory Glory Manchester United!!! -
AJ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan