01 Ogos 2016

BONNIE...PEMAIN YANG PATUT DIBERIKAN KEUTAMAAN UNTUK UNITED TANDATANGANI

Saya tidak pernah menyaksikan aksi Giacinto Fachetti, Claudio Gentile, Tarcisio Burgnish atau Giovanni Trapattoni secara langsung kerana ketika era kegemilangan mereka sebagai pemain, saya mungkin baru belajar merangkak. Walaupun tidak pernah menyaksikan mereka bermain, tetapi kini saya tahu mereka antara pemain pertahanan terbaik pernah Itali lahirkan. Ya, dari dulu hingga kini Itali memang tidak pernah ketandusan bakat-bakat hebat yang membarisi benteng pertahanan skuad Gli Azzurri terutamanya di posisi pertahanan tengah.

Saya beruntung kerana sempat menyaksikan bagaimana tenangnya Franco Baresi saat mengawal benteng Itali dan AC Milan ketika zaman gemilang beliau, kerasnya corak permainan tapi penuh taktikal milik Guiseppe Bergomi, gaya permainan Alessandro Nesta yang penuh elegan, Fabio Cannavaro yang bertubuh kecil tapi cukup dinamik dan Marco Materazzi yang tiada belas kasihan ketika mengasak pemain lawan. Pemain-pemain inilah antara sebahagian pertahanan tengah terbaik Itali yang pernah saya saksikan aksi mereka, baik ketika mereka bermain untuk kelab ataupun ketika menyarung jersi biru skuad kebangsaan.

Walaupun Itali terkandas di peringkat suku akhir kejohanan Euro 2016 yang lalu, hakikat yang perlu kita akui ialah bahawa mereka memiliki antara barisan pertahanan terbaik dalam kejohanan empat tahun sekali itu. Itali ada Andrea Barzagli dan Giorgio Chiellini yang kaya pengalaman tetapi Leonardo Bonucci pada pandangan saya paling menonjol di benteng pertahanan mereka. Bukan hanya memiliki kekuatan di udara dan bijak melakukan terjahan bersih, Bonucci juga sering dilihat memainkan peranannya membangunkan serangan dari bawah.

Lihat bagaimana umpanan cantik yang beliau lakukan hingga terhasilnya gol pertama Itali jaringan Emanuele Giaccherini ketika berdepan Belgium dalam kejohanan Euro 2016 yang lalu. Bonnie disenaraikan antara salah seorang ball-playing centre back terbaik di Eropah dan faktor ini sebenarnya didorong dari pengalaman beliau yang pernah bermain di bahagian tengah. Memiliki keyakinan yang cukup tinggi ketika bola berada di kakinya, Bonnie juga mengakui bahawa beliau melakukan latihan menggelecek secara persendirian setiap kali tamat sesi latihan baik bersama Juventus mahupun ketika bersama skuad kebangsaan.

Kejayaan Itali melangkah hingga ke peringkat suku akhir kejohanan Euro 2016 meskipun pada mulanya diberikan gambaran buruk oleh media mereka sendiri memang agak mengejutkan. Dibarisi dengan pemain-pemain yang sudah berusia, Itali digambarkan sebagai kereta yang sudah usang dan diramalkan bakal pulang awal. Bagaimanapun dengan Bonnnie mengawal benteng pertahanan sambil dibantu dua lagi rakan sepasukannya dari Juventus (Chiellini dan Barzagli), Itali membuktikan bahawa mereka masih layak dihormati.

Aksi heroic Bonucci ketika berdepan Bayern Munich dalam perlawanan pertama pusingan kalah mati Liga Juara-Juara musim lalu juga mengundang pujian Pep Guardiola. Dengan masalah kecederaan yang sering melanda Vincent Kompany sejak kebelakangan ini, Guardiola memang memerlukan seorang pemain berkebolehan seperti Bonnie untuk diletakkan di benteng pasukannya. Jadi tidak hairanlah mengapa kini anda sering mendengar laporan bahawa City antara kelab yang begitu berminat membawa keluar Bonnie dari Turin.

Melihat kepada penampilan Bonnie ketika ini siapa sangka bahawa perpindahan beliau ke Turin pada 2010 pernah dikecam hebat oleh penyokong-penyokong Juventus sendiri. Nilai sebanyak €15 juta yang terpaksa dibayar Juventus bagi mendapatkan khidmatnya dianggap terlalu tinggi untuk seorang pemain pertahanan `kelas pertengahan’ seperti beliau. Seperti dijangka musim pertamanya di Turin bukanlah mudah buat Bonnie dan beliau dianggap titik paling lemah di barisan belakang Juventus pimpinan Luigi Delneri.

Sering melakukan kesilapan mudah ketika melakukan hantaran dan tidak berada di posisi yang betul ketika bertahan seolah-olah mengiyakan segala kritikan yang dilemparkan ke atas beliau sebelum ini. Bagaimanapun nasib Bonnie berubah selepas kedatangan Antonio Conte yang menggantikan posisi Delneri. Conte menyedari bahawa kelemahan ketara Bonnie ialah dalam aspek man to man marking dan sistem empat pertahanan yang digunakan Delneri menyebabkan penampilan Bonnie kelihatan sangat buruk di atas padang.

Di sebalik kelemahan yang ada, Conte sebaliknya melihat Bonnie memiliki kekuatan dalam aspek melakukan hantaran, kuat di udara dan punya visi permainan yang bagus. Bonnie menurut Conte calon bek terbaik Itali seterusnya, generasi pemain yang bakal meneruskan legasi cattenaccio tetapi lahir dalam bentuk yang lebih moden dan matang. Conte membuktikan kebenaran kata-kata beliau menerusi sistem tiga pertahanan yang beliau gunakan selepas mengambil alih pengurusan dari Delneri.

Menerusi formasi 3-5-2 yang digunakan Conte, Bonnie diapit Chiellini serta Barzagli dan kini peranannya lebih seperti seorang sweeper, kadangkala berkongsi tugas dengan Andrea Pirlo sebagai deep lying midfielder yang bertindak mengawal tempo permainan, melakukan hantaran jauh ke hadapan dan wajib berada di kawasan penalti lawan dalam situasi bola mati. Hasilnya penampilan beliau kini jauh berbeza dan benarlah tanggapan Conte bahawa peranan Bonnie sebenarnya lebih menyerlah dalam sistem tiga pertahanan.

Di bawah kendalian Conte, Juventus yang bertukar kepada sistem tiga pertahanan berjaya menjulang kejuaraan Scudetto lima musim berturut-turut, selain sering berada di kelompok tiga teratas kelab yang memiliki barisan pertahanan terbaik di Eropah. “Mungkin kedengaran sedikit angkuh, tetapi Gianluigi Buffon, Giorgio Chiellini, Andrea Barzagli dan saya adalah kombinasi barisan belakang terbaik di dunia. Statistik tidak akan pernah berbohong”, kata Bonnie selepas kejayaan membenam Sepanyol di Euro 2016.

Juventus telah mengubah karakter Bonnie dari seorang pemain muda yang kerap melakukan kesilapan mudah kepada `tembok’ kukuh di barisan belakang mereka dan mungkin kini antara pertahanan tengah terbaik Itali sepanjang zaman. Di bawah kendalian Massimiliano Allegri, permainan Juventus lebih variasi dengan menggunakan tiga, empat atau lima pertahanan sekaligus. Jadi tidak hairanlah mengapa gawang mereka hanya dibolosi 40 gol (dalam semua kejohanan), yang juga merupakan jumlah kedua terendah selepas Barcelona dalam saingan di Eropah.

Jika enam tahun dulu kedatangannya ke Turin disambut dengan kritikan-kritikan hebat, kini Bonnie adalah nama besar untuk skuad Old Lady. Posisinya kini tidak tergantikan oleh mana-mana pemain, baik Chiellini mahupun Barzagli yang berbeza type permainan apatah lagi Angelo Ogbonna yang diletakkan sebagai pelapis beliau. Biarpun Conte sudah pergi dan Allegri pula mengambil alih, satu hakikat yang masih tidak berubah ialah Bonnie kekal sebagai pemain penting untuk Juventus.

Di bawah kendalian Allegri, meskipun Juventus bertukar dari formasi 3-5-2 kepada 4-3-1-2 yang menggunakan empat pertahanan, Bonnie tetap berjaya menyesuaikan diri hasil dari pengalaman dan kematangannya sebagai pemain. Bonnie mengakui kini tidak lagi berdepan masalah bermain dalam sistem empat pertahanan berbanding ketika peringkat awal kedatangannya ke Turin namun tetap berpendapat formasi 3-5-2 akan lebih menyerlahkan potensi beliau.

Bonnie membuktikan kata-katanya bahawa beliau memang tidak bermasalah walaupun Juventus menggunakan sistem empat pemain menerusi statistik yang dicatatkannya sepanjang musim lalu. Jumlah gol, pintasan hantaran, clearance dan bentesan yang dilakukan merupakan jumlah tertinggi sepanjang kariernya dan yang tertinggi berbanding mana-mana pemain pertahanan Juventus. Hal ini sebenarnya sedikit sebanyak dibantu oleh corak permainan Juventus yang lebih variasi di bawah kendalian Allegri.

Meskipun 4-3-1-2 menjadi formasi pilihan utama Allegri, sistem permainan Juventus akan segera berubah kepada 3-5-2 ketika mereka dalam mode menyerang. Ketika inilah Bonnie akan mara lebih jauh ke hadapan meninggalkan gandingan Rugani/Barzagli atau Barzagli/Chiellini di belakang. Beliau sering menjadi pemain pertama yang memulakan serangan Juventus menerusi kemampuan menyusun gerakan dan melakukan hantaran-hantaran jauh ke kawasan lawan.

12 gol dari 198 perlawanan liga tentulah jumlah yang banyak untuk seorang pemain pertahanan tengah dan naluri menyerang yang dimiliki Bonnie melengkapkan lagi pakej beliau sebagai salah seorang centre back terbaik dunia ketika ini. Kemampuan membangunkan gerakan dari bawah yang cukup mengagumkan dan ketatnya beliau mengawal benteng ketika bertahan hingga berjaya membantu Juventus mencatat rekod clean sheet di Serie A (tidak dibolosi sepuluh perlawanan berturut-turut atau lebih tepatnya 974 minit) menjadi penyebab mengapa United patut meletakkan Bonnie dalam radar buruan mereka.

Sehingga kini saya masih menanti akan kesudahan khabar-khabar angin tentang minat United terhadap Bonnie. Jika beliau sudah bosan dengan dominasi berterusan Juventus di Serie A dan mahukan cabaran baharu, Liga Perdana adalah `medan peperangan' seterusnya yang patut beliau sertai. Secara jujurnya saya lebih gemar melihat pemain pertahanan kelas dunia seperti Bonnie dibawa masuk bagi memperkuatkan benteng United berbanding menjadikan Paul Pogba sebagai pemain termahal dunia…Glory Glory Manchester United!!! - AJ

Tiada ulasan:

Catat Ulasan