Pemecatan Louis Van Gaal dan perlantikan Jose
Mourinho sebagai pengganti beliau merupakan salah satu langkah serius
Manchester United untuk mengembalikan semula kegemilangan yang telah pudar selepas
tiga musim ditinggalkan Sir Alex Ferguson. Tiga musim di bawah kendalian David
Moyes dan Van Gaal, United hanya mampu memenangi satu trofi Community Shield dan satu Piala FA
manakala pencapaian terbaik mereka dalam saingan liga pula sekadar di tangga keempat
(musim 2014-15).
Tiga musim dirasakan cukup lama bagi penyokong-penyokong
United yang sebelum ini sudah terbiasa dengan kejuaraan demi kejuaraan dibawa ke
Old Trafford sepanjang era kegemilangan Sir Alex. Dan perlantikan Mourinho juga
saya anggap isyarat paling jelas dari penyokong mahupun pihak pengurusan yang
sudah bosan melihat pencapaian sederhana barisan The Red Devils sepanjang tiga musim terakhir. Jadi adakah kehadiran
Mourinho mampu mengubah keadaan dan menjadikan athmosphere di Theatre of
Dreams kembali ghairah?
Menyaksikan pencapaian Mourinho sebelum ini
di Liga Perdana, kontroversi-kontroversi yang melingkari karier beliau, mulut celuparnya
dan sikap angkuhnya, saya percaya akan banyak berlaku hal-hal menarik yang
bakal menanti kita musim ini. Perseteruan panjang antara beliau dan Arsene
Wenger, selain kehadiran Pep Guardiola `di rumah sebelah’ yang bakal menyaksikan
Manchester Derby kembali panas, antara
faktor mengapa musim 2016-17 bakal menjadi musim yang menarik untuk penyokong-penyokong
United. Selain dari itu apa lagi yang mampu ditawarkan Mourinho?
Pakar
Perang Psikologi
Siapa yang mampu menyangkal bahawa Mourinho antara
pengurus yang cukup mahir melancarkan perang psikologi terhadap lawan sebelum perlawanan
bagi menganggu konsentrasi mereka. Bukan hanya pakar dalam menyusun strategi bagi
memerangkap lawan tetapi mulut celupar Mourinho juga sentiasa menyebabkan banyak
hati yang terluka.
Dengan adanya Pep Guardiola di Stadium
Etihad, anda kini boleh mengimpikan panasnya el classico versi Inggeris bila United dan City bertemu nanti, kisah
panjang dari perseteruan beliau dengan Arsene Wenger akan menyebabkan perlawanan
membabitkan United dan Arsenal kembali membara, dan paling menarik apa yang
bakal dilakukan Mourinho bila beliau berdepan kembali dengan bekas kelabnya,
Chelsea.
Sindirannya terhadap Wenger dan Jurgen Klop berkaitan
perpindahan Paul Pogba yang mencatat rekod dunia satu isyarat awal bahawa bahang
saingan Liga Perdana musim ini akan lebih panas. Lawan mungkin kurang senang dengan
perang psikologi yang dilancarkan beliau, tetapi percayalah anda selaku
penyokong-penyokong United akan terhibur dengan kata-kata yang keluar dari mulutnya.
Mourinho
Sebagai Seorang Juara
FC Porto, Chelsea, Inter Milan dan Real
Madrid semuanya muncul juara dalam saingan liga di negara masing-masing ketika mereka
di bawah kendalian Mourinho, jadi hal yang sama juga boleh anda harapkan berlaku
untuk United. Saya sebenarnya tidak mahu meletakkan harapan yang tinggi untuk melihat
kelab kembali menjulang kejuaraan liga pada musim pertama Mourinho di Old
Trafford. Bagaimanapun selepas menyaksikan rekod beliau selama ini, tidak salah
kiranya saya juga memasang sedikit harapan agar di akhir musim nanti, United kembali
dinobatkan sebagai juara Liga Perdana.
Mourinho sepertinya sentiasa mampu memenuhi kehendak
kelab yang menggajikan beliau sebelum ini dan selepas melalui tiga musim yang
suram, penyokong-penyokong United juga mahu melihat Mourinho meneruskan sentuhan
emas beliau. Mourinho sendiri ada sesuatu yang beliau ingin buktikan selepas diaibkan
Chelsea musim lalu, dan selepas berehat selama enam bulan dari dunia pengurusan,
tentunya beliau akan mengerah segala idea dan kemampuannya untuk kembali berada
di atas podium sebagai seorang juara.
Revolusi
Di Old Trafford
Setakat ini Mourinho sudah menandatangani
Eric Bailly, Zlatan Ibrahmovic, Henrikh Mkhitaryan, manakala perpindahan Paul
Pogba pula meletakkan beliau sebagai pemain termahal dunia ketika ini. Selepas empat
pemain ini, mungkinkah ada nama lain yang bakal dibawa masuk Mourinho untuk memperkuatkan
skuadnya musim ini? Ya, saya yakin akan ada seorang atau dua lagi pemain yang
Mourinho fikirkan sesuai untuk beliau bawa masuk sebagai sebahagian dari revolusi
yang ingin dilakukannya di Old Trafford.
Siapakah seterusnya selepas Pogba? Jose Fonte,
Gabriel Barbosa atau mungkinkah akan ada lagi perpindahan yang bakal menggoncang
dunia dilakukan Mourinho selepas ini? Menyaksikan aksi United ketika berdepan
Leicester City (dalam perlawanan merebut Perisai Komuniti) dan AFC Bournemouth
(dalam saingan liga), saya yakin Mourinho tidak akan berpuashati dengan barisan
pemain yang sudah beliau miliki. Dan meskipun United bermain baik ketika
melayan kunjungan Southampton awal pagi tadi, saya tetap percaya urusan kelab
dalam pasaran perpindahan kali ini masih belum selesai.
Mental
Juara
Anda sudah saksikan apa yang Mourinho pernah lakukan
ketika bersama FC Porto, Chelsea, Inter Milan dan Real Madrid sebelum ini dan itulah
yang bakal beliau lakukan juga untuk United. Saya bukan bercakap tentang kemampuan
beliau menghadiahkan kejuaraan tetapi sebaliknya tentang kemampuan beliau memotivasikan
pemain-pemainnya. Mourinho sering sahaja berjaya membawa pasukannya keluar dari
situasi sukar melalui taktik dan pendekatan secara personal terhadap pemain-pemainnya.
Apa yang dilakukan Mourinho ini sebenarnya ada
persamaan dengan pendekatan yang pernah dilakukan Sir Alex dahulu. Jika dalam tempoh
dua musim terakhir ini anda hanya melihat pengurus United sekadar duduk di
bangku pemain simpanan sambil melakar strategi di atas kertas, hal yang sama tidak
akan berlaku lagi selepas ini. Suasana di bilik persalinan juga tentunya akan berbeza dengan adanya individu yang punya karakter seperti Mourinho ditambah pula dengan
kehadiran pemain berpengalaman seperti Ibrahimovic.
Penyokong
Kini Kembali Positif
Kehadiran Mourinho di Old Trafford sudah mula
menampakkan perubahan dan salah satunya ialah corak permainan yang dipamerkan pemain-pemainnya.
Saya akui United tidak beraksi dengan baik ketika berdepan Leicester City dan
Bournemouth tetapi wajah sebenar `Setan Merah’ sudah mula terlihat ketika
mereka berdepan Southampton awal pagi tadi. Tiada lagi perasaan mengantuk
biarpun saya terpaksa berjaga di awal pagi dan tiada lagi perasaan bosan di
hadapan kaca TV menanti tamatnya 90 minit permainan.
Realitinya United tidak akan menang kesemua
perlawanan mereka musim ini, tetapi jika corak permainan ketika berdepan
Southampton mampu dikekalkan secara konsisten, saya percaya ada sesuatu yang
menggembirakan bakal menanti kita di penghujung musim nanti. Kini di bawah kendalian
Mourinho, saya percaya United akan memperolehi kembali apa yang sepatutnya
mereka miliki, sesuatu yang hilang dari genggaman mereka sepanjang tiga musim
yang lalu...Glory Glory Manchester United!!! - AJ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan