21 Disember 2016

HARIMAU YANG KEMBALI MENGAUM

Pada musim panas 2014, beliau tiba di Old Trafford berbekalkan reputasi menggerunkan selaku antara penyerang paling tajam ketika berada di dalam petak penalti lawan. Dan sudah tentu juga mana-mana penyokong United pastinya teruja mahu menyaksikan sendiri naluri pembunuh milik Radamel Falcao selepas beliau menjaringkan 155 gol dari 155 penampilan (dalam semua kejohanan) untuk FC Porto, Atletico Madrid dan AS Monaco.

Sebelum sepak mula saingan liga musim 2014-15 dimulakan, kita sudah mula membayangkan bagaimana ngerinya nanti benteng pertahanan lawan bila berhadapan jentera serangan United yang dibarisi Wayne Rooney, Robin Van Persie dan Falcao. Rooney, Van Persie dan Falcao sudah membina reputasi mereka sejak bertahun-tahun selaku penggempur utama dalam saingan liga di Eropah, jadi tidak hairanlah mengapa penyokong-penyokong United meletakkan harapan yang cukup tinggi kepada barisan Louis Van Gaal di awal musim.

Bagaimanapun harapan tinggi itu tidak menjadi kenyataan bilamana Falcao hanya mampu menjaringkan empat gol dari 26 penampilan liga untuk United. Dari jumlah tersebut pula, Falcao hanya bermain selama 90 minit dalam lima perlawanan, itupun ketika Van Persie mengalami kecederaan. Prestasi Falcao di Old Trafford tidak langsung menggambarkan bahawa beliau dahulunya pernah diletakkan antara penyerang paling tajam di Eropah.

Bagaimanapun ketika itu kita sebenarnya perlu bersikap realistik kerana Falcao baru sahaja pulih dari kecederaan lutut yang panjang hingga menyebabkan beliau terlepas aksi di pentas Piala Dunia 2014. Mungkin disebabkan masih trauma atau bersikap berhati-hati kerana bimbang kecederaan itu berulang, Falcao beraksi di bawah standard sebenar pada musim pertama dan terakhirnya di Old Trafford.

Prestasi Falcao menyebabkan Van Gaal tidak berminat mengekalkannya di Old Trafford, tambahan pula ketika itu beliau baharu sahaja mendapatkan Anthony Martial sebagai penggempur baharu. Bagaimanapun reputasi silam penyerang Colombia ini hampaknya masih menarik minat kelab besar England di mana Jose Mourinho yang baharu memenangi kejuaraan liga bersama Chelsea mengambil alih giliran mendapatkan khidmatnya pada musim panas 2015.

Bagaimanapun Falcao sekali lagi gagal memberikan impak kehadirannya di Stamford Bridge. Semusim bersama Chelsea, Falcao hanya bermain sepuluh perlawanan, menjaringkan satu gol sebelum akhirnya terpaksa pulang semula ke Stade Louis II. Lalu apa yang berlaku sejak kembalinya Falcao ke AS Monaco, kelab yang beliau tinggalkan selama dua musim sebagai pemain pinjaman di Old Trafford dan Stamford Bridge?

Musim ini selepas mengharungi 18 perlawanan, Monaco mengutip 39 mata, empat mata di belakang Nice selaku pendahulu liga. Ini merupakan catatan positif yang diraih kelab bimbingan Leonardo Jardim itu dalam tempoh beberapa musim terakhir di Ligue 1. Minggu lalu, mereka berjaya memungut tiga mata penuh ketika berdepan Girondin Bordeaux di gelanggang lawan dengan cara yang pada saya cukup fantastis.

Bukan kemenangan besar (4-0) yang diraih mereka menarik perhatian saya, tetapi peranan yang dimainkan Falcao di atas padang. Dalam aksi yang dilangsungkan di Nouveau Stade de Bordeaux itu, Falcao menghasilkan hatrik walaupun beliau cuma beraksi selama 70 minit. Kemenangan itu juga menyaksikan Monaco tidak tewas dalam lapan aksi terakhir mereka di Ligue 1.

Aksi menentang Bordeaux bukan satu-satunya prestasi terbaik yang dipamerkan Falcao musim ini kerana sejak awal lagi beliau sudah memberikan isyarat bahawa ketajamannya selaku penggempur masih belum pudar. Dua golnya ke gawang Fenerbahce pada aksi timbal balik pusingan kelayakan Liga Juara-Juara menghantar Monaco ke pusingan playoff.

Mereka kemudiannya melepasi halangan terakhir sebelum menuju ke saingan peringkat kumpulan selepas menyingkirkan Villareal dengan aggregate 3-1. Kecederaan (hamstring) yang dialami Falcao ketika berdepan Fenerbahce memaksa beliau berehat selama sebulan menyebabkan beliau terlepas tiga aksi awal liga bersama Monaco. Gol sulung Falcao di Ligue 1 musim ini dijaringkan beliau ketika membantu Monaco menewaskan Rennes di gelanggang sendiri 17 September lalu.

Walau bagaimanapun kecederaan kembali menghantui karier beliau apabila Falcao sekali lagi terpaksa menghabiskan masanya dibilik rawatan dan terlepas aksi selama dua bulan. Sepanjang tempoh itu juga Falcao berlatih bersendiran bagi memastikan sentuhannya sentiasa tajam, menjaga fizikalnya menerusi rutin harian di gimnasium agar beliau sentiasa bersedia bila kembali beraksi di atas padang kelak.

Kerja keras Falcao berhasil menerusi comeback beliau pada aksi kesepuluh Ligue 1 menentang Montpellier 21 Oktober lalu. Dalam perlawanan itu, Falcao menyumbang satu dari enam gol untuk Monaco sebelum beliau dikeluarkan diminit ke-64. Secara keseluruhannya Falcao sudah menjaringkan 11 gol dari sepuluh perlawanan sejak beliau kembali dari kecederaan walaupun jarang beraksi penuh 90 minit.

Setakat ini Falcao sudah menjaringkan 14 gol dari 16 penampilan (dalam semua kejohanan) untuk Monaco manakala hatrik yang dihasilkannya ke gawang Bordeaux pula merupakan hatrik pertama beliau sejak berpindah ke Stade Louis II. Prestasi terkini Falcao turut mengundang rasa teruja kepada David de Gea yang juga merupakan bekas rakan sepasukannya di Old Trafford.

Menerusi akaun Twitter miliknya, de Gea menulis “The Tiger is on fire” (merujuk kepada gelaran El Tigre yang diberikan kepada Falcao) dimana selepas itu tweet tersebut telah di retweet lebih 2,000 kali. Hingga setakat ini, Falcao sudah menjaringkan 27 gol untuk Monaco selama dua musim beliau berada di Stade Louis II.

Kini Falcao hanya perlukan dua gol sahaja lagi untuk melangkaui catatan Thierry Henry (28 gol) yang menyarung jersi Monaco dari 1994 hingga 1999. Dengan prestasi semasa yang dipamerkan beliau, tiada masalah untuk El Tigre melewati catatan Henry yang juga merupakan idola beliau. Ligue 1 kini nampaknya medan terbaik untuk pemain-pemain seperti Falcao kembali mengasah `kuku’ kerana selain beliau, Mario Balotelli turut mempamerkan aksi terpuji bersama Nice.

Saya adalah peminat Falcao sejak beliau masih menyarung jersi Atletico Madrid. Jadi saya juga antara penyokong United yang cukup teruja bila mengetahui Van Gaal berjaya mendapatkan khidmatnya pada 2014. Saya ingin sekali menyaksikan kembali Radamel Falcao yang dulu, seorang penyerang yang boleh menterjemahkan sebarang peluang kepada jaringan gol. Semoga taring harimau ini masih tajam dan semoga El Tigre kembali mengaum ganas...Glory Glory Manchester United!!! - AJ

Tiada ulasan:

Catat Ulasan