Sejak kekalahan besar kepada Chelsea 23
Oktober lalu, United mengharungi 9 perlawanan terakhir mereka (dalam saingan
liga) tanpa kalah. Kemenangan ke atas Sunderland malam tadi pula merupakan
kemenangan keempat berturut-turut yang dicatat The Red Devils sejak 11 Disember
lalu.
Apa yang menyebabkan perubahan kepada
prestasi United walaupun pada awalnya mereka agak kurang konsisten hinggakan
ramai yang mula meragui kemampuan barisan Jose Mourinho memberikan cabaran
dalam perebutan kejuaraan liga?
Selain faktor Zlatan Ibrahimovic yang kembali
menemui sentuhan golnya (Ibra sudah menjaringkan 8 gol dari 9 penampilan
terakhir liga), Mourinho juga kini seolah-olah sudah menemui gandingan sesuai
untuk beliau letakkan di bahagian tengah.
Pada 5 perlawanan (liga) terakhir United,
Mourinho secara konsisten meletakkan trio Ander Herrera, Michael Carrick dan
Paul Pogba dalam kesebelasan utamanya. Ramai pemerhati menganggap kombinasi
tiga trio ini sebenarnya memberikan keseimbangan kepada permainan United.
Adakah Mourinho sudah menemui formula terbaik
dalam usaha beliau menjadikan prestasi United lebih konsisten berbanding
sebelumnya? Ya, itulah yang sedang berlaku sekarang. Dengan Carrick dan Herrera
bertindak sebagai double pivot, Pogba pula kini lebih bebas ketika menyerang.
Carrick bukan sekadar pemain tengah bertahan
tetapi beliau juga punya visi permainan yang bagus menerusi kemampuan melakukan
hantaran, membaca permainan dan membangunkan serangan dari bawah. Kehadiran
semula Carrick (selepas beliau terlepas 5 perlawanan awal liga) pelengkap
kepada gandingan Pogba dan Herrera di bahagian tengah United.
Benarlah kata Mourinho sebelum ini bahawa
kehadiran Carrick memberikan kesan yang besar kepada permainan dan prestasi
Pogba. Semoga Mourinho sudah menemui formula dan cara terbaik untuk menjadikan
United kembali sebagai pencabar kejuaraan liga atau sekurang-kurangnya berada
dalam kelompok empat teratas...Glory Glory Manchester United!!! - AJ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan