Anda boleh katakan apa sahaja tentang Michael
Carrick....”wira tidak didendang”, “pemain yang sering dilupakan kehadirannya”
atau apa sahaja. Bagaimanapun satu fakta yang tidak boleh diketepikan sejak
beliau menyarung jersi Manchester United buat pertama kali pada 2006 ialah
betapa pentingnya peranan yang dimainkan Carrick dalam era 4 pengurus berbeza
di Old Trafford.
Musim ini walaupun pada awalnya Carrick tampak
seperti bukan pilihan utama Mourinho di bahagian tengah namun beliau kembali di
atas padang dan membuktikan kepada kita bahawa United masih lagi sangat-sangat
perlukan sentuhan dan ketenangannya dalam mengawal tempo permainan.
Anda memuja Zlatan Ibrahimovic kerana
ketajamannya dalam menyudahkan peluang, Paul Pogba kerana kekuatan serta
tekniknya dan Ander Herrera kerana kemampuannya merosakkan tempo permainan
lawan, tetapi United adalah skuad yang berbeza jika Carrick berada di atas
padang.
Benarkah begitu? Jadi sebagai buktinya biarkan
sahaja statistik berbicara. Musim ini tanpa kelibat Carrick, United hanya mampu
menang 35.7% dari perlawanan-perlawanan mereka dalam semua kejohanan atau mengutip
purata 1.35 mata satu perlawanan (5 kali menang, 4 seri dan 5 kekalahan).
Bagaimanapun sejak kembalinya Carrick dalam
kesebelasan utama, peratusan kemenangan United meningkat kepada 85.7% dengan
purata 2.71 mata yang berjaya dikutip dalam setiap perlawanan. Statistik ini
diambil dari 12 kemenangan, 2 keputusan seri dan tanpa kalah ketika Carrick bermain
sejak beliau tampil buat pertama kali ketika menentang Leicester City September
lalu.
Carrick sudah menghampiri penghujung karier
tetapi United nampaknya seperti tidak boleh kehilangan sentuhannya di atas
padang. Selepas kelab menghabiskan ratusan juta Pound dalam tempoh tiga musim
terakhir, mereka nampaknya masih lagi bergantung harap kepada pemain yang sudah
berusia seperti Carrick.
Kini
timbul kebimbangan jika sesuatu berlaku kepada Carrick, siapa pemain yang
sesuai dan mampu menggantikan tempatnya. Mencari pengganti pemain berkaliber
seperti beliau bukanlah tugas yang mudah dan sementara itu berharaplah agar
sesuatu yang buruk tidak menimpa `Mr Indispensable’ ini... Glory Glory
Manchester United!!! - AJ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan