11 Jun 2017

BERAKHIRNYA HIKAYAT `DEWA’ ZLATAN




Akhirnya segala teka-teki tentang masa depan Zlatan Ibrahimovic terjawab apabila Manchester United mengumumkan secara rasmi bahawa kontrak legenda unggul Sweden itu bersama kelab tidak akan dilanjutkan. Kecederaan lutut serius yang dialami Ibra ketika aksi menentang Anderlecht di Liga Europa April lalu menyaksikan beliau terpaksa melupakan baki saingan musim 2016/17 lebih awal.

Menyedari bahawa Ibra bukan lagi pemain yang muda manakala kecederaan ligamen yang dialaminya memungkinkan beliau hanya akan kembali beraksi di atas padang pada bulan November atau Disember nanti, United akhirnya terpaksa mengambil langkah yang mungkin tidak popular di mata penyokong menerusi keputusan untuk tidak mengekalkan Ibra.

Ibra Yang Sangat Egois...

Satu fakta yang tidak mampu disangkal oleh sesiapapun ialah betapa United merupakan kelab popular dan besar di dunia. Fakta tersebut diperkuatkan lagi dengan pengiktirafan oleh Forbes bahawa United merupakan kelab paling bernilai di dunia mengatasi dua gergasi Sepanyol, Real Madrid dan Bercelona menerusi aset kekayaan yang dimiliki bernilai USD3.69 bilion.

Satu fakta yang nyata juga bahawa tiada mana-mana pemain era moden yang memiliki tahap egoisme sedahsyat Ibra hatta pemain terbaik dunia seperti Cristiano Ronaldo atau Lionel Messi sekalipun. Ronaldo mungkin antara pemain yang egois tetapi beliau tidak segila Ibra dalam memuja keberadaan dirinya sendiri. Saat menjejakkan kakinya di Old Trafford, Ibra sudah melaungkan kepada khalayak ramai bahawa beliau adalah `dewa’ yang bakal menjadi penyelamat United.

Kehadiran Ibra berjaya meniup kembali aroma keangkuhan dan keegoan dalam permainan United, faktor yang sebenarnya sudah meredup sejak Sir Alex Ferguson mengumumkan persaraannya empat tahun lalu dan semenjak Roy Keane menendang bola buat kali terakhir sebagai anggota The Red Devils. United perlukan seorang `lead by example’ baik di padang latihan mahupun di medan pertempuran sebenar dan itulah yang ditawarkan Ibra sejak ketibaannya di Old Trafford.

Semasa masih di kota Paris dalam nada bercanda beliau pernah menyarankan agar Menara Eiffel digantikan dengan patung dirinya sebagai bentuk pengiktirafan kepada sumbangan serta peranan besar yang sudah beliau mainkan untuk Paris St Germain. Di Old Trafford pula beliau pernah melabelkan dirinya sebagai dewa, Indiana Jones, Benjamin Button dan singa.

Ibra boleh mendakwa dirinya dalam bentuk apa sekalipun tetapi satu fakta yang nyata ialah betapa United sepanjang musim lalu sangat bergantung kepada ketajaman sentuhan pemusnahnya. 28 gol semusim di semua kejohanan merupakan satu catatan yang sangat mengagumkan buat seorang pemain berusia 35 tahun seperti beliau. Keegoan Ibra bukan tidak bertempat, tetapi turut dibuktikan beliau menerusi statistiknya di atas padang.

Hanya Ada Satu Zlatan...

Zlatan Muslimovic, Zlatan Ljubijankic, Zlatan Azinovic, Zlatan Krizanovic dan Zlatan Bajramovic antara pemain yang diketahui menggunakan `Zlatan’ pada nama pertama mereka. Jika ditanya kelab mana mereka ini bermain atau negara asal mereka, tentu ramai di kalangan kita gagal menjawab soalan ini dengan tepat. Tetapi bagaimana pula dengan Zlatan Ibrahimovic?

Berbanding Muslimovic, Ljubijankic, Azinovic, Krizanovic dan Bajramovic, nama Ibra sudah tidak perlu diperkenalkan lagi kerana kehebatan serta reputasi yang beliau miliki. Ibra antara segelintir pemain yang mampu menjaringkan gol mengikut cara mana yang beliau mahukan. Bukan sedikit gol-gol indah yang dijaringkan Ibra menerusi teknik `bicycle kick’, `diving header’, `backheel’ malah tendangan ala kung fu sekalipun.

Masih ingatkah lagi anda dengan jaringan yang dilakukan Ibra menerusi tendangan `overhead’ ke gawang England hingga menyebabkan Joe Hart kelihatan seperti penjaga gol hingusan? Gol yang dijaringkan beliau pada 4 November 2012 ketika Sweden berdepan England di Friends Arena itu akhirnya dinobatkan sebagai gol tercantik musim tersebut sekaligus membolehkan Ibra memenangi Anugerah Puskas pada 2013.

Legenda Sebenar...

Ibra seolah-olah seperti dilahirkan untuk menjadi seorang yang sukses. Sepanjang karier profesionalnya, beliau sudah memenangi kejuaraan bersama Ajax Amsterdam, Inter Milan, Barcelona, AC Milan, Paris St Germain dan Manchester United selain beberapa anugerah individu tanda penghargaan atas kecemerlangan beliau sebagai pemain.

Ibra datang untuk memenangi medal kejuaraan kerana itulah motivasi utamanya sebagai pemain. Jadi tidak hairanlah mengapa sepanjang tempoh 17 tahun  kariernya dalam kancah bolasepak Eropah, beliau berjaya memenangi 11 kejuaraan liga untuk lima kelab berbeza. Beliau datang dan kemudiannya pergi meninggalkan jejak seorang legenda sama ada ketika bersama Ajax, Inter, Milan, Barcelona, PSG ataupun United.

`Dewa’ Yang Gagal Menyelamatkan Kariernya Di Old Trafford...

Pada usia 35 tahun Ibra sudah mengumpul 420 jaringan dari 723 penampilan keseluruhan dalam semua kejohanan sejak beliau memulakan karier bersama Malmo FF hinggalah yang terakhir saat beliau menyarung jersi United. Meskipun catatan ini sebenarnya tidak mampu menandingi statistik jaringan Cristiano Ronaldo atau Lionel Messi, namun Ibra pada usia di penghujung karier masih lagi pemain yang memiliki pesona untuk disaksikan aksinya.

Ibra boleh melabelkan dirinya dengan mana-mana karakter sama ada `dewa’, Benjamin Button, Indiana Jones atau singa tetapi akhirnya dalam masa yang sama beliau juga terpaksa mengakui bahawa `dewa’ sekalipun gagal menyelamatkan kariernya di Old Trafford bilamana kelab memutuskan untuk tidak lagi mahu mengekalkan khidmatnya.

Mungkin sedikit kekesalan bila memikirkan kita hanya dapat melihat pesona Ibra di Theatre of Dreams selama semusim. Musim depan tiada lagi kelibat beliau mengetuai jentera serangan United tetapi saya percaya kemanapun destinasi yang beliau tuju selepas ini, Ibra tetap Ibra...antara pemain paling mempesonakan dalam era bolasepak moden. Di akhirnya timbul juga sedikit persoalan mengapa pemain sehebat beliau tidak pernah memenangi anugerah Ballon d’Or? Terima kasih Ibra untuk semusim yang kekal diingati dan 28 gol yang telah anda jaringkan...Glory Glory Manchester United!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan