05 Jun 2017

GAGAL DAPATKAN GRIEZMANN...KINI TIBA MASANYA UNTUK MOURINHO MENGAKTIFKAN `PLAN B’




Drama perpindahan Antoine Griezmann ke Manchester United nampaknya berakhir lebih awal jika diambilkira kenyataan ringkas pemain itu yang di muat naik di laman sosial (Twitter) beliau kelmarin. Menerusi Tweet-nya Griezmann sudah membayangkan bahawa beliau akan kekal di kota Madrid malah akhbar Sepanyol, AS pula melaporkan bahawa bintang Perancis itu juga semakin hampir menandatangani kontrak baharu bersama Los Rojiblancos.

Selepas berdepan larangan membeli pemain yang dikenakan oleh FIFA hingga Januari 2018, penting untuk Diego Simeone mengekalkan aset terbaik yang dimilikinya dan jika benar Griezmann mahu terus kekal bersama Atletico, sudah tiba masanya untuk United mengaktifkan `plan B’ mereka. Lupakan Griezmann kerana masih ramai penyerang hebat di luar sana yang boleh dijadikan sasaran untuk menggalas tugas sebagai penggempur utama The Red Devils musim depan.

Mourinho Yang Di Luar Kebiasaan...

Sepertimana yang kita tahu sepanjang karier kejurulatihan beliau, Mourinho merupakan seorang pengendali yang gemar menggunakan penyerang bertubuh tegap, keras dan kompetitif ketika melakukan duel sebagai penggempur utama skuadnya. Sejak era beliau di FC Porto hinggalah ke Manchester United, Benni McCarthy, Didier Drogba, Samuel Eto’o, Karim Benzema, Diego Costa dan Ibra antara penyerang-penyerang tegap yang pernah bermain di bawah kendaliannya.

Jadi ketika khabar angin tentang minat United terhadap Griezmann bertiup kencang, timbul pertanyaan mengapa kali ini Mourinho cuba keluar dari kebiasaan yang sudah beliau lakukan selama bertahun-tahun sebagai pengendali. Griezmann diakui antara penggempur paling mempesonakan di Eropah tetapi dengan ketinggian cuma 1.75m dan berat 69kg, beliau boleh dikategorikan sebagai antara penyerang `kecil’ berbanding kebanyakkan penyerang lain di Liga Perdana.

Kemampuan beliau dalam menangani corak permainan keras bolasepak Inggeris bagaimanapun akan hanya terjawab jika ditakdirkan suatu hari nanti Griezmann memilih untuk memutuskan ikatannya dengan Atletico dan menyertai mana-mana kelab di Liga Perdana. Peluang untuk kita melihat Griezmann menyertai United hampir tertutup rapat, jadi selepas ini Mourinho mungkin akan kembali kepada kebiasaannya iaitu memburu seorang `striker’ tegap untuk diletakkan di barisan hadapan skuadnya.

Meneka `Plan B’ Mourinho...

Jika memang sah Griezmann menolak perpindahan ke Old Trafford dan memilih untuk terus kekal bersama Atletico, Mourinho saya kira bakal mengaktifkan `plan B’ beliau. Siapakah pilihan lain selain Griezmann? Tidak perlu memandang terlalu jauh kerana calon yang difikir layak dan sudah disebut-sebut oleh kebanyakkan penyokong-penyokong United sejak berbulan-bulan ada di hadapan mata. Beliau yang saya maksudkan ialah Romelu Lukaku.

Berbanding Griezmann, kemampuan Lukaku di Liga Perdana sudah terbukti dan antara pilihan terbaik untuk mengalas tugas sebagai penggempur United jika Mourinho mahukan khidmatnya. Musim 2015-16, Lukaku menjaringkan 18 gol dalam saingan liga, dan musim lalu angka jaringannya terus meningkat selepas beliau meledak 25 gol untuk Everton.

Di usia yang boleh dianggap masih muda (24 tahun) Lukaku sudah berjaya meletakkan dirinya dalam kelompok elit penggempur di Liga Perdana menerusi ketajaman penyudah dan statistik jaringannya. Selain sudah betah dengan saingan Liga Perdana, Lukaku juga dianggap penyerang ideal untuk Mourinho kerana memiliki kualiti serta mirip kepada corak permainan Drogba ketika zaman kemuncaknya.

Selain Lukaku...

Selain tarikan untuk menyertai skuad juara Liga Perdana kendalian Antonio Conte. tanda harga melampau (£100 juta) yang diletakkan Everton ke atas Lukaku juga sebenarnya mampu menghalang United dari mendapatkan tandatangan pemain ini. Sukar membayangkan bahawa United sanggup memecah rekod perpindahan dunia sekali lagi semata-mata mahu membawa Lukaku beraksi di Old Trafford walaupun saya mengakui kualiti beliau sebagai penggempur tidak perlu diragui.

Jika Mourinho gagal mendapatkan khidmat Lukaku, masih ada lagi opsyen lain yang difikirkan sesuai untuk beliau letakkan di barisan hadapan skuadnya menjelang bermulanya musim baharu nanti. Selain Lukaku, nama Andrea Belotti juga antara yang disebut-sebut sebagai calon penggempur United musim depan. Bagi mereka yang jarang mengikuti perkembangan Serie A, nama Belotti mungkin tidak sehebat Griezmann, Karim Benzema, Ibrahimovic atau Robert Lewandowski.

Bagaimana musim lalu Belotti mencetuskan impak menerusi ledakan 26 gol yang beliau hasilkan dari 35 penampilan di Serie A untuk Torino. Kualiti yang dimilikinya dalam menyudahkan peluang terhidang turut diimbangi Belotti menerusi kemampuan beliau dalam mencipta peluang jaringan gol. Sepanjang penampilannya di Serie A musim lalu, Belotti mencipta 48 peluang jaringan gol selain menyumbang 7 assist.

Belotti merupakan seorang `clinical forward’ yang dianugerahkan dengan teknik cukup bagus dalam menyudahkan peluang, memiliki naluri pembunuh yang tajam, tenang serta pantas, hinggakan beliau dinilai sangat cocok dengan skema permainan serang balas ala Mourinho. Bagaimanapun anda tidak harus melupakan fakta bahawa Liga Perdana sangat berbeza berbanding Serie A.

Walaupun begitu, warga Itali terdahulu seperti Paolo Di Canio, Roberto Di Matteo, Bento Carbone, Gianluca Vialli dan Gianfranco Zola sudah membuktikan kemampuan mereka beraksi di Liga Perdana, jadi saya percaya Belotti juga mampu melakukan hal yang sama jika beliau datang ke Old Trafford. Adakah `Harry Kane Itali’ ini bakal menjadi jawaban terbaik kepada ketumpulan jentera serangan United?

Pilihan Lain Yang Ada...

Musim lalu United cuma mampu membolosi gawang lawan sebanyak 54 kali sekaligus menyaksikan mereka muncul pasukan ketiga paling kurang menjaringkan gol di kalangan sepuluh pasukan teratas liga. Malah kelab seperti Everton yang berada di tangga ke tujuh dan AFC Bournemouth yang berada di tangga ke sembilan menjaringkan lebih banyak gol berbanding barisan mahal United.

Atas sebab itu saya percaya sepanjang jendela perpindahan pemain musim panas dibuka nanti, misi mendapatkan seorang penyerang baharu akan menjadi keutamaan Mourinho. Selain Griezmann, Lukaku dan Belotti, ada beberapa nama lagi yang kerap dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford seperti Harry Kane, Alvaro Morata dan Kylian Mbappe.

Kane mungkin `mustahil’ untuk ditandatangani jika diambilkira kenyataan Daniel Levy bahawa Spurs tidak akan menjual mana-mana pemain terbaik mereka kepada United. Bagaimanapun peluang untuk United mendapatkan prospek jangka panjang lain seperti Morata dan Mbappe jika kelab berminat membawa mereka beraksi di Old Trafford tetap terbuka.

Jika mahu memburu kejuaraan liga, Mourinho perlu menjadikan barisan hadapan United jauh lebih kejam berbanding sebelumnya dan untuk itu beliau perlu mendapatkan seorang penyerang yang memiliki naluri menjaringkan gol yang tinggi atau lebih tepatnya mampu menghasilkan lebih 20 gol semusim di peringkat liga. Siapa calon penyerang lain yang ada dalam `plan B’ Mourinho selepas `saga Griezmann berakhir? Jawapannya ada di tangan Ed Woodward...Glory Glory Manchester United!!! 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan