Tiga tahun lalu Ander Herrera tiba di Old
Trafford pada musim pertama Louis Van Gaal bertindak sebagai pengendali Manchester
United. Bersama-sama Angel Di Maria, Marcos Rojo, Daley Blind dan `rising star’ England, Luke Shaw, beliau
didatangkan Val Gaal bukan sahaja untuk menambah kekuatan United tetapi juga
bagi memenuhi ambisi pengendali itu untuk meletakkan kembali kelab ke kancah
saingan Liga Juara-Juara.
Musim pertama Herrera bersama United boleh
dianggap berjalan lancar apabila beliau melakukan 26 penampilan di Liga Perdana
selain berjaya meledak enam gol. Bagaimanapun di musim kedua beliau terutamanya
di penghujung era regim Van Gaal, Herrera kerap memanaskan bangku simpanan
kerana pengendali itu lebih gemar meletakan sama ada Bastian Schweinsteiger
atau Morgan Schneiderlin di bahagian tengah.
Peranan
Besar Mourinho Di Belakang Tabir...
Herrera mengakui peranan besar yang dimainkan
Jose Mourinho di sebalik peningkatan ketara prestasi beliau di atas padang
sepanjang musim lalu. Jika pada musim 2015-16, Herrera cuma mampu melakukan
enam penampilan penuh dari 27 aksi di Liga Perdana, hal sebaliknya pula berlaku
musim lalu. Musim 2016-17 merupakan musim paling sukses untuk warga Sepanyol
ini sepanjang tiga musim beliau menyarung jersi United.
Selepas mengambil alih tugas pengendali dari
Van Gaal, antara langkah awal yang dilakukan Mourinho ialah mencari jalan
bagaimana mahu meningkatkan prestasi Herrera agar beliau mampu menjadi nadi
penting di bahagian tengah skuadnya. Di sebalik kegagalan Herrera menyerlah
pada musim kedua beliau bersama kelab, Mourinho pula melihat masih ada potensi
besar dalam diri pemain ini yang belum dicungkil sepenuhnya.
Apa
Yang Mourinho Mahukan....
Mourinho mahu menjadikan Herrera penggerak penting
jentera tengah United, jadi beliau juga perlu mencari jalan bagaimana mahu
memaksimakan potensi bekas pemain Real Zaragoza dan Athletic Bilbao itu.
Menyedari bahawa Herrera memiliki mobiliti tinggi dalam permainannya dan
dianugerahkan stamina luar biasa, Mourinho mahukan beliau memainkan tugas
berbeza ketika di atas padang.
Herrera tahu bahawa sangat sukar untuk beliau
memainkan peranan sebagai pemain nombor 10 kerana di Manchester United
kesuksesan bagi mana-mana pemain yang memainkan peranan tersebut diukur
menerusi jumlah gol yang dihasilkan sepanjang musim. Jadi menurut Herrera,
perlu untuk beliau menawarkan `sesuatu yang berbeza’ kepada Mourinho agar
dirinya sentiasa menjadi pilihan dalam kesebelasan utama.
Kunci
Kepada Strategi Mourinho...
Kemampuan beliau memainkan peranan dengan
sangat berkesan sama ada dalam situasi bertahan mahupun menyerang menjadi
faktor utama mengapa Herrera muncul pemain United paling menyerlah musim lalu.
Aksi menentang Chelsea di Old Trafford pada 16 April lalu merupakan aksi paling
cemerlang dipamerkan Herrera dari 31 penampilannya dalam saingan liga.
Dalam perlawanan itu Herrera bukan sahaja
berjaya menjalankan tugasnya dalam merantai setiap pergerakan Eden Hazard,
malah beliau juga berjaya memenangi pertempurannya dengan N’Golo Kante di
bahagian tengah. Apa yang menariknya dalam perlawanan itu bukan keputusan
Mourinho meletakkan Ibra di bangku simpanan atau menyerahkan `armband’ kepada Ashley Young tetapi
peranan yang dimainkan Herrera sepanjang perlawanan.
Ketika bertahan, Herrera akan lebih banyak berlegar
di sebelah kanan (posisi kiri serangan Chelsea di mana Hazard berada) manakala
dalam situasi menyerang pula daya jelajahnya yang tinggi membolehkan beliau
meletakkan dirinya di mana-mana sudut padang bagi membuka ruang atau
membekalkan hantaran-hantaran untuk disudahkan oleh Marcus Rashford atau Jesse
Lingard.
Atau mungkin lebih tepatnya saya boleh
katakan bahawa Herrera sebenarnya memainkan tiga peranan sekaligus dalam
perlawanan tersebut iaitu mengawal Hazard, bertindak sebagai playmaker dan juga box to box midfielder. Statistik selepas tamat perlawanan
menunjukkan Herrera melakukan 43 hantaran tepat, lima clearance, empat intercept,
empat tackle, mencipta dua peluang,
menyumbang satu assist dan menjaringkan satu gol.
Di
Mana Posisi Sebenar Herrera?...
Ini sebenarnya persoalan menarik untuk
dijawab kerana jika dilihat kepada peranan yang beliau mainkan di bahagian
tengah United sepanjang musim lalu, saya sendiri sebenarnya tertanya-tanya di
mana posisi sebenar Herrera. Ketika `mode’
United bertukar dari bertahan kepada menyerang, Herrera adakalanya seperti
sedang memainkan peranan nombor 10 atau nombor 8, namun ketika situasi bertahan
beliau melaksanakan peranan nombor 4 dengan sangat berkesan.
Persoalan ini sebenarnya agak sukar untuk
dijawab kerana dengan mobiliti tinggi yang beliau miliki dalam ciri
permainannya, Herrera boleh berada di mana-mana posisi mengikut keperluan atau
arahan Mourinho. Saat kubu United di asak beliau sentiasa bersedia melakukan
duel fizikal dengan mana-mana pemain lawan, manakala ketika menyerang Paul
Pogba akan mendapati beliau tidak keseorangan kerana Herrera sentiasa ada
membantu dalam menyusun gerakan serangan.
Tiga
Dalam Satu...
Selepas kegagalan David Moyes mendapatkan
khidmat Herrera pada musim panas 2013, Van Gaal yang menggantikan posisi beliau
di Old Trafford akhirnya berjaya memujuk Herrera meninggalkan La Liga dan
bermain di Liga Perdana. Mungkin ketika itu kita sendiri tidak menyedari bahawa
sebaik sahaja Herrera diumumkan secara rasmi sebagai pemain United, Van Gaal
sebenarnya sudah melakukan pelaburan bijak dengan membeli `tiga pemain’
sekaligus.
Van Gaal mungkin gagal mengesan potensi
sebenar yang ada dalam diri Herrera hinggakan bakat besar yang dimiliki pemain
kelahiran Bilbao ini sedikit meredup terutamanya di penghujung era pemerintahan
beliau di Old Trafford. Kedatangan Mourinho akhirnya mengubah nasib Herrera,
apabila beliau berjaya menjadikan pemain ini dari sekadar pilihan kedua kepada
nadi penting jentera tengah skuadnya dan pemain yang tidak mampu United
kehilangan khidmatnya di atas padang.
Herrera sudah menegaskan komitmennya untuk
United meskipun Barcelona dan Valencia menunjukkan minat untuk membawa beliau
pulang semula ke Sepanyol. Selepas melihat sumbangan serta peranan yang
dimainkannya sepanjang musim lalu, tentu kita mahu melihat Herrera kekal lebih
lama di Old Trafford dan memainkan peranan lebih besar dalam pemburuan lebih
banyak kejuaraan selepas ini.
Pada usia 27 tahun, masih banyak yang mampu
ditawarkan Herrera untuk United dan pada usia tersebut juga masih banyak ruang
untuk beliau meningkat menjadi pemain yang jauh lebih bagus berbanding
sekarang. Kapten masa depan United? Tentu menarik untuk melihat beliau di
posisi tersebut suatu hari nanti kerana bagi pemain yang meletakkan
segala-galanya di atas padang, `armband’
ketua pasukan merupakan anugerah yang selayaknya diberikan kepada
beliau...Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan