13 Jun 2017

APA YANG MAMPU `ICEMAN’ TAWARKAN DI BENTENG PERTAHANAN UNITED?




Ezequiel Garay, Nicholas Gaitan dan Renato Sanches antara pemain yang saya ingat pernah dikaitkan dengan perpindahan ke Manchester United namun tiada satupun khabar angin tersebut menjadi kenyataan. Antara tiga nama yang saya sebut di atas, Garay tentunya paling diingati penyokong-penyokong United kerana rumours tentang perpindahan beliau ke Old Trafford hangat diperkatakan sejak era Sir Alex Ferguson lagi.

Selepas berderet-deret khabar angin tentang perpindahan bintang-bintang Benfica ke Old Trafford, Manchester United akhirnya mengesahkan bahawa mereka sudah berjaya mendapatkan khidmat Victor Lindelof, pertahanan tengah Sweden yang musim lalu berjaya membantu skuad Aguias menjulang trofi Premiera Liga buat musim kedua berturut-turut.

Nilai sebanyak £38 juta yang dibayar United untuk membawa pertahanan berusia 22 tahun ini beraksi di Theatre of Dreams meletakkan Lindelof di kedudukan ketiga sebagai pemain pertahanan termahal dunia selepas David Luiz dan John Stones. Khabar gembira ini juga menamatkan penantian selama enam bulan penyokong-penyokong United selepas Lindelof mula dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford sejak Januari lalu.

Peringkat Awal Karier Lindelof...

Lindelof dilahirkan di Vasteras, Sweden pada 22 Julai 1994 dan memulakan kariernya bersama kelab tempatan IK Franke. Pada 2007 beliau menyertai akademi Vasteras IK dan tiga tahun selepas itu atau lebih tepatnya pada usia mencecah 16 tahun, Lindelof dipromosikan ke skuad utama Vasteras SK yang ketika itu bersaing di liga Divisyen 3 Sweden. Bakat serta kualiti yang beliau miliki selaku pemain pertahanan menyaksikan Lindelof diberikan kepercayaan untuk membarisi kesebelasan utama Vasteras pada usia yang dianggap masih terlalu muda.

Selama dua musim sejak beliau dipromosikan ke skuad utama, Lindelof sudah menunjukkan tanda-tanda bahawa beliaulah prospek pertahanan masa depan Sweden apabila muncul tembok kukuh di benteng Vasteras dan berjaya membantu kelab tersebut naik ke Divisyen 2. 41 penampilan untuk Vasteras cukup untuk beliau mencuri perhatian pencari bakat kelab-kelab Eropah di mana pada 2012 dengan nilai perpindahan sebanyak €60 ribu yang dibayar Benfica, Lindelof akhirnya berjaya di bawa ke Portugal.

Hampir Menyertai Middlesbrough...

Selama tiga tahun beraksi untuk Benfica B, Lindelof berjaya melakukan 96 penampilan, menjaringkan tiga gol dan mencipta empat assist. Prestasi terpuji yang beliau pamerkan menyaksikan Lindelof kemudiannya dipromosikan ke skuad utama Benfica untuk musim 2015-16. Tidak sepertimana di Vasteras, kali ini Lindelof mendapati sukar untuk beliau merebut tempat dalam kesebelasan utama Benfica apatah lagi Rui Vitoria lebih mempercayai gandingan Luisao dan Jardel Nivaldo Vieira untuk diletakkan di benteng tengah skuadnya.

Kecewa dengan situasi yang dialaminya menyaksikan beliau hampir sahaja menyertai Middlesbrough sebagai pemain pinjaman ketika jendela perpindahan musim sejuk 2015/16 dibuka. Bagaimanapun krisis kecederaan pemain di benteng pertahanan memaksa Rui Vitoria mengekalkan beliau di Estadio Da Luz. Kesempatan akhirnya datang juga apabila Lindelof diberikan penampilan penuh pertama oleh Vitoria dalam saingan Primeira Liga ketika Benfica berdepan Belenenses pada 6 Februari 2016 selepas Luisao diketepikan akibat kecederaan.

Gaya Pertahanan Tradisional...

Ada segelintir penyokong United mengatakan bahawa gaya permainan Lindelof mirip kepada Nemanja Vidic, `Si Penyembelih Balkan’ yang mengabdikan lapan tahun kariernya sebagai pengawal benteng pertahanan United. Memang ada sedikit ciri Vidic tetapi secara keseluruhannya gaya permainan Lindelof sebenarnya lebih mengingatkan saya kepada kelibat Rio Ferdinand.

Sepertimana tipikal pertahanan-pertahanan tradisional Inggeris yang terdahulu dan yang ada sekarang, Lindelof gemar menggunakan kekuatan tubuhnya ketika melakukan duel dengan mana-mana pemain lawan, kuat dalam perebutan bola tinggi, bijak dalam menutup ruang dan paling penting sepertimana Ferdinand beliau juga bijak dalam melakukan `tackle’ yang bersih.

Jika Ferdinand sangat dikenali sebagai pemain pertahanan yang `bergaya’ serta berkeyakinan tinggi ketika bola berada di kakinya di zaman kemuncak beliau, apa kurangnya juga dengan Lindelof. Keyakinan beliau ketika merancangan serangan dari bawah dan mara jauh ke atas dalam situasi menyerang serta gemar melakukan hantaran-hantaran pendek menjadi pelengkap kepada ciri permainannya.

Kualiti hantaran yang dimiliki beliau pula boleh dianggap menepati standard permainan United. Sepanjang saingan Primeira Liga musim lalu, Lindelof melakukan purata 62.2 hantaran per perlawanan dengan peratusan ketepatan mencapai 89.9%. Statistik beliau dalam melakukan kerja-kerja defensif pula menyaksikan Lindelof melakukan 119 clearance, 52 intercept dan 7 block sepanjang 32 penampilan di pentas liga bersama Benfica.

Boleh Bermain Dua Posisi...

Keputusan Mourinho menandatangani Lindelof sebenarnya menambahkan lagi bilangan pemain yang boleh beraksi lebih dari satu posisi dalam skuad United. Daley Blind, Marcos Rojo, Phil Jones, Henrikh Mkhitaryan, Juan Mata, Marcus Rashford dan Anthony Martial antara pemain yang kita tahu tidak berdepan masalah jika Mourinho mahukan mereka beraksi di luar posisi asal mereka. Lindelof pula bukan sekadar mampu bertindak sebagai centre back tetapi posisi sebagai pertahanan kanan juga sebenarnya bukanlah terlalu asing buat beliau.

Jika Rui Vitoria mahu melakukan perubahan taktikal dengan meletakkan gandingan Lisandro Lopez dan Luisao di benteng tengah, Lindelof pula merupakan pilihan beliau untuk mengisi posisi di sebelah kanan pertahanan skuadnya. Mengikut catatan yang dikeluarkan Whoscored.com, musim lalu Lindelof pernah dua kali bermain di posisi pertahanan kanan. Jangan lupakan juga fakta bahawa ketika beraksi untuk Benfica B, beliau juga sering digunakan Luis Norton de Matos untuk bertindak sebagai pemain tengah bertahan.

Apa Yang Mampu Ditawarkan Lindelof?...

Musim lalu United muncul pasukan di tangga kedua yang memiliki benteng pertahanan paling kebal di belakang Tottenham Hotspurs dalam saingan liga selepas gawang mereka dibolosi sebanyak 29 kali. Meskipun begitu Mourinho nampaknya kurang berpuashati dengan prestasi yang ditunjukkan barisan pemain pertahanannya terutamanya Chris Smalling yang sering melakukan kesilapan mudah manakala Phil Jones pula sangat akrab dengan kecederaan berulang.

Dengan adanya Lindelof yang memiliki purata 1.6 intercept dan 3.7 clearance per perlawanan, beliau tampak seperti bakal menjadi pelindung yang ideal kepada benteng pertahanan United. Sangat menarik untuk kita nantikan bagaimana Eric Bailly dan Lindelof membentuk gandingan di posisi centre back kerana kedua-dua mereka merupakan pertahanan yang versatile. Sepertimana Lindelof, Bailly juga boleh bermain lebih dari satu posisi sama ada sebagai pertahanan kanan atau kiri.

Ramai yang mengatakan bahawa kombinasi Bailly dan Lindelof mengingatkan kita kepada duet mematikan yang pernah dibentuk Sir Alex Ferguson menerusi gandingan Rio Ferdinand dan Nemanja Vidic di jantung pertahanan United suatu ketika dahulu. Kedua-duanya masih muda, berkemahiran, agresif, keras, berkeyakinan tinggi serta memiliki kelajuan yang bagus. Semua ciri-ciri yang saya sebutkan tadi memang sepatutnya ada kepada seorang centre back unggul.

Jadi saya juga sudah boleh membayangkan bahawa kelebihan yang dimiliki kedua-dua pemain ini memungkin Mourinho untuk menerapkan strategi high defensive line dalam permainan United musim depan. Lindelof diberikan gelaran `Iceman’ bukan kerana beliau berasal dari Sweden, negara Scandinavia yang suhu musim sejuknya boleh mencecah sehingga -25º celcius tetapi kerana ketenangannya ketika mengawal benteng pertahanan. Selepas melalui musim yang cemerlang di Estadio da Luz saya ingin melihat apa yang mampu beliau tawarkan di Theatre of Dreams pula...Glory Glory Manchester United!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan