25 September 2017

ANTARA TIGA MATA, PERMAINAN CANTIK DAN `PRAGMATISME’ MOURINHO




Musim lalu Manchester United hanya mampu membawa pulang satu mata dalam kunjungan mereka di St Mary namun kali ini cerita sebaliknya berlaku. Jaringan Romelu Lukaku di minit ke-20 sudah cukup buat barisan Jose Mourinho mengenggam tiga mata penuh sekaligus menyaksikan mereka terus mengekori rapat satu lagi kelab dari Manchester (Manchester City) yang kini berada di tangga teratas menerusi perbezaan jaringan gol.

Walaupun menang, tetap terdengar rungutan dari penyokong-penyokong United sendiri terutamanya apabila mereka bercakap tentang corak permainan yang dipamerkan kesebelasan The Red Devils sepanjang 90 minit aksi di St Mary. Bagi `peminat bolasepak tulen’, corak permainan yang dipamerkan United ketika berdepan Southampton kelmarin bukanlah permainan yang ingin ditonton terutamanya bagi mengisi malam hujung minggu mereka.

Memang diakui di St Mary, United tidak mempamerkan corak permainan menghiburkan sepertimana ketika mereka membelasah West Ham, Swansea City dan Everton atau ketika mereka menguasai Stoke City secara total di Bet365 Stadium. Selepas menyaksikan Chelsea dan Manchester City mencatatkan kemenangan besar ke atas lawan masing-masing, sudah tentu persembahan keseluruhan United ketika berdepan Southampton dijadikan perbandingan.

Cubalah Bersikap Realistik...

Corak permainan United sepanjang aksi di St Mary mungkin aksi paling membosankan yang dipersembahkan oleh anak-anak buah Mourinho musim ini. Ketika lawan menguasai permainan dan melakukan tekanan demi tekanan, United pula bermatian-matian cuba mempertahankan kelebihan satu gol yang dimiliki mereka hingga ke penghujung permainan.

Apa yang dipersembahkan United kelmarin sepatutnya mengingatkan kita agar lebih bersikap realstik dan lebih bersedia untuk menyaksikan lebih banyak aksi `membosankan’ seperti ini. Tidak mungkin setiap minggu United bermain corak permainan menyerang yang menarik seperti yang mereka pamerkan ketika berdepan West Ham, Swansea City atau Everton dan hal ini diakui Mourinho selepas tamat aksi menentang The Saints.

Demi meraih tiga mata penuh dan memastikan kelebihan satu gol yang diperolehi kekal hingga ke tiupan wisel terakhir, Mourinho menggunakan strategi `parkir bas’ yang memang sudah sinonim dengan diri beliau. 15 minit sebelum tempoh sebenar permainan tamat, beliau melakukan apa yang kebanyakkan pasukan di Liga Perdana lakukan, iaitu meletakkan lima pemain pertahanan di benteng bagi memastikan lawan buntu dalam usaha mereka mencari gol penyamaan.

Taktik `Ala Mourinho’...

Ketika mengemudi Chelsea keluar sebagai juara Liga Perdana (musim 2014/15), The Blues pimpinan Mourinho cuma berhasil menjaringkan tiga gol atau lebih ke gawang lawan dalam sepuluh perlawanan. Dari jumlah tersebut mereka menang sembilan perlawanan dan tewas sekali ketika berdepan Tottenham Hotspurs dalam aksi yang penuh dramatik (Chelsea tewas 3-5).

Bagi individu bernama José Mário dos Santos Mourinho Félix ini, persetankan corak permainan bolasepak menarik kerana bagi beliau meletakkan skuadnya keluar sebagai pemenang di akhir perlawanan adalah jauh mengatasi segala-galanya. Contoh paling hampir lihat bagaimana United bermain di final Liga Europa 25 Mei lalu. Ajax pimpinan Peter Bosz skuad yang jauh lebih menarik di atas padang tetapi mereka akhirnya terpaksa akur melihat United berada di podium kejuaraan.

Bagi Mourinho elemen utama setiap kali beliau merencana taktiknya ialah menganalisa kekuatan dan kelemahan lawan yang bakal dihadapinya. Oleh sebab itulah sebelum aksi final di Friends Arena menentang Ajax, beliau mewajibkan setiap pemainnya meneliti rakaman video aksi pemain-pemain lawan mengikut posisi masing-masing.

Menyedari bahawa Ajax dibarisi ramai pemain-pemain muda dan gemar melakukan hantaran-hantaran pendek, Mourinho mengimbangi kekuatan lawan menerusi taktik hantaran-hantaran bola tinggi yang ditujukan terus ke arah Marouane Fellaini atau Paul Pogba. Taktik yang dianggap lapuk dan membosankan ini akhirnya menyaksikan Mourinho mengukir sejarah tersendiri apabila muncul pengurus pertama United yang berjaya memenangi trofi Liga Europa.

Aksi final Liga Europa salah satu contoh terbaik mengapa Mourinho sering dilabel sebagai seorang pengurus yang pragmatik dan di St Mary beliau membuktikan kebenaran tersebut. Bagi Mourinho, pola permainan United sama ada bermain secara menyerang atau bertahan ditentukan oleh lawan mana yang bakal beliau hadapi, bukan secara berterusan menerapkan permainan bolasepak menarik sebagai hiburan di malam hujung minggu.

Tiga Mata Atau Permainan Menghiburkan?...

Liga Perdana bukannya seperti La Liga yang sering didominasi Real Madrid dan Barcelona, juga bukan Bundesliga yang dikuasai oleh Bayern Munich atau Ligue 1 yang pernah menyaksikan Olympique Lyon muncul juara selama tujuh musim berturut-turut (2001/02 hingga 2007/08) dan kemudiannya muncul pula PSG menerusi empat kejuaraan liga yang mereka menangi (2012/13 hingga 2015/16).

Sejak barisan kendalian Sir Alex Ferguson mendominasi Liga Perdana menerusi kejayaan hatrik yang dilakukan mereka bermula dari musim 2006/07 hingga 2008/09, tiada mana-mana kelab yang berjaya menjulang kejuaraan liga selama dua musim berturut-turut. Ketatnya persaingan di Liga Perdana tidak memungkinkan untuk mana-mana pasukan bermain `cantik’ setiap minggu dan United tidak terkecuali.

 “Tiga mata yang fantastis kerana jumlah (mata) ini sama dengan mata yang dikutip ketika kami menang 4-0”, itulah antara perkataan yang keluar dari mulut Mourinho selepas tamat aksi menentang Southampton. Bagi saya pula, meskipun sedikit bosan dengan aksi yang dipamerkan United di St Mary, namun di akhir perlawanan saya tetap berpuashati kerana The Red Devils pulang dengan tiga mata penuh.

Akhir sekali, jika anda mengimpikan United bermain cantik setiap minggu persis Barcelona atau memperagakan `totaalvoetbal’ versi Ajax Amsterdam, Mourinho bukanlah individu yang tepat untuk diletakkan sebagai pengendali kelab. Tetapi jika anda mahu menyaksikan The Red Devils kembali mengumpul trofi dalam kabinet kejuaraan mereka, pihak pengurusan kelab sebenarnya sudah memilih tangan yang tepat sebagai jurutaktik di atas padang. Glory Glory Manchester United!!!

19 September 2017

100 CLEAN SHEET DAN LEGASI `SI TANGAN EMAS’ DI OLD TRAFFORD




Pada musim panas 2011 atau kira-kira enam tahun yang lalu, beliau tiba di Old Trafford dengan reputasi sebagai prospek penjaga gol terbaik dunia suatu hari nanti. Dan ketika itu, David De Gea baru berusia 20 tahun ketika Sir Alex Ferguson membawa beliau menyertai United dari Atletico Madrid menerusi nilai perpindahan sebanyak £18.9 juta.

Jumlah wang yang dibayar United ketika itu bukan sahaja meletakkan De Gea sebagai penjaga gol termahal di kepulauan Britain tetapi lebih daripada itu beliau juga sebenarnya bakal berdepan cabaran lebih getir iaitu meneruskan legasi `sepasang tangan emas’ yang tugasnya memastikan agar gawang The Red Devils tidak mudah dibolosi lawan.

Legasi Sebelumnya...

Pintu gol United sebelumnya pernah dikawal oleh barisan penjaga gol terbaik di era masing-masing...dari Harry Gregg, Alex Stepney, Jimmy Rimmer, Gary Bailey, Peter Schmeichel, Fabien Barthez dan kemudiannya Edwin Van Der Sar. Saya tidak pernah menyaksikan Gregg, Stepney dan Rimmer beraksi cuma mengetahui kehebatan mereka menerusi pembacaan.

Bagi generasi penyokong era 70an dan 80an, aksi Bailey pula pastinya bukanlah asing bagi anda terutamanya saat beliau memastikan gawang United tidak dibolosi ketika membantu kelab mengejutkan Everton yang dibarisi pemain-pemain hebat seperti Pat Van Den Hauwe, Trevor Steven, Graeme Sharp, Neville Southall, Kevin Sheedy dan Andy Gray di final Piala FA edisi 1985.

Di era 90an, kita menyaksikan pula kehebatan Schmeichel selaku `tembok besar’ di hadapan gawang United hinggalah kemuncaknya apabila `The Great Dane’ berjaya membantu kelab menjulang kejuaraan Treble pada 1999. Musim 1998-99 merupakan musim terakhir Schmeichel di Old Trafford dan pemergian beliau selepas kejayaan epik di Nou Camp menyaksikan kelab kemudiannya bergelut mencari pengganti setaraf.

Sukarnya Mencari Pengganti Schmeichel...

Barthez tiba di Old Trafford pada tahun 2000 dengan reputasi selaku juara dunia bersama skuad kebangsaan Perancis hasil dari kejayaan mereka di final `France 98’ dan kekal bersama kelab selama empat tahun. Meskipun begitu secara jujurnya posisi Schmeichel menerusi sepasang tangan emasnya tidak tergantikan meskipun dengan kehadiran penjaga gol sekelas Barthez.

Ketika eranya, Barthez memang diakui antara penjaga gol yang menarik untuk disaksikan aksinya tetapi dalam masa yang sama beliau juga bukanlah penjaga gol yang konsisten sepertimana Schmeichel. Bagaimanapun kehadiran Van der Sar pada 2005 menamatkan `pergelutan’ Fergie dalam mencari pengganti sehebat Schmeichel selaku penjaga gawang skuadnya.

Fergie mengakui bahawa beliau melepaskan peluang terbaik mendapatkan khidmat Van der Sar pada 1999 dari Ajax Amsterdam hingga menyaksikan legenda Belanda itu menyertai Juventus selama dua musim. Bagaimanapun peluang kedua yang hadir di hadapan mata tidak dilepaskan Fergie apabila beliau berjaya dalam misinya untuk membawa Van der Sar keluar dari Craven Cottage.

Fergie melabelkan Van der Sar sebagai penjaga gol terbaik United selepas era Schmeichel dan pujian pengendali legenda itu dibuktikan beliau menerusi ketangkasannya serta penyelamatan-penyelamatan hebat yang dilakukannya di hadapan pintu gol United selama enam musim Van der Sar menabur bakti bersama kelab.

Sebaik berakhirnya aksi menentang Fulham pada 18 Februari 2009, Van der Sar berjaya meleburkan rekod clean sheet dunia yang sebelumnya dipegang oleh Jose Maria Buljubasich ketika beliau mengawal gawang Universidad Catolica di Liga Perdana Chile. United menewaskan Fulham 3-0 di Old Trafford sekaligus menyaksikan Van der Sar berjaya mempertahankan pintu golnya dari dibolosi selama 1,302 minit.

Bagaimanapun momen paling sensasi bila bercakap tentang Van der Sar berlaku pada tanggal 22 Mei 2008, saat beliau menafikan sepakan penalti Nicholas Anelka di Stadium Luzhniki. Tiga tahun selepas kejayaan menjulang trofi Liga Juara-Juara di Moscow, beliau akhirnya mengumumkan persaraannya lantas memaksa Fergie melancarkan misi mencari `sepasang tangan emas’ yang baharu untuk mengawal pintu gol skuadnya.

Era `Dave Save’...

Dari seorang remaja kurus kering yang kekuatan fizikal serta mentalnya pernah diragui dalam menangani kerasnya permainan bolasepak Inggeris, De Gea kini diiktiraf sebagai antara penjaga gol terbaik dunia. Jadi tidak hairanlah mengapa dalam tempoh beberapa musim terakhir kelibat De Gea menjadi `kegilaan’ Real Madrid yang berhasrat meletakkan beliau selaku penjaga gawang utama mereka selepas berakhirnya era Iker Casillas.

Peningkatan De Gea dari musim ke musim semakin ketara meskipun kemampuan beliau pada awal kedatangannya serta harga yang dibayar kelab untuk mendapatkan khidmatnya diragui dan diperdebatkan oleh penyokong-penyokong United sendiri. Untuk itu, kredit juga sepatutnya diberikan kepada Eric Steele (bekas jurulatih penjaga gol United) kerana berjaya membentuk karakter De Gea hingga muncul antara watak penting dalam kesebelasan United.

Sepasang tangan emas milik De Gea serta gerak balas refleksnya sentiasa menjadi penyelamat di pintu gol United, hinggakan pernah suatu ketika Gary Neville mengatakan bahawa jika tidak kerana beberapa siri penyelamatan hebat yang dilakukan beliau, David Moyes dan Louis Van Gaal mungkin dipecat lebih awal berikutan aksi lesu yang dipamerkan kelab ketika di bawah kendalian mereka.

Ketika masa depan beliau bersama kelab terus dipersoalkan, De Gea nampaknya tidak terganggu dengan segala cerita sensasi yang berlaku di luar padang apabila memulakan tiga perlawanan liga di awal musim dengan catatan clean sheet. Meskipun catatan tersebut dihentikan Stoke City hujung minggu lalu, De Gea kembali memastikan gawangnya tidak dibolosi ketika membantu United menewaskan Everton 4-0 kelmarin.

Catatan ini merupakan clean sheet ke-100 yang dilakukan De Gea sejak beliau menyertai United pada 2011. Dari jumlah tersebut, 79 clean sheet dilakukan beliau di Liga Perdana, sepuluh di Liga Juara-Juara, satu di Liga Europa, empat di Piala FA, lima di Piala Liga dan satu di Perisai Komuniti. Sangat mengagumkan melihat pencapaian tersebut dilakukan oleh seorang penjaga gol yang beraksi di Liga Perdana, liga yang dianggap paling sukar di dunia.

Mampukah United Pertahankan De Gea?...

Inilah persoalan yang sering dibincangkan baik oleh penganalisa bolasepak mahupun penyokong-penyokong United sendiri setiap kali jendela perpindahan pemain dibuka. De Gea kini antara penjaga gol kelas dunia dan antara kualiti terbaik yang ada dalam skuad United pimpinan Mourinho, jadi sudah tentu segala khabar angin membabitkan masa depannya menjadi topik paling hangat untuk dibincangkan. Jika De Gea mahu meninggalkan United, hanya ada dua destinasi yang berpotensi besar untuk beliau tuju, iaitu Nou Camp ataupun Santiago Bernabeu.

Sebagai warga Sepanyol, sukar untuk De Gea menolak godaan yang datang dari Barca mahupun Real, dua kelab yang diiktiraf paling berjaya di dunia jika koleksi kejuaraan domestik mahupun Eropah yang berjaya mereka kumpul dijadikan ukuran. Bagaimanapun hanya Real nampaknya begitu berminat mahu membawa semula De Gea beraksi di La Liga bagi meneruskan legasi warga Sepanyol sebelumnya seperti Ricardo Zamora, Miguel Angel Gonzalez, Antonio Betancort, Paco Buyo, Mariano Garcia-Remon dan Iker Cassilas yang pernah mengawal gawang mereka.

Setakat ini pihak pengurusan United melakukan tugas mereka dengan cukup baik dalam melindungi De Gea dari godaan Real tetapi kita tidak tahu berapa lama mereka mampu terus mengekalkan bintang Sepanyol itu di Old Trafford. Akhirnya De Gea membuktikan bahawa beliau layak berada sebaris dengan legenda penjaga gol United sebelumnya seperti Harry Gregg, Alex Stepney, Jimmy Rimmer, Peter Schmeichel dan Edwin Van der Sar, sambil kita pula berharap agar laungan“Dave Save” akan terus bergema di Old Trafford musim depan...Glory Glory Manchester United!!!

13 September 2017

LANGKAH KANAN DALAM MISI MENUJU KE KIEV




Selepas `berehat’ selama semusim, Manchester United kembali beraksi di pentas Liga Juara-Juara dan awal pagi tadi mereka memulakan kempen di saingan elit kelab-kelab Eropah itu dengan langkah kanan selepas berjaya menewaskan FC Basel (3-0) di Old Trafford.

Mengatasi lawan terutamanya dalam saingan Eropah menerusi kelebihan margin tiga gol sambil memastikan gawang tidak dibolosi merupakan satu kemenangan yang menyakinkan tapi dalam masa yang sama kita juga perlu mengakui bahawa United sebenarnya tidak bermain dengan baik.

Romelu Lukaku mengatakan bahawa United sepatutnya menjaringkan lebih banyak gol selepas mereka mendominasi sepenuhnya perlawanan manakala Jose Mourinho pula mengatakan bahawa barisan pemainnya seperti bermainan permainan video game selepas mereka mendahului 2-0 dengan terlalu banyak melakukan `trick’.

Jangan Pernah Lupakan Sejarah Silam...

Berbanding Kumpulan B (Bayern Munich, Paris St Germain, Anderlecht dan Celtic) Kumpulan C (Chelsea, Atletico Madrid, AS Roma dan Qarabag) serta Kumpulan H (Real Madrid, Borussia Dortmund, Tottenham Hotspurs dan APOEL) yang dianggap sebagai `kumpulan maut’, United sepatutnya tidak berdepan masalah untuk mara ke pusingan kalah mati berdasarkan kekuatan skuad yang dimiliki Mourinho.

Benarkah ini undian yang mudah untuk United? Ya...di atas kertas kedudukan sebagai juara kumpulan atau setidak-tidaknya tangga kedua bagi membolehkan kelab mara ke pusingan kalah mati (16 pasukan) bakal menjadi milik barisan Mourinho. Bagaimanapun dalam masa yang sama jangan sesekali meremehkan kemampuan Basel, Benfica dan CSKA Moscow dalam melakukan kejutan.

Masih ingatkah anda apa yang berlaku kepada barisan pimpinan Sir Alex Ferguson pada saingan Liga Juara-Juara edisi 2011/12. Ketika itu United diundi dalam Kumpulan C bersama Basel, Benfica serta wakil Romania, Otelul Galati dan dengan reputasi selaku juara Liga Perdana (musim 2010/11), United hadir sebagai pilihan utama untuk mara ke pusingan kalah mati.

Bagaimanapun hal sebaliknya berlaku apabila United sekadar menamatkan saingan peringkat kumpulan di tangga ketiga dengan Benfica pula muncul juara manakala satu tiket lagi ke pusingan kalah mati dalam genggaman Basel selaku pasukan kedua terbaik Kumpulan C. Dari enam aksi peringkat kumpulan, United cuma menang dua kali, seri tiga kali dan kalah sekali.

Kedudukan tangga ketiga melayakkan United beraksi di saingan Liga Europa, namun sumpahan aksi buruk mereka di Liga Juara-Juara berterusan dalam saingan `kelas kedua’ kelab-kelab Eropah itu pula. Di pusingan kalah mati 16 pasukan, United ditunjukkan jalan keluar oleh Athletic Bilbao selepas wakil Sepanyol itu mara ke suku akhir menerusi kelebihan aggregat 5-3.

United Meratapi Kehilangan Scholes...

Meskipun pada musim 2011/12, Fergie turut hilang khidmat Edwin van der Sar yang mengumumkan persaraan selain penyertaan beberapa pemain senior seperti John O’Shea. Wes Brown, Owen Hargreaves dan Gabriel Obertan ke kelab lain, kehilangan Paul Scholes selaku penggerak di bahagian tengah selama bertahun-tahun kariernya di Old Trafford sebenarnya sangat-sangat dirasai.

Hal ini ada kebenarannya kerana United ketika itu masih dibarisi duet Nemanja Vidic/Rio Ferdinand di barisan belakang, Patrice Evra yang tidak tergantikan tempatnya sebagai bek kiri, Michael Carrick menerusi ketenangannya mengawal tempo permainan di bahagian tengah serta gandingan Dimitar Berbatov dan Wayne Rooney selaku penggempur selain kualiti pemain yang ada di bangku simpanan.

Selepas aksi di St Jakob Park pada 8 Disember 2011 yang menyaksikan United tewas 1-2 kepada FC Basel sekaligus menamatkan juga sebarang usaha mereka mereka untuk melangkah ke pusingan kedua, Fergie mengakui bahawa pasukannya hilang kreativiti di bahagian tengah selepas persaraan Scholes sambil berharap legenda itu mempertimbangkan kemungkinan untuk kembali beraksi di atas padang.

Selepas Enam Tahun...

Kini selepas enam tahun, United, Basel dan Benfica sekali lagi diletakkan dalam kumpulan yang sama, jadi sudah tentu kita berharap agar memori hitam enam tahun lalu itu tidak berulang kembali. Berdasarkan prestasi di awal musim, United sudah menunjukkan tanda-tanda bahawa mereka adalah pasukan yang jauh lebih meningkat berbanding musim lalu.

Bagaimanapun seperti yang saya sebutkan di awal tadi, jangan sesekali menidakkan kemampuan Benfica dan Basel selaku juara Premeira Liga dan Swiss Super League dalam melakukan kejutan manakala perjalanan jauh ke Moscow pula sentiasa menjadi kunjungan yang dibenci oleh kelab-kelab Eropah yang lain berikutan kondisi padang yang biasanya buruk kesan dari suhu sejuk melampau.

Awal pagi tadi, United melaungkan kehadiran semula mereka ke saingan Liga Juara-Juara menerusi kemenangan menyakinkan ke atas Basel, pasukan yang enam tahun lalu berjaya memaksa barisan Fergie berkongsi mata ketika mereka berkunjung ke Old Trafford. Kemenangan itu juga menyaksikan United di bawah regim Mourinho meneruskan rekod tanpa kalah mereka (di Old Trafford) dalam saingan di pentas Eropah.

Untuk rekod, dari 19 aksi Eropah di gelanggang sendiri, United menang 15 perlawanan dan mencatatkan 4 keputusan seri. Kekebalan ketika beraksi di gelanggang sendiri bukan satu-satunya fakta yang menghiasi kemenangan United awal pagi tadi kerana kemampuan Marcus Rashford meledak gol pada setiap debut dalam kejohanan berbeza antara hal menarik yang dapat anda saksikan.

Bintang dalam pembikinan itu sudah menjaringkan gol ketika melakukan debut di Liga Perdana, Piala Liga, Liga Europa dan kini beliau melakukannya pula di pentas Liga Juara-Juara. Ketika Rashford terus menunjukkan potensi besar beliau, Romelu Lukaku pula membuktikan kepada penyokong-penyokong bahawa mereka kini boleh menyandarkan harapan kepada beliau sebagai mesin gol United yang baharu.

Lukaku meneruskan trend positifnya dalam semua kejohanan yang dianjurkan oleh UEFA apabila berjaya meledak 14 gol dari 28 perlawanan. Jaringan yang dihasilkannya ke gawang Basel awal pagi tadi pula menyaksikan beliau sudah menjaringkan enam gol dari enam penampilan bersama United sejak perpindahan sensasinya dari Goodisin Park Julai lalu.

Permulaan Langkah Ke Kiev...

Awal pagi tadi, selepas semusim United kembali ke saingan Liga Juara-Juara dengan langkah kanan menerusi kemenangan besar yang dilakar mereka ke atas FC Basel. Bagaimanapun perjalanan ke Kiev masih jauh dan jika United mahu beraksi di Stadium Olimpiyskiy 26 Mei nanti, Mourinho perlu menjadikan United barisan yang jauh lebih bagus berbanding apa yang mereka tampilkan ketika berdepan Basel.

Bagaimanapun kemenangan tetap kemenangan dan tiga mata yang berjaya diraih awal pagi tadi tetap satu keputusan yang bagus sebagai permulaan kepada kempen Liga Juara-Juara United. Dalam hujan di Old Trafford, United memulakan langkah kanan dalam misi merintis jalan ke Kiev dan dibantu dengan keberadaan Mourinho selaku pengendali, kehadiran semula The Red Devils di Liga Juara-Juara wajar diberikan perhatian oleh pencabar yang lain...Glory Glory Manchester United!!! 

10 September 2017

Bet365 STADIUM...KUBU YANG MEMANG SUKAR DITAWAN




Mourinho mahukan cabaran sebenar dan Stoke City akhirnya berjaya berikan apa yang beliau mahukan. Tidak sepertimana tiga aksi sebelumnya, United kali ini bukan sahaja gagal mengutip tiga mata penuh malah gawang mereka juga dibolosi sebanyak dua kali oleh Eric Maxim Choupo-Moting sekaligus menamatkan catatan tiga clean sheet David De Gea.

Sebelum perlawanan Jose Mourinho sudah membayangkan bahawa barisan pemainnya bakal berdepan laluan sukar di Bet365 Stadium mengingatkan fakta bahawa United tidak pernah menang selama empat tahun dalam kunjungan mereka ke gelanggang The Potters itu (pada saingan liga) sejak kali terakhir barisan Sir Alex Ferguson melakukannya pada 14 April 2013.

Pertukaran Posisi Yang Menjejaskan Kreativiti Mikhi...

Mengambilkira kesesuaian lawan yang bakal dihadapi, Mourinho menggunakan formasi 4-3-3 di Bet365 Stadium meskipun tiga perlawanan awal sebelumnya United sukses meraih sembilan mata dalam formasi 4-2-3-1. Perubahan ini menyaksikan Ander Herrera melakukan penampilan pertama beliau dalam kesebelasan utama musim ini manakala Henrikh Mkhitaryan yang sebelumnya memainkan peranan sebagai pemain `nombor 10’ beralih ke sebelah kanan.

Perubahan ini sebenarnya membataskan kreativiti Mikhi yang dalam tiga perlawanan awal memainkan peranan beliau selaku pemain `nombor 10’ dengan sangat berkesan. Bergerak dalam ruang sempit dan terbatas apatah lagi lawan pula mengamalkan pendekatan bertahan yang sangat tersusun, Mikhi bukan lagi pemain yang sama sepertimana anda lihat aksi beliau ketika berdepan West Ham, Swansea City dan Leicester City.

Berikan Lawan Ruang Dan Anda Terima Akibatnya...

Ada sebab mengapa posisi bek kiri antara posisi yang menjadi fokus utama Mourinho untuk beliau perkuatkan. Jadi tidak hairanlah juga mengapa sebelumnya nama Danny Rose dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford. Bukan saya mahu menidakkan kemampuan Matteo Darmian, tetapi lihat apa yang berlaku ketika Stoke menjaringkan gol pertama mereka.

Terlalu banyak ruang dan masa diberikan Darmian kepada Mame Biram-Diouf di sebelah kiri hingga membolehkan pemain Senegal itu melakukan umpanan silang terus ke dalam petak penalti yang berjaya disudahkan Choupo-Moting. Gol kedua jaringan Choupo-Moting pula saya ibaratkan sebagai hadiah dari pertahanan United untuk pemain terbaik perlawanan itu.

Mudah bagi pemain antarabangsa Cameroon itu menewaskan David De Gea buat kali kedua selepas Phil Jones hilang kesimbangan dalam usaha beliau mencabar Choupo-Moting dalam situasi perebutan bola tinggi. Untuk berdepan lawan yang mengamalkan pendekatan hantaran-hantaran bola tinggi seperti Stoke, Jones tampak seperti kurang bersedia dalam melakukan duel di udara.

United Perlukan Seorang Pemain Sayap Kanan Tulen...

Stoke City mendedahkan kepada kita mengapa Mourinho sangat perlukan seorang pemain sayap tulen untuk beliau letakkan di sebelah sisi kanan skuadnya. Ketika Marcus Rashford dan Anthony Martial silih berganti melaksanakan tugas mereka sebagai sayap kiri dengan berkesan, United pula nampaknya sangat bergantung kepada kelibat Antonio Valencia ketika mereka melancarkan gerakan-gerakan dari sebelah kanan.

Meskipun peranan Valencia sudah bertukar dari pemain sayap kepada bek kanan sejak beberapa musim terakhir, kelajuan yang dimiliki pemain Ecuador itu masih ditagih United dalam menghidupkan permainan mereka dari sisi kanan. Sebagai contoh, ketika berdepan West Ham dan Swansea City, Juan Mata tampak seperti mampu memainkan peranannya sebagai sayap kanan dengan berkesan tetapi tidak ketika berdepan Leicester City.

Ketika lawan memiliki barisan pertahanan lebih kental dan bek kiri dengan kualiti sebagus Christian Fuchs, tidak banyak ancaman yang mampu diberikan Mata berbanding dua aksi sebelumnya. Pelajaran penting dari aksi menentang Leicester ialah United perlukan seorang pemain sayap tulen yang memiliki kelajuan serta ketepatan hantaran-hantaran yang boleh membuatkan benteng pertahanan lawan kucar-kacir.

Aksi menentang Stoke City sekali lagi menunjukkan betapa perlunya United mendapatkan seorang pemain sayap tulen untuk mereka letakkan di sebelah sisi kanan. Kreativiti yang dimiliki pemain seperti Mikhi atau Mata lebih sesuai digunakan sebagai pemain tengah menyerang atau pemegang peranan pemain `nombor 10’ yang bergerak di belakang penyerang utama bukan melancarkan serangan-serangan dari sebelah tepi.

Hughes Dapat Apa Yang Beliau Mahukan...

Pada hakikatnya kedua-dua pasukan memang berkongsi mata hasil dari keputusan seri 2-2 yang mereka catatkan di Bet365 Stadium tapi selepas perlawanan Mark Hughes dan barisan pemainnya wajar meraikan keputusan tersebut sepanjang malam. Kejayaan memaksa barisan bernilai ratusan juta pound seperti United berkongsi mata umpama satu kemenangan buat The Potters, tidak kiralah bagaimana cara mereka bermain untuk memperolehi keputusan tersebut.

Mungkin juga kegembiraan Hughes kali ini mengatasi kegembiraan ketika beliau menyaksikan barisan pemainnya membenam Arsenal (1-0) 20 Ogos lalu, atau ketika mereka berjaya mencuri satu mata ketika berdepan West Bromwich di The Hawthorns. Bagaimanapun kredit juga patut diberikan kepada `Sparky’ kerana berjaya menyuntik kualiti dalam skuadnya menerusi kehadiran pemain seperti Kurt Zouma, Darren Fletcher dan sudah tentu Choupo-Moting.

Trend bermain secara defensif yang diamalkan pasukan pertengahan seperti Stoke City setiap kali berdepan pasukan pencabar kejuaraan liga memang menyukarkan selain faktor keletihan yang dialami pemain selepas pulang dari tugasan antarabangsa merupakan dua sebab utama yang digariskan Mourinho selepas menyaksikan kegagalan United menamatkan badi kemenangan di Bet365 Stadium buat tahun keempat...Glory Glory Manchester United!!!

06 September 2017

MENGHARAPKAN EFEK LEBIH BESAR DARI HENRIKH MIKHITARYAN


Musim lalu beliau tiba di Old Trafford berbekalkan reputasi sebagai antara pengumpan terbaik di Eropah menerusi catatan 15 assist dan 67 peluang jaringan gol yang diciptanya dalam saingan Bundesliga sepanjang musim 2015/16 ketika bersama Borussia Dortmund. Bagaimanapun Mikhi terpaksa bergelut dalam usahanya menyesuaikan diri dengan corak permainan Liga Perdana dan strategi permainan yang digunakan Jose Mourinho di peringkat awal karier bintang Armenia ini selaku pemain United.

Ketika itu, tidak banyak impak yang mampu dihadirkan Mikhi di atas padang ditambah pula beliau sendiri berdepan kesukaran merebut slot dalam kesebelasan utama pilihan Mourinho. Bukan itu sahaja, Mourinho juga pada awalnya seperti tercari-cari posisi paling sesuai untuk beliau letakkan Mikhi hinggakan pada satu ketika anda dapat saksikan Mikhi digunakan Mourinho sebagai bek kanan, sayap kanan dan pemain tengah menyerang.

Bagaimanapun secara perlahan-lahan, Mikhi mampu beradaptasi dengan gaya bolasepak Inggeris khususnya corak permainan United kendalian Mourinho hingga akhirnya beliau muncul antara pemain yang memainkan peranan penting di sebalik kejayaan kelab menjulang tiga kejuaraan musim lalu. Musim ini Mikhi bermula dengan baik menerusi prestasi cemerlang yang beliau pamerkan dalam tiga perlawanan liga sekaligus memberikan gambaran awal bahawa beliau bakal memainkan peranan penting dalam misi pemburuan kejuaraan United.

Otak Kepada Gerakan United...

Lima assist dari tiga perlawanan...apa lagi yang boleh anda harapkan dari seorang playmaker seperti Mikhi. Mikhi antara pemain yang sangat menonjol dalam skuad Mourinho musim ini menerusi kemampuan beliau membekalkan umpanan-umpanan berkualiti untuk disudahkan rakan sepasukan yang lain. Dari tiga perlawanan juga, Mikhi sudah mencipta sembilan peluang jaringan gol, sekaligus mengukuhkan reputasi beliau sebagai antara pemain kreatif dalam skuad Mourinho.

Penampilan cemerlang United di awal musim pada pandangan saya turut dibantu dengan keberadaan Mikhi menerusi peranan yang beliau mainkan di belakang penyerang utama. United sudah menjaringkan 10 gol dari tiga perlawanan liga dan itu juga bermakna 50% dari jaringan yang dihasilkan mereka berpunca dari bantuan gol yang disumbangkan Mikhi. Dari seorang pemain yang musim lalu tercari-cari posisi terbaiknya, Mikhi kini menjadi `otak’ kepada setiap gerakan-gerakan serangan United.

Menyamai Rekod 23 Tahun Ruel Fox...

Jumlah assist yang dilakukan Mikhi setakat ini menyaksikan beliau muncul penyumbang bantuan gol terbanyak (dari tiga perlawanan awal liga) berbanding catatan mana-mana pemain di Liga Perdana dalam tempoh enam musim terakhir. Catatan ini juga menyaksikan Mikhi menyamai pencapaian yang pernah dilakukan Ruel Fox 23 tahun lalu. Pada musim 1994/95, Fox mencipta lima bantuan gol dari tiga perlawanan awal liga bersama Newcastle United.

Buktikan Kemampuan Dalam Perlawanan Besar...

West Ham, Swansea City dan Leicester City boleh diumpamakan sebagai medan pemanas badan untuk kesebelasan United khususnya Mikhi. Ketika pesaing-pesaing kejuaraan yang lain masih tercari-cari rentak di awal musim, United merakam tiga kemenangan berturut-turut, menjaringkan sepuluh gol manakala gawang mereka masih kekal kebal tanpa dibolosi.

Prestasi cemerlang yang dipamerkan Mikhi turut menyumbang kepada faktor suksesnya perjalanan United di awal musim, namun dalam masa yang sama kita juga perlu mengakui bahawa barisan The Red Devils masih belum berdepan lawan setanding yang mampu membuatkan mereka `berpeluh’.

United masih belum berdepan kelab-kelab pencabar kejuaraan liga seperti Arsenal, Liverpool, Chelsea, Spurs dan Manchester City, juga pasukan yang mampu melakar kejutan seperti Everton, Southampton dan West Bromwich. Jangan lupakan juga saingan Liga Juara-Juara yang bakal bermula pertengahan minggu hadapan, pentas yang menawarkan cabaran berbeza kepada United mahupun Mikhi.

United perlukan kreativiti dari pemain seperti Mikhi ketika mereka berdepan lawan yang punya kualiti jauh lebih bagus berbanding West Ham, Swansea City ataupun Leicester dan dengan adanya Nemanja Matic di belakang, Mourinho sepatutnya tidak berdepan masalah memaksimakan potensi sebenar pemain berusia 28 tahun ini sebagai pemegang peranan `nombor 10’ dalam lineup beliau.

Fleksibeliti Mikhi Dalam Formasi Mourinho...

Tidak kira dalam skema formasi apa United bermain, Mikhi pastinya antara pemain yang wajib ada dalam senarai kesebelasan utama pilihan Mourinho berdasarkan fleksibeliti permainan beliau di atas padang. Di Signal Iduna Park, trio Marco Reus-Pierre Americk Aubamenyang-Mikhi muncul gandingan menakutkan di barisan hadapan yang berjaya dibentuk Thomas Tuchel menerusi formasi 4-3-3 yang digunakan beliau.

Musim lalu, menerusi formasi serupa yang digunakan Mourinho dalam beberapa perlawanan terpilih, beliau meletakkan gandingan Marcus Rashford-Zlatan Ibrahimovic-Mikhi sebagai trio di barisan hadapan. Dalam formasi 3-5-2 pula, kepantasan dan skill kawalan bola bagus yang dimiliki Mikhi menyaksikan Mourinho memilih beliau untuk berperanan sebagai sayap kanan, manakala Anthony Martial pula bergerak di sebelah kiri.

Dalam tiga perlawanan awal liga yang diharungi United musim ini pula, Mourinho menggunakan formasi 4-2-3-1 yang menyaksikan barisan pemainnya memulakan musim dengan sempurna selepas mereka mengumpul sembilan mata maksimum. Di belakang Romelu Lukaku, Mikhi memainkan peranannya sebagai pemain `nombor 10’ dengan sangat berkesan menerusi umpanan-umpanan yang dilakukannya dan kreativiti beliau dalam mencipta peluang ketika melancarkan serangan.

Efek Dari Mikhi...

Sepertimana United, Mikhi juga nampaknya memulakan musim 2017/18 dengan sempurna selepas beliau muncul pemain paling banyak menyumbangkan assist dari tiga perlawanan setakat ini. Mikhi sudah menegaskan bahawa beliau lebih selesa memegang peranan sebagai pemain `nombor 10’ kerana berasakan mampu memberikan lebih banyak efek jika bergerak di bahagian tengah. 

Melihat efek dan pengaruh yang diberikan Mikhi menerusi peranan yang dimainkan beliau selaku pemegang watak pemain `nombor 10’ dalam tiga aksi di awal musim, tiada sebab untuk Mourinho mengarahkan beliau kembali bermain di sebelah tepi atau lebih gila lagi sebagai bek kanan sepertimana yang pernah berlaku pada musim lalu.

Bagaimanapun akhirnya keputusan untuk memilih pemain dan meletakkan mereka di posisi yang sesuai berdasarkan strategi, sistem atau taktik yang akan digunakan dalam satu-satu perlawanan terletak sepenuhnya di tangan Mourinho selaku pengendali. Dalam hal ini Mikhi juga perlu bersedia untuk memberikan komitmen 100% biarpun terpaksa bermain di luar zon selesanya.

Mikhi berjaya mencetuskan efek menerusi peranan yang dimainkan beliau sebagai playmaker dalam tiga aksi United di awal musim, tetapi saya menantikan efek yang lebih besar dari beliau dan sudah tentu jugalah saya mahu melihat beliau melakukannya dalam perlawanan-perlawanan besar. Untuk seorang pemain yang memiliki kualiti dan kreativiti sebagus Mikhi, percayalah bahawa beliau mampu melakukannya...Glory Glory Manchester United!!!