Mourinho mahukan cabaran sebenar dan Stoke
City akhirnya berjaya berikan apa yang beliau mahukan. Tidak sepertimana tiga
aksi sebelumnya, United kali ini bukan sahaja gagal mengutip tiga mata penuh
malah gawang mereka juga dibolosi sebanyak dua kali oleh Eric Maxim Choupo-Moting
sekaligus menamatkan catatan tiga clean
sheet David De Gea.
Sebelum perlawanan Jose Mourinho sudah
membayangkan bahawa barisan pemainnya bakal berdepan laluan sukar di Bet365
Stadium mengingatkan fakta bahawa United tidak pernah menang selama empat tahun
dalam kunjungan mereka ke gelanggang The
Potters itu (pada saingan liga) sejak kali terakhir barisan Sir Alex
Ferguson melakukannya pada 14 April 2013.
Pertukaran
Posisi Yang Menjejaskan Kreativiti Mikhi...
Mengambilkira kesesuaian lawan yang bakal
dihadapi, Mourinho menggunakan formasi 4-3-3 di Bet365 Stadium meskipun tiga
perlawanan awal sebelumnya United sukses meraih sembilan mata dalam formasi
4-2-3-1. Perubahan ini menyaksikan Ander Herrera melakukan penampilan pertama
beliau dalam kesebelasan utama musim ini manakala Henrikh Mkhitaryan yang
sebelumnya memainkan peranan sebagai pemain `nombor 10’ beralih ke sebelah
kanan.
Perubahan ini sebenarnya membataskan kreativiti
Mikhi yang dalam tiga perlawanan awal memainkan peranan beliau selaku pemain `nombor
10’ dengan sangat berkesan. Bergerak dalam ruang sempit dan terbatas apatah
lagi lawan pula mengamalkan pendekatan bertahan yang sangat tersusun, Mikhi
bukan lagi pemain yang sama sepertimana anda lihat aksi beliau ketika berdepan
West Ham, Swansea City dan Leicester City.
Berikan
Lawan Ruang Dan Anda Terima Akibatnya...
Ada sebab mengapa posisi bek kiri antara
posisi yang menjadi fokus utama Mourinho untuk beliau perkuatkan. Jadi tidak
hairanlah juga mengapa sebelumnya nama Danny Rose dikaitkan dengan perpindahan
ke Old Trafford. Bukan saya mahu menidakkan kemampuan Matteo Darmian, tetapi
lihat apa yang berlaku ketika Stoke menjaringkan gol pertama mereka.
Terlalu banyak ruang dan masa diberikan
Darmian kepada Mame Biram-Diouf di sebelah kiri hingga membolehkan pemain
Senegal itu melakukan umpanan silang terus ke dalam petak penalti yang berjaya
disudahkan Choupo-Moting. Gol kedua jaringan Choupo-Moting pula saya ibaratkan
sebagai hadiah dari pertahanan United untuk pemain terbaik perlawanan itu.
Mudah bagi pemain antarabangsa Cameroon itu
menewaskan David De Gea buat kali kedua selepas Phil Jones hilang kesimbangan dalam
usaha beliau mencabar Choupo-Moting dalam situasi perebutan bola tinggi. Untuk
berdepan lawan yang mengamalkan pendekatan hantaran-hantaran bola tinggi
seperti Stoke, Jones tampak seperti kurang bersedia dalam melakukan duel di udara.
United
Perlukan Seorang Pemain Sayap Kanan Tulen...
Stoke City mendedahkan kepada kita mengapa
Mourinho sangat perlukan seorang pemain sayap tulen untuk beliau letakkan di
sebelah sisi kanan skuadnya. Ketika Marcus Rashford dan Anthony Martial silih
berganti melaksanakan tugas mereka sebagai sayap kiri dengan berkesan, United
pula nampaknya sangat bergantung kepada kelibat Antonio Valencia ketika mereka
melancarkan gerakan-gerakan dari sebelah kanan.
Meskipun peranan Valencia sudah bertukar dari
pemain sayap kepada bek kanan sejak beberapa musim terakhir, kelajuan yang
dimiliki pemain Ecuador itu masih ditagih United dalam menghidupkan permainan
mereka dari sisi kanan. Sebagai contoh, ketika berdepan West Ham dan Swansea
City, Juan Mata tampak seperti mampu memainkan peranannya sebagai sayap kanan
dengan berkesan tetapi tidak ketika berdepan Leicester City.
Ketika lawan memiliki barisan pertahanan
lebih kental dan bek kiri dengan kualiti sebagus Christian Fuchs, tidak banyak
ancaman yang mampu diberikan Mata berbanding dua aksi sebelumnya. Pelajaran
penting dari aksi menentang Leicester ialah United perlukan seorang pemain
sayap tulen yang memiliki kelajuan serta ketepatan hantaran-hantaran yang boleh
membuatkan benteng pertahanan lawan kucar-kacir.
Aksi menentang Stoke City sekali lagi
menunjukkan betapa perlunya United mendapatkan seorang pemain sayap tulen untuk
mereka letakkan di sebelah sisi kanan. Kreativiti yang dimiliki pemain seperti
Mikhi atau Mata lebih sesuai digunakan sebagai pemain tengah menyerang atau
pemegang peranan pemain `nombor 10’ yang bergerak di belakang penyerang utama
bukan melancarkan serangan-serangan dari sebelah tepi.
Hughes
Dapat Apa Yang Beliau Mahukan...
Pada hakikatnya kedua-dua pasukan memang
berkongsi mata hasil dari keputusan seri 2-2 yang mereka catatkan di Bet365
Stadium tapi selepas perlawanan Mark Hughes dan barisan pemainnya wajar
meraikan keputusan tersebut sepanjang malam. Kejayaan memaksa barisan bernilai
ratusan juta pound seperti United berkongsi mata umpama satu kemenangan buat The Potters, tidak kiralah bagaimana
cara mereka bermain untuk memperolehi keputusan tersebut.
Mungkin juga kegembiraan Hughes kali ini mengatasi
kegembiraan ketika beliau menyaksikan barisan pemainnya membenam Arsenal (1-0) 20
Ogos lalu, atau ketika mereka berjaya mencuri satu mata ketika berdepan West
Bromwich di The Hawthorns. Bagaimanapun kredit juga patut diberikan kepada `Sparky’
kerana berjaya menyuntik kualiti dalam skuadnya menerusi kehadiran pemain
seperti Kurt Zouma, Darren Fletcher dan sudah tentu Choupo-Moting.
Trend
bermain secara defensif yang diamalkan pasukan pertengahan seperti Stoke City setiap
kali berdepan pasukan pencabar kejuaraan liga memang menyukarkan selain faktor
keletihan yang dialami pemain selepas pulang dari tugasan antarabangsa merupakan
dua sebab utama yang digariskan Mourinho selepas menyaksikan kegagalan United
menamatkan badi kemenangan di Bet365 Stadium buat tahun keempat...Glory Glory
Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan