Musim lalu Manchester United hanya mampu
membawa pulang satu mata dalam kunjungan mereka di St Mary namun kali ini
cerita sebaliknya berlaku. Jaringan Romelu Lukaku di minit ke-20 sudah cukup
buat barisan Jose Mourinho mengenggam tiga mata penuh sekaligus menyaksikan
mereka terus mengekori rapat satu lagi kelab dari Manchester (Manchester City)
yang kini berada di tangga teratas menerusi perbezaan jaringan gol.
Walaupun menang, tetap terdengar rungutan
dari penyokong-penyokong United sendiri terutamanya apabila mereka bercakap
tentang corak permainan yang dipamerkan kesebelasan The Red Devils sepanjang 90 minit aksi di St Mary. Bagi `peminat
bolasepak tulen’, corak permainan yang dipamerkan United ketika berdepan
Southampton kelmarin bukanlah permainan yang ingin ditonton terutamanya bagi
mengisi malam hujung minggu mereka.
Memang diakui di St Mary, United tidak
mempamerkan corak permainan menghiburkan sepertimana ketika mereka membelasah
West Ham, Swansea City dan Everton atau ketika mereka menguasai Stoke City
secara total di Bet365 Stadium. Selepas menyaksikan Chelsea dan Manchester City
mencatatkan kemenangan besar ke atas lawan masing-masing, sudah tentu
persembahan keseluruhan United ketika berdepan Southampton dijadikan
perbandingan.
Cubalah
Bersikap Realistik...
Corak permainan United sepanjang aksi di St
Mary mungkin aksi paling membosankan yang dipersembahkan oleh anak-anak buah
Mourinho musim ini. Ketika lawan menguasai permainan dan melakukan tekanan demi
tekanan, United pula bermatian-matian cuba mempertahankan kelebihan satu gol
yang dimiliki mereka hingga ke penghujung permainan.
Apa yang dipersembahkan United kelmarin
sepatutnya mengingatkan kita agar lebih bersikap realstik dan lebih bersedia
untuk menyaksikan lebih banyak aksi `membosankan’ seperti ini. Tidak mungkin
setiap minggu United bermain corak permainan menyerang yang menarik seperti
yang mereka pamerkan ketika berdepan West Ham, Swansea City atau Everton dan
hal ini diakui Mourinho selepas tamat aksi menentang The Saints.
Demi meraih tiga mata penuh dan memastikan
kelebihan satu gol yang diperolehi kekal hingga ke tiupan wisel terakhir,
Mourinho menggunakan strategi `parkir bas’ yang memang sudah sinonim dengan diri
beliau. 15 minit sebelum tempoh sebenar permainan tamat, beliau melakukan apa
yang kebanyakkan pasukan di Liga Perdana lakukan, iaitu meletakkan lima pemain
pertahanan di benteng bagi memastikan lawan buntu dalam usaha mereka mencari
gol penyamaan.
Taktik
`Ala Mourinho’...
Ketika mengemudi Chelsea keluar sebagai juara
Liga Perdana (musim 2014/15), The Blues
pimpinan Mourinho cuma berhasil menjaringkan tiga gol atau lebih ke gawang
lawan dalam sepuluh perlawanan. Dari jumlah tersebut mereka menang sembilan
perlawanan dan tewas sekali ketika berdepan Tottenham Hotspurs dalam aksi yang
penuh dramatik (Chelsea tewas 3-5).
Bagi individu bernama José Mário dos Santos
Mourinho Félix ini, persetankan corak permainan bolasepak menarik kerana bagi
beliau meletakkan skuadnya keluar sebagai pemenang di akhir perlawanan adalah
jauh mengatasi segala-galanya. Contoh paling hampir lihat bagaimana United
bermain di final Liga Europa 25 Mei lalu. Ajax pimpinan Peter Bosz skuad yang
jauh lebih menarik di atas padang tetapi mereka akhirnya terpaksa akur melihat
United berada di podium kejuaraan.
Bagi Mourinho elemen utama setiap kali beliau
merencana taktiknya ialah menganalisa kekuatan dan kelemahan lawan yang bakal
dihadapinya. Oleh sebab itulah sebelum aksi final di Friends Arena menentang
Ajax, beliau mewajibkan setiap pemainnya meneliti rakaman video aksi pemain-pemain
lawan mengikut posisi masing-masing.
Menyedari bahawa Ajax dibarisi ramai
pemain-pemain muda dan gemar melakukan hantaran-hantaran pendek, Mourinho mengimbangi
kekuatan lawan menerusi taktik hantaran-hantaran bola tinggi yang ditujukan
terus ke arah Marouane Fellaini atau Paul Pogba. Taktik yang dianggap lapuk dan
membosankan ini akhirnya menyaksikan Mourinho mengukir sejarah tersendiri
apabila muncul pengurus pertama United yang berjaya memenangi trofi Liga
Europa.
Aksi final Liga Europa salah satu contoh
terbaik mengapa Mourinho sering dilabel sebagai seorang pengurus yang pragmatik
dan di St Mary beliau membuktikan kebenaran tersebut. Bagi Mourinho, pola
permainan United sama ada bermain secara menyerang atau bertahan ditentukan
oleh lawan mana yang bakal beliau hadapi, bukan secara berterusan menerapkan
permainan bolasepak menarik sebagai hiburan di malam hujung minggu.
Tiga
Mata Atau Permainan Menghiburkan?...
Liga Perdana bukannya seperti La Liga yang sering
didominasi Real Madrid dan Barcelona, juga bukan Bundesliga yang dikuasai oleh
Bayern Munich atau Ligue 1 yang pernah menyaksikan Olympique Lyon muncul juara selama
tujuh musim berturut-turut (2001/02 hingga 2007/08) dan kemudiannya muncul pula
PSG menerusi empat kejuaraan liga yang mereka menangi (2012/13 hingga 2015/16).
Sejak barisan kendalian Sir Alex Ferguson
mendominasi Liga Perdana menerusi kejayaan hatrik yang dilakukan mereka bermula
dari musim 2006/07 hingga 2008/09, tiada mana-mana kelab yang berjaya menjulang
kejuaraan liga selama dua musim berturut-turut. Ketatnya persaingan di Liga
Perdana tidak memungkinkan untuk mana-mana pasukan bermain `cantik’ setiap
minggu dan United tidak terkecuali.
“Tiga
mata yang fantastis kerana jumlah (mata) ini sama dengan mata yang dikutip
ketika kami menang 4-0”, itulah antara perkataan yang keluar dari mulut
Mourinho selepas tamat aksi menentang Southampton. Bagi saya pula, meskipun
sedikit bosan dengan aksi yang dipamerkan United di St Mary, namun di akhir
perlawanan saya tetap berpuashati kerana The
Red Devils pulang dengan tiga mata penuh.
Akhir sekali, jika anda mengimpikan United
bermain cantik setiap minggu persis Barcelona atau memperagakan `totaalvoetbal’ versi Ajax Amsterdam, Mourinho
bukanlah individu yang tepat untuk diletakkan sebagai pengendali kelab. Tetapi
jika anda mahu menyaksikan The Red Devils
kembali mengumpul trofi dalam kabinet kejuaraan mereka, pihak pengurusan
kelab sebenarnya sudah memilih tangan yang tepat sebagai jurutaktik di atas
padang. Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan