Musim lalu beliau tiba di Old Trafford
berbekalkan reputasi sebagai antara pengumpan terbaik di Eropah menerusi
catatan 15 assist dan 67 peluang
jaringan gol yang diciptanya dalam saingan Bundesliga sepanjang musim 2015/16
ketika bersama Borussia Dortmund. Bagaimanapun Mikhi terpaksa bergelut dalam
usahanya menyesuaikan diri dengan corak permainan Liga Perdana dan strategi
permainan yang digunakan Jose Mourinho di peringkat awal karier bintang Armenia
ini selaku pemain United.
Ketika itu, tidak banyak impak yang mampu
dihadirkan Mikhi di atas padang ditambah pula beliau sendiri berdepan kesukaran
merebut slot dalam kesebelasan utama pilihan Mourinho. Bukan itu sahaja,
Mourinho juga pada awalnya seperti tercari-cari posisi paling sesuai untuk
beliau letakkan Mikhi hinggakan pada satu ketika anda dapat saksikan Mikhi
digunakan Mourinho sebagai bek kanan, sayap kanan dan pemain tengah menyerang.
Bagaimanapun secara perlahan-lahan, Mikhi
mampu beradaptasi dengan gaya bolasepak Inggeris khususnya corak permainan
United kendalian Mourinho hingga akhirnya beliau muncul antara pemain yang
memainkan peranan penting di sebalik kejayaan kelab menjulang tiga kejuaraan
musim lalu. Musim ini Mikhi bermula dengan baik menerusi prestasi cemerlang
yang beliau pamerkan dalam tiga perlawanan liga sekaligus memberikan gambaran
awal bahawa beliau bakal memainkan peranan penting dalam misi pemburuan
kejuaraan United.
Otak
Kepada Gerakan United...
Lima assist
dari tiga perlawanan...apa lagi yang boleh anda harapkan dari seorang playmaker seperti Mikhi. Mikhi antara
pemain yang sangat menonjol dalam skuad Mourinho musim ini menerusi kemampuan
beliau membekalkan umpanan-umpanan berkualiti untuk disudahkan rakan sepasukan
yang lain. Dari tiga perlawanan juga, Mikhi sudah mencipta sembilan peluang
jaringan gol, sekaligus mengukuhkan reputasi beliau sebagai antara pemain
kreatif dalam skuad Mourinho.
Penampilan cemerlang United di awal musim
pada pandangan saya turut dibantu dengan keberadaan Mikhi menerusi peranan yang
beliau mainkan di belakang penyerang utama. United sudah menjaringkan 10 gol
dari tiga perlawanan liga dan itu juga bermakna 50% dari jaringan yang
dihasilkan mereka berpunca dari bantuan gol yang disumbangkan Mikhi. Dari
seorang pemain yang musim lalu tercari-cari posisi terbaiknya, Mikhi kini
menjadi `otak’ kepada setiap gerakan-gerakan serangan United.
Menyamai Rekod 23 Tahun Ruel
Fox...
Jumlah assist
yang dilakukan Mikhi setakat ini menyaksikan beliau muncul penyumbang bantuan
gol terbanyak (dari tiga perlawanan awal liga) berbanding catatan mana-mana
pemain di Liga Perdana dalam tempoh enam musim terakhir. Catatan ini juga
menyaksikan Mikhi menyamai pencapaian yang pernah dilakukan Ruel Fox 23 tahun
lalu. Pada musim 1994/95, Fox mencipta lima bantuan gol dari tiga perlawanan
awal liga bersama Newcastle United.
Buktikan
Kemampuan Dalam Perlawanan Besar...
West Ham, Swansea City dan Leicester City
boleh diumpamakan sebagai medan pemanas badan untuk kesebelasan United
khususnya Mikhi. Ketika pesaing-pesaing kejuaraan yang lain masih tercari-cari
rentak di awal musim, United merakam tiga kemenangan berturut-turut,
menjaringkan sepuluh gol manakala gawang mereka masih kekal kebal tanpa
dibolosi.
Prestasi cemerlang yang dipamerkan Mikhi
turut menyumbang kepada faktor suksesnya perjalanan United di awal musim, namun
dalam masa yang sama kita juga perlu mengakui bahawa barisan The Red Devils masih belum berdepan
lawan setanding yang mampu membuatkan mereka `berpeluh’.
United masih belum berdepan kelab-kelab pencabar
kejuaraan liga seperti Arsenal, Liverpool, Chelsea, Spurs dan Manchester City,
juga pasukan yang mampu melakar kejutan seperti Everton, Southampton dan West
Bromwich. Jangan lupakan juga saingan Liga Juara-Juara yang bakal bermula
pertengahan minggu hadapan, pentas yang menawarkan cabaran berbeza kepada
United mahupun Mikhi.
United perlukan kreativiti dari pemain
seperti Mikhi ketika mereka berdepan lawan yang punya kualiti jauh lebih bagus
berbanding West Ham, Swansea City ataupun Leicester dan dengan adanya Nemanja
Matic di belakang, Mourinho sepatutnya tidak berdepan masalah memaksimakan
potensi sebenar pemain berusia 28 tahun ini sebagai pemegang peranan `nombor
10’ dalam lineup beliau.
Fleksibeliti
Mikhi Dalam Formasi Mourinho...
Tidak kira dalam skema formasi apa United
bermain, Mikhi pastinya antara pemain yang wajib ada dalam senarai kesebelasan
utama pilihan Mourinho berdasarkan fleksibeliti permainan beliau di atas padang.
Di Signal Iduna Park, trio Marco Reus-Pierre Americk Aubamenyang-Mikhi muncul
gandingan menakutkan di barisan hadapan yang berjaya dibentuk Thomas Tuchel
menerusi formasi 4-3-3 yang digunakan beliau.
Musim lalu, menerusi formasi serupa yang
digunakan Mourinho dalam beberapa perlawanan terpilih, beliau meletakkan gandingan
Marcus Rashford-Zlatan Ibrahimovic-Mikhi sebagai trio di barisan hadapan. Dalam
formasi 3-5-2 pula, kepantasan dan skill kawalan bola bagus yang dimiliki Mikhi
menyaksikan Mourinho memilih beliau untuk berperanan sebagai sayap kanan,
manakala Anthony Martial pula bergerak di sebelah kiri.
Dalam tiga perlawanan awal liga yang
diharungi United musim ini pula, Mourinho menggunakan formasi 4-2-3-1 yang
menyaksikan barisan pemainnya memulakan musim dengan sempurna selepas mereka
mengumpul sembilan mata maksimum. Di belakang Romelu Lukaku, Mikhi memainkan
peranannya sebagai pemain `nombor 10’ dengan sangat berkesan menerusi
umpanan-umpanan yang dilakukannya dan kreativiti beliau dalam mencipta peluang
ketika melancarkan serangan.
Efek
Dari Mikhi...
Sepertimana United, Mikhi juga nampaknya
memulakan musim 2017/18 dengan sempurna selepas beliau muncul pemain paling
banyak menyumbangkan assist dari tiga
perlawanan setakat ini. Mikhi sudah menegaskan bahawa beliau lebih selesa
memegang peranan sebagai pemain `nombor 10’ kerana berasakan mampu memberikan
lebih banyak efek jika bergerak di bahagian tengah.
Melihat efek dan pengaruh yang diberikan
Mikhi menerusi peranan yang dimainkan beliau selaku pemegang watak pemain
`nombor 10’ dalam tiga aksi di awal musim, tiada sebab untuk Mourinho mengarahkan
beliau kembali bermain di sebelah tepi atau lebih gila lagi sebagai bek kanan
sepertimana yang pernah berlaku pada musim lalu.
Bagaimanapun akhirnya keputusan untuk memilih
pemain dan meletakkan mereka di posisi yang sesuai berdasarkan strategi, sistem
atau taktik yang akan digunakan dalam satu-satu perlawanan terletak sepenuhnya
di tangan Mourinho selaku pengendali. Dalam hal ini Mikhi juga perlu bersedia untuk
memberikan komitmen 100% biarpun terpaksa bermain di luar zon selesanya.
Mikhi berjaya mencetuskan efek menerusi
peranan yang dimainkan beliau sebagai playmaker
dalam tiga aksi United di awal musim, tetapi saya menantikan efek yang lebih
besar dari beliau dan sudah tentu jugalah saya mahu melihat beliau melakukannya
dalam perlawanan-perlawanan besar. Untuk seorang pemain yang memiliki kualiti
dan kreativiti sebagus Mikhi, percayalah bahawa beliau mampu melakukannya...Glory
Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan