19 September 2017

100 CLEAN SHEET DAN LEGASI `SI TANGAN EMAS’ DI OLD TRAFFORD




Pada musim panas 2011 atau kira-kira enam tahun yang lalu, beliau tiba di Old Trafford dengan reputasi sebagai prospek penjaga gol terbaik dunia suatu hari nanti. Dan ketika itu, David De Gea baru berusia 20 tahun ketika Sir Alex Ferguson membawa beliau menyertai United dari Atletico Madrid menerusi nilai perpindahan sebanyak £18.9 juta.

Jumlah wang yang dibayar United ketika itu bukan sahaja meletakkan De Gea sebagai penjaga gol termahal di kepulauan Britain tetapi lebih daripada itu beliau juga sebenarnya bakal berdepan cabaran lebih getir iaitu meneruskan legasi `sepasang tangan emas’ yang tugasnya memastikan agar gawang The Red Devils tidak mudah dibolosi lawan.

Legasi Sebelumnya...

Pintu gol United sebelumnya pernah dikawal oleh barisan penjaga gol terbaik di era masing-masing...dari Harry Gregg, Alex Stepney, Jimmy Rimmer, Gary Bailey, Peter Schmeichel, Fabien Barthez dan kemudiannya Edwin Van Der Sar. Saya tidak pernah menyaksikan Gregg, Stepney dan Rimmer beraksi cuma mengetahui kehebatan mereka menerusi pembacaan.

Bagi generasi penyokong era 70an dan 80an, aksi Bailey pula pastinya bukanlah asing bagi anda terutamanya saat beliau memastikan gawang United tidak dibolosi ketika membantu kelab mengejutkan Everton yang dibarisi pemain-pemain hebat seperti Pat Van Den Hauwe, Trevor Steven, Graeme Sharp, Neville Southall, Kevin Sheedy dan Andy Gray di final Piala FA edisi 1985.

Di era 90an, kita menyaksikan pula kehebatan Schmeichel selaku `tembok besar’ di hadapan gawang United hinggalah kemuncaknya apabila `The Great Dane’ berjaya membantu kelab menjulang kejuaraan Treble pada 1999. Musim 1998-99 merupakan musim terakhir Schmeichel di Old Trafford dan pemergian beliau selepas kejayaan epik di Nou Camp menyaksikan kelab kemudiannya bergelut mencari pengganti setaraf.

Sukarnya Mencari Pengganti Schmeichel...

Barthez tiba di Old Trafford pada tahun 2000 dengan reputasi selaku juara dunia bersama skuad kebangsaan Perancis hasil dari kejayaan mereka di final `France 98’ dan kekal bersama kelab selama empat tahun. Meskipun begitu secara jujurnya posisi Schmeichel menerusi sepasang tangan emasnya tidak tergantikan meskipun dengan kehadiran penjaga gol sekelas Barthez.

Ketika eranya, Barthez memang diakui antara penjaga gol yang menarik untuk disaksikan aksinya tetapi dalam masa yang sama beliau juga bukanlah penjaga gol yang konsisten sepertimana Schmeichel. Bagaimanapun kehadiran Van der Sar pada 2005 menamatkan `pergelutan’ Fergie dalam mencari pengganti sehebat Schmeichel selaku penjaga gawang skuadnya.

Fergie mengakui bahawa beliau melepaskan peluang terbaik mendapatkan khidmat Van der Sar pada 1999 dari Ajax Amsterdam hingga menyaksikan legenda Belanda itu menyertai Juventus selama dua musim. Bagaimanapun peluang kedua yang hadir di hadapan mata tidak dilepaskan Fergie apabila beliau berjaya dalam misinya untuk membawa Van der Sar keluar dari Craven Cottage.

Fergie melabelkan Van der Sar sebagai penjaga gol terbaik United selepas era Schmeichel dan pujian pengendali legenda itu dibuktikan beliau menerusi ketangkasannya serta penyelamatan-penyelamatan hebat yang dilakukannya di hadapan pintu gol United selama enam musim Van der Sar menabur bakti bersama kelab.

Sebaik berakhirnya aksi menentang Fulham pada 18 Februari 2009, Van der Sar berjaya meleburkan rekod clean sheet dunia yang sebelumnya dipegang oleh Jose Maria Buljubasich ketika beliau mengawal gawang Universidad Catolica di Liga Perdana Chile. United menewaskan Fulham 3-0 di Old Trafford sekaligus menyaksikan Van der Sar berjaya mempertahankan pintu golnya dari dibolosi selama 1,302 minit.

Bagaimanapun momen paling sensasi bila bercakap tentang Van der Sar berlaku pada tanggal 22 Mei 2008, saat beliau menafikan sepakan penalti Nicholas Anelka di Stadium Luzhniki. Tiga tahun selepas kejayaan menjulang trofi Liga Juara-Juara di Moscow, beliau akhirnya mengumumkan persaraannya lantas memaksa Fergie melancarkan misi mencari `sepasang tangan emas’ yang baharu untuk mengawal pintu gol skuadnya.

Era `Dave Save’...

Dari seorang remaja kurus kering yang kekuatan fizikal serta mentalnya pernah diragui dalam menangani kerasnya permainan bolasepak Inggeris, De Gea kini diiktiraf sebagai antara penjaga gol terbaik dunia. Jadi tidak hairanlah mengapa dalam tempoh beberapa musim terakhir kelibat De Gea menjadi `kegilaan’ Real Madrid yang berhasrat meletakkan beliau selaku penjaga gawang utama mereka selepas berakhirnya era Iker Casillas.

Peningkatan De Gea dari musim ke musim semakin ketara meskipun kemampuan beliau pada awal kedatangannya serta harga yang dibayar kelab untuk mendapatkan khidmatnya diragui dan diperdebatkan oleh penyokong-penyokong United sendiri. Untuk itu, kredit juga sepatutnya diberikan kepada Eric Steele (bekas jurulatih penjaga gol United) kerana berjaya membentuk karakter De Gea hingga muncul antara watak penting dalam kesebelasan United.

Sepasang tangan emas milik De Gea serta gerak balas refleksnya sentiasa menjadi penyelamat di pintu gol United, hinggakan pernah suatu ketika Gary Neville mengatakan bahawa jika tidak kerana beberapa siri penyelamatan hebat yang dilakukan beliau, David Moyes dan Louis Van Gaal mungkin dipecat lebih awal berikutan aksi lesu yang dipamerkan kelab ketika di bawah kendalian mereka.

Ketika masa depan beliau bersama kelab terus dipersoalkan, De Gea nampaknya tidak terganggu dengan segala cerita sensasi yang berlaku di luar padang apabila memulakan tiga perlawanan liga di awal musim dengan catatan clean sheet. Meskipun catatan tersebut dihentikan Stoke City hujung minggu lalu, De Gea kembali memastikan gawangnya tidak dibolosi ketika membantu United menewaskan Everton 4-0 kelmarin.

Catatan ini merupakan clean sheet ke-100 yang dilakukan De Gea sejak beliau menyertai United pada 2011. Dari jumlah tersebut, 79 clean sheet dilakukan beliau di Liga Perdana, sepuluh di Liga Juara-Juara, satu di Liga Europa, empat di Piala FA, lima di Piala Liga dan satu di Perisai Komuniti. Sangat mengagumkan melihat pencapaian tersebut dilakukan oleh seorang penjaga gol yang beraksi di Liga Perdana, liga yang dianggap paling sukar di dunia.

Mampukah United Pertahankan De Gea?...

Inilah persoalan yang sering dibincangkan baik oleh penganalisa bolasepak mahupun penyokong-penyokong United sendiri setiap kali jendela perpindahan pemain dibuka. De Gea kini antara penjaga gol kelas dunia dan antara kualiti terbaik yang ada dalam skuad United pimpinan Mourinho, jadi sudah tentu segala khabar angin membabitkan masa depannya menjadi topik paling hangat untuk dibincangkan. Jika De Gea mahu meninggalkan United, hanya ada dua destinasi yang berpotensi besar untuk beliau tuju, iaitu Nou Camp ataupun Santiago Bernabeu.

Sebagai warga Sepanyol, sukar untuk De Gea menolak godaan yang datang dari Barca mahupun Real, dua kelab yang diiktiraf paling berjaya di dunia jika koleksi kejuaraan domestik mahupun Eropah yang berjaya mereka kumpul dijadikan ukuran. Bagaimanapun hanya Real nampaknya begitu berminat mahu membawa semula De Gea beraksi di La Liga bagi meneruskan legasi warga Sepanyol sebelumnya seperti Ricardo Zamora, Miguel Angel Gonzalez, Antonio Betancort, Paco Buyo, Mariano Garcia-Remon dan Iker Cassilas yang pernah mengawal gawang mereka.

Setakat ini pihak pengurusan United melakukan tugas mereka dengan cukup baik dalam melindungi De Gea dari godaan Real tetapi kita tidak tahu berapa lama mereka mampu terus mengekalkan bintang Sepanyol itu di Old Trafford. Akhirnya De Gea membuktikan bahawa beliau layak berada sebaris dengan legenda penjaga gol United sebelumnya seperti Harry Gregg, Alex Stepney, Jimmy Rimmer, Peter Schmeichel dan Edwin Van der Sar, sambil kita pula berharap agar laungan“Dave Save” akan terus bergema di Old Trafford musim depan...Glory Glory Manchester United!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan