29 Oktober 2017

KETIKA SPURS DATANG MENGUJI...UNITED PULA BUKTIKAN KARAKTER SEBENAR MEREKA




Aksi menentang Tottenham Hotspurs merupakan perlawanan penting dan wajib dimenangi Manchester United. Penting bukan kerana lawan yang dihadapi United ialah Spurs, kelab yang secara konsisten muncul antara pencabar kejuaraan liga dalam tempoh dua atau tiga musim terakhir.

Juga bukan kerana mereka sebelumnya berkongsi mata dengan United untuk mengekori Manchester City selaku pendahulu carta liga, tetapi perlawanan ini penting untuk kita melihat sejauh mana karakter sebenar barisan Jose Mourinho selepas kekalahan mengejutkan kepada Huddersfield minggu lalu.

Ketika kritikan hadir selepas United menampilkan corak permainan bertahan di Anfield dan kemudiannya kemenangan tipis ke atas Benfica di Liga Juara-Juara turut dijadikan sasaran, kekalahan kepada Huddersfield pula menyebabkan Manchester City berjaya mencipta jurang lebih besar selaku pendahulu liga.

Jadi dalam apa cara sekalipun, United wajib menewaskan Spurs. Bukan sahaja bagi memastikan City tidak terus meninggalkan mereka terlalu jauh tetapi juga bagi menyuntik kembali motivasi dalam diri pemain-pemain selepas kekalahan di Kirklees Stadium minggu lalu.

Disiplin Ketika Bertahan...

Berdepan dengan Spurs, Mourinho dilihat melakukan `mirror tactic’ dengan menggunakan sistem tiga pemain pertahanan sepertimana Spurs. Meskipun semasa sidang media sebelum perlawanan Mourinho menafikan bahawa beliau bakal menggunakan sistem tersebut (tiga pertahanan), namun itulah sebenarnya yang berlaku sepanjang 90 minit perlawanan.

Disiplin ketika bertahan menerusi sistem tiga pemain pertahanan yang diamalkan kedua-dua pasukan menyaksikan kurangnya peluang-peluang berbahaya mampu dicipta. Banyak `tactical foul’ yang berlaku dalam usaha kedua-dua pasukan menghalang lawan dari melakukan `counter attack’ dan hasilnya anda dapat saksikan aksi di babak pertama sedikit membosankan.

Pendekatan berhati-hati menyaksikan tiga pertahanan United (Eric Bailly, Chris Smalling dan Phil Jones) jarang meninggalkan garis pertahanan mereka hingga menyaksikan Spurs hanya mampu melakukan percubaan-percubaan jarak jauh (sepuluh di babak pertama dan tiga di babak kedua). Sepanjang perlawanan David De Gea melakukan lima penyelamatan tetapi hanya dua percubaan lawan yang boleh dianggap berbahaya.

`Plan B’ Mourinho...

Ketika menyaksikan betapa ketatnya perlawanan dan kesukaran yang dihadapi barisan hadapan beliau untuk menembusi benteng pertahanan Spurs, Mourinho melakukan perubahan ketika tempoh perlawanan berbaki 20 minit sebelum ditamatkan. Ternyata percaturan Mourinho mengeluarkan Marcus Rashford dan memasukkan Anthony Martial berhasil selepas pemain Perancis itu meledak gol kemenangan di minit ke-81.

Ini bukan kali pertama Martial meledak ketika beliau dimasukkan sebagai pemain gantian dan gol ke gawang Hugo Lloris itu bukan sahaja memberikan United tiga mata berharga tapi turut membuktikan bahawa Mourinho sentiasa bersedia dengan `Plan B’ beliau setiap kali menyaksikan barisan hadapannya buntu dalam usaha menembusi benteng lawan. Untuk rekod, pemain-pemain gantian United sudah menjaringkan 10 gol sepanjang aksi liga musim ini.

Old Trafford Bukan Gelanggang Yang `Ramah’ Buat Spurs...

Kekalahan ini menyaksikan Spurs memanjangkan `trend’ buruk mereka setiap kali berkunjung ke Old Trafford. Dari 26 penampilan mereka di Old Trafford dalam saingan liga, Spurs tewas 21 kali dengan kali terakhir mereka menewaskan United dalam aksi yang dilangsungkan di `Theatre of Dreams’ ialah lebih tiga tahun yang lalu.

Kemenangan ini juga sebenarnya menyaksikan United meneruskan catatan baik mereka ketika beraksi di gelanggang sendiri. Sebaik tamat aksi menentang Spurs, United sudah melakarkan 37 aksi tanpa kalah di Old Trafford dalam semua kejohanan menerusi 26 kemenangan dan 11 keputusan seri sekaligus menyamai pencapaian mereka pada 2011.

Tanpa Kane, Spurs Hilang Punca...

Benarlah apa yang dikatakan Rio Ferdinand bahawa tanpa Harry Kane, Spurs bakal berdepan masalah besar. Dua hari sebelum aksi menentang United, mereka ditunjukkan jalan keluar dari kejohanan Piala Liga oleh West Ham selepas tewas 2-3 di Wembley.

Meskipun dalam perlawanan itu Moussa Sissoko dan Delle Alli menemui sentuhan gol, ketiadaan Kane selaku peledak utama jelas dirasai hingga menyaksikan West Ham melakukan kebangkitan untuk menempah tempat di peringkat suku akhir. Di Old Trafford, Spurs sekali lagi berdepan masalah yang sama.

Tanpa penyerang tulen, Mauricio Pochettino sebaliknya mengarahkan Alli dan Son Heung-Min silih berganti memainkan watak sebagai penggempur. Mungkin mengambilkira kelajuan yang dimiliki Son, Pochettino lebih memilih meminggirkan Fernando Llorente di bangku simpanan berbanding meletakkan beliau sebagai pengganti Kane.

Apa yang berlaku? Kecuali satu percubaan berbahaya yang hadir dari kaki Alli di babak kedua menerusi ilham gerakan Christian Eriksen, tidak banyak ancaman yang mampu dihadirkan Son mahupun Alli dalam misi mereka menembusi pintu gol United. Akhirnya Son ditarik keluar dan Spurs mula menggunakan Llorente sebagai penyerang tulen sepanjang baki 28 minit tempoh sebenar perlawanan.

Rashford Dan Martial...

Di permulaan musim, ramai meragui kemampuan United untuk bergerak dari sisi sayap berikutan kegagalan Mourinho menandatangani Ivan Perisic mahupun Gareth Bale. Meskipun begitu kegagalan United dalam misi mereka mendapatkan Perisic atau Bale berjaya ditutup Mourinho menerusi penampilan terpuji Martial dan Rashford di sisi sayap kiri.

Jika anda penyokong United dan bermain `Fantasy Premier League’, saya yakin anda pasti berdepan dilema dalam memiliki sama ada Martial atau Rashford untuk diletakkan di posisi sayap kiri dalam kesebelasan impian anda. Sukar bagi anda dalam membuat pilihan bukan sahaja kerana mereka memiliki kemampuan setaraf, tetapi kedua-dua pemain ini memang tidak dirancang untuk diturunkan serentak oleh Mourinho.

Jika Rashford memulakan aksi terlebih dahulu, Martial pula akan bertindak sebagai ‘supersub’ dan begitulah sebaliknya. Martial atau Rashford bukan sahaja memiliki kelajuan tetapi turut dianugerahkan dengan `skill’ kawalan bola menarik dan itulah aset kepada permainan mereka. Meskipun bukan pemain sayap tulen, kelajuan serta `skill’ mereka sebenarnya menjadi kekuatan United ketika melakukan gerakan dari sisi sayap.

Meskipun gol yang dijaringkan Martial bukanlah berpunca dari gerakan dari sebelah sayap, namun Mourinho membuktikan bahawa keputusan beliau untuk menggunakan sama ada Martial atau Rashford sebagai `supersub’  sering berhasil. Ketika ramai menjangka bahawa keputusan perlawanan bakal berakhir seri, Martial hadir selaku pemain yang membezakan antara pasukan yang menang dan yang kalah menerusi gol keempat peribadinya dalam saingan liga musim ini.

Kunci Perlawanan...

Menyaksikan United bermain menentang kelab besar lain seperti Liverpool dan Spurs sebenarnya menuntut kesabaran yang tinggi. Di atas padang hal sama turut berlaku menerusi taktik yang digunakan Mourinho. Pendekatan `perlawanan besar’ yang diamalkan Mourinho menyaksikan United sering dilabel bermain secara bertahan atau `anti football’.

Mungkin `tidak cantik’ di mata sesetengah individu, tetapi penting bagi Mourinho untuk melihat barisan pemainnya tidak tewas ketika berdepan perlawanan besar dan penting. Secara peribadi saya berpendapat United bukanlah bermain terlalu bertahan tetapi mereka sebenarnya cuma menunggu lawan melakukan kesilapan dan itulah sebenarnya yang berlaku di Anfield 14 Oktober lalu.

13 gol yang dijaringkan United musim ini berlaku dalam tempoh 15 minit terakhir dan jika fakta itu boleh diambilkira, memang ada kebenaran tentang apa yang saya sebutkan di atas. Semalam, kesabaran menanti peluang selama 81 minit berhasil menerusi gol jaringan Martial. Meskipun dilabel Mourinho sebagai `tendangan yang buruk’, tendangan itu berakhir dengan gol yang indah. Gol yang membolehkan United meraih kemenangan penting, serta gol yang meneruskan mimpi buruk Spurs di `Theatre of Dreams’. Glory Glory Manchester United!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan