02 Februari 2019

SELAMAT TINGGAL DAN TERIMA KASIH FELLA


Teka teki tentang masa depan Marouane Fellaini akhirnya terjawab apabila pemain antarabangsa Belgium itu sah meninggalkan Old Trafford untuk menyertai kelab China, Shandong Luneng. Tiba di Old Trafford dari Goodison Park pada musim panas 2013, Fellaini boleh dianggap `pembelian besar’ yang dilakukan David Moyes dalam usaha beliau menguatkan jentera tengah United ketika itu.

Anda boleh katakan apa sahaja tentang Fella, namun dalam masa yang sama kita juga terpaksa mengakui bahawa di bawah era Moyes, Louis Van Gaal dan kemudiannya Jose Mourinho, Fella boleh dianggap antara tonggak penting United di bahagian tengah. November tahun lalu, Fellaini menjaringkan gol penting di masa kecederaan ketika berdepan Young Boys sekaligus mengesahkan kemaraan United ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara.

Gol itu bukan sahaja diraikan penuh emosi oleh Mourinho, malah warga Portugal itu turut memuji sumbangan Fella selepas tamat perlawanan yang dilangsungkan di Old Trafford itu. Jangan lupakan juga jaringan penyamaan yang dilakukannya ketika berdepan Derby County dalam saingan Piala Carabao September lalu. United bagaimanapun akhir disingkir barisan Frank Lampard selepas mereka tewas (7-8) menerusi penentuan sepakan penalti.

Peranan Fella

Fella tidak memiliki skill individu memukau seperti Diego Maradona, Lionel Messi ataupun Cristiano Ronaldo. Visi permainannya juga tidak sehebat Paul Scholes atau Andreas Iniesta tetapi Fella ialah pemain serbaguna yang dimiliki Moyes, Van Gaal dan Mourinho ketika era mereka mengendalikan United. Ketika United berdepan krisis kecederaan pemain pertahanan, Fella pernah ditugaskan Mourinho sebagai pertahanan tengah.

Ketika United berdepan kebuntuan dalam usaha menembusi pintu gol lawan, Fella sering diarahkan untuk berada dalam petak penalti lawan bagi menerima hantaran-hantaran tinggi kerana kekuatan yang dimilikinya dalam situasi perebutan bola di udara. Dalam peranan sebagai pemain `nombor 8’ pula, Van Gaal dan Mourinho mengakui bahawa kehadiran Fella memberikan keseimbangan kepada pasukan dalam situasi bertahan mahupun menyerang.

Statistik

Sepanjang kariernya di Old Trafford, Fella lebih kerap beroperasi sebagai `holding midfielder’ mahupun sebagai `central midfielder’. Walau bagaimanapun tugas Fella bukan sekadar berlegar-legar di bahagian tengah padang tetapi seperti yang saya sebutkan beliau juga kerap dilihat berlegar-legar di dalam petak penalti lawan bagi menerima hantaran-hantaran bola tinggi kerana fizikal yang dimilikinya.

Sesuai dengan falsafah bolasepah Mourinho, sepanjang musim 2016-17 Fella melakukan catatan aksi defensif yang cukup baik. Fella melakukan purata 2 terjahan (`tackle’), 1 `intercept’ serta 1.9 `clearance’ dalam setiap perlawanan. Dalam situasi bola tinggi pula, Fella memenangi 3.4 duel di udara dalam setiap perlawanan. Angka-angka tersebut menyaksikan Fella muncul pemain yang cukup banyak melakukan catatan defensif dalam skuad United.

Mourinho memerlukan seorang pemain yang mampu memanfaatkan peluang ketika hantaran-hantaran bola tinggi ditujukan terus ke arah pintu gol lawan, sama ada dalam situasi terbuka ataupun dalam situasi bola mati (`set piece’).  Kecenderungan Mourinho mengamalkan corak permainan terus (`direct’) inilah yang menjadi nilai tambah Fella dalam skuad United meskipun beliau bukanlah seorang pemain yang menarik untuk disaksikan aksinya di tengah padang.

Turun Status

Jun tahun lalu, Fella menandatangani lanjutan kontrak selama dua tahun yang menyaksikan beliau kekal di Old Trafford hingga 2020. Fella jelas sangat gembira dengan kontrak baharu itu meskipun ada segelintir penyokong-penyokong mahukan beliau pergi. Bagaimanapun kegembiraan Fella tidak bertahan lama kerana enam bulan selepas itu, Mourinho dipecat kerana prestasi buruk yang dipamerkan United sepanjang 17 perlawanan awal liga.

Daripada pemain tonggak di era Mourinho, status Fella berubah kepada `pemanas bangku simpanan’ sebaik Ole Gunnar Solskjaer mengambilalih teraju pengendali. Situasi ini jelas tidak menggembirakan Fella, jadi tidak hairanlah mengapa sejak penghujung Disember lalu khabar angin tentang penghijrahan Fella bertiup kencang. Pernah diberitakan bakal menyertai Juventus tetapi kini Fella memilih China sebagai destinasi meneruskan kariernya.

United Lebih Baik Tanpa Fella?

Pada Januari 2018, Barney Ronay yang juga merupakan jurnalis Guardian menulis bahawa United skuad yang lebih bagus tanpa Fella. Benarkah begitu? Alasan Ronay cukup mudah kerana selama lima tahun sebelum kedatangan Fella, United berjaya memenangi kejuaraan Liga Perdana dan Liga Juara-Juara. Bagaimanapun selepas lima musim Fella berada di Old Trafford, United ketandusan kejuaraan dua trofi tersebut.

Dan selama lima musim United ketandusan gelaran Liga Perdana serta Liga Juara-Juara, Fella pula menjadi antara pemain sandaran utama Moyes, Van Gaal dan Mourinho. Di era tiga pengurus ini, Fella bukan sahaja sering diberikan kepercayaan tampil dalam perlawanan-perlawanan besar malah kelibatnya juga sering digunakan ketika pasukan dalam situasi genting. Contoh terbaik bagaimana anda melihat aksinya di final Liga Europa berdepan Ajax Amsterdam.

Ketika Ajax yang dibarisi pemain-pemain muda lebih banyak menguasai bola, Mourinho pula mengamalkan pendekatan permainan lebih `direct’ dengan menjadikan kepala Fella sebagai sasaran hantaran-hantaran bola tinggi. Fella pemain yang sangat patuh, berdisiplin dalam taktikal, licik, tidak ragu-ragu melakukan `kerja-kerja kotor’ demi kepentingan pasukan dan sentiasa bersedia memberikan komitmen 100% ketika di atas padang.

Selain dari kemampuannya memainkan peranan dalam posisi nombor 6 dan 8, Fella juga mampu melaksanakan tugasnya dengan berkesan jika beliau diarahkan untuk bermain di posisi nombor 9 atau 10. Kemampuan beliau memainkan peranan sebagai pemain nombor 9 dan 10 menyaksikan Fella berjaya menjaringkan tujuh gol pada musim 2014-15 ketika kelab di bawah kendalian Van Gaal.

Dalam soal sumbangan beliau kepada pasukan, kata-kata Roberto Martinez yang juga merupakan pengurus skuad kebangsaan Belgium mungkin gambaran paling tepat mengapa Fella dianggap sosok penting selama lima musim beliau berada di Old Trafford. “Sebagai pemain, kesungguhannya ketika beraksi di atas padang sangat mengagumkan. Dia bermain seolah-olah inilah perlawanan terakhirnya dan esok hari dunia akan berakhir”, kata Martinez.

Nasib Berbeza

Berbanding Mourinho yang lebih menekankan corak permainan lebih `direct’, Solskjaer pula memilih pendekatan bolasepak lebih moden dalam taktikal permainannya. Sejak dikendalikan Solskjaer, United sudah mengharungi sembilan perlawanan tanpa kalah dalam semua kejohanan (menang lapan dan seri satu).

Kini menurut penganalisis bolasepak dan para penyokong United, permainan `The Red Devils’ di bawah arahan Solskjaer jauh lebih enak ditonton menerusi pendekatan bolasepak moden manakala `counter attack’ mereka pula lebih tersusun dan sistematik. Tidak sepertimana Moyes, Van Gaal dan Mourinho, corak permainan menarik United yang dibina Solskjaer ini tanpa menggunakan khidmat Fella.

Sejak posisi Mourinho diambilalih Solskjaer, Fella cuma tampil selama 31 minit dari sembilan aksi setakat ini. Beliau cuma bermain selama tiga minit ketika United menewaskan Cardiff City (5-1) dalam saingan liga, manakala 28 minit lagi ketika Solskjaer menurunkannya dalam saingan Piala FA menentang Reading di Old Trafford (United menang 2-0).

Pilih Jalan Terbaik

Ketika mendapati dirinya bukan lagi pilihan Solskjaer dalam mengisi senarai kesebelasan utama United, langkah terbaik yang perlu dilakukan Fella ialah mencari jalan keluar. Secara peribadi saya berpendapat Fella masih punya kualiti untuk terus kekal di Old Trafford tapi dalam masa yang sama gaya permainan yang diterapkan Solskjaer tidak memungkinkan untuk beliau membarisi kesebelasan utama United.

Di era Moyes, Van Gaal dan Mourinho, Fella merupakan pemain yang sangat berdisiplin dalam mengadaptasi taktikal mereka di atas padang. Kekuatan fizikalnya digunakan beliau ketika bertahan mahupun menyerang tetapi United di bawah kendalian Solskjaer memerlukan seorang pemain yang memiliki teknik serta berkemahiran di bahagian tengah. Lebih tepatnya Fella lebih cocok dalam gaya permainan Mourinho berbanding Solskjaer.

Terima Kasih Fella

Fella merupakan personaliti yang baik, disenangi rakan dan dikatakan antara suara paling lantang di bilik persalinan ketika era Moyes, Van Gaal dan Mourinho. Sepanjang lima musim penglibatan beliau di Old Trafford, Fella tidak pernah mengeluh dan sentiasa menjadi opsyen alternatif pengurus dalam situasi genting atau ketika pasukan memerlukan gol.

Tanpa golnya ke gawang Celta Vigo di peringkat separuh akhir, United tidak akan berada di final dan menjulang trofi Liga Europa buat pertama kali dalam sejarah kelab. Juga jangan lupakan gol-gol penting yang dijaringkan Fella buat United terutama sekali gol-gol yang dijaringkannya di penghujung babak perlawanan.

Saya akan mengingati Fella bukan hanya kerana fesyen rambutnya, tetapi saya juga akan mengingati Fella kerana beliau adalah simbol kebergantungan Moyes, Van Gaal dan Mourinho ketika mereka berada dalam situasi panik. Siapa lagi paling diharapkan mereka bagi menyudahkan peluang dalam situasi bola tinggi ketika pasukan sedang ketinggalan atau ketika mereka perlukan gol kemenangan? Hanya Fella....Glory Glory Manchester United!!! – Azhar Johar

Tiada ulasan:

Catat Ulasan