Louis Van Gaal akhirnya
mengumumkan persaraannya secara rasmi dari dunia kejurulatihan pada 11 Mac lalu,
sekaligus menjadikan Manchester United sebagai kelab terakhir yang dikendalikan
beliau. Rekod kejurulatihan beliau ketika bersama Ajax Amsterdam, Barcelona,
Bayern Munich dan skuad kebangsaan Belanda antara kriteria utama mengapa Van
Gaal dipilih menggantikan posisi David Moyes pada 2014.
Sepanjang tempoh dua musim di
Old Trafford, momen paling diingati apabila anda bercakap tentang Val Gaal
tentunya kejayaan beliau mengemudi United menjulang kejuaraan Piala FA pada
2016. Dan sudah tentu juga kejayaan United menjulang trofi tersebut di Stadium
Wembley pada 21 Mei 2016 itu merupakan medal kejuaraan terakhir yang dimenangi
Van Gaal sepanjang karier kejurulatihannya.
Kejuaraan
Paling Diingati
Tekanan tinggi, harapan
menggunung serta sejarah gemilang kelab benar-benar mempengaruhi Van Gaal
sepanjang tempoh dua musim beliau berada di Old Trafford. Bagi merealisasikan
impian penyokong yang mahu melihat United beraksi semula di pentas Liga
Juara-Juara, Van Gaal membawa masuk Angel Di Maria, Ander Herrera, Marcos Rojo,
Luke Shaw dan Daley Blind pada musim pertama beliau selaku pengendali di Old
Trafford
Hasil dari pelaburan besar
yang dilakukannya, United berjaya menamatkan saingan liga (2014-15) di tangga
keempat, sekaligus melayakkan mereka beraksi di pentas Liga Juara-Juara (musim
2015-16). Bagaimanapun di sebalik keterujaan melihat United kembali bersaing di
pentas Liga Juara-Juara, skuad kendalian Van Gaal gagal mara lebih jauh apabila
mereka sekadar menamatkan saingan peringkat kumpulan di tangga ketiga.
Kegagalan di pentas Liga
Juara-Juara dan kemudiannya disusuli pula di Liga Europa selain United juga
menamatkan saingan liga di tangga kelima menyaksikan suara-suara yang mahukan
agar Van Gaal dipecat semakin lantang kedengaran. Bagaimanapun di sebalik
tekanan yang kian meningkat, Van Gaal berjaya juga menghadiahkan United
kejuaraan Piala FA ke-12 dalam sejarah kelab selepas mereka menundukkan Crystal
Palace di pentas final.
Kejuaraan Piala FA yang
dimenangi United pada 21 Mei 2016 itu merupakan kejuaraan major pertama berjaya dimenangi mereka pasca persaraan Sir Alex
Ferguson pada 2013. Jadi mungkin atas sebab itu jugalah mengapa Van Gaal
meletakkan kejayaan tersebut sebagai momen terpenting sepanjang karier
kejurulatihannya. Sepanjang tempoh dua musim, Van Gaal mengendalikan 103
perlawanan untuk United. Dari jumlah tersebut United menang 54 perlawanan, seri
25 kali dan tewas 24 kali.
Menilai
Prestasi Van Gaal
Hanya dua hari selepas
kejayaan menjulang kejuaraan Piala FA, Van Gaal menerima khabar buruk
pemecatannya sebagai pengurus United. Disebalik pelaburan besar yang dilakukan
sepanjang tempoh dua musim Van Gaal mengendalikan kelab, beliau pula cuma mampu
membawa masuk Piala FA ke dalam kabinet kejuaraan di Old Trafford. Kejayaan Van
Gaal mengemudi United menjulang kejuaraan Piala FA tetap gagal menyakinkan
pihak pengurusan kelab untuk terus mengekalkan khidmatnya.
Jika mahu menilai prestasi
Van Gaal sepanjang tempoh dua musim beliau mengendalikan kelab, pasti akan
timbul perdebatan sama ada beliau berjaya atau gagal melaksanakan tugasnya
selaku pengendali. Selepas dipecat, Van Gaal meluahkan kekecewaannya kerana
tidak diberikan peluang menghabiskan tempoh kontraknya. “Saya kecewa kerana
tidak dapat menyelesaikan rancangan tiga tahun yang sudah saya atur. Saya
percaya kelab sudah berada di landasan yang betul untuk terus bergerak ke
hadapan”, kata Van Gaal.
Kejayaan mengemudi skuad kebangsaan
Belanda mara ke peringkat suku akhir Piala Dunia 2014 serta corak permainan
menarik yang ditampilkan skuad De Oranje
itu di bumi Brazil meletakkan Van Gaal sebagai calon nombor satu menggantikan
posisi David Moyes di Old Trafford. Selepas Van Gaal sah dilantik sebagai
pengurus United yang baharu, tugas utama beliau ialah meningkatkan kembali
prestasi dan moral pasukan. Harapan penyokong terhadap kemampuan Van Gaal juga
tinggi terutamanya selepas melihat track
record beliau sebelum ini.
Van Gaal sangat terkenal
kerana falsafah possession football
beliau menerusi corak permainan hantaran-hantaran pendek, manakala skema
formasi 3-5-2 pula sering diimplementasi dengan baik oleh skuad yang pernah
dilatihnya. Aksi pra musim United meningkatkan lagi rasa optimis di kalangan
penyokong kerana mereka melihat corak permainan barisan The Red Devils kali ini jauh lebih baik berbanding ketika era
Moyes.
Janji Van Gaal untuk membawa
United kembali ke saingan Liga Juara-Juara ditunaikan beliau selepas skuad kendaliannya
menamatkan saingan liga (2014-15) di tangga keempat. Bukan itu sahaja, barisan
United juga kembali dihormati semula kerana kemampuan mereka memenangi
perlawanan-perlawanan besar terutamanya membabitkan aksi Manchester Derby dan North
West Derby. Kemampuan beliau dalam mengetengahkan bakat-bakat muda dari
akademi juga mengingatkan kita kepada kelibat Sir Alex Ferguson.
Marcus Rashford, Paddy
McNair, Cameron Bothwick-Jackson dan Timothy Fosu-Mensah antara pemain dari
akademi yang ditampilkan Van Gaal dalam skuad utama United. Pembelian Anthony
Martial dari AS Monaco pula saya anggap satu pelaburan jangka panjang yang
bijak dilakukan Van Gaal kerana potensi besar yang dimiliki warga Perancis itu.
Dari jumlah 13 pemain yang pernah melakukan debut
di bawah kendalian beliau, tujuh daripada mereka berjaya melakukan lebih dari
sepuluh penampilan bersama skuad utama United.
Kejayaan beliau
mengetengahkan bakat muda seperti Marcus Rashford memang wajar diingati, juga
pelaburan bijak yang dilakukannya ke atas Anthony Martial dan Luke Shaw. Jangan
lupakan juga jasa beliau dalam menggilap semula potensi Jesse Lingard tatkala
pemain itu hampir menuju pintu keluar selepas gagal tampil secara konsisten
bersama skuad utama United di era David Moyes. Tetapi bagaimana pula dengan
pelaburan besar yang dilakukan Van Gaal sepanjang tempoh dua musim beliau
berada di Old Trafford?
Anthony Martial, Memphis
Depay, Morgan Schniederlin, Luke Shaw Marcos Rojo, Angel Di Maria, Ander
Herrera dan Daley Blind antara 13 pemain yang ditandatangani Van Gaal, tetapi
dari jumlah tersebut hanya Martial, Herrera dan Shaw boleh diletakkan sebagai
pelaburan berbaloi yang pernah dibawa masuk oleh beliau ke Old Trafford.
Pelaburan ke atas Di Maria akan sentiasa diingati sebagai pelaburan paling
merugikan manakala Depay pula cuma mampu melakukan 33 penampilan dalam saingan
liga meskipun beliau pada mulanya dilabel sebagai `Next Cristiano Ronaldo’ oleh
penyokong United.
Taktikal
Yang Membosankan
Taktik yang diamalkan Jose
Mourinho menyebabkan United dilabelkan sebagai kesebelasan yang membosankan.
Bagaimanapun jika undian dibuat untuk memilih taktik siapa paling membosankan
antara Mourinho dan Van Gaal, maka undian akan saya berikan untuk Van Gaal. Falsafah
bolasepak Van Gaal menjadikan United kesebelasan yang cukup sukses dalam hal
penguasaan bola sepanjang dua musim beliau berada di Old Trafford.
Bagaimanapun Van Gaal mungkin
terlupa bahawa keputusan perlawanan ditentukan menerusi jaringan gol yang
dihasilkan, bukan statistik penguasaan bola di atas padang. Suksesnya United
menguasai bola tidak diimbangi mereka dengan ketajaman ketika melakukan
penyudah di hadapan gawang lawan. Pada musim kedua Van Gaal di Old Trafford, United
hanya mampu menjaringkan 49 gol sekaligus merupakan catatan terendah mereka sejak
era Liga Perdana diperkenalkan.
Selamat
Beristirehat
Ketika namanya diumumkan
secara rasmi sebagai pengganti David Moyes, ramai pihak percaya bahawa Van Gaal
mampu menjadikan United kembali disegani dan ditakuti. Kredibiliti yang
dimilikinya, rekod silam beliau serta pengalaman luasnya selaku pengurus menyebabkan
dirinya dilihat sebagai watak penyelamat bagi mengangkat kembali martabat
United selepas era penuh kesuraman di bawah Moyes.
Harapan tinggi bagaimanapun
bertukar kepada `bencana’ kerana magis Van Gaal seolah-olah semakin pudar
seiring usianya. Di Old Trafford beliau bukan lagi Van Gaal yang kita kenali
ketika beliau mengemudi barisan Ajax Amsterdam menjulang trofi Liga
Juara-Juara. Atau ketika beliau membawa Barcelona menjulang trofi La Liga dua
musim berturut-turut selain Copa del Rey dan UEFA Super Cup.
Bundesliga juga pernah
menyaksikan penguasaan Van Gaal bilamana Bayern Munich menang kejuaraan berganda
ketika gergasi Jerman itu di bawah era pengurusannya. Jangan lupakan juga
`keajaiban’ yang beliau lakukan ketika membawa AZ Alkmaar keluar sebagai juara
Eredivisie sepuluh tahun lalu sekaligus menafikan dominasi Ajax dan PSV sebagai
penguasa bolasepak Belanda.
Di Old Trafford yang juga
merupakan destinasi terakhir dalam kariernya sebagai pengendali, Van Gaal cuma
mampu menghadiahkan kejuaraan Piala FA selain tiket beraksi di Liga
Juara-Juara. Piala FA merupakan kejuaraan pertama yang berjaya United menangi
selepas mereka ditinggalkan Sir Alex Ferguson, jadi tidak hairanlah mengapa
kejuaraan ini sangat istimewa di hati Van Gaal.
Ketika kejayaan beliau
mengetengahkan bakat-bakat muda dari akademi selain medal kejuaraan Piala FA
yang berjaya dimenangi pada musim terakhirnya di Old Trafford, Van Gaal juga akan
dikenang kerana corak permainan membosankan yang dipamerkan United dibawah
arahannya. Sepanjang dua musim dengan segala kelebihan dan kekurangan yang
terlihat, seribu penghargaan tetap wajar diberikan kepada pemilik nama Aloysius
Paulus Maria Van Gaal ini.
United merupakan kelab
terakhir yang beliau kendalikan, jadi saya percaya United juga akan sentiasa
berada di tempat yang istimewa dalam hati Van Gaal. Van Gaal mungkin tidak
berjaya mengotakan janjinya untuk menjadikan United kembali disegani, tetapi
kejuaraan Piala FA yang berjaya beliau hadiahkan pada musim terakhirnya sebagai
pengurus akan sentiasa berada dalam lipatan memori. Terima kasih Van Gaal untuk
dua musim yang penuh warna....selamat beristirehat. Glory Glory Manchester
United!!! – Azhar Johar