04 Mac 2019

CUBALAH BERSIKAP ADIL TERHADAP ROM



Dua gol di Selhurst Park dan dua gol lagi di Old Trafford...semuanya dilakukan Romelu Lukaku dalam tempoh dua hari. Meskipun sejak akhir-akhir ini khabar angin tentang masa depan beliau di Old Trafford bertiup kencang, dua gol yang diledak Lukaku ke gawang Southampton menyaksikan United kembali memintas Arsenal untuk berada di kedudukan keempat liga.

Prestasi terpuji yang ditunjukkan Lukaku sekurang-kurangnya dapat meredakan sedikit kebimbangan tatkala kem United dilanda krisis kecederaan yang melibatkan beberapa pemain utamanya. Siapa sangka pemain yang dahulunya sering dijadikan sasaran kritikan kini secara tiba-tiba muncul penyelamat ketika penyokong meletakkan misi mahu melihat United menamatkan saingan musim ini di kelompok empat teratas.

`Rom’ Watak Penting?

Jika soalan ini ditujukan kepada anda beberapa minggu lalu, saya pasti tidak ramai dikalangan kita percaya bahawa Lukaku (atau Rom) boleh memainkan watak penting dalam misi membantu United merebut slot ke saingan Liga Juara-Juara musim depan. Bagaimanapun di Selhurst Park Khamis lalu, Rom membuktikan kepada pengkritiknya bahawa beliau juga boleh meningkat di bawah kendalian Ole Gunnar Solskjaer sepertimana Paul Pogba.

Tanpa barisan terbaik, tidak ramai pihak percaya bahawa United mampu membawa pulang tiga mata dari Selhurst Park ditambah pula dengan prestasi semasa yang dipamerkan Crystal Palace di bawah bimbingan Roy Hodgson. Bagaimanapun United memadam ramalan awal apabila dua jaringan Rom dan satu menerusi Ashley Young menyaksikan United cemerlang membawa pulang tiga mata berharga ke Old Trafford.

Ketika kelibat Paul Pogba sering dijadikan fokus sebagai watak utama di sebalik peningkatan United di era Solskjaer, Rom tiba-tiba mencuri tumpuan menerusi dua gol yang diledak beliau ketika berdepan Crystal Palace Khamis lalu. Selepas berakhirnya aksi di Selhurst Park, Solskjaer memuji penampilan Rom sambil menyifatkan kehadiran penyerang antarabangsa Belgium itu mampu meningkatkan peluang United dalam perlumbaan merebut posisi empat teratas.

Mengapa Rom Sering Dikritik?

Jika anda melihat kepada senarai penjaring gol di Liga Perdana setakat ini, jumlah 12 gol yang dihasilkan Rom bukanlah sesuatu yang terlalu buruk. 12 jaringan yang diledak Rom ke gawang lawan menyaksikan beliau berkongsi kedudukan bersama Eden Hazard, Raheem Sterling dan Alexandre Lacazette ditangga kelima senarai penjaring Liga Perdana.

Bagaimanapun nilai perpindahan sebanyak £75 juta yang terpaksa dibayar United kepada Everton akhirnya menjadi musuh beliau dan menyebabkan Rom sentiasa terdedah kepada sasaran kritikan. Ratio gol beliau dengan Mohammad Salah yang dibeli Liverpool pada harga jauh lebih murah sering dijadikan perbandingan, malah kelemahan Rom ketika melakukan sentuhan pertama sering dijadikan bahan jenaka.

Dua gol yang dijaringkan Rom ketika berdepan Crystal Palace sudah tentu melegakan beliau kerana gol itu juga menandakan berakhirnya kemarau jaringan beliau dalam sembilan perlawanan berturut-turut. Musim lalu beliau menjaringkan 16 gol untuk United dalam saingan liga dan berdasarkan prestasi semasa serta sembilan aksi liga yang masih berbaki, saya yakin Rom mampu melepasi angka 16 gol musim ini.

Rom Yang Melukai The Saints

Usah tertipu dengan kedudukan Southampton dalam carta liga kerana skuad The Saints itu bukanlah tetamu yang ramah setiap kali mereka berkunjung ke Old Trafford. Kemenangan terakhir yang berjaya dilakar United ke atas The Saints di Old Trafford dalam saingan liga berlaku pada 20 Ogos 2016 menerusi dua gol yang diledak Zlatan Ibrahimovic ke gawang Fraser Foster.

Untuk rekod, dalam enam aksi terakhir menentang The Saints yang dilangsungkan di Old Trafford sejak skuad itu dipromosikan ke Liga Perdana pada musim 2012/13, United hanya memang dua kali. Dan kelmarin The Saints sekali lagi mengesahkan reputasi mereka sebagai lawan yang sering memberikan masalah kepada barisan United hinggalah Rom muncul penyelamat menerusi jaringan kemenangan yang dihasilkannya di penghujung perlawanan.

Bertenang...Kerana Ole Ada Rom

Sepertimana yang anda tahu, dua gol jaringan beliau ke gawang Southampton kelmarin menyaksikan Rom menambah koleksi jaringannya kepada 12 gol setakat ini. Ketika United dilihat agak bergelut berdepan tentangan sengit pelawat, Rom memilih detik yang tempat untuk meletakkan dirinya sebagai wira menerusi gol kemenangan yang dijaringkannya diminit ke-88.

Di Selhurst Park Khamis lalu, Rom turut melakukan hal yang sama ketika tidak ramai percaya bahawa skuad tempang United mampu pulang dengan tiga mata penuh. Ketika United meratapi kehilangan Anthony Martial dan Jesse Lingard di barisan hadapan, prestasi bagus yang ditunjukkan Rom terutamanya dalam dua aksi terakhir United sepatutnya mampu membuatkan Solskjaer kekal tenang.

Bersikap Adil Terhadap Rom

Sebagai penggempur, tugas hakiki Rom sudah semestinya menjaringkan gol. Di Goodison Park, beliau merupakan penjaring gol yang konsisten untuk Everton dan sepanjang empat musim menyarung jersi The Toffees, Rom tidak pernah gagal menjaringkan gol di bawah paras angka dua digit. Jadi atas sebab itulah mengapa Jose Mourinho berjaya memaksa pihak pengurusan United `pecah tabung’ mengeluarkan dana sebesar £75 juta demi mendapatkan khidmatnya.

Musim lalu, Rom mencipta tujuh assists sekaligus muncul pemain United kedua paling banyak melakukan assists selepas Paul Pogba. Angka ini menunjukkan bahawa peranan Rom bukan sekadar membolosi pintu gol lawan, tetapi Mourinho juga mahukan beliau membuka peluang buat rakan-rakan sepasukan yang lain menjaringkan gol. Lihat apa yang dilakukan Rom ketika berdepan Liverpool musim lalu hingga terhasilnya dua jaringan dari Marcus Rashford.

Rom pada pandangan saya memiliki sisi penyerang tradisional dalam type permainannya. Berbekalkan kekuatan fizikal, Rom mampu memberikan ancaman serius kepada mana-mana pertahanan lawan ketika berada di dalam petak penalti meskipun beliau bukan penyerang yang memiliki skill individu menarik. Berbekalkan semua faktor yang saya sebutkan, Rom perlukan sokongan dari rakan-rakan sepasukan menerusi bekalan hantaran-hantaran berkualiti untuk beliau sudahkan.

Bersama skuad kebangsaan Belgium, Rom diberikan sokongan oleh pemain-pemain genius seperti Kevin de Bryune dan Eden Hazard yang sering membekalkan beliau dengan hantaran-hantaran `membunuh’ untuk diterjemahkan sebagai gol. Bagaimanapun di Old Trafford situasi berbeza sama sekali. United terlalu bergantung kepada Paul Pogba dalam usaha mencipta peluang, manakala dalam tempoh beberapa musim terakhir kelab juga hilang kualiti hantaran-hantaran silang dari sisi sayap.

Saya tidak dapat bayangkan jika pemain-pemain yang memiliki ketepatan hantaran dari sisi sayap seperti David Beckham atau Ryan Giggs masih bermain, atau maestro di bahagian tengah seperti Paul Scholes dan Michael Carrick masih mengemudi jentera tengah United. Bersama mereka pastinya tugas Rom dalam memburu gol akan menjadi lebih mudah sepertimana yang pernah dinikmati Andy Cole, Dwight Yorke atau Ruud Van Nistelrooy suatu ketika dahulu.

Berbekalkan kekuatan dalam situasi perebutan bola tinggi, pasti mudah buat Rom menyudah hantaran-hantaran silang yang tepat dari kaki Beckham atau Giggs menggunakan kepalanya. Atau kekuatan  fizikalnya digunakan Rom dalam duel untuk menewaskan pertahanan lawan ketika menyambut hantaran-hantaran through ball hasil kreativiti Scholes atau Carrick. Bagaimanapun Rom tidak menikmati semua itu tetapi musim ini beliau masih mampu menghasilkan 12 gol.

Tiada kepastian tentang masa depan Rom di Old Trafford. Musim depan mungkin sahaja beliau menyertai pasukan lain sepertimana yang digembar-gemburkan atau saya juga tidak akan terkejut jika Rom tidak kemana-mana dan kekal bersama kelab. Bagaimanapun satu perkara yang pasti ialah Rom masih pemain United, dan ketika kelibatnya masih di sini bersikap adillah untuk beliau. Untuk seorang pemain yang sering dihujani kritikan, 12 gol dari 26 aksi liga bukanlah sesuatu yang terlalu buruk. Berharaplah semoga Rom terus menjaringkan gol-gol penting untuk United selepas ini. Glory Glory Manchester United!!! – Azhar Johar

Tiada ulasan:

Catat Ulasan