23 Mac 2019

SELAMAT BERISTIREHAT VAN GAAL



Louis Van Gaal akhirnya mengumumkan persaraannya secara rasmi dari dunia kejurulatihan pada 11 Mac lalu, sekaligus menjadikan Manchester United sebagai kelab terakhir yang dikendalikan beliau. Rekod kejurulatihan beliau ketika bersama Ajax Amsterdam, Barcelona, Bayern Munich dan skuad kebangsaan Belanda antara kriteria utama mengapa Van Gaal dipilih menggantikan posisi David Moyes pada 2014.

Sepanjang tempoh dua musim di Old Trafford, momen paling diingati apabila anda bercakap tentang Val Gaal tentunya kejayaan beliau mengemudi United menjulang kejuaraan Piala FA pada 2016. Dan sudah tentu juga kejayaan United menjulang trofi tersebut di Stadium Wembley pada 21 Mei 2016 itu merupakan medal kejuaraan terakhir yang dimenangi Van Gaal sepanjang karier kejurulatihannya.

Kejuaraan Paling Diingati

Tekanan tinggi, harapan menggunung serta sejarah gemilang kelab benar-benar mempengaruhi Van Gaal sepanjang tempoh dua musim beliau berada di Old Trafford. Bagi merealisasikan impian penyokong yang mahu melihat United beraksi semula di pentas Liga Juara-Juara, Van Gaal membawa masuk Angel Di Maria, Ander Herrera, Marcos Rojo, Luke Shaw dan Daley Blind pada musim pertama beliau selaku pengendali di Old Trafford

Hasil dari pelaburan besar yang dilakukannya, United berjaya menamatkan saingan liga (2014-15) di tangga keempat, sekaligus melayakkan mereka beraksi di pentas Liga Juara-Juara (musim 2015-16). Bagaimanapun di sebalik keterujaan melihat United kembali bersaing di pentas Liga Juara-Juara, skuad kendalian Van Gaal gagal mara lebih jauh apabila mereka sekadar menamatkan saingan peringkat kumpulan di tangga ketiga.

Kegagalan di pentas Liga Juara-Juara dan kemudiannya disusuli pula di Liga Europa selain United juga menamatkan saingan liga di tangga kelima menyaksikan suara-suara yang mahukan agar Van Gaal dipecat semakin lantang kedengaran. Bagaimanapun di sebalik tekanan yang kian meningkat, Van Gaal berjaya juga menghadiahkan United kejuaraan Piala FA ke-12 dalam sejarah kelab selepas mereka menundukkan Crystal Palace di pentas final.

Kejuaraan Piala FA yang dimenangi United pada 21 Mei 2016 itu merupakan kejuaraan major pertama berjaya dimenangi mereka pasca persaraan Sir Alex Ferguson pada 2013. Jadi mungkin atas sebab itu jugalah mengapa Van Gaal meletakkan kejayaan tersebut sebagai momen terpenting sepanjang karier kejurulatihannya. Sepanjang tempoh dua musim, Van Gaal mengendalikan 103 perlawanan untuk United. Dari jumlah tersebut United menang 54 perlawanan, seri 25 kali dan tewas 24 kali.

Menilai Prestasi Van Gaal

Hanya dua hari selepas kejayaan menjulang kejuaraan Piala FA, Van Gaal menerima khabar buruk pemecatannya sebagai pengurus United. Disebalik pelaburan besar yang dilakukan sepanjang tempoh dua musim Van Gaal mengendalikan kelab, beliau pula cuma mampu membawa masuk Piala FA ke dalam kabinet kejuaraan di Old Trafford. Kejayaan Van Gaal mengemudi United menjulang kejuaraan Piala FA tetap gagal menyakinkan pihak pengurusan kelab untuk terus mengekalkan khidmatnya.

Jika mahu menilai prestasi Van Gaal sepanjang tempoh dua musim beliau mengendalikan kelab, pasti akan timbul perdebatan sama ada beliau berjaya atau gagal melaksanakan tugasnya selaku pengendali. Selepas dipecat, Van Gaal meluahkan kekecewaannya kerana tidak diberikan peluang menghabiskan tempoh kontraknya. “Saya kecewa kerana tidak dapat menyelesaikan rancangan tiga tahun yang sudah saya atur. Saya percaya kelab sudah berada di landasan yang betul untuk terus bergerak ke hadapan”, kata Van Gaal.

Kejayaan mengemudi skuad kebangsaan Belanda mara ke peringkat suku akhir Piala Dunia 2014 serta corak permainan menarik yang ditampilkan skuad De Oranje itu di bumi Brazil meletakkan Van Gaal sebagai calon nombor satu menggantikan posisi David Moyes di Old Trafford. Selepas Van Gaal sah dilantik sebagai pengurus United yang baharu, tugas utama beliau ialah meningkatkan kembali prestasi dan moral pasukan. Harapan penyokong terhadap kemampuan Van Gaal juga tinggi terutamanya selepas melihat track record beliau sebelum ini.

Van Gaal sangat terkenal kerana falsafah possession football beliau menerusi corak permainan hantaran-hantaran pendek, manakala skema formasi 3-5-2 pula sering diimplementasi dengan baik oleh skuad yang pernah dilatihnya. Aksi pra musim United meningkatkan lagi rasa optimis di kalangan penyokong kerana mereka melihat corak permainan barisan The Red Devils kali ini jauh lebih baik berbanding ketika era Moyes.

Janji Van Gaal untuk membawa United kembali ke saingan Liga Juara-Juara ditunaikan beliau selepas skuad kendaliannya menamatkan saingan liga (2014-15) di tangga keempat. Bukan itu sahaja, barisan United juga kembali dihormati semula kerana kemampuan mereka memenangi perlawanan-perlawanan besar terutamanya membabitkan aksi Manchester Derby dan North West Derby. Kemampuan beliau dalam mengetengahkan bakat-bakat muda dari akademi juga mengingatkan kita kepada kelibat Sir Alex Ferguson.

Marcus Rashford, Paddy McNair, Cameron Bothwick-Jackson dan Timothy Fosu-Mensah antara pemain dari akademi yang ditampilkan Van Gaal dalam skuad utama United. Pembelian Anthony Martial dari AS Monaco pula saya anggap satu pelaburan jangka panjang yang bijak dilakukan Van Gaal kerana potensi besar yang dimiliki warga Perancis itu. Dari jumlah 13 pemain yang pernah melakukan debut di bawah kendalian beliau, tujuh daripada mereka berjaya melakukan lebih dari sepuluh penampilan bersama skuad utama United.

Kejayaan beliau mengetengahkan bakat muda seperti Marcus Rashford memang wajar diingati, juga pelaburan bijak yang dilakukannya ke atas Anthony Martial dan Luke Shaw. Jangan lupakan juga jasa beliau dalam menggilap semula potensi Jesse Lingard tatkala pemain itu hampir menuju pintu keluar selepas gagal tampil secara konsisten bersama skuad utama United di era David Moyes. Tetapi bagaimana pula dengan pelaburan besar yang dilakukan Van Gaal sepanjang tempoh dua musim beliau berada di Old Trafford?

Anthony Martial, Memphis Depay, Morgan Schniederlin, Luke Shaw Marcos Rojo, Angel Di Maria, Ander Herrera dan Daley Blind antara 13 pemain yang ditandatangani Van Gaal, tetapi dari jumlah tersebut hanya Martial, Herrera dan Shaw boleh diletakkan sebagai pelaburan berbaloi yang pernah dibawa masuk oleh beliau ke Old Trafford. Pelaburan ke atas Di Maria akan sentiasa diingati sebagai pelaburan paling merugikan manakala Depay pula cuma mampu melakukan 33 penampilan dalam saingan liga meskipun beliau pada mulanya dilabel sebagai `Next Cristiano Ronaldo’ oleh penyokong United.

Taktikal Yang Membosankan

Taktik yang diamalkan Jose Mourinho menyebabkan United dilabelkan sebagai kesebelasan yang membosankan. Bagaimanapun jika undian dibuat untuk memilih taktik siapa paling membosankan antara Mourinho dan Van Gaal, maka undian akan saya berikan untuk Van Gaal. Falsafah bolasepak Van Gaal menjadikan United kesebelasan yang cukup sukses dalam hal penguasaan bola sepanjang dua musim beliau berada di Old Trafford.

Bagaimanapun Van Gaal mungkin terlupa bahawa keputusan perlawanan ditentukan menerusi jaringan gol yang dihasilkan, bukan statistik penguasaan bola di atas padang. Suksesnya United menguasai bola tidak diimbangi mereka dengan ketajaman ketika melakukan penyudah di hadapan gawang lawan. Pada musim kedua Van Gaal di Old Trafford, United hanya mampu menjaringkan 49 gol sekaligus merupakan catatan terendah mereka sejak era Liga Perdana diperkenalkan.

Selamat Beristirehat

Ketika namanya diumumkan secara rasmi sebagai pengganti David Moyes, ramai pihak percaya bahawa Van Gaal mampu menjadikan United kembali disegani dan ditakuti. Kredibiliti yang dimilikinya, rekod silam beliau serta pengalaman luasnya selaku pengurus menyebabkan dirinya dilihat sebagai watak penyelamat bagi mengangkat kembali martabat United selepas era penuh kesuraman di bawah Moyes.

Harapan tinggi bagaimanapun bertukar kepada `bencana’ kerana magis Van Gaal seolah-olah semakin pudar seiring usianya. Di Old Trafford beliau bukan lagi Van Gaal yang kita kenali ketika beliau mengemudi barisan Ajax Amsterdam menjulang trofi Liga Juara-Juara. Atau ketika beliau membawa Barcelona menjulang trofi La Liga dua musim berturut-turut selain Copa del Rey dan UEFA Super Cup.

Bundesliga juga pernah menyaksikan penguasaan Van Gaal bilamana Bayern Munich menang kejuaraan berganda ketika gergasi Jerman itu di bawah era pengurusannya. Jangan lupakan juga `keajaiban’ yang beliau lakukan ketika membawa AZ Alkmaar keluar sebagai juara Eredivisie sepuluh tahun lalu sekaligus menafikan dominasi Ajax dan PSV sebagai penguasa bolasepak Belanda.

Di Old Trafford yang juga merupakan destinasi terakhir dalam kariernya sebagai pengendali, Van Gaal cuma mampu menghadiahkan kejuaraan Piala FA selain tiket beraksi di Liga Juara-Juara. Piala FA merupakan kejuaraan pertama yang berjaya United menangi selepas mereka ditinggalkan Sir Alex Ferguson, jadi tidak hairanlah mengapa kejuaraan ini sangat istimewa di hati Van Gaal.

Ketika kejayaan beliau mengetengahkan bakat-bakat muda dari akademi selain medal kejuaraan Piala FA yang berjaya dimenangi pada musim terakhirnya di Old Trafford, Van Gaal juga akan dikenang kerana corak permainan membosankan yang dipamerkan United dibawah arahannya. Sepanjang dua musim dengan segala kelebihan dan kekurangan yang terlihat, seribu penghargaan tetap wajar diberikan kepada pemilik nama Aloysius Paulus Maria Van Gaal ini.

United merupakan kelab terakhir yang beliau kendalikan, jadi saya percaya United juga akan sentiasa berada di tempat yang istimewa dalam hati Van Gaal. Van Gaal mungkin tidak berjaya mengotakan janjinya untuk menjadikan United kembali disegani, tetapi kejuaraan Piala FA yang berjaya beliau hadiahkan pada musim terakhirnya sebagai pengurus akan sentiasa berada dalam lipatan memori. Terima kasih Van Gaal untuk dua musim yang penuh warna....selamat beristirehat. Glory Glory Manchester United!!! – Azhar Johar

Tiada ulasan:

Catat Ulasan