Dua
kekalahan berturut-turut dalam tempoh seminggu. Apa sebenarnya yang berlaku
kepada Manchester United? Menyaksikan bagaimana United bermain ketika mereka
tewas 0-2 kepada Arsenal minggu lalu, saya bersetuju dengan pendapat Ole Gunnar
Solskjaer bahawa barisan pemainnya tidak berhak tewas dalam perlawanan
tersebut. Tetap bagaimana pula dengan aksi mereka di Stadium Molineux yang
menyaksikan perjalanan United dalam saingan Piala FA dihentikan Wolverhampton Wanderers?
Menurut
Solskjaer, aksi sepanjang tempoh 90 minit ketika berdepan Wolves merupakan
penampilan terburuk yang dipamerkan oleh barisan pemainnya sejak beliau
mengambilalih posisi pengendali dari Jose Mourinho Disember tahun lalu. United
mendominasi penguasaan bola sebanyak 64.1% tetapi mereka cuma mampu melepaskan
11 percubaan ke gawang lawan (berbanding 17 oleh Wolves), manakala kelekaan di
benteng pertahanan menyaksikan pintu gol United dibolosi sebanyak dua kali.
Dua
faktor penting di sebalik kekalahan United di Stadium Molineux ialah kegagalan
jentera tengah mereka bekerja sepertimana biasa meskipun Solskjaer menurunkan
trio terbaiknya (Paul Pogba, Ander Herrera dan Nemanja Matic) di posisi
tersebut. Di barisan hadapan pula, hampir sepanjang tempoh permainan, para
penggempur United gagal memberikan ancaman serius kepada John Ruddy meskipun
mereka mendominasi penguasaan bola. Akhirnya United dihukum menerusi dua gol
yang dihasilkan lawan menerusi gerakan counter
attack mereka serta percaturan bijak dilakukan Nuno Espirito Santo.
Bulan Madu Solskjaer Berakhir
Kekalahan
0-2 kepada Arsenal dalam saingan liga minggu lalu menyaksikan rekod 15 perlawanan
tanpa kalah United di peringkat domestik berakhir. Tidak cukup dengan itu,
Solskjaer sekali lagi menerima tamparan hebat selepas beliau menyaksikan
skuadnya disingkirkan Wolves dari saingan suku akhir Piala FA. Selepas tewas
dua perlawanan berturut-turut, tempoh rehat selama seminggu bagi memberikan
laluan kepada perlawanan antarabangsa diharap boleh digunakan Solskjaer untuk
mencari solusi terbaik bagaimana mahu meletakkan United kembali ke jalur
kemenangan.
Ketika
Carrington bakal `lengang’ selama seminggu, ini adalah masa terbaik untuk
Solskjaer melakukan evaluasi dalam sistem permainan United dan mencari titik
kelemahan yang menjadi penyebab dua kekalahan yang dialami skuadnya ditangan
Arsenal dan Wolves. Rekod 15 perlawanan domestik tanpa kalah sudah menjadi
sejarah, manakala baki lapan perlawanan liga bakal menentukan masa depan
Solsjaer di Old Trafford. Jadi fokus beliau seterusnya ialah memastikan United
mengutip tiga mata penuh ketika mereka menerima kunjungan Watford 30 Mac ini.
Mengharapkan Magis Ole
Hampir
20 tahun lalu, gol jaringan Solskjaer ke gawang Bayern Munich di Nou Camp
memberikan United kejuaraan Liga Juara-Juara kedua dalam sejarah kelab. Gol penghujung
permainan yang menewaskan Oliver Kahn itu adalah bukti bahawa keajaiban
sentiasa ada dalam dunia bolasepak. Selepas 20 tahun adakah Solskjaer mampu
menghadirkan magisnya sekali lagi untuk United? Jika ketika eranya sebagai pemain
Solskjaer sering menyelamatkan United menerusi gol-gol pentingnya di penghujung
permainan, kini sentuhan magis beliau sebagai pengurus di tagih kelab terutama
dalam misi mereka menamatkan saingan liga di kelompok empat teratas.
Sejak
ketibaannya di Old Trafford, Solskjaer berjaya mengubah pandangan pesimis ramai
pihak terhadap kemampuan United untuk bangkit dari tempoh sukar selepas
pemecatan Jose Mourinho. Ketika corak permainan defensif United dikritik
penyokong sendiri, Solskjaer berjaya mengubah kritikan tersebut kepada pujian
menerusi pendekatan corak permainan menyerang yang dipamerkan barisan
pemainnya. Suasana di bilik persalinan kembali terkawal, moral pemain melonjak
tinggi dan paling penting pemain berasa selesa serta bebas bermain di bawah
arahannya, sesuatu yang mereka katakan tidak dinikmati ketika era Mourinho.
Misi
Solakjser ketika beliau dilantik sebagai pengendali sementara Disember lalu
ialah menjadikan United kesebelasan yang menarik untuk ditonton aksinya di atas
padang. Mengembalikan DNA menyerang dalam permainan United antara keutamaan
Solskjaer, jadi tidak hairanlah mengapa corak permainan yang dipamerkan skuad
United ketika ini sering dibandingkan dengan barisan The Red Devils kendalian Fergie. Kehadiran Solakjser bukan sahaja
berjaya melonjakkan motivasi di kalangan pemainnya malah penyokong-penyokong
juga semakin optimis bahawa kelab mampu menamatkan saingan liga di posisi empat
teratas, sesuatu yang tidak mungkin pernah mereka fikirkan sebelum ketibaan
beliau.
Harapan Di Bahu Ole
Ketika
nama-nama besar seperti Zinedine Zidane dan Antonio Conte digembar-gemburkan
bakal mengisi kekosongan kerusi panas di Old Trafford, pihak pengurusan United
pula sebaliknya memilih Solskjaer sebagai pengendali interim. Setakat ini, kedudukan
Solskjaer sebagai pengurus tetap masih belum dimuktamadkan biarpun beliau
berjaya meletakkan United kembali sebagai pesaing posisi empat teratas.
Kejayaan menyingkirkan PSG dari saingan Liga Juara-Juara juga nampaknya masih
belum mampu membuka pintu hati pihak pengurusan kelab untuk menawarkan kontrak
tetap kepada beliau.
Sebagai
pemain, Solskjaer juga bukanlah nama besar sehebat Ronaldinho, Zinedine Zidane,
Thierry Henry, Ryan Giggs atau si El Phenomenon (Ronaldo Luis Nazario de Lima).
Solskjaer hanyalah watak pengganti yang sering digunakan Sir Alex Ferguson
tatkala beliau mahu melakukan perubahan kepada plan permainannya dalam satu-satu perlawanan. Gaya permainannya
juga tidaklah seindah Cristiano Ronaldo atau Lionel Messi, tetapi di Old
Trafford beliau adalah lagenda menerusi gol-gol penting jaringannya yang sering
menjadi penyelamat United.
Dalam
bidang kejurulatihan pula, Solskjaer belum memenangi apa-apa kejuaraan besar
yang boleh beliau banggakan. Memenangi kejuaraan Tippeligaen dan Piala Norway bukanlah bandingan untuk trofi Liga
Perdana, La Liga, Scudetto, Ligue 1
atau Bundesliga. Bersama Cardiff City pula, beliau cuma mampu bertahan selama
sembilan bulan sebelum kembali semula ke pangkuan Molde FK. Jadi tidak
hairanlah mengapa pada awal kemunculannya di Old Trafford, tidak banyak harapan
diberikan atas kemampuan Solskjaer untuk `mengejutkan United dari lena yang
panjang’.
United
bukanlah seperti Cardiff City atau Molde, kerana di Old Trafford tekanannya
lebih tinggi. David Moyes, Louis Van Gaal dan kemudiannya Jose Mourinho tewas
dalam misi mereka menjejak kejayaan Fergie meskipun dua daripada mereka (Van
Gaal dan Mourinho) memiliki track record
yang cemerlang. Pengurus sehebat Van Gaal gagal menjadikan United kembali
garang meskipun skuadnya dibarisi pemain bertaraf dunia seperti Bastian
Schweinsteiger, Angel Di Maria dan Radamel Falcao.
Mourinho
pula yang sering dikelilingi superstar
dalam setiap kelab yang pernah beliau kendalikan tetap gagal menjinakkan Paul
Pogba. Akhirnya perseteruan dengan beberapa pemain utama menjejaskan prestasi
keseluruhan pasukan hingga mengakibatkan Mourinho terpaksa menamatkan kariernya
di Old Trafford lebih awal. Lebih perit janji-janji awal Mourinho yang mahu
menjadikan United segagah ketika mereka di era kendalian Fergie tidak kesampaian.
Jika nama-nama besar seperti Van Gaal dan Mourinho pun tewas, apa yang mampu
anda harapkan dari seorang pengurus yang `tidak punya apa-apa’ seperti
Solskjaer?
Bagaimanapun
pandangan pesimis terhadap kemampuan Solskjaer berubah kepada optimis selepas
beliau berjaya meletakkan United kembali sebagai pencabar kelompok empat
teratas. Ketika awal kedatangan beliau, tiada siapa menyangka bahawa jurang 11
mata yang dimiliki Chelsea selaku kelab di tangga keempat liga mampu dicantas.
Begitu juga ramalan pengkritik yang mengatakan bahawa misi United di saingan
Liga Juara-Juara sudah berakhir sebaik mereka diundi berdepan PSG di peringkat
kalah mati 16 pasukan. Akhirnya dengan sedikit bantuan tuah dan strategi yang
tepat, ego barisan bintang PSG direntap di hadapan penyokong mereka sendiri.
United
sudah pun terkeluar dari saingan Piala FA, tetapi pintu untuk mereka beraksi disaingan
Liga Juara-Juara musim hadapan masih terbuka luas. Asalkan mereka konsisten
pada baki lapan perlawanan liga selepas ini, yakinlah bahawa misi menamatkan
saingan liga di kelompok empat teratas mampu disempurnakan. Di pentas Eropah
pula, United bakal berdepan satu lagi misi mustahil selepas mereka diundi menentang
Barcelona di peringkat suku akhir. Barca memang lawan yang hampir sempurna di
segenap posisi tetapi bukan mustahil untuk United melakar satu lagi kejutan
dengan menewaskan gergasi Catalan itu.
Ole Yang Sentiasa Optimistik
Apa
yang menjadikan Solskjaer supersub
yang sangat berbahaya ketika era beliau sebagai pemain ialah sikap optimistik yang
ada dalam dirinya. Aksi kedua pusingan kalah mati 16 pasukan Liga Juara-Juara
di Parc des Princes 7 Mac lalu adalah contoh terbaik tentang sikap optimis
seorang individu bernama Ole Gunnar Solskjaer ini. Tatkala ramai pihak percaya
bahawa peluang United mara ke suku akhir sudah tertutup ekoran kekalahan yang
dialami mereka pada perlawanan pertama, Solskjaer pula kekal tenang dan percaya
bahawa United mampu melakukan kebangkitan di Paris. Akhirnya lihatlah apa yang
barisan pemainnya lakukan di Parc des Princes 7 Mac lalu.
Terdetik
sedikit rasa bimbang selepas melihat United tewas dua perlawanan berturut-turut
dalam tempoh seminggu, tetapi saya percaya di bawah kendalian individu yang
sentiasa optimis seperti Solskjaer, United akan kembali bangkit. Aksi menentang
Watford sepatutnya dijadikan medan kebangkitan semula United sebelum mereka
berdepan kempen yang sukar sepanjang bulan April nanti. April nanti bukan
sahaja bakal menjadi bulan yang penting dalam survival United untuk merebut
slot ke Liga Juara-Juara musim hadapan, tetapi April juga bakal menyaksikan
kepulangan semula Solskjaer ke Nou Camp buat pertama kali dalam tempoh 20
tahun.
Cuma
kali ini kepulangan beliau ke tanah Catalan bukan lagi sebagai pemain tapi menggalas
misi besar United sebagai pengurus. 20 tahun lalu beliau pernah melakar
keajaiban di Nou Camp sebagai pemain, dan semoga 17 April nanti satu lagi keajaiban
mampu dilakukan beliau sebagai pengurus pula. Tatkala United bakal berdepan
kempen sukar sepanjang bulan April, di bahu Solskjaer terbeban segenap harapan
untuk melihat United menamatkan saingan liga di posisi empat teratas dan mara
sejauh mungkin di pentas Liga Juara-Juara. Setinggi manakah tahap optimisme
anda terhadap peluang United pada baki saingan musim ini? Glory Glory
Manchester United!!! – Azhar Johar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan