12 Mac 2019

FRED YANG GEMILANG ATAU PENERUS LEGASI PEMAIN BRAZIL YANG GAGAL?



Kleberson, Anderson, Rodrigo Possebon, Rafael dan Fabio da Silva antara bekas pemain Manchester United yang berasal dari negara samba, Brazil. Dari senarai di atas, Rafael da Silva dan Anderson mungkin antara yang bernasib baik kerana masih mampu melakukan lebih 100 penampilan untuk United walaupun mereka gagal menepati jangkaan awal sebagai pengganti jangka panjang Roy Keane dan Gary Neville.

Fabio da Silva pula gagal menyaingi Patrice Evra dalam perebutan posisi sebagai bek kiri, Kleberson cuma mampu melakukan 20 penampilan liga sepanjang tempoh dua tahun bersama kelab (2003-2005) manakala Possebon tidak pernah kembali semula ke Old Trafford selepas beliau dipinjamkan ke kelab Portugal, SC Braga pada 2009. Apa yang menyebabkan mereka gagal, atau lebih tepatnya mengapa pemain berdarah Brazil gagal menyinar di Old Trafford?

Gilberto Silva antara tonggak di Highbury sepanjang tempoh enam musim (2002-2008) beliau menyarung jersi Arsenal, Willian sudah hampir enam musim di Stamford Brdige dan hingga kini masih lagi dianggap watak penting bagi menggerakkan jentera tengah Chelsea manakala di Anfield pula Roberto Firmino antara sandaran Liverpool di bahagian hadapan bagi menghasilkan gol. Jangan lupakan juga impak yang pernah diberikan Philippe Coutinho bersama skuad The Reds.

Bagaimanapun di Old Trafford, nasib berbeza dialami oleh pemain berdarah Brazil. Tiada seorang pun pemain Brazil yang pernah tiba di Old Trafford mampu mencetuskan impak sehebat Gilberto Silva, Willian, Firmino atau Coutinho untuk kelab masing-masing di Liga Perdana. Selepas era Kleberson, Anderson, Possebon serta kembar Rafael dan Fabio, legasi pemain-pemain Brazil di Old Trafford disambung pula oleh Fred dan Andreas Pereira.

Menanti Potensi Fred

Berbanding Andreas Pereira yang sudah berada di Old Trafford sejak usia 15 tahun, Fred pula merupakan pembelian yang dilakukan Jose Mourinho musim panas tahun lalu dalam usaha beliau menguatkan jentera tengah United. Bagaimanapun sejak ketibaan beliau di Old Trafford, Fred nampaknya masih bergelut dalam usaha beliau beradaptasi dengan gaya pemainan bolasepak England.

Sepanjang tiga bulan pertama kehadirannya di Old Trafford, Fred cuma melakukan tiga penampilan dalam saingan liga. Meskipun United terpaksa membelanjakan wang sebanyak £52.7 juga kepada Shakhtar Donetsk demi mendapatkan khidmatnya, Mourinho pula merasakan bahawa Fred belum mencapai kualiti yang beliau inginkan untuk disenaraikan dalam kesebelasan utama pilihannya.

Apa yang berlaku kepada Fred sebenarnya normal buat mana-mana pemain asing yang tiba di kelab baharu. Lima musim di Ukraine dan kemudiannya berpindah pula ke liga yang dianggap antara liga paling mencabar di dunia bukanlah sesuatu yang mudah buat Fred. Ditambah pula kehadiran beliau di Old Trafford di saat kelab berada dalam situasi sukar dan kurang stabil.

Situasi Fred sebenarnya hampir sama dengan apa yang pernah dialami Victor Lindelof pada musim pertama beliau di Old Trafford. Sepertimana Fred, Lindelof juga berdepan isu lambat beradaptasi dengan gaya permainan bolasepak Inggeris tetapi kini pertahanan antarabangsa Sweden itu menjelma sebagai watak penting di benteng pertahanan United.

Pesan Dari Solskjaer

Sejak Ole Gunnar Solskjaer mengambil alih posisi Jose Mourinho 22 Disember tahun lalu hinggalah aksi menentang Fulham di Craven Cottage 9 Februari lalu, sudah tiga kali nama Fred tidak disenaraikan dalam senarai skuad United. Di era Mourinho mahupun Solskjaer, sukar untuk Fred memecah dominasi trio Nemanja Matic, Paul Pogba dan Ander Herrera di bahagian tengah.

Solskjaer bagaimanapun yakin situasi sukar yang dihadapi Fred cuma bersifat sementara sambil membandingkan apa yang pernah berlaku kepada Juan Sebastian Veron serta Diego Forlan suatu ketika dahulu. “Situasi Fred hampir sama dengan apa yang berlaku kepada bekas rakan-rakan sepasukan saya dahulu. Anda tahu bila tiba waktunya, dia mampu memberikan sumbangan berkesan kepada pasukan”, kata Solskjaer dalam Manchester Evening News.

“Juan Sebastian Veron dan Diego Forlan pernah melalui perkara yang sama. Fred sebenarnya pemain yang bagus, sama dengan Andreas Pereira. Mereka bekerja keras dan ketika mereka diberikan kesempatan, mereka pasti akan memanfaatkan dengan baik. Tiada keraguan tentang bakatnya cuma apa yang pasti setiap pemain baharu yang datang ke sini pasti berdepan kesukaran”, tambah Solskjaer lagi.

Bukan Rom, Bukan Rashford...Tapi Fred

Imbas kembali kebangkitan yang dilakukan United saat mereka menyingkirkan Paris St Germain dalam saingan pusingan kalah mati 16 pasukan Liga Juara-Juara minggu lalu. Gol jaringan Romelu Lukaku dan Marcus Rashford di Parc des Princes memberikan United tiket ke peringkat suku akhir, tetapi secara peribadi saya memilih Fred sebagai pemain terbaik United dalam perlawanan itu.

Selepas tamat aksi di Parc des Princes itu, Ole Gunnar Solskjaer juga secara terbuka memuji penampilan Fred di bahagian tengah United. “Dalam perlawanan ini dia menunjukkan kenapa kami mendapatkan khidmatnya pada musim panas 2018. Dia menunjukkan mentaliti sebenar pemain Brazil. Hari ini pendekatan permainan kami juga mirip Shakhtar Donetsk dan itu memudahkan lagi tugasnya”, kata Solskjaer.

Tanpa Paul Pogba, Nemanja Matic serta Ander Herrera dan dalam skema 4-4-2, Fred digandingkan bersama Scott McTominay di bahagian tengah. Tugas utamanya di Parc des Princes ialah membayangi setiap pergerakan Marco Veratti, pemain tengah kreatif dan juga pengatur tempo permainan untuk PSG. Menurut catatan WhoScored, sepanjang perlawanan Fred melakukan empat tackle, satu intercept dan satu clearance.

Catatan ini bukanlah catatan yang terlalu unggul, tetapi Solskjaer bijak menggunakan kualiti bertahan yang dimiliki Fred untuk merosakkan tempo permainan lawan menerusi kreativiti Veratti. Tekanan demi tekanan yang diberikan Fred menyaksikan Veratti bergelut dalam usahanya membina gerakan-gerakan PSG terutamanya sepanjang babak pertama.

Perubahan sistem permainan PSG dari 4-3-2-1 kepada 3-4-3 juga gagal memberikan impak terutamanya kepada bahagian tengah mereka. Thomas Tuchel mungkin berharap kehadiran Leandro Paredes boleh mengubah situasi namun konsistensi yang ditunjukkan Fred di bahagian tengah menyebabkan pola gerakan-gerakan PSG kembali tertumpu di sisi sayap kiri dan kanan.

Rebutan Dua Kelab Manchester

Kekasaran yang dilakukan beliau ke atas Alexander Lacazette dalam aksi di Stadium Emirates tempohari menyebabkan Arsenal kemudiannya dihadiahkan sepakan penalti. Tiada masalah buat Pierre-Emerick Aubamenyang menyempurnakan sepakan tersebut, lantas memadam segala harapan untuk kita melihat kebangkitan United selepas mereka ketinggalan menerusi gol jaringan Granit Xhaka di babak pertama.

Ketepikan perdebatan sama ada penalti itu patut diberikan atau tidak, tetapi saya lebih gemar melihat prestasi keseluruhan Fred di bahagian tengah United sepanjang perlawanan. Selepas aksi di Liga Juara-Juara, Fred sekali lagi diberikan kepercayaan oleh Solskjaer untuk bermain selama 90 minit. Sepanjang aksi menentang Arsenal, Fred melepaskan dua percubaan tepat, tiga tackle, satu dribble, satu aerials won manakala peratus ketepatan hantarannya pula mencapai 85%.

Di Stadium Emirates, Fred muncul pemain United yang mencatatkan peratus ketepatan hantaran tertinggi tetapi kerja kerasnya sepanjang perlawanan `terpadam’ gara-gara kesilapan beliau yang menyebabkan Arsenal dihadiahkan sepakan penalti. Berbanding fasa permulaan karier beliau di Old Trafford, Fred pada pandangan saya sudah menunjukkan kemajuan yang signifikan terutamanya sepanjang tempoh pasca pemecatan Jose Mourinho.

Ketika di Kharkiv, Fred merupakan pemain yang tidak tergantikan tempatnya di bahagian tengah Shakhtar Donetsk. Versatiliti permainan yang dimiliki Fred menjadi penyebab mengapa beliau pernah menjadi rebutan dua kelab Manchester. Ketika pengurus unggul seperti Pep Guardiola turut mengagumi kemampuannya, saya berharap agar Fred mampu memainkan peranan utama di bahagian tengah United selepas ini selain membuktikan kualiti dirinya selaku pemain berasal dari Brazil.

Sebuah Pengharapan Untuk Fred

Aksi di Parc des Princes dalam saingan Liga Juara-Juara minggu lalu merupakan penampilan terbaik Fred sejak ketibaan beliau di Old Trafford dan trend positif ini diteruskan beliau dalam aksi menentang Arsenal tempohari. Kerja-kerja fantastis beliau ketika memberikan tekanan kepada Veratti serta Marquinhos di Parc des Princes saya harap satu petanda  permulaan kepada karier gemilang Fred di Old Trafford.

Potensi besar yang dimilikinya serta kualiti yang ada pada permainannya menjadi penyebab mengapa Fred pernah menjadi rebutan Jose Mourinho dan Pep Guardiola. Kini sudah ada tanda-tanda kebangkitan Fred menerusi dua aksi terakhirnya bersama United dan semoga di Old Trafford nasib beliau tidak seburuk Kleberson, Rodrigo Possebon dan Fabio da Silva. Atau adakah di kaki Fred sumpahan Old Trafford terhadap pemain-pemain dari Brazil bakal terlerai?...Glory Glory Manchester United!!! – Azhar Johar

Tiada ulasan:

Catat Ulasan