“Keajaiban di kota Paris”...itu
sahaja yang terdetik di dalam hati sebaik Damir Skomina meniupkan wisel penamat
tanda berakhirnya aksi kedua pusingan kalah mati 16 pasukan Liga Juara-Juara
antara Paris St Germain dan Manchester United awal pagi tadi. Ketika ramai
pihak meramalkan bahawa pintu ke suku akhir sudah tertutup buat United berikutan
kekalahan (0-2) di pusingan pertama 13 Februari lalu, barisan `serba tempang’ yang dibawa Ole Gunnar Solskjaer ke kota
Paris sebaliknya melakar kejutan tak terduga.
Kejayaan melepasi halangan
PSG kali ini merupakan kejayaan pertama United lolos ke peringkat suku akhir dalam
saingan Liga Juara-Juara sejak musim 2013/14. Mengikut catatan UEFA, kejayaan United
di kota Paris awal pagi tadi turut menyaksikan mereka muncul kelab Eropah pertama
yang berjaya mara ke pusingan berikutnya walaupun ketinggalan (0-2) secara aggregat
selepas tewas pada aksi pertama di gelanggang sendiri.
Sumpahan
Buat PSG
Kegagalan PSG mara ke peringkat
suku akhir kali ini menyaksikan `sumpahan’ buat gergasi Perancis itu dalam
saingan Liga Juara-Juara terus berlanjutan. Sejak diambil alih Nasser
Al-Khelaifi pada 2011, PSG saban musim diletakkan antara calon pilihan
menjulang trofi Liga Juara-Juara hasil dari pelaburan besar yang dilakukan oleh
jutawan dari Qatar itu.
Kylian Mbappe, Edinson
Cavani, Neymar, Angel Di Maria, Dani Alves, Julian Draxler, Adrien Rabiot, Marco
Veratti dan Thiago Silva antara kualiti yang ada dalam barisan Le Parisiens hasil suntikan pelaburan
besar yang dilakukan Al-Khelaifi. Bagaimanapun pelaburan besar yang dilakukan
Al-Khelaifi masih belum mampu membawa trofi kejuaraan saingan tertinggi
kelab-kelab Eropah itu ke kota Paris.
Pencapaian terbaik PSG dalam
saingan Liga Juara-Juara sejak diambil alih Al-Khelaifi ialah mara keperingkat
suku akhir. Mereka melakukannya pada musim 2012-13, 2013-14 dan 2014-16,
manakala dalam tempoh tiga musim terakhir langkah mereka terhenti di peringkat
kalah mati 16 pasukan. Apa yang berlaku di Parc des Princes awal pagi tadi
turut mengulangi episod sama pada musim 2012-13 dan 2013-14, di mana mereka
tersingkir menerusi peraturan gol di tempat lawan.
Pada musim 2013-13, mereka
disingkir Barcelona di peringkat suku akhir menerusi peraturan gol di tempat
lawan selepas kedua-dua pasukan terikat dengan aggregat (3-3). Musim berikutnya
skrip serupa berulang lagi, tetapi kali ini giliran Chelsea pula menyingkirkan
mereka dengan cara yang sama. Pada musim 2016-17 pula, mereka menewaskan
Barcelona (4-0) pada aksi pertama di gelanggang sendiri namun kekalahan besar
(1-6) di Nou Camp menyaksikan PSG disingkir dengan cara yang cukup tragis.
Simpati
Kepada Buffon
Apa lagi perkataan sesuai yang
mampu diberikan buat sang lagenda ini selain simpati. Kegagalan Gianluigi
Buffon menangkap kemas bola percubaan jarak jauh Marcus Rashford di babak
pertama menyaksikan gawang beliau ditembusi Romelu Lukaku buat kali kedua. Dalam
situasi padang yang basah akibat hujan, kesilapan seperti itu boleh dilakukan
oleh mana-mana penjaga gol terbaik dunia dan Buffon juga pastinya tidak
terkecuali.
Jika gol kedua jaringan
Lukaku itu menghidupkan kembali peluang United selepas Juan Bernat menyamakan
kedudukan diminit ke-12, jaringan penalti Rashford di penghujung permainan pula
menamatkan impian Buffon untuk cuba memenangi medal kejuaraan Liga Juara-Juara
musim ini. Tambah malang dalam tempoh dua musim terakhir, Buffon juga terpaksa
menyaksikan pasukan yang diwakilinya disingkir menerusi gol sepakan penalti.
Musim lalu ketika bersama
Juventus, Buffon terpaksa menyaksikan perjuangan beliau di Liga Juara-Juara ditamatkan
menerusi jaringan penalti Cristiano Ronaldo di penghujung perlawanan. Musim ini
jalan cerita yang sama buat Buffon berulang lagi. Ketika ramai pihak
menjangkakan bahawa PSG akan mudah melepasi halangan United, jaringan penalti Rashford
di penghujung perlawanan menyaksikan juara Perancis itu tersingkir dari
pusingan kalah mati 16 pasukan buat musim ketiga berturut-turut.
Buffon sudah memenangi semua
kejuaraan domestik sepanjang kariernya bersama Juventus, juga sudah memenangi
medal juara Piala Dunia bersama skuad kebangsaan Itali, namun trofi Liga
Juara-Juara masih satu-satunya trofi yang gagal dimenangi lagenda berusia 41
tahun itu. Sukar untuk menjangka berapa lama lagi Buffon mampu bermain, tetapi
sebagai peminat bolasepak saya berharap agar suatu hari nanti beliau mampu memenangi
trofi Liga Juara-Juara sebagai pelengkap kepada karier gemilangnya sebelum
bersara.
Tuah
United Di Kaki Rom?
Apa lagi yang mampu
diperkatakan tentang penampilan Lukaku sejak kebelakangan ini. Dalam tempoh
seminggu, Rom sudah meledak enam gol untuk United dalam semua peringkat
kejohanan. Bermula dengan aksi liga menentang Crystal Palace, trend dua gol Rom berlanjutan ketika
United menerima kunjungan Southampton Sabtu lalu dan kini gawang PSG pula menjadi
mangsa ketajaman beliau menerusi dua gol yang dihasilkannya awal pagi tadi.
Ketika tidak ramai pihak
meletakkan harapan untuk United memadam kelebihan dua gol yang dimiliki PSG
hasil kemenangan mereka pada aksi pertama di Old Trafford, Rom tiba-tiba muncul
menerusi gol pembukaan pantas seawal minit ke-3 di Parc des Princes. Meskipun kelebihan
United kemudiannya dipadamkan Juan Bernat lapan minit selepas itu, Rom menewaskan
Gianluigi Buffon buat kali kedua diminit ke-30 untuk kembali menghidupkan
peluang United mara ke suku akhir.
Marcus Rashford mungkin
dianggap wira kerana gol menerusi sepakan penaltinya membawa United mara ke
suku akhir, tetapi sumbangan keseluruhan Rom dalam perlawanan ini sangat
signifikan di sebalik kejayaan mereka menyingkirkan gergasi Perancis itu di
halaman lawan. Dua gol yang dihasilkannya awal bagi tadi merupakan ganjaran
atas kerja keras beliau sepanjang perlawanan, tetapi selain itu tuah United juga
nampaknya seolah-olah kini berada di kaki Rom.
Kematangan
Rashford
Pada awalnya Ole Gunnar
Solskjaer sendiri tidak yakin bahawa Marcus Rashford mampu melaksanakan
tugasnya sebagai pengambil sepakan penalti. Berdepan penjaga gol lagenda
seperti Gianluigi Buffon dalam perlawanan besar seperti Liga Juara-Juara dan
tekanan menggunung yang perlu dihadapinya, pasti bukan tugas mudah buat
seorang pemain berusia 21 tahun seperti Rashford.
Bagaimanapun Rashford
akhirnya berjaya menewaskan Buffon dan gol menerusi sepakan penalti tersebut
meletakkan United di peringkat suku akhir. Kematangan adalah kunci di sebalik
kejayaan Rashford menang pertarungan psikologinya dengan Buffon tambahan pula
ini adalah kali pertama beliau ditugaskan mengambil sepakan penalti dalam
perlawanan kompetitif.
Romantisme
Kota Paris
Tatkala ramai pihak mengatakan
peluang United mara ke suku akhir sudah tertutup rapat ekoran kekalahan 0-2
pada aksi pertama yang dilangsungkan di Old Trafford bulan lalu, Ole Gunnar
Solskjaer pula mungkin satu-satunya individu di Old Trafford yang masih percaya
dengan kemampuan barisan pemainnya melakar kejutan. Sebagai pemain yang pernah
menganggotai skuad juara `Treble 99’
United, tiada salahnya jika Ole kekal optimis di sebalik tekanan menggunung dan
harapan tinggi yang diletakkan di atas bahu beliau.
“Kami memiliki penyokong yang
lantang dalam setiap kunjungan kami ke gelanggang lawan. Kami tidak akan
menyerah sebelum berjuang. Kami hanya ingin bermain dan menikmati perlawanan.
Kami tahu Paris gelanggang yang sukar, oleh itu kami akan cuba mencari dua gol
terlebih dahulu. Jika kami mampu mendahului 1-0 di babak pertama segalanya
boleh berlaku di babak kedua”, kata Ole beberapa hari menjelang kunjungan
United ke kota Paris.
Bercakap tentang hal-hal positif
merupakan tipikal seorang individu bernama Ole Gunnar Solskjaer terutamanya
sejak beliau tiba di Old Trafford Disember tahun lalu. Beliau pernah merasai
keajaiban di Turin tatkala barisan United kendalian Fergie menyingkirkan
Juventus di peringkat suku akhir saingan Liga Juara-Juara edisi 1998-99. Juga
bagaimana jaringan kemenangannya dalam aksi final
di Nou Camp menyebabkan barisan bintang Bayern Munich menangis bagaikan anak
kecil.
20 tahun lalu Turin dan Nou
Camp pernah menyaksikan kebangkitan hebat United di era Sir Alex Ferguson dan
kini giliran Solskjaer pula membuktikan bahawa tiada apa yang mustahil dalam
bolasepak. Benarlah kata Ole, jika 20 tahun lalu United mampu menjuarai Liga
Juara-Juara dalam tempoh hanya tiga minit, jadi United juga punya waktu yang
lebih dari mencukupi untuk melakar kejutan di Parc des Princes, dan itulah yang
dilakukan mereka awal pagi tadi.
Kejayaan menyingkirkan PSG
awal pagi tadi menambahkan lagi cerita sensasi tentang kebangkitan hebat United
dalam sejarah perjalanan mereka yang panjang. Terima kasih Ole kerana berjaya
menjadikan United kembali mengaum, dan terima kasih juga kepada barisan pemain beliau
yang berjaya membuktikan bahawa keajaiban sentiasa ada dalam bolasepak. Tambah
manis keajaiban itu dilakar mereka di tengah kota Paris yang romantik. Glory
Glory Manchester United!!! – Azhar Johar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan