Marouane Fellaini dan Juan
Mata merupakan dua pemain tengah yang ditandatangani United ketika era David
Moyes sebagai pengurus. Fellaini menyertai United pada musim panas manakala
Mata pula tiba di Old Trafford pada pertengahan musim. Perpindahan Mata ketika
itu memang menggemparkan apatah lagi ia berlaku di pertengahan musim dan
membabitkan seorang key player dari
kelab rival seperti Chelsea. Di
Stamford Bridge, Mata antara watak penting di sebalik kejayaan Chelsea
menjulang trofi Liga Juara-Juara pada 2012 dan Liga Europa setahun kemudian.
Bagaimanapun kepulangan
semula Jose Mourinho ke Stamford Bridge pada 2013 menyaksikan posisi Mata dalam
kesebelasan utama The Blues mula goyah. Di bawah regim Mourinho, tiada
lagi jaminan buat Mata beraksi dalam kesebelasan utama hinggalah akhirnya
beliau memutuskan berpindah ke Old Trafford pada Januari 2014. Berbeza dengan
Fellaini yang mempertaruhkan kekuatan fizikal dalam corak permainannya, Mata
pula adalah tipikal kepada mana-mana pemain tengah yang berasal dari Sepanyol
menerusi kebolehan teknikal dan visi permainan yang dimilikinya.
Umpanan-umpanan tepat yang
dilakukannya selain peluang-peluang gol yang dicipta menjadikan Mata antara
pemain kesayangan penyokong United. Bukan sahaja kerana kemampuan beliau di
atas padang, Mata juga disenangi kerana sikapnya yang tidak pernah mencetuskan
masalah di luar padang. Malahan Mourinho yang pernah membuatkan Mata
meninggalkan Stamford Bridge juga tidak pernah mengeluh dengan prestasi serta attitude yang ditunjukkan bekas pemain
Valencia ini sepanjang hampir tiga musim The
Special One mengendalikan kelab.
Mengapa
Solskjaer Perlukan Mata
Selepas mengharungi proses
rundingan yang panjang, United akhirnya berjaya mengekalkan pemain tengah
berusia 31 tahun ini di Old Trafford untuk tempoh tiga tahun lagi. Musim lalu
bukanlah musim yang cemerlang buat Mata, apatah lagi beliau hanya mampu
melakukan 22 penampilan untuk United dalam saingan liga. Jadi apakah alasan
United terutamanya Ole Gunnar Solskjaer mengekalkan Mata yang hanya mampu
menjaringkan enam gol sepanjang dua musim terakhirnya di Old Trafford?
Pengalaman luas yang dimiliki
Mata menjadi penyebab utama mengapa Solskjaer mahu terus mengekalkan pemain ini
dalam skuadnya. “Juan Mata merupakan salah seorang pemain paling bijak yang
pernah bekerja dengan saya. Dia adalah contoh yang bagus untuk pemain muda
kami. Dia tahu betapa pentingnya menjadi pemain Manchester United. Kami
memiliki beberapa pemain muda yang fantastis, jadi pengalaman luas Mata akan
membantu mencapai potensi mereka”, kata Solskjaer dalam satu wawancara dengan
BBC.
Mata antara pemain senior
penuh pengalaman yang dimiliki Solskjaer. Di Old Trafford, Mata pernah
berkhidmat untuk empat pengurus berbeza (David Moyes, Louis Van Gaal, Jose
Mourinho dan kini Solskjaer). Bagaimanapun selepas hampir enam musim beliau
menyertai United, Mata masih belum menemui prestasi terbaiknya yang pernah
menyaksikan beliau muncul antara penggerak penting jentera tengah Chelsea.
Musim 2012/13 masih kekal sebagai tempoh paling cemerlang Mata sepanjang
sembilan musim beliau berada di England.
Mengapa
Tiga Tahun?
Usia Mata sudah pun mencecah
31 tahun, jadi timbul persoalan apakah rasionalnya kelab memberikan beliau
kontrak selama tiga tahun ditambah pula dengan prestasi beliau yang semakin
menurun. Mata bukan lagi pemain yang sama ketika beliau dinobatkan sebanyak dua
kali sebagai pemain terbaik Chelsea. Sebagai seorang pemain yang berperanan
selaku `pemain nombor 10’, kreativiti beliau sangat diperlukan dalam membuka
ruang atau mencipta peluang gol kepada rakan di barisan serangan.
Itulah karakter sebenar Mata
yang menyaksikan beliau berjaya membantu Chelsea menjulang trofi Liga
Juara-Juara dan Liga Europa pada 2012 dan 2013. Bagaimanapun sejak tiba di Old
Trafford, Mata hilang kreativitinya sebagai seorang playmaker. Musim 2015-16
merupakan musim terbaik Mata di Old Trafford apabila beliau bermain dalam semua
aksi liga selain menjaringkan enam gol dan melakukan lima bantuan gol. Musim
lalu pula, beliau cuma bermain 22 perlawanan liga, menjaringkan tiga gol dan
melakukan dua bantuan gol.
Berikut pula adalah ratio key passes yang dilakukan Mata dalam
setiap perlawanan sepanjang tempoh enam musim terakhir:
2013/14 2.3
2014/15 1.5
2015/16 1.4
2016/17 1.8
2017/18 1.8
2018/19 1.4
Hakikat
Yang Perlu Diterima Mata
Setinggi manapun pujian yang
dihamburkan Solskjaer kepada Mata sebaik pemain itu sah melanjutkan kontraknya
di Old Trafford, Mata perlu menerima hakikat selepas ini bahawa beliau bukanlah
calon automatik dalam kesebelasan utama The
Red Devils. Musim lalu Mata tampil selama 90 minit dalam empat aksi liga
manakala bakinya beliau digantikan pada pertengahan perlawanan atau bermula
dari bangku simpanan.
Skema permainan United yang
diterapkan Jose Mourinho mahupun Solskjaer menyaksikan peranan Mata dalam
kesebelasan utama secara perlahan-lahan mula terpinggir. Sepertimana Mourinho,
Solskjaer juga mahukan setiap pemainnya mampu menggalas tanggungjawab ketika
menyerang dan bertahan dengan baik. Mata sangat lemah dalam melakukan
kerja-kerja bertahan, dan atas sebab itulah mengapa Solskjaer lebih gemar
memilih trio Herrera-Matic-Pogba di bahagian tengah.
Secara tepatnya, Mata akan
kembali ke prestasi terbaiknya jika beliau diberikan tanggungjawab untuk hanya
fokus melakukan tugas serangan menerusi peranan yang dimainkannya selaku pemain
tengah menyerang sepertimana ketika era Louis Van Gaal sebagai pengurus. Dua
musim bermain di bawah kendalian Van Gaal, Mata berjaya meledak 10 gol setiap
musim (dalam semua kejohanan) sebelum angka tersebut menurun dalam tiga musim
terakhir.
Apakah
Plan Sebenar Solskjaer?
45 gol dan 37 bantuan gol
yang disumbangkan Mata sepanjang enam musim menyarung jersi United tetap satu
catatan yang bagus untuk seorang pemain yang sering tersisih dari kesebelasan
utama. 75 penampilan liga dalam tempoh tiga musim terakhir juga menunjukkan
bahawa sama ada Mourinho ataupun Solskjaer masih lagi mahukan Mata memainkan
peranan dalam pasukan. Adakalanya juga Mourinho ataupun Solskjaer sering memainkan
Mata sebagai penyerang sayap di sisi kanan dan juga berperanan sebagai inverted winger.
Tugas sebagai penyerang sayap
dan inverted winger sebenarnya
bukanlah terlalu asing buat Mata kerana ketika di Stamford Bridge beliau sering
diberikan tanggungjawab untuk menggalas peranan tersebut. “Saya suka pemain
yang datang dari sisi sayap untuk melakukan penetration,
umpanan dan melakukan percubaan. Juan merupakan satu-satunya pemain kami yang
mampu melakukan perkara tersebut di sisi kanan”, kata Mourinho ketika beliau
kembali mengendalikan Chelsea pada 2013.
Jika dilihat kepada situasi
Mata sepanjang tempoh tiga musim terakhir, serta umur beliau yang sudah
melepasi angka 30, keputusan kelab melanjutkan kontrak warga Sepanyol ini selama
tiga tahun lagi memang agak mengejutkan. Ketika kelab berdepan kemungkinan
bakal kehilangan khidmat Paul Pogba, adakah keputusan mengekalkan Mata di Old
Trafford selama tiga tahun lagi menandakan bahawa Solskjaer sudah memiliki rancangan
untuk meletakkan beliau kembali berperanan sebagai pemain “nombor 10”? Glory
Glory Manchester United!!! – Azhar Johar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan