Menamatkan saingan liga di
posisi keenam, gagal memenangi sebarang trofi dan terlepas aksi Liga
Juara-Juara musim depan boleh dianggap sebagai kegagalan secara `total’ barisan
Manchester United kendalian Ole Gunnar Solskjaer musim lalu. Bagaimanapun dalam
masa yang sama adalah tidak adil untuk meletakkan kegagalan tersebut di bahu
Solskjaer memandangkan beliau hanya mengambilalih pasukan ketika saingan liga
sudah hampir memasuki fasa kedua.
Musim hadapan bakal menjadi
musim yang sangat penting buat Solskjaer dalam menentukan hala tuju skuad
kendaliannya. Segala usaha dan kerja keras beliau akan mula dinilai sebaik
United memulakan aksi pertama mereka menentang Chelsea dalam saingan liga. Bagi
memperkuatkan pasukan, Solskjaer sudah membawa masuk dua muka baharu setakat
ini (Daniel James dan Aaron Wan-Bissaka), selain kemungkinan akan ada dua atau
tiga lagi pembelian yang bakal menyusul.
Harry Maguire, Sean Longstaff
dan Bruno Fernandes antara nama yang sering disebut-sebut berada dalam radar
buruan Solskjaer tetapi hingga kini penyokong-penyokong United masih menanti
apakah kesudahan rumours yang
membabitkan masa depan tiga pemain ini. Ketika kita masih menanti siapakah nama
terbaharu yang bakal ditandatangani kelab, nun jauh di `benua kecil’ Australia,
secara tiba-tiba nama Bryan Robson terpacul dari mulut Solskjaer.
Tidak mungkin Robson (atau
lebih dikenali dengan Robbo) akan melakukan comeback
sebagai pemain memandangkan usia beliau kini sudahpun mencecah 62 tahun. Jadi
mengapa nama Robbo tiba-tiba muncul dalam ingatan Solskjaer? Di awal era 80an
hingga awal era 90an, terdapat seorang pemain yang sangat berpengaruh dalam
skuad United dan beliau yang saya maksudkan ialah Robbo. Dan atas sebab itulah
mengapa Solskjaer merasakan bahawa beliau perlukan seorang pemain seperti Robbo
dalam skuadnya.
Dia
Yang Mengubah Persepsi Fergie
Solskjaer menyertai United
pada tahun 1996, iaitu dua tahun selepas Robbo meninggalkan Old Trafford.
Beliau tidak sempat bermain dalam satu pasukan bersama Robbo, tetapi Solskjaer tahu
betapa pentingnya sumbangan dan peranan yang dimainkan legenda itu untuk
United. Pemain yang memakai armband
ketua pasukan paling lama dalam sejarah United itu adalah sosok paling menonjol
ketika kelab berdepan zaman suram hinggalah kejayaan mereka menamatkan kemarau
26 tahun kejuaraan liga pada 1993.
Ketika di St Mirren, Aberdeen
dan skuad kebangsaan Scotland, Sir Alex Ferguson percaya bahawa tiada mana-mana
pemain boleh dilabel sebagai `one man
team’ dan menganggap idea tersebut sebagai mengarut. Bagaimanapun persepsi
Fergie akhirnya berubah selepas ketibaan beliau di Old Trafford selaku
pengganti posisi Ron Atkinson. Ya...dalam skuad United ketika itu beliau
menemui Robbo, salah seorang anggota Magnificent
7 yang akhirnya berjaya mengubah persepsi Fergie terhadap istilah `one man team’.
Robbo yang mengawal bahagian
tengah United selama 13 tahun itu melakukan 461 penampilan dan berjaya
menjaringkan 99 gol. Dalam koleksi medal kejuaraan yang berjaya beliau menangi
pula, Robbo sukses menjulang dua kejuaraan liga, tiga kejuaraan Piala FA, dua
kejuaraan Charity Shield, satu kejuaraan Cup Winners Cup dan satu kejuaraan
European Super Cup. Bersama skuad The
Three Lions pula, Robbo berjaya mengumpul 90 caps dan menjaringkan 26 gol.
“Tidak boleh disangkal lagi
bahawa Robson berperanan lebih dari pemain lain di atas padang. Semasa saya
tiba (di Old Trafford), ada perasaan di mana kemenangan atau kekalahan pasukan
benar-benar bergantung sama ada dia bermain atau tidak”, tulis Fergie dalam
autobiografinya, Managing My Life.
Sukar sebenarnya memaksa seorang individu se`ego’ Fergie menerima realiti
tersebut, tetapi untuk seorang pemain dan pemimpin yang fenomenal seperti Robbo,
beliau terpaksa memberikan pengecualian.
Captain Marvel Sebenar
Bukan Eric Cantona, bukan Roy
Keane, bukan Gary Neville dan bukan juga Wayne Rooney tetapicaptain marvel sebenar untuk United ialah
Bryan Robson. Dan label sebagai captain marvel
ini sebenarnya sangat identitik bila anda bercakap tentang Robbo. Robbo bukan
hanya hebat sebagai kapten pasukan kerana gaya kepimpinannya, tetapi beliau
juga terkenal sebagai pemain tengah yang hebat kerana kemampuannya di atas
padang.
Memiliki stamina tidak
terbatas hingga membolehkan beliau menjelajah ke segenap penjuru padang,
digeruni lawan kerana terjahan-terjahan keras tetapi bijak yang dilakukannya,
kemampuan melakukan hantaran-hantaran tepat menerusi kedua-dua belah kakinya,
kuat dalam perebutan bola tinggi serta dianugerahkan dengan naluri pembunuh
ketika berada dalam petak penalti lawan melengkapkan lagi ciri permainan Robbo
sebagai midfielder handalan.
“Dia mampu mengawal permainan
dengan baik, memiliki terjahan yang bagus, tenaga yang luar biasa serta
umpanan-umpanan yang berkualiti. Kombinasi antara stamina dan kemampuan membaca
permainan menjadikan dia mampu melakukan pergerakan-pergerakan merbahaya dari
bahagian tengah padang ke petak penalti lawan serta menjaringkan gol-gol
penting. Kekuatan mentalnya juga sangat bagus”, tambah Fergie lagi.
Penampilan
Di Pentas Eropah
Ketika United berdepan tempoh
suram sejak persaraan Sir Matt Busby, mereka masih mampu mara hingga ke
peringkat separuh akhir kejohanan Eropah. Pada musim 1983/84, United menyingkirkan
wakil Bulgaria, Spartak Varna di pusingan kedua saingan European Cup Winners
Cup untuk mara ke peringkat suku akhir. Di peringkat suku akhir, lawan yang
menanti mereka ialah Barcelona, kesebelasan yang dibarisi pemain-pemain unggul
seperti Diego Maradona dan Bernd Schuster.
Aksi pertama yang
dilangsungkan di Nou Camp pada 7 Mac 1984 itu menyaksikan United tewas 0-2 menerusi
gol Graeme Hogg (jaringan sendiri) dan Juan Carlos Rojo. Jadi satu tugas yang
sangat sukar untuk Robbo memimpin rakan-rakan sepasukan dalam usaha mereka
melakukan kebangkitan pada aksi kedua di Old Trafford. Atmosphere di Old Trafford pada malam 21 Mac 1984 bukan sahaja
sangat luar biasa tetapi aksi kedua menentang Barca itu juga memberikan momen yang
sangat indah buat Robbo.
Di Old Trafford, United
membuktikan tiada apa yang mustahil hatta berdepan lawan sehebat Barca
sekalipun. Mereka melakukan kebangkitan hebat untuk menang 3-0 dalam perlawanan
tersebut, manakala Robbo pula menjaringkan dua gol dalam aksi yang penuh
dramatik itu. Bagaimanapun langkah United terhenti di peringkat separuh akhir
selepas mereka disingkir Juventus yang ketika itu diperkuatkan Michel Platini,
Claudio Gentile, Zbigniew Boniek dan Paolo Rossi menerusi keputusan aggregat
2-3.
Kejuaraan
Piala FA Kedua
Jika pada musim sebelumnya
perjalanan United di pentas Eropah (European Cup Winners Cup) terhenti di
peringkat separuh akhir, lain pula ceritanya dalam saingan domestik. Pada musim
1984/85, United mara ke pentas final saingan Piala FA selepas mereka
menyingkirkan Liverpool di peringkat separuh akhir. Meskipun terikat 2-2 pada
aksi yang dilangsungkan di Goodison Park, United berjaya menewaskan Liverpool
(2-1) pada aksi ulangan di Maine Road.
Robbo menjaringkan gol
penyamaan selepas gawang mereka dibolosi menerusi jaringan sendiri Paul McGarth
manakala Mark Hughes pula mengesahkan kemaraan United ke pentas final menerusi
jaringan kemenangan yang dihasilkannya di minit ke-58. Liverpool yang dibarisi
Bruce Grobbelaar, Kenny Dalglish, Alan Hansen, Steve Nicol dan Roonie Whelan
merupakan kesebelasan pilihan ketika itu, tetapi Everton yang menanti United di
final juga bukanlah calang-calang pasukan.
The
Toffees kendalian Howard Kendall adalah barisan
lebih lengkap dan seimbang di semua bahagian menerusi kehadiran Neville
Southall, Pat Van den Hauwe, Kevin Ratcliffe, Gary Stevens, Peter Reid, Graeme
Sharp, Andy Gray dan Kevin Sheedy. Jadi tidak hairanlah mengapa mereka mampu
menjulang kejuaraan liga pada musim tersebut (1984/85) menerusi kelebihan 12
mata mengatasi Liverpool di posisi kedua.
Status Everton selaku juara
liga bagaimanapun tidak banyak membantu mereka apabila jaringan Norman
Whiteside diminit ke-110 masa tambahan membolehkan Robbo menjulang kejuaraan
Piala FA keduanya bersama United. Kejayaan Robbo menjulang kejuaraan Piala FA
kali ini saya anggap lebih istimewa berbanding edisi 1982/83 kerana mereka
berjaya menewaskan dua kesebelasan terbaik di England ketika itu (Everton dan
Liverpool) di peringkat separuh akhir dan final.
Pengakhiran
Era Captain Marvel
Kejayaan menjulang trofi
European Cup Winners Cup pada 1991 menebus kekecewaan Robbo selepas disingkir
Juventus di peringkat separuh akhir kejohanan sama tujuh tahun sebelumnya.
Terima kasih atas dua jaringan sumbangan Mark Hughes ke gawang Barcelona yang
akhirnya meletakkan United kembali ke dalam peta bolasepak Eropah. Setahun
sebelum itu, Robbo juga berjaya menjulang Piala FA buat kali ketiga sebagai
kapten United selepas mereka menewaskan Crystal Palace (1-0) dalam aksi ulangan
di Wembley.
Bagaimanapun detik paling
bermakna dalam karier Robbo di Old Trafford hadir saat beliau menjulang trofi
Liga Perdana pada musim 1992/93. Kejayaan itu bukan sahaja menyaksikan United
muncul juara pertama di era Liga Perdana tetapi kejayaan itu juga membolehkan
Robbo memahat namanya sebagai kapten United pertama yang berjaya menjulang
trofi liga dalam tempoh 26 tahun selepas kali terakhir Noel Cantwell
melakukannya pada 1967.
Kejayaan United
mempertahankan kejuaraan liga mereka musim berikutnya (1993/94) turut
menandakan berakhirnya era Robbo di Old Trafford. Tatkala United sudah memiliki
pengganti beliau di bahagian tengah menerusi pelaburan yang dilakukan ke atas
Roy Keane, Robbo memilih menyertai Middlesbrough pada usia beliau mencecah 37
tahun dan kekal di Riverside selama tiga musim sebelum bersara sepenuhnya
sebagai pemain.
Dambaan
Solskjaer
Robbo memiliki pakej serba
lengkap untuk dinobatkan sebagai antara box
to box midfielder terbaik eranya. Ramai mengatakan bahawa Eric Cantona
memainkan peranan penting di sebalik kejayaan United menjulang kejuaraan liga
buat pertama kali dalam tempoh 26 tahun. Bagaimanapun mereka mungkin terlupa
bahawa selama bertahun-tahun Fergie sudah membina skuadnya berteraskan kepada
kekuatan Robbo di bahagian tengah.
Cantona adalah `puzzle’ terakhir yang diperlukan Fergie
untuk melengkapkan skuadnya manakala lama sebelum itu, Robbo pula sudah
memainkan peranan yang sangat penting dalam perkembangan United di bawah kepimpinan
Fergie. Ketika Solskjaer dalam misi membentuk kekuatan United berteraskan
bakat-bakat muda, beliau sebenarnya turut mendambakan sosok seorang pemimpin di
atas padang dalam kesebelasannya. Maka atas sebab itulah mengapa secara
tiba-tiba nama Bryan Robson muncul dalam fikiran beliau.
Tiga medal kejuaraan Piala FA
yang dimenanginya, dua kali menjulang trofi Charity Shield (sekarang Perisai Komuniti) dan satu kejuaraan European Cup
Winners Cup ketika United berada dalam tempoh suram sejak berakhirnya era Sir
Matt Busby adalah satu pencapaian hebat untuk seorang kapten. Jika anda masih
tercari-cari definisi sebenar kepada frasa captain
marvel, lihat dalam diri Bryan Robson, kerana di sana anda akan menemui
jawapannya. Glory Glory Manchester United!!! – Azhar
Johar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan