Pada mulanya nama Mason Greenwood
antara yang disenaraikan untuk dipinjamkan ke kelab lain bagi menimba
pengalaman dan memastikan beliau memperolehi minit permainan yang lebih banyak.
Bagaimanapun selepas menyaksikan penampilan beliau dalam aksi pra musim United,
Ole Gunnar Solskjaer akhirnya berubah fikiran dan kini memiliki rancangan lain
untuk pemain berusia 17 tahun itu. Malah tanpa berselindung Solskjaer
mengatakan bahawa Mason berpeluang diturunkan dalam aksi pertama liga menentang
Chelsea nanti.
Dalam kempen pra musim di
Australia, Mason menjaringkan gol pertama ketika skuad kendalian Solskjaer
berdepan Leeds United (United menang 4-0) manakala di Singapura pula, beliau
menjaringkan gol tunggal perlawanan ketika United menewaskan Inter Milan dalam
aksi International Club Championships. Meskipun ini cumalah aksi pra musim,
namun dua gol yang dijaringkan Mason menjadikan beliau pemain United paling
mencuri tumpuan dalam kempen pra musim kali ini.
Sensasi
Masa Depan?
Gol yang dihasilkannya ketika
berdepan Leeds tempohari sangat menarik perhatian. Cara Mason menyudahkan
hantaran dari Aaron Wan-Bissaka itu mungkin agak mudah tetapi apa yang patut anda
perhatikan ialah naluri pembunuh beliau ketika berada dalam petak penalti lawan
dan bagaimana Mason meletakkan dirinya dalam kedudukan yang tepat sebelum
hantaran tersebut berjaya disudahkan ke gawang lawan.
Bagi seorang penyerang yang
sudah bertahun-tahun bermain di tahap tertinggi, gerakan dan jaringan seperti
itu pastinya sangat lazim anda saksikan, tetapi bukan untuk seorang remaja yang
baru berusia 17 tahun. Mason berjaya membaca skema gerakan yang sedang
dibangunkan rakan-rakan sepasukannya, kemudian memilih posisi yang tepat di
antara pertahanan lawan dan akhirnya mudah menolak bola masuk menewaskan Kiko
Casilla.
Diusia yang masih `hijau’
kepintaran seorang striker sudah
terlihat dalam diri Mason dan hal tersebut turut diakui Solskjaer. “Kami sangat
gembira dengan golnya. Sangat penting untuk seorang penyerang menjaringkan gol.
Kami tahu dia mampu melakukannya, tetapi apa yang lebih penting gol itu bakal
meringankan tekanan yang dipikulnya. Pergerakan dan kepintarannya akan
menjadikan dia pemain yang bagus”, kata Solskjaer selepas aksi menentang Leeds.
Naluri
Solskjaer
Selaku individu yang pernah
membarisi jentera serangan dan sukses menjaringkan 91 gol untuk United ketika
eranya sebagai pemain, Solskjaer sudah tentu memiliki deria rasa yang cukup
kuat terhadap bakat muda seperti Mason. Jadi tidak hairanlah mengapa hanya tiga
bulan selepas ketibaan Solskjaer di Old Trafford, beliau memberikan penampilan
pertama buat Mason bersama skuad senior. Detik tersebut hadir ketika United
berdepan Paris St Germain dalam aksi kedua pusingan kalah mati Liga Juara-Juara
yang dilangsungkan di Parc des Princes, 7 Mac lalu.
Pada usia 17 tahun dan 156
hari, penampilan selama tiga minit Mason di Parc des Princes menyaksikan beliau
muncul pemain kedua paling muda dalam sejarah kelab (selepas Norman Whiteside)
yang melakukan debut dalam saingan di
peringkat Eropah. Manakala di era Liga Juara-Juara pula, Mason muncul pemain
termuda United yang melakukan penampilan dalam saingan tertinggi kelab-kelab
Eropah itu. Tiga hari selepas aksi menentang PSG, Mason diberikan peluang
melakukan debut-nya dalam saingan
Liga Perdana pula, kali ini ketika United berdepan Arsenal di Stadium Emirates.
Terbaik
Dalam Kelasnya
Goal
International melabelkan Mason sebagai
pemain muda terbaik yang dimiliki United, malah mereka juga meletakkan beliau
di tangga ke-16 dalam senarai pemain muda terbaik dunia. Apa yang menyebabkan Mason
diberikan pengiktirafan sebegitu rupa? Mason adalah penjaring gol `tulen’,
sekurang-kurangnya itulah yang sudah beliau perlihatkan sekarang. Gol yang
dihasilkan beliau ketika berdepan Leeds dan Inter adalah contoh terbaik
bagaimana seorang penyerang hebat menterjemahkan peluang kepada jaringan gol
menerusi satu sentuhan mudah.
Adalah agak keterlaluan jika
mahu membandingkan Mason dengan penyerang-penyerang handalan dunia ketika ini
kerana perjalanan beliau masih terlalu jauh. Bagaimanapun United beruntung
kerana akademi mereka masih tidak ketandusan dalam menghasilkan produk-produk
berkualiti, dan Mason adalah di antaranya. Versatility
dalam permainannya menjadi bonus tambahan buat Mason dan hal tersebut turut
diakui Solskjaer. “Dia boleh bermain di empat posisi di barisan serangan. Dia
selalu berada di depan untuk menjaringkan gol atau mencipta peluang”, kata
Solskjaer.
Versatility
Mason sebagai pemain sebenarnya sudah diasah sejak beliau berada di dalam
akademi lagi. Di akademi, posisi sebagai pemain tengah menyerang bukanlah asing
buat beliau di tambah pula dengan kemampuan Mason menggunakan kedua-dua belah
kakinya dengan baik. Kemampuan Mason memaksimumkan potensi kedua-dua belah
kakinya turut diakui bekas pemain United, Clayton Blackmore. “Menyaksikan dia
mengambil sepakan percuma dan penalti menggunakan kaki kiri adalah perkara
biasa meskipun dia bukanlah pemain kidal”, kata Blackmore.
Tepat
Pada Masanya
Ketika masa depan Romelu
Lukaku masih menjadi tanda tanya, dan ketika tiada tanda-tanda bahawa United
bakal menandatangani penyerang baharu jika Lukaku dibenarkan menyertai Inter
Milan, kehadiran Mason menerusi prestasi terpuji yang dipamerkan beliau di
Australia dan Singapura datang tepat pada waktunya. Mason tidak akan mengepalai
jentera serangan United musim depan hanya disebabkan prestasi terpuji yang
dipamerkan beliau dalam kempen pra musim kali ini, tetapi kehadiran pemain
kelahiran Yorkshire ini bakal memberikan opsyen tambahan kepada Solskjaer di
barisan hadapan skuadnya.
Menyaksikan statistik
jaringan beliau untuk skuad remaja United musim lalu (30 gol dari 29
penampilan), taraf Mason nampaknya sudah jauh melangkaui rakan-rakan
seangkatannya. Dan selepas menyaksikan prestasi beliau dalam kempen pra musim
kali ini, ramai pihak berpendapat bahawa musim depan adalah detik yang tepat
untuk pemain muda ini menikmati penampilan lebih banyak dalam saingan Liga
Perdana. Bagaimanapun dalam masa yang sama kita perlu bersikap realistik dan
adil terhadap beliau kerana saingan Liga Perdana tentunya sangat jauh berbeza
berbanding aksi di peringkat remaja.
Keberadaan Mason nampaknya
membuatkan Solskjaer kekal tenang meskipun beliau berdepan kemungkinan
kehilangan khidmat Lukaku bagi menghadapi cabaran musim depan. Pendekatan
Solskjaer terhadap bakat-bakat muda juga bakal membolehkan anda menyaksikan
pemain-pemain seperti Mason, Tahith Chong dan Axel Tuanzebe menikmati minit
permainan lebih banyak di Liga Perdana. Tiga minit aksi di Parc des Princes cumalah
langkah permulaan Mason, dan untuk musim depan, bersedialah menyambut kehadiran
`penggempur masa depan’ United ini kerana anda mungkin dapat menyaksikan lebih
banyak keajaiban yang hadir menerusi kedua-dua belah kakinya. Glory Glory
Manchester United!!! – Azhar Johar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan