12 Julai 2019

SISI MERAH DAN PUTIH DALAM DIRI ALAN SMITH



Beliau tidaklah sehebat Ryan Giggs, tidak juga sepopular David Beckham malah bukan juga pemain yang memiliki kepintaran permainan seperti Paul Scholes. Jadi tidak hairanlah mungkin ada di antara anda yang tertanya-tanya siapakah individu yang bernama Alan Smith ini. Jika anda melakukan pencarian di Google, akan timbul dua nama dalam keputusan carian, seorang dilahirkan pada 1962 dan seorang lagi lahir pada 1980.

Mereka memang individu yang berlainan, tetapi memiliki nama serta profesion yang sama iaitu sebagai pemain bolasepak profesional. Alan Martin Smith yang lahir pada 1962 itu merupakan lagenda Arsenal, menyertai skuad The Gunners dari 1987 hingga 1995. Manakala Alan Smith yang lahir pada tahun 1980 itu pula memulakan kariernya bersama Leeds United, sebelum berpindah ke Old Trafford pada 2004, sembilan tahun selepas Alan Martin Smith bersara di Highbury.

Secebis Dari Kisah Roses Derby

Semua orang tahu tentang perseteruan panjang membabitkan United dan Liverpool hingga menyebabkan aksi North West Derby sentiasa ditunggu-tunggu saban tahun. Begitu juga Manchester Derby yang mengakibatkan seluruh kota Manchester `tegang’ selama 90 minit setiap kali barisan The Red Devils dan The Citizens bertembung di atas padang. Benarkah North West Derby aksi paling panas yang perlu dihadapi United berikutan perseteruan panjang membabitkan mereka dengan Liverpool?

Atau adakah Manchester Derby aksi paling tegang di tanah Inggeris demi membuktikan kelab mana penguasa sebenar kota Manchester? Dari sekian banyak pertembungan yang membabitkan United dengan pesaing-pesaing domestik mereka, aksi menentang Leeds United adalah yang paling panas dan tegang pernah berlaku dalam sejarah bolasepak Inggeris.  Ya...suatu ketika dahulu, pertembungan Roses Derby atau juga dikenali sebagai Rivalry of Rose pernah mencetuskan suasana huru hara di tanah Inggeris, kesan dari permusuhan silam membabitkan wilayah Lancashire dan Yorkshire.

Bermula dari persaingan budaya dan kemudiannya merebak kepada perang saudara merebut takhta yang berlaku di abad ke-15 itu akhirnya berlanjutan hingga ke padang bolasepak. Api permusuhan yang membabitkan United dan Leeds mula kendur sebaik berakhirnya era Sir Matt Busby di Old Trafford. Manakala di Elland Road pula, Don Revie yang juga merupakan pengurus Leeds paling berjaya memilih cabaran baharu selaku pengendali skuad kebangsaan England.

Jika persaingan antara United dan Leeds di atas padang dilihat semakin kendur, hal yang sama nampaknya tidak berlaku di luar padang  terutamanya membabitkan penyokong kedua-dua pasukan. Ketika semangat hooliganisme dalam bolasepak begitu memuncak di era 70an, kes pertempuran penyokong membabitkan Red Army (United) dan Service Crew (Leeds) turut mencatatkan jumlah tertinggi berbanding mana-mana perlawanan derby dan menjadi kisah paling terkenal di bumi Inggeris.

Perpindahan Pemain

Alan Smith bukanlah satu-satunya pemain yang pernah menyarung jersi United dan Leeds. 26 tahun sebelum Smith menyertai United, Gordon McQueen pernah memanaskan api perseteruan penyokong dua kelab terbabit menerusi kenyataan yang dikeluarkannya sebaik sahaja perpindahan bernilai £495 ribunya dari Elland Road ke Old Trafford dimeterai. Menurut McQueen, sebanyak 99% pemain pasti ingin bermain untuk Manchester United manakala 1% lagi adalah pembohong. Kenyataan itu dibuat hanya seminggu selepas McQueen menyatakan keinginannya untuk menamatkan karier bersama Leeds ketika diwawancara Shoot Magazine.

Kenyataan warga Scotland itu sekadar menambah luka buat penyokong Leeds, kerana dalam masa yang sama mereka juga terpaksa melihat seorang lagi tonggak pasukan (Joe Jordan) mengiringi McQueen ke Old Trafford. 14 tahun kemudian, perpindahan pemain dari Elland Road ke Old Trafford berlaku lagi dan kali ini lebih sensasi kerana ia membabitkan seorang pemain yang sebelumnya berjaya membantu skuad The Whites menjulang kejuaraan liga. Beliau yang saya maksudkan siapa lagi jika bukan Eric Cantona. Kejayaan Cantona membantu United menamatkan kemarau 26 tahun kejuaraan liga menyebabkan beliau diletakkan sebagai musuh nombor 1 oleh penyokong-penyokong Leeds.

Pada 2002, perpindahan Rio Ferdinand dari Elland Road ke Old Trafford pula memecah rekod perpindahan British dan meletakkan beliau selaku pemain pertahanan termahal dunia. Dua tahun selepas itu, penyokong Leeds menyaksikan seorang lagi pemain mereka menyertai United dan kali ini giliran Alan Smith pula. Bermain untuk dua pasukan yang memiliki sejarah perseteruan silam memanglah sesuatu yang unik dan Smith juga tidak terkecuali. Smith lahir di Rothwell dalam wilayah Yorkshire, bandar yang sangat identitik dengan budaya bolasepak Leeds United. Jadi tidak hairanlah mengapa Smith menjadi sasaran kebencian penyokong Leeds setiap kali beliau kembali beraksi di Elland Road dengan jersi merah United.

Smith Di Liga Juara-Juara

Melihat kepada situasi yang dialami Leeds ketika ini, siapa sangka bahawa mereka pernah mara hingga ke peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara musim 2000/01, dan Smith antara anggota dalam skuad tersebut. Kejayaan mereka mara sebegitu jauh dalam saingan tertinggi kelab-kelab Eropah itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan jika anda lihat barisan yang dimiliki David O’Leary ketika itu. Generasi Leeds ketika itu dibarisi campuran pemain-pemain hebat dan prospek masa depan seperti Mark Viduka, Jonathan Woodgate, Jason Wilcox, David Batty, Rio Ferdinand, Lucas Radebe, Harry Kewell, Paul Robinson, Lee Bowyer, Stephen McPhail dan Smith sendiri.

“Aksi separuh akhir Liga Juara-Juara adalah cabaran yang sangat luar biasa dan pengalaman yang cukup hebat untuk pemain-pemain muda berusia 19 dan 20 tahun seperti saya. Saya menjaringkan gol pertama ketika berdepan 1860 Munich dalam perlawanan playoff pertama dan gol kemenangan di perlawaan kedua di Stadium Olimpik Munich. Di peringkat kumpulan (pusingan kedua) kami diundi bersama Anderlecht, Lazio dan Real Madrid. Kami mara ke pusingan kalah mati ketika saingan masih berbaki satu perlawanan. Saya diarahkan untuk melakukan kerja-kerja mudah manakala Mark Viduka pula banyak membantu saya melaksanakan tugas di atas padang”, kata Smith dalam wawancaranya bersama Four Four Two.

Dikagumi Fergie

Mana-mana pemain tidak akan mampu menolak jika tawaran datang dari Sir Alex Ferguson dan Smith tidak terkecuali. “Bagaimana saya mampu menolak jika seorang pengurus sehebat Fergie datang membuat tawaran”, kata Smith. Bagaimanapun urusan perpindahan Smith ke Old Trafford tidak berjalan lancar atas faktor sejarah perseteruan membabitkan United dan Leeds. Ditambah pula kenyataan yang dibuat Smith sebelumnya bahawa beliau tidak akan pernah mahu bermain untuk United.

Mengulas akan hal tersebut Smith berkata, “Ketika itu saya masih muda serta naif dan tidak pernah terfikir pun bahawa Manchester United mahukan saya. Saya juga tidak pernah membayangkan bahawa Leeds akan tersingkir dari Liga Perdana. Mereka (Leeds) mahu menjual saya kepada pembida tertinggi. Ada individu di sana yang saya tidak sukai dan Leeds yang saya tinggalkan bukanlah Leeds yang pernah saya kenali. Perkara terakhir yang ada dalam fikiran saya sebelum pergi ialah berharap agar Leeds muflis”.

Naluri Fergie

Tatkala ramai pihak melihat potensi Smith sebagai penyerang masa depan England, Fergie pula menilai beliau dalam sisi yang berlawanan. Dalam diri Smith, Fergie berjaya mengesan potensi beliau untuk berperanan sebagai pemain tengah. Agak aneh bukan bila memikirkan bahawa Smith sejatinya bukanlah pemain tengah tulen tetapi sebaliknya beliau memang dilahirkan sebagai seorang penyerang. Bagaimanapun di mata Fergie, corak permainan keras yang dimiliki Smith sangat sesuai untuk beliau bergerak di sektor tengah.

Di peringkat awal, segalanya tampak berjalan lancar buat Smith. Beliau menjaringkan satu gol ketika membantu United menewaskan Arsenal dalam aksi merebut Perisai Komuniti. Penampilan pertamanya di Liga Perdana untuk United juga bermula dengan langkah kanan menerusi sepakan voli indah yang menerjah ke gawang Norwich City. Musim pertama Smith di Old Trafford boleh dianggap musim yang sukses untuk beliau menerusi 31 penampilan yang dilakukannya dalam saingan liga selain berjaya menjaringkan enam gol.

Kecederaan Parah

Pada 18 Februari 2006, United berdepan Liverpool dalam saingan Piala FA yang dilangsungkan di Anfield. Siapa sangka perlawanan ini bukan sahaja meninggalkan detik hitam buat Smith tetapi juga mengubah keseluruhan jalan cerita karier beliau di Old Trafford. Percubaan beliau menghalang sepakan percuma John Arne-Riise diminit ke-61 mengakibatkan tulang tibianya patah selain kecederaan serius di pergelangan kaki (dislocated ankle).  Menurut Fergie, `ini antara kejadian paling buruk yang pernah beliau lihat dalam kariernya’.

Insiden tersebut merubah sama sekali karakter permainan beliau dan Smith bukan lagi pemain yang sama. Hilang sudah watak seorang pemain yang dahulunya sangat terkenal dengan terjahan-terjahan kerasnya, selain tiada langsung rasa gentar ketika melakukan duel 50/50 hatta ketika berhadapan dengan pemain sekeras Patrick Vieira sekalipun. Smith memerlukan tempoh lapan bulan untuk kembali bermain dan kemunculan pertamanya bersama skuad utama ialah ketika berdepan Benfica dalam aksi Liga Juara-Juara pada bulan September 2006.

Transformasi

Kecederaan parah yang dialami Smith memang mengubah kariernya selepas itu tetapi perubahan sebenar sudah berlaku lama sebelum itu tatkala beliau diarahkan Fergie untuk bermain di bahagian tengah. Menurut Smith, peralihan posisinya ke bahagian tengah bukanlah untuk menggantikan tempat Roy Keane tetapi hal tersebut memang sudah dirancang Fergie. “Ramai yang mengatakan bahawa perpindahan saya ke Old Trafford bagi menggantikan tempat Roy Keane. Itu sebenarnya mengarut kerana dalam skema tiga pemain tengah, saya digandingan bersama Keano dan Paul Scholes”, kata Smith.

Karakter permainan Smith memang tiada persamaan dengan Keano terutamanya ketika melakukan kerja-kerja bertahan kerana beliau bukanlah pemain yang efektif dalam hal tersebut. Malah Keano juga pernah mengkritik corak permainan Smith yang `explosive’ sebagai sangat membahayakan. Meskipun Smith gagal bertransformasi dari seorang penyerang kepada pemain tengah di Old Trafford, pengalaman selama tiga musim menyarung jersi United banyak membantu beliau berperanan sebagai seorang midfielder ketika bermain untuk Newcastle United, MK Dons dan Notts County.

“Berpindah ke posisi tengah banyak membantu karier saya terutamanya selepas kecederaan itu yang menyebabkan 10 hingga 15 peratus kemampuan saya hilang. Saya perlu mencari semula diri saya sebagai pemain dan belajar untuk melaksanakan tugas di posisi baharu. Di Newcastle saya mula mempelajari tugas seorang pemain tengah bertahan”, tambah Smith lagi. Pada Ogos 2007, Smith menyertai Newcastle dan kekal di St James Park selama lima musim. Manakala Notts County pula merupakan kelab terakhir Smith sebelum beliau mengumumkan persaraan pada Julai 2018.

Smith Yang Unik

Sebagai anak jati Yorkshire yang bakat bolasepaknya digilap Leeds United, perpindahan Smith dari Elland Road ke Old Trafford boleh dianggap sesuatu yang cukup unik. Tatkala perseteruan lampau yang mencetuskan perang saudara antara wilayah Lancashire dan Yorkshire terbawa-bawa hingga ke padang bolasepak, Smith pula berjaya mengibarkan cabaran untuk dua kelab yang dahulunya saling bermusuhan itu. Ketika ditanya tentang statusnya sama ada merah (United) atau putih (Leeds), Smith pantas menjawab bahawa beliau boleh menjadi bahagian merah dan putih kerana dedikasi tinggi terhadap kariernya.

Smith boleh sahaja berada di sisi merah (United) atau putih (Leeds), namun di sisi mana sekalipun beliau berada, Smith akan sentiasa diingati menerusi dedikasi tinggi yang beliau tunjukkan dalam permainannya. Sangat mengagumkan bila melihat bagaimana seorang pemain yang pernah berdepan kecederaan teruk mampu bangkit untuk meneruskan kariernya selama 12 tahun lagi. Selaku pemain tengah, Smith tidaklah sehebat Roy Keane atau sepintar Paul Scholes. Tetapi nama beliau akan tetap tertulis dalam tinta emas sebagai salah seorang anggota The Red Devils yang berjaya memenangi medal kejuaraan Liga Perdana pada musim 2006/07. Glory Glory Manchester United!!! – Azhar Johar

Tiada ulasan:

Catat Ulasan