27 Julai 2019

DEBUT NICK CULKIN DAN REKOD BELIAU YANG BELUM LAGI DIPECAHKAN



Beberapa hari lalu ketika sedang berehat di rumah sambil menonton televisyen, saya berkesempatan menyaksikan perlawanan klasik antara Manchester United dan Arsenal yang disiarkan di saluran 831 Astro dalam segmen Premier League Flashback. Meskipun sempat ketinggalan menerusi gol jaringan Frederick Ljungberg, United akhirnya pulang dari Highbury dengan tiga mata penuh selepas Roy Keane meledak dua gol di babak kedua.

Ketika perseteruan antara United dan Arsenal sedang memanas, aksi yang dilangsungkan pada 22 Ogos 1999 itu turut diwarnai dengan beberapa aksi tegang, kekasaran demi kekasaran dan pastinya tidak lengkap tanpa percakaran antara Roy Keane dan Patrick Vieira. Bagaimanapun, momen paling menarik berlaku di penghujung perlawanan tatkala kekasaran yang dilakukan Martin Keown ke atas Raymond Van der Gouw memaksa penjaga gol United itu diusung keluar padang.

Hilang khidmat penjaga gol utama ketika Arsenal sedang mengasak hebat dalam usaha mereka mendapatkan gol penyamaan pastinya sangat mencemaskan. Di bangku simpanan skuadnya pula, Sir Alex Ferguson tidak memiliki pilihan lain kecuali menurunkan Nick Culkin sebagai pengganti pada baki masa perlawanan yang masih ada. Melihat kelibat Culkin di kaca televisyen, saya tertanya-tanya siapakah sebenarnya beliau kerana secara peribadi saya memang tidak pernah mendengar nama pemain ini.

Penampilan Pertama Dan Terakhir

Culkin berpindah ke Old Trafford pada September 1995 dari York City dengan nilai perpindahan sebanyak £100 ribu.  Pada usia 17 tahun ketika itu, pastinya Culkin akan bermula dari sistem pembangunan remaja United terlebih dahulu sebelum beliau layak menyertai skuad senior. Selepas dua musim berada di akademi, Culkin akhirnya diberikan peluang tampil bersama skuad utama ketika United melakukan persiapan pra musim (1997/98) di Scandinavia.

Selepas menandatangani lanjutan kontrak selama dua tahun pada Mei 1999, detik yang ditunggu-tunggu Culkin untuk melakukan penampilan pertama dalam saingan kompetitif bersama skuad senior akhirnya hadir tiga bulan selepas itu. Kecederaan yang dialami Van der Gouw pada aksi menentang Arsenal di Highbury itu akhirnya membuka peluang buat Culkin memperagakan bakatnya sebagai prospek penjaga gawang masa depan United.

Pada usia 21 tahun ketika itu, Culkin diarahkan Fergie untuk segera masuk ke padang menggantikan Van der Gouw walaupun beliau tidak sempat melakukan warming up. Culkin berlari menuju ke arah pintu gol, kemudiannya mengambil tendangan percuma dan hanya beberapa saat selepas itu Graham Poll meniup wisel penamat menandakan bahawa perlawanan tersebut sudah pun berakhir.

Menghitung dari saat Culkin masuk ke padang hinggalah ke detik Poll meniup wisel penamat perlawanan, beliau sebenarnya cuma bermain selama 30 saat pada penampilan pertamanya dalam saingan Liga Perdana untuk United. Dan siapa menyangka kerana aksi di Highbury itu jugalah buat kali pertama dan terakhir penyokong-penyokong United dapat melihat kelibat beliau, kerana selepas itu Culkin tidak lagi tersenarai dalam skuad utama.

Kehadiran Massimo Taibi selepas itu sebenarnya turut menutup terus peluang Culkin untuk tampil dalam kesebelasan United kerana beliau hanyalah pilihan keempat di belakang Van der Gouw, Mark Bosnich dan Taibi. Sejak melakukan debut `ikonik’ tersebut, Culkin bukan sahaja tidak lagi pernah bermain untuk United tetapi itu juga merupakan penampilan pertama dan terakhirnya di Liga Perdana, sekaligus muncul pemain yang melakukan penampilan paling singkat di kasta tertinggi liga Inggeris itu.

Catatan Clean Sheet

Meskipun debut singkat beliau bersama United menjadi bahan jenaka ramai pihak namun Culkin tetap berbangga dan melihat hal tersebut dari sudut positif. Menurut Culkin, meskipun penampilan yang dilakukannya tidak sampai seminit namun beliau merasakan suasana di Highbury ketika itu umpama final Liga Juara-Juara. Paling penting menurut Culkin, beliau berjaya melakukan catatan clean sheet dan melaksanakan arahan yang diberikan dengan baik.

“Ketika Rai (Van der Gouw) cedera, saya melihat Rob Swire (fisioterapi pasukan) memberikan isyarat agar saya segera menanggalkan vest. Manakala pengurus pula berkata, “Nick, kamu akan bermain”. Saya agak terkejut dan terfikir, wah!!! Nick Culkin bermain menentang Arsenal?”, imbas Culkin tentang momen tersebut. Menurut Culkin lagi, sebelum masuk ke padang, Steve McClaren (pembantu Fergie) juga mengarahkan beliau agar melakukan tendangan terus ke arah Sylvinho.

“Tiada sesi memanaskan badan tetapi Steve McClaren sempat memberikan arahan agar saya menendang bola terus ke arah kepala Sylvinho. Ok, saya tiada masalah untuk melakukannya. Ketika mahu melakukan tendangan, Henning Berg datang dan menawarkan diri untuk melakukan tendangan bebas tersebut kerana dia merasakan bahawa saya belum bersedia disebabkan tidak sempat melakukan warming up.”

“Saya menolak tawaran Berg kerana tendangan bebas itu merupakan satu peluang yang saya tidak mahu lepaskan. Di belakang, saya mendengar cacian dari penyokong Arsenal serta lemparan syiling yang ditujukan kepada saya, namun hal itu tidak menganggu tumpuan saya untuk melakukan tendangan bebas itu. Saya melakukannya dengan menendang tepat di atas kepala Sylvinho seperti yang Steve arahkan. Selepas itu perlawanan pun berakhir”.

“Saya merasakan seperti memenangi Piala Dunia. Kami baru sahaja mengalahkan Arsenal, dan saya juga melakukan clean sheet. Meskipun Arsenal berjaya menjaringkan satu gol tetapi ketika saya masuk menggantikan Rai, saya tidak dibolosi. Saya menerima bonus berjumlah £1,100 kerana clean sheet tersebut dan kemenangan yang berjaya diraih. Saya masih ingat yang Sir Bobby Charlton tertawa dengan rekod saya ini”, kata Culkin.

Harapan Tak Kesampaian

Mana-mana pemain pastinya memasang impian bermain untuk kelab besar serta beraksi di peringkat tertinggi dalam karier mereka, dan Culkin juga tidak terkecuali. Selepas aksi menentang Arsenal, beliau berharap agar diberikan kesempatan untuk disenaraikan dalam kesebelasan utama United, tetapi Van der Gouw pulih dalam masa yang singkat dan kembali beraksi hanya seminggu selepas insiden di Highbury.

Culkin menghabiskan sisa kariernya di Old Trafford selepas itu dengan bermain untuk Hull City, Bristol Rovers dan Livingston sebagai pemain pinjaman. Pada 2002, beliau kemudiannya menyertai Queens Park Rangers secara tetap dan kekal di Loftus Road selama tiga musim sebelum mengumumkan persaraan kerana masalah kecederaan lutut yang serius.

Lima tahun selepas itu (2010), Culkin keluar dari persaraan dan kali ini beliau memilih bermain di liga bawahan dengan menyertai Radcliffe Borough, kelab yang beraksi di Northern Premier League (liga yang berada di tangga ketujuh dalam hierarki bolasepak Inggeris). Dua musim bersama Radcliffe Borough, Culkin berpindah ke Prescot Cables pula, manakala FC United of Manchester merupakan kelab terakhir yang diwakilinya.

Tiga medal naib juara (dua Charity Shield dan satu UEFA Super Cup) yang berjaya diraih beliau ketika tersenarai sebagai pemain simpanan United pula merupakan pencapaian tertinggi Culkin sepanjang karier profesionalnya. Meskipun rekodnya sering dijadikan bahan jenaka, Culkin pula sebaliknya berbangga kerana pernah menyarung jersi United dan beraksi di pentas Liga Perdana biarpun untuk tempoh selama 30 saat.

Rasa Bangga

Mungkin bagi sesetengah pihak, rekod penampilan singkat itu sebagai memalukan tetapi tidak bagi Culkin. “Saya memiliki dua catatan yang tidak mampu diatasi, iaitu karier yang singkat untuk United dan Liga Perdana. Bagaimanapun saya sedikit emosi kerana saya berbangga dengan pencapaian tersebut. Mereka boleh tertawa tetapi ada berjuta penyokong United yang sanggup melakukan apa sahaja asalkan dapat bermain untuk kelab ini. Memang saya bermain untuk beberapa saat, tetapi saya mengharungi perjalanan yang sukar untuk sampai ke sana”, tambah Culkin lagi.

30 saat adalah tempoh yang sangat singkat tetapi sudah cukup membuatkan beliau rasa bahagia dan bangga dengan pencapaian yang dilakukannya. Rekod penampilan singkat itu mungkin sesuatu yang memalukan bagi sesetengah pihak, tetapi tempoh 30 saat itu bagi Culkin membuatkan beliau merasakan seolah-olah sudah memenangi kejuaraan besar untuk United. Rekod jaringan atau penampilan terbanyak pasti menjadi buruan mana-mana pemain untuk dipecahkan tetapi saya pasti tiada siapa yang mahu memadam rekod penampilan paling singkat milik Culkin ini.

Pada era 90an, ketika akses untuk menonton siaran secara langsung perlawanan-perlawanan Liga Perdana tidak seluas sekarang, anda mungkin tidak menyedari bahawa United sebenarnya pernah memiliki penjaga gol bernama Nick Culkin, biarpun beliau hanya berpeluang mengawal gawang The Red Devils selama 30 saat. Rekod penampilan singkat yang dicipta Culkin itu sudahpun bertahan selama 20 tahun, dan ada kemungkinan juga ia akan terus bertahan serta tidak mampu dipecahkan oleh mana-mana pemain United selepas ini. Glory Glory Manchester United!!! – Azhar Johar

Tiada ulasan:

Catat Ulasan