10 Ogos 2019

PREVIEW: BUKAN SEKADAR SOLSKJAER vs LAMPARD



Langkah pertama dan berdepan lawan pertama yang sukar. Itulah rumusan paling tepat untuk menggambarkan pertembungan antara Manchester United dan Chelsea dalam saingan Liga Perdana di Old Trafford nanti. Terpulang kepada anda untuk melabel aksi ini sebagai `big match’ atau tidak memandangkan status United selaku pasukan yang menamatkan saingan liga musim lalu di tangga keenam. Bagaimanapun pertembungan antara United dan Chelsea kali ini tetap ada tarikan tersendiri terutamanya jika anda melihat kepada perubahan dalam tampuk kepimpinan di Old Trafford dan juga di Stamford Bridge.

Ole Gunnar Solskjaer akan menikmati musim penuhnya selaku pengendali United selepas beliau menggantikan posisi Jose Mourinho pada Disember tahun lalu, manakala Frank Lampard pula dinamakan selaku pengendali Chelsea bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Maurizio Sarri. Sangat menarik apabila melihat dua kelab besar Liga Pedana ini kini dikendalikan oleh legenda masing-masing dan sangat menarik juga untuk kita nantikan apakah sistem serta taktikal yang bakal dibangunkan oleh Solskjaer dan Lampard bagi memastikan skuad kendalian mereka mampu memberikan cabaran serius dalam saingan liga musim ini.

Persediaan Pra Musim

Ketika Chelsea berdepan hukuman penggantungan selama semusim daripada melakukan pembelian pemain, United pula memperkuatkan skuad mereka menerusi kehadiran tiga muka baharu (Daniel James, Aaron Wan-Bissaka dan Harry Maguire) di Old Trafford. Lampard menegaskan bahawa beliau tidak memerlukan pemain baharu, tetapi larangan yang dikenakan FIFA itu pastinya memberikan kesan yang bukan sedikit kepada persiapan Chelsea apatah lagi selepas mereka hilang sentuhan Eden Hazard yang berhijrah ke Real Madrid.

Di kem United pula, meskipun kelab berjaya menandatangani tiga pemain baharu musim ini, hal tersebut nampaknya tidak mampu memuaskan hati majoriti penyokong-penyokong mereka. Ada sebab mengapa penyokong-penyokong United begitu kecewa dengan maneuver kelab dalam pasaran perpindahan musim panas kali ini, terutamanya selepas mereka dihidangkan dengan khabar angin demi khabar angin yang mengaitkan tentang perpindahan Bruno Fernandes, Paulo Dybala, Mario Mandzukic dan Vanja Milinkovic-Savic ke Old Trafford.

Skema Taktikal

Chelsea tanpa sebarang pemain baharu, manakala United pula membelanjakan £140 juta menerusi tiga pemain baharu yang mereka tandatangani sebelum jendela perpindahan musim panas bolasepak Inggeris ditutup secara rasminya pada hari Jumaat lalu. Jadi sangat menarik untuk melihat bagaimana kemampuan Lampard memaksimakan potensi aset sedia ada yang dimiliki beliau, manakala tugas besar bakal dipikul Solskjaer dalam memenuhi harapan tinggi penyokong yang mahu melihat barisan The Red Devils mampu memberikan cabaran lebih serius dalam kempen kompetitif mereka musim ini.

Di bawah regim Lampard, Chelsea dijangka bakal memainkan corak permainan berbeza berbanding ketika era semusim Sarri di Stamford Bridge. The Blues ketika era Sarri secara relatifnya lebih cenderung bermain dengan corak hantaran-hantaran pendek manakala Lampard pula lebih gemar menerapkan permainan secara terus (direct football) menerusi hantaran-hantaran jauh. Menerusi data yang dikeluarkan oleh WhoScored.com, Derby County ketika dikendalikan Lampard melakukan purata 72 hantaran jauh dalam setiap perlawanan di Liga Kejuaraan musim lalu. Angka ini merupakan yang kedua tertinggi berbanding lima lagi pasukan yang berada di kelompok enam teratas.

Kecenderungan Lampard dalam skema direct football ini juga menyaksikan Derby County berjaya menghasilkan lima gol menerusi gerakan counter attack, dan jumlah ini juga menyaksikan mereka muncul kelab paling banyak menjaringkan gol menerusi gerakan tersebut di Liga Kejuaraan. Formasi yang sering diaplikasikan Lampard ketika bersama Derby County pula ialah 4-2-3-1, di mana penyerang tunggal biasanya berperanan sebagai reflector terutamanya dalam duel bola tinggi. Di Stamford Bridge, Lampard memiliki pilihan yang cukup ideal untuk peranan tersebut. Siapa lagi yang saya maksudkan jika bukan Olivier Giroud.

Pendekatan permainan yang diamalkan Lampard ini sebenarnya sangat berbahaya untuk United apatah lagi jika dilihat kepada kelemahan benteng pertahanan mereka dalam menangani situasi bola tinggi baik dalam permainan terbuka ataupun set pieces sepanjang musim lalu. Musim lalu, lawan berjaya membolosi gawang United sebanyak 12 kali menerusi situasi set pieces, dan kelemahan inilah yang cuba diperbaiki Solskjaer menerusi pembelian yang dilakukan beliau ke atas Harry Maguire. Selain kehadiran Maguire, Solskjaer juga `menampal’ kebocoran benteng pertahanan United menerusi kehadiran Aaron Wan-Bissaka dari Crystal Palace.

Bukan sekadar tentang kehadiran Maguire, Wan-Bissaka dan James, kerana aksi menentang Chelsea ini juga sangat menarik untuk kita lihat apakah solusi Solskjaer bagi mengatasi ketiadaan Romelu Lukaku selaku target man di barisan hadapan. Pilihan yang ada ialah meletakkan Marcus Rashford selaku penggempur utama kerana beliau saya anggap seorang penyerang yang lengkap, manakala kehadiran Anthony Martial pula berpotensi menghadirkan perbezaan dalam perlawanan ini. Dua gol yang dijaringkan Martial dalam aksi liga di Stamford Bridge pada Oktober tahun lalu diharap mampu menyuntik motivasi tambahan buat beliau menjelang perlawanan ini.

Sepertimana Lampard, saya juga jangkakan bahawa formasi 4-2-3-1 bakal menjadi pilihan utama Solskjaer meskipun beliau juga seringkali dilihat menggunakan sistem 4-3-3 dan 4-4-2 musim lalu. Memandangkan tiada pemain tengah baharu yang dibawa masuk, anda pastinya sudah boleh menjangkakan pasangan pemain mana yang bakal digunakan Solskjaer untuk berperanan sebagai double pivot. Paul Pogba pula sepertimana biasa akan kekal selaku watak utama di bahagian tengah menerusi peranan yang dimainkannya selaku `pemain nombor 10’, meskipun masa depan beliau di Old Trafford masih diperdebatkan.

Solskjaer vs Lampard

Pertembungan United dan Chelsea kali ini sedikit berbeza kerana buat pertama kalinya dua legenda hidup dan bekas pemain kedua-dua kelab bakal beradu taktik di tengah padang. Ketika era mereka sebagai pemain, Solskjaer dan Lampard pernah berdepan sebanyak 11 kali. Dari jumlah tersebut, Solskjaer lebih unggul apabila beliau berjaya membantu United menang lima perlawanan, tewas tiga dan selebihnya berakhir dengan keputusan seri ketika mereka berdepan skuad yang diwakili Lampard.

Secara keseluruhan juga, Solskjaer dan Lampard pernah bertembung selama 367 minit di atas padang sepanjang mereka bergelar pemain. Kini pertembungan Solskjaer/Lampard berlanjutan pula di luar padang. Di bahu mereka tersandar segenap harapan agar barisan kendalian masing-masing mampu mencabar dalam perlumbaan merebut kejuaraan liga. Mengingatkan bahawa Chelsea sudah enam tahun tidak pernah menang di Old Trafford, satu misi yang sangat sukar terpaksa dipikul Lampard untuk beliau cuba mengubah situasi.

Jika dilihat kepada komposisi skuad yang dimiliki United serta penampilan cemerlang beberapa pemain muda mereka pada aksi pra musim, saya yakin akan ada cerita menggembirakan sebaik berakhirnya pertembungan ke-166 antara United dan Chelsea itu nanti. Pertembungan antara United dan Chelsea kali ini bukan sekadar berkisar tentang Solskjaer vs Lampard, tetapi pertembungan ini bakal memberikan kita sedikit indikasi tentang kemampuan barisan muda United mengibar cabaran pada musim yang penuh mencabar...Glory Glory Manchester United!!! – Azhar Johar

Tiada ulasan:

Catat Ulasan