Barisan The Red Devils turun dengan keyakinan tinggi bahawa tiga mata penuh
mampu digapai, apatah lagi sejak Mei 2017 hingga November 2018, Crystal Palace
tidak pernah berjaya membolosi pintu gol United dalam tiga kunjungan mereka ke
Old Trafford. Ditambah pula dengan fakta bahawa skuad kendalian Roy Hodgson itu
juga tidak pernah menewaskan United sepanjang sejarah penyertaan mereka di Liga
Perdana.
Sepanjang 90 minit, United
mendominasi perlawanan menerusi 72% penguasaan bola yang mereka lakukan,
melepaskan 22 percubaan serta mencipta banyak peluang terutamanya di babak
kedua. Namun di akhir perlawanan keputusan di scoreboard `bercerita’ sebaliknya. Ya...buat pertama kali sepanjang
sejarah Liga Perdana, Palace berjaya menewaskan United dan lebih manis mereka
melakukannya di Old Trafford.
Pada mulanya saya tidak fikir
bahawa Palace mampu mencipta kejutan, apatah lagi selepas melihat dua aksi awal
mereka musim ini. Palace datang ke Old Trafford dalam kondisi kurang ideal
terutamanya bila bercakap tentang prestasi barisan hadapan mereka. Mereka gagal
menjaringkan sebarang gol pada dua aksi awal liga, jadi satu tugas yang sangat
berat untuk Roy Hodgson memikirkan cara bagaimana mahu mengatasi ketumpulan
jentera serangan pasukannya.
Sukar
Untuk Diterima
Kekalahan ini memang sangat
sukar untuk diterima apatah lagi selepas melihat dominasi United sepanjang
perlawanan. Mengulas tentang hal tersebut, Solskjaer berkata, “Tentu saja saya
kecewa. Babak pertama kami tampil dengan sangat buruk. Setengah jam pertama
anda mengawal perlawanan, dan kemudian merasakan segalanya akan menjadi mudah.
Kami tidak memiliki koordinasi yang baik, manakala mereka pula menjaringkan gol
dari peluang pertama. Jaringan yang berpunca dari sepakan jauh penjaga gol itu tidak
sepatutnya berlaku kerana ia menunjukkan kelemahan pertahanan kami. Di babak
kedua kami bermain dengan baik. Kami memberikan tekanan, memaksa mereka untuk
bertahan, mencipta peluang dan menjaringkan gol. Sayangnya pada hari ini kami
tidak memiliki sentuhan ajaib”.
Tidak
Efektif Di Semua Posisi
Hanya dua pemain United yang
tampil bagus sepanjang aksi 90 minit, dan mereka yang saya maksudkan ialah
Daniel James serta Aaron Wan-Bissaka. James menjaringkan gol keduanya musim ini
selepas kali pertama melakukannya ketika berdepan Chelsea pada aksi pembukaan
liga. Manakala Wan-Bissaka pula banyak membantu ketika United melancarkan
gerakan dari sisi kanan.
Di benteng pertahanan pula,
kegagalan Victor Lindelof memenangi perebutan bola tinggi dengan Jeffrey
Schlupp akhirnya membuka ruang buat Jordan Ayew menjaringkan gol pembukaan
pelawat. Penampilan Luke Shaw di sisi kiri pertahanan juga kurang menonjol
manakala kecenderungan Harry Maguire keluar dari posisinya sering membuka ruang
buat Palace melancarkan serangan.
Paling membimbangkan apabila
melihat bagaimana David De Gea boleh dibolosi dua kali dalam perlawanan ini
sekaligus menyaksikan pintu gol United berjaya ditembusi lawan sebanyak tiga
kali meskipun aksi liga baru berlangsung tiga perlawanan. Di bahagian tengah
pula, sepertimana biasa prestasi Jesse Lingard sekali lagi dijadikan sorotan
oleh para pengritiknya.
Selaku pemain yang bergerak
di belakang penyerang tengah, Lingard gagal memainkan peranan penting apatah
lagi memberikan kreativiti tambahan kepada gerakan-gerakan serangan United sepanjang
tempoh 56 minit aksinya di atas padang. Apa pula yang berlaku di barisan
serangan selain begitu banyak peluang yang dicipta gagal diterjemahkan kepada
gol.
Dari 22 percubaan yang
dilepaskan, hanya tiga tepat kesasaran. Momen paling mengecewakan tentunya
apabila kita terpaksa melihat satu lagi kegagalan dalam menyempurnakan sepakan penalti
dan kali ini giliran Marcus Rashford pula selepas Paul Pogba melakukannya di
Molineux minggu lalu. Jika penalti tersebut berjaya disempurnakan, jalan cerita
di penghujung perlawanan mungkin akan berbeza.
Kurang
Bernasib Baik
Kegagalan United
mempertahankan rekod tanpa kalah mereka ketika berdepan Crystal Palace dalam
sejarah pertemuan antara dua pasukan itu di Liga Perdana sebenarnya turut
dibantu faktor nasib. Memang diakui elemen nasib atau tuah kadangkala memainkan
peranan penting dalam satu-satu perlawanan. Malangnya elemen nasib nampaknya lebih
cenderung memilih Palace dan bukannya United dalam perlawanan itu.
Selain kegagalan Rashford
menyempurnakan sepakan penalti, terdapat juga beberapa kekasaran dilakukan pertahanan
Palace (terhadap Martial dan Rashford) yang sepatutnya berakhir dengan sepakan penalti.
Bagaimanapun akhirnya kita sekali lagi terpaksa mengakui bahawa keputusan
pengadil kadangkala menjadi subjektif meskipun mereka kini dibantu dengan
teknologi Video Assistant Referees
(VAR).
Dua perlawanan terakhir
memang mengecewakan kerana di Molineux, United gagal mengutip tiga mata penuh
disebabkan kegagalan Pogba menyempurnakan sepakan penalti. Begitu juga yang
berlaku di Old Trafford tempohari. United memiliki segala elemen untuk menang
sama ada di Molineux atau Old Trafford menerusi statistik yang dicatatkan
mereka di atas padang tetapi nasib bagaimanapun `berkata’ sebaliknya.
Bolasepak memang adakalanya
sangat kejam, kerana ketika anda mendominasi permainan, anda sebaliknya gagal
mendapatkan keputusan yang sepatutnya anda layak perolehi. Apa yang perlu
dilakukan United selepas ini ialah pergi ke St Mary, bermain dengan sebaik
mungkin, menjaringkan gol dan pulang dari sana dengan tiga mata penuh.
Glory Glory Manchester United!!! – Azhar Johar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan