Kemenangan yang cukup penting
pada langkah pertama musim ini, apatah lagi kemenangan ini dicapai ke atas
sebuah pasukan yang berada di kedudukan top
four musim lalu. Dua gol sumbangan Marcus Rashford, manakala Anthony
Martial dan Daniel James masing-masing menyumbangkan satu gol sudah cukup
menceriakan `malam pertama’ aksi liga United musim ini. Kemenangan 4-0 ini juga
merupakan kemenangan terbesar United ke atas Chelsea dalam tempoh 54 tahun
sejak barisan Sir Matt Busby melakukannya pada Mac 1965 (juga menerusi
kemenangan 4-0).
Selain tiga mata penting di
awal musim, kemenangan besar yang dilakar barisan Ole Gunnar Solskjaer ke atas
Chelsea itu juga sangat menarik kerana ini merupakan kali pertama dalam tempoh
enam bulan mereka menamatkan aksi liga dengan catatan clean sheet . Kali terakhir gawang United gagal dibolosi lawan
ialah ketika mereka berdepan Liverpool di Old Trafford pada 24 Februari lalu di
mana aksi North West Derby itu
berakhir dengan keputusan seri 0-0. Selepas itu, prestasi buruk yang dipamerkan
benteng pertahanan menyaksikan pintu gol United bolos sebanyak 19 kali dari 11
perlawanan.
Faktor
Maguire Dan Wan-Bissaka
Selepas menyaksikan prestasi
buruk yang dipamerkan benteng pertahanannya musim lalu, Solskjaer melakukan `pembelian
besar’ musim ini dengan menandatangani Harry Maguire dari Leicester City,
manakala di sisi kanan pertahanannya beliau membawa masuk Aaron Wan-Bissaka
dari Crystal Palace. Meskipun ini merupakan aksi kompetitif pertama Maguire
bersama United, pemain pertahanan termahal dunia yang dilabel Aurelio De
Laurentiis (Presiden Napoli) cuma berharga £25 juta itu membuktikan bahawa
beliau adalah sosok pertahanan tengah yang dicari-cari Solskjaer selama ini.
Menurut statistik perlawanan
yang dikeluarkan oleh Opta, Maguire melakukan tujuh clearance, dua block,
empat intercept selain empat kali
memenangi perebutan bola tinggi sepanjang 90 minit aksinya di atas padang. Di
sektor kanan pertahanan United pula, kelibat Aaron Wan-Bissaka juga tidak
kurang pentingnya kerana sepanjang perlawanan, bekas bek Crystal Palace itu melakukan
empat tackle, lima clearance dan tiga intercept. Sudah tentu penampilan cemerlang Maguire dan Wan-Bissaka
di benteng pertahanan antara hal positif yang dapat anda saksikan sepanjang
aksi 90 minit semalam.
Faktor
Tuah
Kekalahan besar 0-4 yang
dialami Chelsea sebenarnya tidak langsung menggambarkan prestasi keseluruhan
mereka di atas padang. United memang bermain dengan sangat baik dalam tempoh 20
minit pertama, tetapi selepas Rashford menjaringkan gol pendahuluan menerusi
sepakan penalti, skuad The Blues mula
mengambilalih penguasaan di atas padang. Mereka memberikan tekanan demi
tekanan, melepaskan banyak percubaan serta mencipta lebih banyak peluang
jaringan gol.
Sepanjang perlawanan, Chelsea
melepaskan 18 percubaan ke arah gawang United di mana tujuh daripadanya merupakan
on target. Malah di awal perlawanan
Tammy Abraham hampir sahaja menewaskan David De Gea, namun percubaan pemain
berusia 21 tahun itu sekadar singgah di tiang gol. Di minit ke-40, giliran
Emerson Palmieri pula menghadirkan ancaman, namun kali ini percubaan bek kiri
Chelsea itu singgah pula ke palang gol.
Jika percubaan Abraham diawal
permainan dan Emerson (minit ke-40) menemui sasaran, saya yakin perjalanan
perlawanan pastinya sedikit berbeza. Ketika Chelsea tampil agak agresif
terutamanya selepas mereka ketinggalan menerusi jaringan penalti Rashford,
United pula berdepan kesukaran dalam membina gerakan-gerakan mereka. Secara
keseluruhan sepanjang babak pertama, United hilang penguasaan bola sebanyak
sembilan kali dengan Paul Pogba muncul penyumbang terbanyak (4 kali).
Musnahnya
Pertahanan Chelsea
Penampilan agresif Chelsea
diteruskan mereka di babak kedua tetapi dua gol pantas dalam tempoh 96 saat menerusi
Anthony Martial (minit ke-65) dan Marcus Rashford (minit ke-67) akhirnya
memusnahkan sebarang impian The Blues
untuk sekurang-kurangnya cuba pulang ke Stamford Bridge dengan satu mata. Melihat
kepada percubaan-percubaan yang dilepaskan Chelsea, kekalahan besar ini
tentunya bukanlah keputusan yang adil pada debut
Lampard selaku pengendali The Blues
di Liga Perdana.
Apa yang menyebabkan Chelsea
tewas dengan jumlah jaringan yang besar sedangkan United cuma melepasan 11
percubaan di mana lima daripadanya adalah on
target? Sepertimana yang anda saksikan, tiga gol United dihasilkan di babak
kedua. Dan apa yang menariknya ialah melihat bagaimana proses gol tersebut
dihasilkan. Tiada perubahan strategi yang terlalu signifikan dilakukan
Solskjaer di babak kedua tetapi United sebenarnya sangat efektif dalam
memanfaatkan peluang terhidang menerusi kelajuan yang dimiliki barisan hadapan
mereka.
Ketika Chelsea lebih banyak
menumpukan asakan mereka di sisi kiri pertahanan United yang dihuni Luke Shaw, benteng
mereka pula berdepan kesukaran dalam menangani kepantasan trio hadapan United
yang dibarisi Marcus Rashford, Anthony Martial dan Jesse Lingard. Menerusi
kelebihan kelajuan yang dimiliki trio ini jugalah United berhasil menjaringkan
tiga gol di babak kedua. Selepas jaringan ketiga United terhasil, Lampard memasukkan
N’golo Kante bagi memastikan barisan belakangnya lebih solid.
Kehadiran Kante yang
menggantikan posisi Jorginho juga menandakan bahawa intensiti Chelsea dalam
melakukan tekanan juga semakin menurun. Situasi tersebut kemudiannya
dimanfaatkan United untuk menghasilkan gol keempat mereka menerusi jaringan
Daniel James diminit ke-81. Menurut Lampard, Chelsea bermain dengan baik dalam
tempoh sejam tetapi beberapa defensive
error yang dilakukan pemain-pemainnya menyaksikan mereka terpaksa membayar
harga yang mahal apabila gawang Kepa Arrizabalaga dibolosi sebanyak empat kali.
Man
of The Match
Selain efektif dalam
menyempurnakan peluang, kemenangan besar yang dilakarkan United semalam turut
dibantu kestabilan barisan belakang mereka yang diterajui Victor Lindelof dan
Harry Maguire. Sepertimana yang saya sebutkan pada perenggan di atas, faktor kehadiran
Maguire benar-benar memberikan impak kepada benteng pertahanan United. Maguire
membuktikan mengapa beliau layak menyarung jersi United menerusi penampilan dan
statistik yang dicatatkannya sepanjang 90 minit aksi beliau di atas padang.
Mengulas tentang penampilan
pertama pemain pertahanan termahal dunia itu, Solskjaer berkata, “Apa yang
dilakukan Harry sepanjang perlawanan adalah penyebab mengapa kami merekutnya.
Keberadaannya di petak penalti, ketenangan serta kesabaran ketika merebut bola
merupakan aset kepada permainannya. Penting untuk kami memiliki seorang pemain
yang mempunyai karakter kuat di barisan belakang”. Mobiliti Maguire di barisan
belakang juga banyak membantu United menangani ancaman yang datang, terutamanya
dari Tammy Abraham dan Pedro Rodriguez.
Risiko
Yang Berbaloi
Salah satu kunci kebangkitan
United di babak kedua ialah Paul Pogba. Sejak kehadiran Solakjaer di Old
Trafford, Pogba lebih bebas bergerak di atas padang dengan memainkan peranannya
selaku penggerak jentera tengah. Meskipun digembar-gemburkan ingin mencari
cabaran baharu, Solskjaer melakukan perjudian besar dengan cuba mempertahankan
Pogba di Old Trafford.
Semalam Pogba tidak
menjaringkan sebarang gol, tetapi dua bantuan gol yang dilakukannya menyaksikan
United menang besar pada penampilan pertama mereka musim ini. 58% penguasaan
bola yang dilakukan United di babak kedua menunjukkan bahawa pemain kini lebih
faham bagaimana sepatutnya mereka bermain sesuai dengan keinginan Solskjaer.
Gerakan-gerakan serangan
United terutamanya di babak kedua lebih tersusun, jadi bergembiralah kerana
Pogba mampu memanfaatkan situasi ini menerusi tiga key passes dan dua assist
yang dilakukannya. Meskipun kerap hilang bola terutamanya di babak pertama, peranan
Pogba selaku mastermind di bahagian
tengah United tetap tidak boleh dinafikan.
Selepas berdepan isu tarik
tali tentang masa depannya di Old Trafford dan pernah secara terbuka
menyuarakan hasratnya untuk mencari cabaran baharu, mengekalkan Pogba di Old
Trafford tetap satu risiko besar yang terpaksa diambil Solskjaer. Semalam Pogba
menunjukkan kepada kita betapa pentingnya kelibat beliau di bahagian tengah
United, dan semoga akan ada lebih banyak lagi aksi-aksi terpuji yang dipamerkan beliau selepas ini. Glory Glory Manchester United!!! – Azhar Johar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan