05 Ogos 2019

HARRY MAGUIRE: SOLUSI TERBAIK ATAU SATU LAGI PEMBELIAN MEGA YANG GAGAL?



Selepas berminggu-minggu dihidangkan dengan rumours demi rumours perpindahan Harry Maguire ke Old Trafford, penyokong-penyokong Manchester United akhirnya boleh menarik nafas lega selepas pertahanan antarabangsa England itu diumumkan secara rasmi sebagai anggota terbaharu The Red Devils. Meskipun kelab berdepan proses yang agak rumit dan panjang dalam usaha mereka mendapatkan tandatangan Maguire, kehadiran pemain pertahanan berusia 26 tahun ini diharap bakal memberikan kekuatan tambahan di benteng pertahanan United bagi menghadapi cabaran musim baharu.

£80 juta...itulah nilai yang terpaksa dibayar United demi mendapatkan khidmat Maguire. Musim lalu, Liverpool membelanjakan £75 juta ketika mereka `mendaratkan’ Virgil Van Dijk dari St Mary ke Anfield, tetapi lihatlah impak yang diberikan oleh pertahanan antarabangsa Belanda itu dibenteng The Reds hingga menyaksikan mereka muncul kesebelasan paling kurang dibolosi di Liga Perdana. Jadi sudah tentu penyokong-penyokong United juga mahu melihat adakah Maguire mampu memberikan impak yang sama, setaraf dengan tandaharga £80 juta yang meletakkan beliau selaku pertahanan termahal dunia.

Tidak Masuk Akal?

United membayar harga yang jauh lebih tinggi untuk mendapatkan seorang pemain pertahanan berbanding wang yang dibelanjakan Liverpool ketika mereka mendapatkan Van Dijk, atau ketika Juventus berjaya memujuk Matthijs de Ligt untuk beraksi di Turin. Van Dijk sudahpun membuktikan kemampuan beliau di Anfield manakala de Ligt pula pada usia 19 tahun berjaya mengemudi Ajax Amsterdam mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara musim lalu.

Sudah tentu selepas ini akan timbul perbandingan dan persoalan adakah berbaloi untuk United membelanjakan sehingga £80 juta demi membawa Maguire beraksi di Old Trafford? Keperluan mendesak untuk Solskjaer segera memperbaiki kelemahan benteng pertahanan skuadnya memaksa beliau mendapatkan khidmat Maguire walaupun Leicester meletakkan harga yang pada pandangan saya `tidak masuk akal’.

Mengapa Solskjaer Mahukan Maguire?

Mengapa Solskjaer lebih serius memburu tandatangan Maguire, dan bukannya Kalidou Koulibaly sedangkan pertahanan Napoli berusia 29 tahun itu sudah dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford sejak penghujung musim lalu lagi? Jawapannya mudah, kerana Solskjaer mahukan seorang pemain pertahanan yang sudah terbukti kemampuannya di Liga Perdana dan sebagai bonus tambahan, Maguire juga merupakan pemain regular untuk skuad kebangsaan England.

Dalam saingan UEFA Nations League, Maguire muncul antara tiga pemain yang sering diturunkan Gareth Southgate dalam kesebelasan The Three Lions selain Harry Kane dan Jordan Pickford. Dalam saingan Piala Dunia 2018 juga begitu, kerana Maguire sentiasa menjadi pilihan Southgate untuk mengisi salah satu posisi di benteng pertahanan skuadnya  sejak aksi peringkat kumpulan hinggalah saat England disingkir Croatia di peringkat separuh akhir.

Solskjaer sudahpun memberikan gambaran formasi dan taktik yang bakal beliau gunakan menerusi dua penampilan awal United dalam aksi pra musim mereka. Ketika berdepan Leeds United dan Perth Glory, Solskjaer mengarahkan barisan pertahanannya agar bermain dalam garis pertahanan tinggi (high defensive line). Musim lalu gaya permainan yang sama cuba diterapkan Solskjaer tetapi malangnya cuma Victor Lindelof satu-satunya pertahanan tengah yang mampu melakukan build up dari bawah.

Jika jangkaan saya tepat dan United akan bermain dengan corak garis pertahanan tinggi, anda akan faham mengapa Solskjaer sanggup memaksa pihak pengurusan kelab berbelanja besar bagi mendapatkan khidmat Maguire. Musim lalu Maguire berada di tangga kedua selaku pertahanan tengah yang paling banyak melakukan hantaran jauh dalam setiap perlawanan (6.6 hantaran per perlawanan) selepas Toby Alderweireld (7.4 hantaran per perlawanan).

Melihat kepada statistik di atas, Maguire dan Lindelof bakal menjadi gandingan pertahanan tengah yang solid untuk United, bukan sahaja menerusi kerja-kerja bertahan yang mereka lakukan tetapi juga kerana kemampuan mereka ketika melakukan build up. Kemahiran Maguire dalam menyudahkan peluang di hadapan pintu gol lawan juga patut anda perhatikan. Musim lalu beliau menjaringkan tiga gol untuk Leicester sekaligus muncul pertahanan tengah kedua paling produktif di Liga Perdana selepas Van Dijk (empat gol).

Musim lalu pintu gol United bolos sebanyak 54 kali di Liga Perdana. Kebanyakan gol yang berjaya dijaringkan lawan pula berpunca dari lemahnya pertahanan United dalam menangani situasi bola mati dan juga bola tinggi. Duel di udara merupakan kelemahan paling ketara yang perlu di atasi segera oleh Solskjaer jika beliau tidak mahu episod malang musim lalu berulang lagi. Dan untuk itu, beliau melihat Maguire sebagai penawar kepada kelemahan tersebut.

Berbekalkan ketinggian 194cm dan kekuatan fizikal yang dimilikinya, kehadiran Maguire diharapkan mampu memberikan perlindungan tambahan kepada pintu gol United saat mereka berdepan hantaran-hantaran bola tinggi dari situasi terbuka ataupun dari situasi bola mati. Menurut statistik yang dikeluarkan oleh WhoScored, Maguire berjaya memenangi purata 5.9 perebutan bola tinggi dalam setiap perlawanan di Liga Perdana musim lalu. Catatan ini mengatasi statistik yang dilakukan Chris Smalling (4.3), Phil Jones (2.6) dan Lindelof (1.8).

Kelemahan

Meskipun kehadirannya diharap mampu menjadikan benteng pertahanan United kembali kukuh, namun Maguire juga bukanlah pemain pertahanan yang sempurna (manusia memang tiada yang sempurna). Beliau hebat dalam perebutan bola di udara, mampu melakukan build up dari bawah dan antara pertahanan tengah paling produktif di Liga Perdana menerusi tiga gol yang dijaringkannya, tetapi secara purata Maguire cuma mampu melakukan satu tackle bersih dalam setiap perlawanan.

Catatan yang dilakukan Maguire ini sebenarnya yang terendah berbanding Lindelof (1.8), Smalling (1.4) dan Jones (1.2). Selepas itu mari kita lihat pula purata catatan intercept yang dilakukan beliau dalam setiap perlawanan. Menurut statistik yang dikeluarkan WhoScored, Maguire melakukan purata 1.2 intercept per perlawanan. Catatan ini lebih unggul berbanding Lindelof dan Smalling tetapi masih berada di belakang Jones yang berjaya melakukan 1.3 intercept per perlawanan.

Di udara beliau memang unggul, tetapi catatan di atas juga menunjukkan bahawa Maguire bukanlah yang terbaik di kalangan pemain-pemain pertahanan United yang lain dalam menangani situasi bola rendah. Bagaimanapun secara peribadi saya berpendapat, Maguire adalah pertahanan tengah yang diperlukan Solskjaer bagi menutup sebarang kekurang di benteng pertahanan skuadnya (selain usianya yang masih muda berbanding Koulibaly) meskipun tanda harga yang diletakkan Leicester `agak melampau’.

Harapan Tinggi

Walaupun pada awalnya penyokong-penyokong United dihidangkan dengan cerita-cerita sensasi tentang `kedatangan’ de Ligt atau Koulibaly ke Old Trafford, kelab akhirnya memilih Maguire sebagai pemain baharu yang bakal memperkuatkan jentera pertahanan mereka musim depan. Meskipun ramai pihak berpendapat bahawa tanda harga yang diletakkan Leicester City tidak setaraf dengan kualiti yang ada dalam diri Maguire, statistik pula berbicara sebaliknya.

Sepanjang musim lalu, Maguire melakukan 1,747 hantaran tepat, 152 clearance, berjaya merebut kembali bola dari penguasaan lawan sebanyak 195 kali (recoveries), 118 kali menang dalam pertarungan bola tinggi (aerial battles won) dan 181 kali menang perebutan bola rendah (duels won). Dan statistik beliau ini sebenarnya mengatasi catatan dilakukan Victor Lindelof selaku pertahanan tengah paling menyerlah yang ada dalam skuad United musim lalu.

Apa yang diharapkan penyokong-penyokong United ialah agar gandingan Maguire/Lindelof mampu tampil konsisten di benteng pertahanan dalam tempoh jangkamasa yang panjang. Di bahu beliau bukan sahaja terbeban dengan label selaku pemain pertahanan termahal dunia, tetapi Maguire juga harus membuktikan bahawa beliau adalah solusi terbaik di benteng pertahanan United yang dilihat begitu rapuh musim lalu.

Ketika tanda harga sebanyak £80 juta yang diletakkan Leicester City ke atasnya masih diperdebatkan, saya pula melihat kehadiran Maguire antara usaha yang cuba dilakukan Solskjaer bagi menaik taraf benteng pertahanan skuadnya. Bolos 54 gol satu statistik yang agak memalukan untuk kelab seperti United. Semoga kehadiran Maguire mampu menjadikan benteng The Red Devils kembali ditakuti penyerang lawan, bukan lagi bahan jenaka yang menjadi santapan mata hujung minggu anda. “Selamat datang Harry Maguire”...Glory Glory Manchester United!!! – Azhar Johar

Tiada ulasan:

Catat Ulasan