Hari yang buruk untuk
Manchester United datang lagi selepas mereka menerima kekalahan kedua dari enam
aksi pertama liga musim ini. Kekalahan (0-2) di tangan West Ham United pada 22
September lalu menyaksikan kedudukan United dalam carta liga jatuh ke tangga
kelapan selepas mereka mengumpul lapan mata hasil dari dua kemenangan, dua seri
dan dua kekalahan. Menyaksikan persembahan buruk barisan kendalian Ole Gunnar
Solskjaer sepanjang 90 minit aksi di Stadium London ini, timbul pertanyaan apa
sebenarnya yang sudah berlaku kepada mereka?
Ketumpulan jentera serangan memang
sangat menghampakan apabila dari sembilan percubaan yang dilakukan barisan
hadapan United hanya tiga tepat ke sasaran. Berbanding lawan pula, mereka
melepaskan enam percubaan on target
di mana dua daripadanya berhasil menewaskan David De Gea. Sekali lagi faktor keberkesanan
dalam menyempurnakan peluang menjadi perbezaan antara pasukan yang menang dan
yang kalah, meskipun sepanjang perlawanan United melakukan 486 hantaran
berbanding tuan rumah (424 hantaran).
Atau lebih tepatnya
hantaran-hantaran yang dilakukan United bukan bertujuan untuk membina serangan
atau visi permainan yang jelas tetapi sekadar memindahkan bola dari pemain ke
pemain lain. Melihat kepada senarai pemain yang diturunkan Solskjaer, terdapat
ramai pemain yang memiliki attacking
minded dalam kesebelasan utama United. Bagi memberikan sokongan kepada
Marcus Rashford pula, Solskjaer menurunkan Andreas Perreira dan Juan Mata, iaitu
dua pemain ber`type’ playmaker bagi menambah kreativiti
ketika mereka melakukan serangan.
Bagaimanapun barisan belakang
West Ham memang sukar ditembusi menerusi skema permainan 4-1-4-1 yang digunakan
Manuel Pellegrini. Keberadaan Declan Rice yang berada di hadapan empat pemain
pertahanan mereka berjaya meneutralkan kreativiti Mata. Tambah menyulitkan
tugas Mata, Pellegrini juga sering menggunakan pemain yang memiliki mobiliti
bagus seperti Mark Noble untuk menganggu tempo permainan United. Hal ini juga menyebabkan tidak banyak impak
yang mampu diberikan Perreira apabila sepanjang perlawanan beliau hanya mampu
melakukan satu key passes.
Jika barisan hadapan hilang
kreativiti dalam mencipta atau menyudahkan peluang, barisan belakang pula masih
berdepan isu stabiliti. Meskipun Solskjaer menurunkan Scott McTominay dan
Nemanja Matic sebagai double pivot
bagi melindungi empat pemain di benteng pertahanan, gawang United tetap berjaya
ditembusi lawan. West Ham sebenarnya bukanlah skuad yang terlalu bagus, namun
mereka lebih efektif berbanding United dalam menyudahkan peluang. Hasilnya
mereka menyempurnakan dua dari enam percubaan on target yang dilepaskan ke arah gawang De Gea.
Terimalah
Kenyataan
Aksi menentang West Ham
adalah salah satu contoh bagaimana United akan bergelut dan terus bergelut
dalam saingan liga musim ini. Jika anda seorang penyokong United yang
realistik, keputusan di Stadium London sepatutnya sudah anda jangkakan. Dalam
beberapa musim terakhir, harapan tinggi sentiasa diletakkan penyokong terhadap
barisan The Red Devils, tetapi
lihatlah dan apa yang berlaku akhirnya. Secara peribadi saya berpendapat, musim
2016/17 adalah musim terbaik United sejak persaraan Sir Alex Ferguson.
Bagaimanapun kejayaan
memenangi `treble kecil’ (Perisai
Komuniti, Piala Liga dan Liga Europa) itu gagal diulangi Jose Mourinho pada
musim kedua dan ketiga beliau di Old Trafford hingga memaksa kelab memecat The Special One berikutan prestasi buruk
yang dipamerkan skuad bimbingannya. Kehadiraan Ole Gunnar Solskjaer pada
Disember tahun lalu diharap mampu menjadi penyelamat United, tetapi diakhir
musim kelab menamatkan saingan liga di tangga keenam meskipun pada satu ketika
mereka pernah berada di kelompol empat teratas.
Musim ini, harapan tinggi
sekali lagi diletakkan penyokong terhadap barisan The Red Devils tatkala Solskjaer bakal menikmati musim penuhnya
selaku pengendali di Old Trafford. Mereka bermula dengan penuh menyakinkan pada
aksi pertama liga selepas membelasah Chelsea (4-0) dalam aksi yang
dilangsungkan di gelanggang sendiri. Bagaimanapun mereka kemudiannya sekadar
mengutip lima mata dari lima aksi terakhir menentang Wolverhampton, Crystal
Palace, Soutahmpton, Leicester City dan West Ham.
Sejak kejayaan epik
menundukkan Paris St Germain di Parc des Princes 7 Mac lalu, United mengharungi
sembilan perlawanan di gelanggang lawan dalam semua peringkat kejohanan tanpa
sebarang kemenangan (enam seri dan tiga kekalahan). Tambah parah, De Gea juga
gagal melakukan sebarang clean sheet
dalam sebelas aksi terakhir di gelanggang lawan. Jika tiada perubahan drastik
dalam masa terdekat, United berdepan potensi menyamai rekod 14 aksi tanpa
kemenangan di gelanggang lawan yang dilakukan mereka sepanjang tempoh April
hingga Disember 2002.
Siapa yang tidak kecewa
melihat prestasi United diawal musim ini, tetapi jika dilihat kepada aset yang
dimiliki Solskjaer, anda sepatutnya sudah boleh menjangkakan bahawa ini
bukanlah skuad yang kompetitif untuk bersaing merebut kejuaraan liga. Suka atau
tidak, kita terpaksa mengakui bahawa skuad yang ada sekarang tidak mampu
bersaing dengan Liverpool dan Manchester City, malah mungkin juga Tottenham
Hotspurs. Jadi sasaran paling realistik buat masa ini ialah tempat keempat
liga, itu jika Solskjaer mampu meningkat prestasi skuadnya berbanding sekarang.
Patutkan
Ole Dipersalahkan?
Setiap kali sesebuah pasukan
berdepan prestasi buruk, pengurus adalah orang pertama yang terpaksa berdepan
sasaran kritikan. Selepas persaraannya, Sir Alex Ferguson sentiasa dijadikan
kayu ukur kepada mana-mana pengganti beliau dan akibatnya David Moyes, Louis
Van Gaal serta Jose Mourinho gagal menghabiskan tempoh baki kontrak mereka
selaku pengendali United. Van Gaal dan Mourinho bukanlah calang-calang pengurus
kerana track record yang ada
dibelakang dua individu ini sudah cukup untuk meletakkan mereka sebagai antara
jurulatih berprofil tinggi dalam dunia bolasepak.
Bagaimanapun di Old Trafford,
rekod pencapaian silam tidak banyak membantu Van Gaal dan Mourinho. Van Gaal
cuma mampu bertahan selama dua musim, manakala konfrontasi yang tercetus antara
Mourinho dan beberapa pemain utama menjejaskan prestasi pasukan hingga
mengakibatkan pemecatan beliau pada Disember tahun lalu. Solskjaer pula sudah
melakukan segala yang beliau mampu bersandarkan kepada aset pemain sedia ada
yang dimilikinya. Dari segi taktik, beliau berusaha menjadikan United sebuah
kesebelasan yang bermain dengan corak possession
football, namun setakat ini kesannya tidaklah terlalu signifikan.
Mungkin disebabkan kekangan
kualiti pemain yang dimiliki beliau, possession
football versi Solskjaer hanya dimainkan untuk meningkatkan intensiti dan
membuatkan para penyokong terhibur kerana mereka kini bukan lagi kesebelasan
yang pragmatis di atas padang sepertimana ketika era pemerintahan Mourinho. Perlu
saya jelaskan sekali lagi, ini adalah skuad United `yang sedang dalam
pembinaan’, bukan skuad yang dipersiapkan untuk menang perlumbaan merebut
kejuaraan liga. Untuk menang perlumbaan merebut kejuaraan liga, Solskjaer
perlukan sekurang-kurangnya tiga atau empat lagi pemain baharu.
Mampukah
Ole Bertahan?
Selepas kekalahan kepada West
Ham, sudah terdapat suara-suara lantang yang mahukan agar Solskjaer dipecat. Menguruskan
kelab seperti Manchester United memang satu pekerjaan yang sangat sukar. Lihat
sahaja apa yang berlaku kepada Moyes, Van Gaal dan Mourinho selepas mereka
dipecat. Kecuali Van Gaal yang sudahpun mengumumkan persaraannya pada bulan Mac
lalu, Moyes dan Mourinho pula nampaknya masih belum mengendalikan sebarang
pasukan.
Kini Solskjaer juga
sebenarnya berpotensi mengikut jejak Moyes, Van Gaal dan Mourinho. Ketika
terdapat sebahagian penyokong yang mula melaungkan ketidakyakinan mereka terhadap
Solskjaer, Roy Keane dan Mourinho turut melontarkan kritikan mereka. Mourinho
mengatakan bahawa selepas pemergian beliau, United masih sebuah kesebelasan
yang statik malah prestasi mereka kini lebih teruk. Sementara Keane pula
berkata bahawa United kini sedang berada dalam `fasa yang mengerikan’.
Ketika ini keputusan
perlawanan nampaknya tidak memihak Solskjaer meskipun beliau cuba mengembalikan
semula DNA permainan menyerang United kedalam `tubuh’ skuad kendaliannya. Enam
aksi liga yang diharungi United setakat ini berakhir dengan keputusan dua
kemenangan, dua seri dan dua kekalahan. Jika diambilkira jumlah perlawanan yang
diharungi United sejak bulan Mac, mereka sebenarnya mencatatkan jumlah
kekalahan lebih banyak berbanding kemenangan.
Ironinya kekalahan yang
dialami United berlaku ketika mereka berdepan kelab-kelab pertengahan dan
bawahan liga. Jika situasi ini berterusan, hanya masa yang bakal menentukan
sama ada Solskjaer mampu menyelamatkan karier beliau di Old Trafford atau pun
tidak. Dunia bolasepak sudah berputar 360ยบ, dan selaku antara kelab besar di
dunia, pihak pengurusan dan penyokong mahukan keputusan segera. Mereka tidak
akan mampu bertahan jika keputusan-keputusan buruk seperti ketika berdepan West
Ham dan Crystal Palace berterusan.
Penutup
Bulan Oktober bakal menjadi
bulan yang sangat penting dalam survival Solskjaer jika beliau mahu menjadi
penerus legasi Sir Alex Ferguson. Bagaimanapun cabaran yang menanti sepanjang
bulan Oktober ini bukanlah mudah. Dalam saingan liga, mereka bakal berdepan
Arsenal (H), Newcastle United (A), Liverpool (H) dan Norwich City (A). Manakala
dalam kempen Liga Europa pula, dua aksi di gelanggang lawan berdepan AZ Alkmaar
dan FK Partizan bakal menjadi ujian getir buat Solskjaer. Selain itu dalam
saingan Piala Liga pula, The Red Devils bakal berdepan Chelsea di
Stamford Bridge pada 29 Oktober.
Prestasi buruk yang
dipamerkan United ketika berdepan West Ham bukanlah yang terakhir. Saya percaya
akan ada lagi beberapa siri keputusan buruk yang bakal diraih barisan The Red Devils selepas ini. Cuma
persoalan paling besar ialah sejauh manakah anda bersedia menerima hakikat
bahawa dengan skuad yang ada sekarang, United masih jauh di belakang Manchester
City ataupun Liverpool. Malah jika di akhir musim nanti mereka berjaya menamatkan
saingan liga di tangga keempat atau kelima, itu merupakan pencapaian yang
sangat baik dari skuad muda yang dimiliki Solskjaer. Glory Glory Manchester
United!!!