Selepas muncul juara dua
tahun lalu, Manchester United kembali beraksi di Liga Europa musim ini. Undian
peringkat kumpulan yang diadakan di Grimaldi Forum, Monaco pada Jumaat lalu
menyaksikan United diletakkan dalam Kumpulan L bersama-sama Astana, AZ Alkmaar
dan FK Partizan. Melihat kepada undian kali ini, United boleh dikatakan berada
dalam laluan yang mudah berbanding edisi 2016/17, di mana ketika itu mereka
diletakkan sekumpulan bersama-sama Feyenoord, Fenerbahce dan Zorya Luhansk.
Barisan kendalian Jose
Mourinho ketika itu menamatkan saingan Kumpulan A di belakang Fenerbahce selaku
juara kumpulan selepas mereka tewas ketika bertandang ke Istanbul dan Rotterdam.
Ganjaran beraksi di saingan Liga Juara-Juara musim depan yang ditawarkan kepada
pemenang antara sebab utama mengapa United perlu meletakkan sasaran tinggi
dalam penyertaan mereka kali ini, meskipun Liga Europa sering dilabel sebagai
kejohanan `kelas dua’ selepas Liga Juara-Juara.
Liga Europa antara trofi yang
paling realistik untuk dimenangi United musim ini, apatah lagi pemenang
kejohanan ini berpeluang menambah satu lagi trofi musim depan menerusi aksi
Piala Super Eropah dan hal tersebut diakui Solskjaer selepas majlis undian di
Monaco berlangsung. “Liga Europa merupakan peluang terbesar kami untuk
menjulang trofi. Musim lalu anda melihat Chelsea dan Arsenal bermain di pentas
final. Tentu sahaja kami juga inginkan piala ini. Saya punya misi iaitu
melangkah hingga ke puncak kejohanan”, kata Solskjaer.
Fakta
Kumpulan L
Sudah tentu selaku kelab
besar serta dengan kualiti barisan yang dimiliki, misi untuk muncul juara
kumpulan wajib diletakkan United sebaik sahaja mereka memulakan aksi pertama
menentang Astana di Old Trafford, 20 September ini. Undian kali ini juga
sebenarnya menemukan United dengan AZ Alkmaar dan Astana buat pertama kali
dalam kejohanan di peringkat Eropah. Pertembungan menentang FK Partizan pada 25
Oktober ini pula bakal menyaksikan United kembali semula ke kota Belgrade buat
pertama kali dalam tempoh 53 tahun.
Untuk rekod, kali terakhir
United dan wakil Serbia itu bertembung ialah pada aksi timbal balik Piala
Eropah (sekarang Liga Juara-Juara) yang berlangsung pada 13 April dan 20 April
1966. Bagi AZ Alkmaar pula, mereka merupakan kelab kelima dari Belanda yang bakal
dihadapi United dalam kejohanan Eropah. Sebelum itu United pernah berdepan Ajax
Amsterdam, PSV Eindhoven, Feyenord dan Willem II. Rekod United setiap kali
berdepan wakil Belanda juga sebenarnya cukup baik apabila mereka menang 9 dari
15 aksi menentang kelab Eredivisie.
Cabaran
Yang Perlu Dihadapi
Kunjungan ke Astana pada 28
November nanti bakal menjadi ujian getir kepada barisan kendalian Solskjaer.
Bukan hanya perlu mempersiapkan strategi permainan, tetapi Solskjaer juga perlu
memastikan barisan pemainnya bersedia dari segi fizikal dan mental sebelum
turun beraksi di Astana Arena nanti. Dalam kejohanan Liga Europa kali ini,
secara keseluruhannya United terpaksa melakukan perjalanan sejauh 14,348 km
bagi mengharungi saingan peringkat kumpulan. Catatan ini menyaksikan mereka
muncul sebagai kesebelasan yang terpaksa menempuh jarak perjalanan paling jauh
berbanding wakil-wakil Inggeris yang lain.
Bukan sahaja perlu
mengharungi penerbangan jauh dan panjang, tetapi aksi kelima peringkat kumpulan
di Astana Arena itu juga sebenarnya berkemungkinan besar bakal menentukan
posisi keseluruhan dalam Kumpulan L. Pada kebiasaannya, selepas aksi kelimalah
anda dapat melihat bayangan kesebelasan mana yang bakal melangkah ke pusingan
kalah mati. Saingan kali ini juga sebenarnya pentas terbaik untuk Solskjaer
memberikan penampilan kepada bakat-bakat muda seperti Mason Greenwood, Axel
Tuanzebe, Tahith Chong, Angel Gomes dan James Garner menikmati minit permainan
dalam saingan di peringkat Eropah.
Kembali
Ke Belgrade
Berbanding dua lagi kelab
yang berada dalam Kumpulan L, saya sebenarnya sangat teruja menantikan aksi
pertembungan membabitkan United dan FK Partizan. Apa tidaknya selepas menanti
lebih setengah abad, United akhir berpeluang menebus kembali kekalahan kepada wakil
Serbia itu di peringkat separuh akhir Piala Eropah, 53 tahun lalu. Dalam
pertembungan timbal balik itu, United dinafikan tiket ke final selepas kelab
dari Belgrade itu menang menerusi kelebihan aggregat 2-1.
Dalam aksi peringkat pertama
yang dilangsungkan di Belgrade pada 13 April 1966, Partizan menewaskan United
(2-0) menerusi jaringan yang disumbangkan Mustafa Hasanagic dan Rodaslav
Becejac. Tujuh hari selepas itu, giliran Partizan pula berkunjung ke Old
Trafford untuk melunaskan aksi peringkat kedua. Gol tunggal perlawanan yang
dijaringkan Nobby Stiles bagaimanapun gagal menghalang kemaraan Partizan ke Stadium
Heysel, venue dimana aksi final Piala Eropah dilangsungkan. Penampilan Partizan
di pentas Eropah mungkin tidak sehebat seteru domestik mereka, iaitu Red Star
Belgrade yang pernah menjulang Piala Eropah pada musim 1990/91.
Tetapi siapa pernah menyangka
inilah kelab yang pernah menunjukkan pintu keluar kepada barisan The Busby Babes dari saingan peringkat Eropah 53 tahun lalu.
Tatkala saingan Liga Europa yang dilabel sebagai saingan `kelas dua’ mungkin
menjadi satu-satunya trofi paling realistik untuk United menangi musim ini, aksi
menentang Partizan pula bakal menggamit memori silam buat Sir Bobby Charlton.
Selepas kegagalan di peringkat separuh akhir Piala Eropah 1966, Charlton tidak
pernah berpeluang menebus dendamnya terhadap Partizan, tetapi kini beliau
berpeluang menyaksikan dendam lama itu dilunaskan pula oleh barisan kendalian
Solskjaer. Glory Glory Manchester United!!! – Azhar
Johar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan