Satu lagi minggu yang
`mendukacitakan’ terpaksa diharungi oleh penyokong-penyokong Manchester United.
Ketika segenap harapan diletakkan agar barisan The Red Devils pulang dari St Mary dengan tiga mata penuh, perkara
sebaliknya pula berlaku. United tidak kalah, tetapi keputusan seri yang
dicatatkan ketika berdepan Southampton menyaksikan kedudukan mereka di carta
liga tergelincir ke tangga kelapan. Keputusan seri di St Mary ini juga
menyaksikan United sudah melepaskan peluang untuk meraih tiga mata penuh dari
kedudukan mendahului lawan sebanyak dua kali, dan kedua-duanya berlaku di
gelanggang lawan.
Satu mata yang diraih United
pada perlawanan keempat liga bakal memberikan lebih tekanan kepada Ole Gunnar
Solskjaer selaku pengendali. Dari empat perlawanan, United meraih lima mata
hasil dari satu kemenangan, dua keputusan seri dan satu kekalahan. Mungkin ada
yang mengatakan bahawa masih terlalu awal untuk menilai kemampuan sebenar
Solskjaer di kerusi pengurus. Musim 2019/20 baharu saja bermula, manakala masih
ada baki 34 aksi liga yang perlu diharungi United. Bagaimanapun timbul sedikit
kebimbangan jika anda melihat statistik Solskjaer sejak beliau diumumkan selaku
pengendali tetap di Old Trafford.
Dari saat Solskjaer diberikan
kontrak tetap, United hanya menang tiga kali dari 15 perlawanan terakhir
mereka. Masalah taktikal antara yang kerap diperdebatkan selain United juga
dilihat hilang kreativiti di bahagian hadapan mereka. Saya tiada masalah dengan
corak permainan United di era Solskjaer, kerana secara peribadi saya lebih
terhibur menyaksikan corak permainan mereka sekarang berbanding ketika era
Mourinho. Bagaimanapun sepertimana yang anda lihat sepanjang aksi 90 minit di
St Mary, barisan hadapan United masih berdepan kesukaran dan hilang kreativiti dalam
usaha mereka menembusi pintu gol lawan.
Aksi menentang Southampton
sebenarnya mengesahkan lagi masalah sebenar United ketika mereka berdepan lawan
yang mengamalkan pendekatan taktik blok pertahanan rendah. Apatah lagi
kecenderungan United yang kerap melancarkan serangan dari sisi kiri sebenarnya
memudahkan lagi tugas barisan The Saints
mematahkan setiap gerakan yang cuba
diatur oleh Paul Pogba, Ashley Young atau Daniel James. Sepanjang perlawanan
United melepaskan 21 percubaan kearah gawang lawan, di mana lapan daripadanya
adalah on target. Manakala
Southampton pula berjaya menjaringkan satu gol hanya menerusi dua peluang yang
berjaya mereka cipta.
Hilang
Ketajaman
Musim panas ini, United
melepaskan Romelu Lukaku dan Alexis Sanchez ke Inter Milan. Anehnya mereka
tidak melakukan sebarang pembelian baharu bagi menggantikan posisi Lukaku di
barisan serangan. Pilihan yang tinggal cumalah Anthony Martial dan Marcus
Rashford, dua pemain senior yang boleh berperanan sebagai pemain nombor 9. Walau
bagaimanapun dalam empat aksi awal liga musim ini, Rashford dan Martial lebih
sering digunakan untuk bergerak di sisi kiri dan kanan.
Suka atau tidak, anda
akhirnya terpaksa mengakui bahawa tanpa Lukaku, United juga sebenarnya hilang
sentuhan pembunuh ketika bola berada dalam petak penalti lawan. Menurut
Solakjaer, beliau mendambakan seorang penyerang yang mampu menyudahkan peluang
menerusi sentuhan-sentuhan mudah. Tidak semestinya mereka memiliki postur tubuh
yang besar dan tegap, tetapi Solskjaer juga mengakui adakalanya United memang
memerlukan type penyerang yang
berbeza jika beliau mahu menggunakan dua penyerang.
Selain Martial dan Rashford,
United juga memiliki Mason Greenwood dalam senarai skuad mereka tetapi
penyerang berusia 17 tahun itu sebenarnya perlukan beberapa tahun lagi sebelum
mampu mencetuskan impak di barisan hadapan. Greenwood juga bukanlah jenis
penyerang seperti Lukaku, yang mampu melakukan duel dengan mana-mana pertahanan
lawan atau menyempurnakan peluang menerusi hanya satu sentuhan. “Greenwood
bukan jenis penyerang seperti itu (Lukaku). Dia menjaringkan gol dengan cara
berbeza”, kata Solskjaer dalam satu wawancara dengan BT Sports.
Pilihan terhad di barisan
hadapan selain hilang sentuhan seorang targetman
seperti Lukaku akhirnya memberikan kesan kepada permulaan kempen United musim
ini. Menurut statistik yang dikeluarkan laman sesawang Premier League, United
muncul pasukan keempat selepas Manchester City, Chelsea, Liverpool dan
Tottenham Hotspurs yang paling banyak melepaskan percubaan kearah gawang lawan
(42 percubaan) dari tiga perlawanan awal liga musim ini.
Bagaimanapun jumlah tersebut
tidak diimbangi dengan jaringan yang berjaya dihasilkan barisan hadapan United.
Mereka bermula dengan baik pada perlawanan pertama apabila berjaya meledak empat
gol ke gawang Chelsea, tetapi dua perlawanan selepas itu (menentang
Wolverhampton dan Crystal Palace), hanya dua gol yang mampu dihasilkan meskipun
begitu banyak percubaan dilepaskan kearah gawang lawan serta peluang yang
berjaya dicipta.
Sisi
Positif Di St Mary
Ketika berdepan Crystal
Palace, United mengalami kesukaran dalam usaha mereka menembusi benteng
pertahanan lawan yang mengamalkan pendekatan taktik blok pertahanan rendah.
Bagaimanapun di St Mary situasi sebaliknya berlaku kerana Southampton pula
adalah kesebelasan yang gemar memberikan tekanan ketika lawan menguasai bola. Meskipun
begitu, United masih mampu melepaskan 21 percubaan ke arah gawang tuan rumah
tetapi malangnya hanya satu gol berjaya dihasilkan.
Perubahan pendekatan permainan
Southampton selepas Kevin Danso dilayangkan kad merah (minit ke-73) juga tidak
banyak membantu United dalam misi mereka memburu gol kedua. Isu ketumpulan kreativiti
tetap menghantui United dalam tempoh 17 minit terakhir perlawanan ketika lawan mula
mengendurkan tekanan dan lebih fokus untuk bertahan. Bukan hanya tentang isu
kreativiti, tetapi kecenderungan pemain-pemain yang kerap hilang penguasaan
bola juga antara kelemahan yang perlu segera diatasi Solskjaer.
Bagaimanapun di sebalik
kegagalan United mengutip tiga mata penuh di St Mary, tetap ada sisi positif
yang ditunjukkan barisan The Red Devils
sepanjang aksi menentang Southampton itu. Perlu diakui bahawa St Mary bukanlah
gelanggang yang `ramah’ untuk kesebelasan United. Sejak The Saints kembali dipromosikan ke Liga Perdana pada 2012, United
tidak pernah menang dengan margin melebihi dua gol setiap kali mereka
bertandang ke St Mary.
Satu-satunya kemenangan
dengan margin dua gol yang diraih United ke atas Southampton dari 14
pertembungan terakhir membabitkan kedua-dua kelab (dalam semua kejohanan) berlaku
pada pada 28 Ogos 2016. Dua gol yang diledak Zlatan Ibrahimovic ke gawang
Fraser Foster ketika itu membolehkan United meraih tiga mata penuh pada aksi liga
yang dilangsungkan di Old Trafford. Manakala kemenangan terakhir yang dilakar
United di St Mary pula berlaku pada 23 September 2017.
Bermain di St Mary yang
sememangnya diakui sebagai gelanggang yang sukar untuk United, ditambah pula dengan
pendekatan high pressing yang
diterapkan Ralph Hasenhuttl dalam permainan The
Saints, United bagaimanapun masih mampu tampil dominan. Cuma apa yang perlu
dipertingkat Solskjaer ialah aspek ketajaman barisan hadapan skuadnya agar
mereka lebih klinikal dalam menyudahkan peluang-peluang terhidang di dalam
petak penalti lawan.
Tekanan
Semakin Meningkat
Lima mata yang dikumpul
United dari empat perlawanan setakat ini merupakan catatan terburuk yang
dilakar mereka sejak musim 1992/93. Ketika itu barisan kendalian Sir Alex
Ferguson cuma mampu mengumpul empat mata dari empat perlawanan awal liga. Jika
dibandingkan dengan catatan musim lalu pula, United berjaya mengumpul enam mata
dari empat perlawanan awal liga meskipun dari jumlah tersebut mereka tewas dua
perlawanan.
Melihat bagaimana sukarnya
United meraih kemenangan di era Solskjaer pastinya meningkatkan lagi tekanan di
bahu pengendali dari Norway itu. Sudah tentu sebagai bekas pemain yang pernah
meyarung jersi United selama sebelas musim, Solskjaer faham benar tekanan yang
beliau hadapi sebagai pengendali di Old Trafford. Bagaimanapun menurut
Solskjaer, tekanan yang dihadapinya tidak akan sesekali menyebabkan beliau
berasa cemas.
“Saya faham harapan yang
diletakkan ke atas kelab ini. Ada banyak tekanan yang menerpa namun itu tidak akan
membuatkan saya rasa cemas. Kami tahu tahap kami di Manchester United. Para
pemain juga tahu. Saya tidak pernah puas, malah beberapa keputusan buruk tidak
akan membuatkan kami kelam kabut. Jika anda mahu bertahan lama di kelab seperti
Manchester United, anda perlu kuat melawan tekanan. Kami akan bekerja keras
untuk mendapatkan keputusan yang lebih baik”, kata Solskjaer.
Jangka
Panjang
Sudah beberapa kali Solskjaer
menegaskan bahawa beliau berada di Old Trafford berbekalkan sasaran
membangunkan skuadnya untuk tempoh jangka panjang. Perkara itu sudahpun beliau
lakukan musim ini, dimana dalam tiga aksi awal liga, David De Gea muncul pemain
tertua dalam kesebelasan permulaan United. Selepas itu ada Jesse Lingard
(berusia 27 tahun), manakala dua pemain yang direkrut musim ini (Daniel James
dan Aaron Wan-Bissaka) baru berusia 21 tahun.
Pasca persaraan Sir Alex
Ferguson, kelab memang berdepan kesukaran untuk mengulangi pencapaian gemilang
yang pernah dilakar lagenda hidup United itu. Proses transisi yang sedang
berjalan menyaksikan David Moyes, Louis Van Gaal dan Jose Mourinho antara yang
menjadi korban. Saya berharap nasib Solskjaer juga tidak akan seburuk tiga bekas
pengendali United itu. Dalam proses transisi juga, keputusan-keputusan seperti
ketika berdepan Wolves, Palace dan Southampton akan biasa anda lihat.
Sama seperti anda, saya juga
sedikit kecewa dengan pergerakan kelab dalam pasaran perpindahan pemain musim
panas lalu. Tetapi percayalah jika Solskjaer kekal lama di Old Trafford dan
diberikan kebebasan `membina’ skuad impiannya sendiri dalam tiga atau empat
pasaran perpindahan selepas ini, beliau mampu membentuk skuad United yang jauh
lebih kempetitif untuk bersaing di peringkat domestik mahupun Eropah.
Sabar
Dan Terus Bersabar
Proses transisi bukan sahaja
memerlukan waktu tetapi juga kesabaran tinggi jika anda mahu melihat hasilnya. United
juga sebenarnya pernah berdepan pengalaman yang sama pasca persaraan Sir Matt
Busby hinggalah kejuaraan liga pertama hadir hanya selepas 22 tahun pengendali
lagenda itu mengumumkan persaraannya. Dalam sejarah kelab pula hanya Ernest
Magnall, Sir Matt Busby dan Sir Alex Ferguson sahaja yang mampu mengemudi
United menjulang kejuaraan liga.
Bagaimanapun dalam masa yang
sama, kita perlu mengakui bahawa bolasepak kini sudah jauh berubah berbanding
era Magnall, Busby atau Fergie. Bolasepak ketika ini memerlukan anda
beradaptasi dengan pantas, pemain perlu
menyesuaikan diri dengan segera bersama kelab baharu, begitu juga dengan pencapaian
pengurus yang hanya dinilai menerusi beberapa keputusan awal. Ketika tahap
kesabaran semakin menipis, mampukah pihak pengurusan atau penyokong terus
bersabar jika beberapa keputusan buruk terus dilakar United selepas ini?
Dalam hal ini saya tertarik
dengan pendapat Andy Mitten (seorang kolumnis Manchester United untuk Daily
Post). Menurut Mitten, “Kesuksesan jangka masa panjang ditentukan menerusi apa
yang diraih dalam jangka masa pendek”. Mitten juga berpendapat, jika sekalipun Solskjaer
gagal memberikan trofi kejuaraan di Old Trafford, setidak-tidaknya beliau perlu
mengemudi United menamatkan saingan liga di kelompok (empat teratas) secara
konsisten.
Penutup
Apa yang berlaku di Anfield dalam
tempoh beberapa musim terakhir mungkin boleh dijadikan pengajaran dan
pembelajaran berguna meskipun mungkin agak perit bagi penyokong-penyokong
United menerima hakikat tersebut. Sejak kehadiran Jurgen Klopp, Liverpool tidak
memenangi sebarang kejuaraan dalam tempoh tiga musim. Walaupun begitu, taktikal
yang diterapkan Klopp berjaya meningkatkan permainan Liverpool hingga
menyaksikan peningkatan posisi mereka dalam carta liga musim ke musim.
Musim pertama (Klopp di
Anfield), Liverpool sekadar menamatkan saingan liga di posisi kelapan tetapi
mereka mara ke pentas final Piala Liga dan Liga Europa. Musim kedua, Klopp
berjaya mengemudi Liverpool menamatkan saingan liga di kelompok empat teratas
dan kemudiannya mara ke pentas final Liga Juara-Juara pada musim ketiganya.
Akhirnya musim lalu, Klopp berjaya menghadiahkan trofi Liga Juara-Juara dalam kabinet
kejuaraan di Anfield buat kali keenam dalam sejarah kelab tersebut pada musim
keempat beliau bersama The Reds.
Sebagai penyokong United,
saya berharap jejak Klopp itu boleh diikuti Solskjaer. Cuma persoalan paling
besar adakah kelab dan penyokong mampu bersabar jika barisan kendalian
Solskjaer menamatkan saingan liga musim ini di luar kelompok empat teratas? Solskjaer
perlu diberikan waktu untuk `mencipta kesuksesan’ beliau sendiri, tetapi dalam
masa yang sama, kesuksesan jangka masa panjang yang beliau impikan akhirnya tetap
bergantung kepada apa yang mampu diraih beliau dalam jangka masa pendek. Glory
Glory Manchester United!!! – Azhar Johar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan