Beliau bukanlah `orang
baharu’ di Old Trafford kerana Jesse Lingard sudah menjadi sebahagian anggota
skuad seniorThe Red Devils sejak
2011. Bagaimanapun perjalanan karier pemain kelahiran Warrington ini bukanlah
mudah, kerana sejak dipromosikan ke skuad utama lapan tahun lalu, Lingard
berdepan masalah utama yang dihadapi oleh kebanyakkan pemain, iaitu konsistensi
di atas padang. Persaingan ketat di sektor sayap juga antara penyebab mengapa
Lingard terpaksa menjalani tempoh empat musim sebagai pemain pinjaman ketika
zaman remajanya.
Selepas mengharungi tempoh
empat musim bermain untuk Leicester City, Birmingham City, Brighton & Hove
Albion dan Derby County sebagai pemain pinjaman, Lingard akhirnya menikmati
musim penuh bersama skuad senior United (pada musim 2015/16) ketika kelab di
bawah kendalian Louis Van Gaal. Dan sejak itu jugalah Lingard mengecapi
statusnya selaku pemain regular dalam skuad The
Red Devils meskipun era pengurusan beralih dari tangan Van Gaal kepada Jose
Mourinho dan kini Ole Gunnar Solskjaer pula.
Sasaran
Kritikan
Selain Paul Pogba, Lingard
antara pemain yang kerap dijadikan sasaran kritikan oleh penyokong-penyokong
United. Ketika aksi menentang Wolverhampton Wanderers pada 20 Ogos lalu,
kelibat Lingard di atas padang sekali lagi dijadikan tajuk utama perdebatan
selain kegagalan Pogba menyempurnakan sepakan penalti. Aksi di Molineux itu
bukan sahaja berkisar tentang kegagalan United mengutip tiga mata penuh, tetapi
ia juga menyaksikan trend negatif
Lingard berterusan.
Untuk rekod, Lingard gagal
menjaringkan sebarang gol atau menyumbang bantuan gol (assist) dalam tempoh lima bulan saingan kompetitif berlangsung.
Satu-satunya bantuan gol yang disumbangkan Lingard sepanjang 2019 ialah ketika
aksi liga menentang Burnley, 30 Januari lalu. Dengan catatan buruk seperti itu,
memang wajarlah penyokong-penyokong United berang, tambahan pula Lingard
dilihat lebih aktif di media sosial berbanding memberikan sumbangan bermakna di
atas padang.
Ramai berpendapat bahawa
dengan pencapaian seperti itu, Lingard sebenarnya tidak layak memikul peranan
penting dalam kesebelasan utama United, malah lebih keras lagi
penyokong-penyokong juga mahukan agar beliau dijual. Sepanjang 2019, Lingard
cuma menyumbang satu bantuan gol, tetapi entah kenapa nama beliau sentiasa ada
dalam kesebelasan permulaan United hampir dalam setiap perlawanan.
Kritikan dan kecaman sudah
menjadi resam dalam karier Lingard kerana prestasi turun naik yang dipamerkan
beliau sepanjang musim 2018/19, tambahan pula dengan aktiviti `berlebihan’ yang
dipamerkan beliau di luar padang. Selain memiliki jenama pakaian sendiri,
Lingard juga seorang You Tubers yang aktif dan apa yang dapat anda saksikan
tentang beliau di media sosial kebanyakkannya tentang fesyen serta
tarian-tarian terbarunya.
Bersikap
Adil Terhadap Lingard
Ramai penyokong-penyokong
United cuma menilai sumbangan Lingard menerusi jumlah jaringan gol serta assist yang dilakukannya. Tambahan pula
posisi beliau selaku attacking midfielder
dan winger memang menuntut untuk
beliau menjaringkan sekurang-kurangnya 10 gol semusim atau menyumbang lebih
banyak assist berbanding apa yang
dilakukan beliau sepanjang musim 2018/19. Apa yang berlaku kepada Lingard ini
sebenarnya hampir sama dengan situasi dialami Jorginho di Stamford Bridge,
Jordan Henderson di Anfield atau Sergio Busquets di Nou Camp.
Penyokong-penyokong Chelsea
melemparkan kritikan keras kepada Jorginho kerana gagal menyumbang sebarang assist meskipun beliau melakukan purata
82.72 hantaran dalam setiap perlawanan. Begitu juga nasib yang dialami
Henderson serta Busquets kerana kecenderungan mereka melakukan hantaran ke
belakang atau umpanan ke sisi kiri dan kanan. Berbeza dari kaca mata penyokong,
peranan Jorginho, Henderson dan Busquets pula sebenarnya sangat penting dalam
skema taktikal Maurizio Sarri, Jurgen Klopp atau Ernesto Valverde.
Sepanjang tiga musim pertama
sejak beliau kembali dari tempoh pinjaman, Lingard melakukan sekurang-kurangnya
40 penampilan semusim dalam semua kejohanan untuk United. Musim lalu pula,
angka tersebut menurun sedikit apabila beliau cuma melakukan 36 penampilan. Secara
tepatnya, Lingard sebenarnya sudah menikmati peranan selaku pemain regular dalam kesebelasan utama United
sejak era Van Gaal dan Mourinho lagi. Kecenderungan tersebut (meletakkan
Lingard dalam kesebelasan utama) kemudiannya diteruskan Solskjaer sebaik sahaja
beliau mengambilalih posisi Mourinho pada Disember tahun lalu.
Tempoh paling sensasi buat
Lingard berlaku pada musim 2017/18 apabila beliau diturunkan Mourinho dalam 48
perlawanan serta menjaringkan 13 gol dalam semua kejohanan. Meskipun sering
dilabel sebagai pengurus yang `pragmatik’, kecenderungan Mourinho meletakkan
Lingard dalam kesebelasan utama beliau sebenarnya agak mengejutkan, tambahan
pula Lingard sendiri bukanlah seorang pemain yang memiliki skill individu
memukau. Jadi apakah faktor yang menyebabkan Lingard muncul antara pemain
kegemaran Mourinho? Jawapannya ialah versatiliti yang dimiliki Lingard dalam
permainannya.
Meskipun beliau dikenali
sebagai seorang attacking midfielder
atau winger , peranan Lingard
sebenarnya tidak terikat kepada melakukan kerja-kerja di barisan hadapan
semata-mata. Mengikut catatan Tifo Football, Lingard memiliki empat kelebihan
yang menyaksikan potensi beliau digunakan sepenuhnya oleh Mourinho sepanjang
era pengurusan beliau di Old Trafford. Empat aspek yang disenaraikan Tifo
Football ialah kebolehan Lingard bermain di banyak posisi, kemampuan beliau
beradaptasi dengan taktik lawan, mematikan kreativiti lawan serta bijak mencari
ruang dan peluang.
Lingard
Dalam Taktikal Solskjaer
Dalam formasi 4-3-3 atau
4-2-3-1 yang sering digunakan Solskjaer, Lingard kerap digunakan sebagai attacking midfielder di belakang tiga
pemain hadapan. Tugas utamanya ialah menghubungkan dua pemain tengah (double pivot) dan membekalkan
umpanan-umpanan terus ke barisan hadapan. Kelajuan yang dimilikinya
dimanfaatkan sepenuhnya oleh Lingard untuk mendapatkan bola dari bawah sebelum
cuba untuk mencipta sebarang peluang.
Bukan itu sahaja, kepantasan
Lingard dalam melakukan trackback
juga sangat berguna bagi mematahkan sebarang gerakan yang cuba dilakukan lawan
menerusi tactical foul atau menutup
ruang ketika lawan cuba melakukan transisi dari bertahan kepada menyerang. Faktor
inilah yang menyebabkan kenapa beliau terus diberikan kepercayaan membarisi
kesebelasan utama United dalam tiga era pengurusan berbeza (Van Gaal, Mourinho
dan Solskjaer).
Masa
Untuk Perubahan
Lingard memang sedang menjadi
sasaran kritikan penyokong-penyokong United ketika ini kerana prestasi yang
dipamerkan beliau di atas padang tidak seligat aktiviti beliau di luar padang
atau di media sosial. Musim ini buat pertama kali selepas tiga perlawanan,
Lingard terlepas slot dalam kesebelasan utama United ketika barisan The Red Devils berdepan Southampton di
St Mary, 31 Ogos lalu.
Dalam aksi keempat liga
menentang Southampton itu, Solskjaer menurunkan Juan Mata dalam kesebelasan
utama United untuk memikul peranan sebagai `pemain nombor 10’, posisi yang
sebelumnya dihuni Lingard dalam tiga perlawanan awal musim ini. Adakah ini
pertanda bahawa Solskjaer ingin mencuba solusi lain di barisan hadapan skuadnya
selepas kecewa dengan prestasi semasa Lingard?
Apapun alasannya, Mata sudah
membuktikan bahawa kehadiran beliau buat pertama kali dalam kesebelasan utama
United musim ini memberikan pengaruh besar di bahagian tengah. Di babak
pertama, Mata berjaya mencipta gerakan serangan setiap enam minit, manakala
kebolehan beliau meletakkan dirinya di posisi tepat dalam situasi tanpa bola,
mencipta ruang dan peluang menyaksikan skema permainan United menjadi lebih
cepat dan pantas.
Prestasi terpuji yang
ditunjukkan Mata di St Mary saya harap satu isyarat jelas buat Lingard untuk
kembali meningkatkan prestasinya atau beliau bakal berdepan kemungkinan hilang
tempat dalam kesebelasan utama United. Ketika United kekurangan stok pemain di
barisan hadapan berikutan penghijrahan Romelu Lukaku dan Alexis Sanchez,
kreativiti Lingard di bahagian tengah sangat dituntut oleh penyokong.
Jika jumlah assist dan gol dijadikan ukuran,
prestasi Lingard sebenarnya sudah jauh tersasar berbanding ketika beliau
menjaringkan lapan gol dan mencipta lima assist
pada musim 2017/18. Ketika Mata menawarkan lebih kreativiti kepada barisan
hadapan United ketika mereka dalam mode menyerang, adakah Lingard mampu mempertahankan
tempatnya dalam kesebelasan utama hanya bersandarkan kepada energetik dan
mobiliti yang dimiliki beliau dalam permainannya? Glory Glory Manchester
United!!! – Azhar Johar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan