17 September 2019

WESLEY SNEIJDER: KISAH CINTA YANG TIDAK KESAMPAIAN



Selepas 17 tahun bergelumang dalam kancah bolasepak profesional, bermain untuk enam kelab dari enam negara berbeza selain 134 penampilan untuk skuad kebangsaan Belanda, Wesley Sneijder akhirnya mengumumkan persaraan beliau secara rasmi pada 12 Ogos lalu. 15 gol yang dijaringkannya dari 22 penampilan liga untuk Al Gharafa di Liga Qatar (Q-League) adalah catatan terakhir yang dilakar Sneijder sebelum beliau memutuskan menggantung but pada usia 35 tahun.

Perkara pertama yang akan dilakukan Sneijder selepas bersara ialah kembali ke Belanda dan menyertai barisan pengurusan FC Utrecht yang juga merupakan kelab bandar kelahirannya. Walaupun lahir di Utrecht, karier Sneijder lebih gemilang bersama Ajax Amsterdam menerusi kejayaan menjulang trofi Eredivisie (musim 2003/04), Piala KNVB (2006 dan 2007) serta Johan Cryuff Shield (2006). Malah sepanjang karier profesionalnya, Sneijder tidak pernah bermain untuk FC Utrecht baik di peringkat remaja mahupun senior.

Ajax Amsterdam dari dahulu hingga kini sentiasa melahirkan bakat-bakat bolasepak yang hebat dan Sneijder salah seorang diantaranya. Penampilan cemerlang beliau bersama skuad bergelar de Godenzonen itu akhirnya menarik perhatian Real Madrid. Sukar untuk mana-mana pemain menolak godaan Real Madrid, dan Sneijder juga tidak terkecuali. Selepas lima musim menabur bakti di Amsterdam Arena, Sneijder akhirnya memutuskan menyertai dua rakan senegaranya (Arjen Robben dan Royston Drenthe) di Santiago Bernabeu pada 2007.

Tidak Seindah Yang Diimpikan

Menyarung jersi putih Real Madrid dan beraksi di Santiago Bernabeu adalah dambaan buat mana-mana pemain. Tawaran yang datang dari gergasi Sepanyol itu akhirnya membawa Sneijder keluar dari Belanda untuk menikmati cabaran baharu di La Liga. Musim pertama Sneijder di Bernabeu berjalan dengan lancar apabila beliau melakukan 30 penampilan untuk Real dalam saingan liga dan menjaringkan sembilan gol. Selain itu, Sneijder juga berjaya membantu Real menjulang kejuaraan liga bagi musim 2007/08.

Kecederaan ligamen yang dialaminya ketika berdepan Arsenal dalam aksi pra musim pada 2008 menjejaskan prestasi Sneijder. Musim 2008/09, Sneijder cuma diturunkan sebanyak 18 kali dalam kesebelasan utama Real dari 22 penampilan. Selain daripada itu, jumlah jaringan dan bantuan gol yang dihasilkan Sneijder juga merosot kepada hanya dua gol dan dua bantuan gol. Musim 2009/10, tiada tempat lagi untuk Sneijder dalam skuad Real selepas mereka membawa masuk Cristiano Ronaldo, Kaka dan Karim Benzema ke Bernabeu.

Nafas Baharu Di Itali

Situasi tidak menentu yang dialami Sneijder di Bernabeu dipantau penuh minat oleh Jose Mourinho yang ketika itu merupakan pengendali Inter Milan. Akhirnya menjelang hari terakhir pasaran perpindahan pemain musim panas 2009/10, Sneijder memutuskan untuk menerima tawaran dari Inter, dan bermulalah kehidupan baharu beliau di Itali. Meskipun sebelumnya beliau tidak diperlukan lagi di Bernabeu, Inter pula nampaknya menyuntik nafas baharu dalam karier Sneijder. 

Dalam skema 4-2-3-1 yang diterapkan Mourinho, Sneijder muncul pemain yang sangat berpengaruh menerusi kreativiti beliau dalam mengerakkan jentera tengah Inter. Musim 2009/10 saya anggap tempoh kemuncak dalam karier Sneijder sebagai pemain kerana pada musim inilah beliau berjaya menjulang kejuaraan treble bersama skuad La Baneamata itu. Beliau antara watak utama di sebalik prestasi cemerlang Inter hingga membolehkan mereka menjulang kejuaraan Serie A, Coppa Italia dan Liga Juara-Juara pada musim tersebut.

Piala Dunia 2010

Ketika Sneijder mendapat angin baharu menerusi penampilan cemerlang beliau bersama Inter, Kejohanan Piala Dunia 2010 yang berlangsung di Afrika Selatan pula hadir pada waktu yang tepat untuk beliau meneruskan momentumnya. Sepanjang kejohanan, Sneijder menjaringkan lima gol untuk skuad De Oranje, sekaligus menyaksikan beliau berkongsi kedudukan selaku penjaring terbanyak bersama Thomas Muller, David Villa dan Diego Forlan.

Bagaimanapun Muller dinobatkan selaku penjaring terbanyak kerana menghasilkan tiga bantuan gol berbanding satu yang dilakukan Villa, Sneijder dan Forlan. Akhirnya selepas kiraan minit permainan pula dilakukan, Villa diumumkan selaku pemenang silver boot, manakala Sneijder berada di tangga ketiga dalam senarai penjaring terbanyak. Sudah tentu dua gol yang dijaringkan Sneijder ke gawang Brazil pada peringkat separuh akhir antara sumbangan terpenting beliau dalam kempen Belanda di Afrika Selatan.

Belanda tewas di pentas final kepada Sepanyol hasil ledakan Andres Iniesta di masa tambahan, tetapi tiada siapa mampu menidakkan sumbangan besar Sneijder di sebalik kejayaan Belanda mara ke Soccer City Stadium, Johannesburg pada tanggal 11 Julai 2010 itu. Berkongsi kedudukan selaku penjaring terbanyak menerusi lima gol yang dihasilkannya, selain empat kali dinamakan sebagai pemain terbaik perlawanan meletakkan Sneijder antara bintang paling menyinar di bumi Afrika Selatan.

Ballon d’Or Yang Dirompak

Medal kejuaraan Serie A, Coppa Italia, Liga Juara-Juara dan naib juara Piala Dunia yang dimenangi Sneijder sepatutnya sudah cukup untuk meletakkan beliau sebagai Pemain Terbaik Dunia. Namun anehnya, Sneijder tiada dalam senarai tiga calon akhir untuk anugerah Ballon d’Or 2010 yang dimenangi Lionel Messi, disusuli Andres Iniesta dan Xavi Hernandez. Sneijder pula sekadar berada di tangga keempat menerusi 14.48% undian yang diterimanya.

Menurut laporan Marca yang diterbitkan pada 2010, Sneijder pada mulanya berada di tangga teratas hasil undian yang dilakukan wartawan bolasepak seluruh dunia menerusi 293 mata yang diperolehinya, jauh meninggalkan Messi di tangga kedua yang hanya mengumpul 175 mata. Kegagalan Sneijder memenangi Ballon d’Or mendapat perhatian peminat bolasepak seluruh dunia dan hal ini turut dikongsi Tom Scholes (jurnalis bolasepak) dalam kolumnya di Gentlemenultra.

“Apa lagi yang mampu dia (Sneijder) lakukan. Kita semua sudah melihat bagaimana cemerlangnya dia untuk Inter dan Belanda. Menyaksikan dia menamatkan penguasaan Messi dan Ronaldo tentunya perkara yang sangat menyenangkan untuk dilihat. Sneijder akan sentiasa dikenang sebagai individu yang patut menang Ballon d’Or 2010. Bagi mereka yang tidak menyenangi Sneijder, saya sarankan agar anda tonton klip video Inter di YouTube, khasnya pada musim 2009/10”, tulis Scholes.

Cinta Yang Tak Kesampaian

Kecemerlangan beliau ketika bersama Inter menjadikan nama Sneijder sentiasa meniti di bibir penyokong-penyokong United. Sneijder antara pemain yang sangat diinginkan penyokong-penyokong United untuk Sir Alex Ferguson bawa ke Old Trafford. Setiap kali tibanya bursa perpindahan pemain, nama Sneijder seringkali digembar-gemburkan berada dalam radar buruan United. Bukan setakat ketika era pengurusan Fergie, malah rumour perpindahan Sneijder ke Old Trafford berlanjutan hingga ke era Louis Van Gaal.

Jika ada di kalangan anda yang masih ingat, rumour yang mengaitkan Sneijder dan United bermula buat pertama kali pada 2008. Ketika itu Daily Telegraph melaporkan bahawa Sneijder akan dijadikan sebahagian dari kesepakatan perpindahan saga Cristiano Ronaldo ke Real Madrid. Bagaimanapun khabar angin tersebut tidak menjadi realiti apabila Sneijder memilih Inter sebagai kesebelasan yang bakal beliau wakili. Pada musim panas 2010, Sneijder sekali lagi dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford, apatah lagi selepas prestasinya meledak bersama Inter dan skuad kebangsaan di kempen Piala Dunia 2010.

United ketika itu dilaporkan sanggup membayar £35 juta demi mendapatkan tandatangan Sneijder, namun tawaran tersebut ditolak Inter. Desas-desus perpindahan Sneijder semakin kuat bertiup apabila beliau menulis dalam akaun Twitternya, “Saya menghormati semua penyokong United yang menyokong saya sepanjang jendela perpindahan ini”. Bagaimanapun apa yang menariknya, laporan tersebut disangkal Fergie apabila beliau mengatakan bahawa United tidak pernah menghubungi Inter bagi mendapatkan khidmat Sniejder.

“Bagaimana mereka (Inter) boleh menolak tawaran yang sememangnya tidak pernah kami buat”, kata Fergie pada 2010. Setahun selepas itu, `cerita cinta’ antara United dan Sneijder kembali menghiasi dada-dada akhbar, dan kali ini Fergie diberitakan mahu mendapatkan khidmat Sneijder sebagai pengganti Paul Scholes yang kian berada di penghujung karier. Dan sekali lagi Fergie menafikan apabila beliau berkata bahawa United sudah berpuas hati dengan tiga pembelian yang mereka lakukan ke atas Phil Jones, David de Gea dan Ashley Young.

Meskipun demikian, media nampaknya masih belum berpuas hati dengan penjelasan Fergie. Beberapa hari selepas itu, rumour tentang perpindahan Sneijder kembali bertiup kencang dan kali ini mereka melaporkan bahawa United serta Inter sudah mencapai kesepakatan untuk melunaskan perpindahan bintang antarabangsa Belanda itu ke Old Trafford. Bagaimanapun laporan tersebut sekali lagi di sanggah dan kali ini giliran Marco Branca (Pengarah Teknik Inter) pula bersuara. “Tiada tawaran rasmi dari United, dan Inter juga tidak pernah mahu menjualnya”, kata Branca.

Meskipun selepas Fergie bersara pada 2013, `kisah cinta’ antara Sneijder dan United masih terus dimainkan media. Kegagalan David Moyes mendapatkah khidmat Cesc Fabregas dan Thiago Alcantara menyebabkan radar The Choosen One beralih ke arah Sneijder. Pada Januari 2014, Sneijder dilaporkan menjadi sasaran alternatif Moyes jika beliau gagal mendapatkan tandatangan Ross Barkley dan Koke. Malang buat Moyes kerana ketiga-tiga pemain yang beliau sasarkan gagal ditandatangani, malah tiga bulan selepas itu beliau dipecat berikutan prestasi buruk yang dipamerkan United.

Kedatangan Louis Van Gaal pada musim panas 2014 selaku pengganti Moyes sepatutnya membuka jalan dalam merealisasikan impian penyokong-penyokong United yang mahu melihat Sneijder menyarung jersi The Red Devils. Bagaimanapun hal tersebut nampaknya tidak menjadi kenyataan kerana kisah antara Sneijder dan United kekal menjadi `kisah cinta yang tidak kesampaian’. “Saya sangat berbangga dengan minat yang ditunjukkan United, tetapi saya sudah jatuh cinta dengan Turki. Saya juga tidak mahu meninggalkan saingan Liga Juara-Juara”, kata Sneijder yang ketika itu bermain untuk Galatasaray.  

Penutup

Keputusan Sneijder menggantung but pada 12 Ogos lalu menyaksikan berakhirnya era seorang pemain tengah yang dianggap antara terbaik untuk generasinya. Sneijder akan sentiasa diingati kerana gol-gol indah yang dijaringkannya, seorang pemain yang sangat bijak membaca tempo permainan, juga salah seorang pemain tengah paling kreatif yang pernah kita saksikan. Ajax Amsterdam, Real Madrid, Inter Milan, Galatasaray, Nice dan Al Gharafa merupakan kelab yang beliau wakili sepanjang tempoh 17 tahun karier profesionalnya.

Hampir setiap musim dalam tempoh enam tahun, rumour perpindahan beliau ke Old Trafford sentiasa menjadi tajuk perbincangan utama di kalangan penyokong-penyokong United. Namun sayangnya untuk salah seorang pemain tengah paling menarik pernah kita saksikan aksinya di atas padang, impian untuk melihat beliau menyarung jersi merah United tidak pernah kesampaian. Pengumuman persaraan yang dilakukan Sneijder bukan sahaja menjadi detik penamat kepada karier profesionalnya, tetapi juga menjadi nokhtah kepada kisah cinta yang tidak kesampaian antara beliau dan United. Glory Glory Manchester United!!! – Azhar Johar

Tiada ulasan:

Catat Ulasan