Paul Pogba dijangka akan
hanya kembali beraksi pada bulan Disember nanti akibat dari kecederaan
pergelangan kaki yang dialaminya ketika berdepan Arsenal pada 30 September
lalu. Ramai pihak meramalkan tanpa Pogba di bahagian tengah, United akan
berdepan masalah besar tetapi hal sebaliknya pula berlaku kerana secara
peribadi saya berpendapat skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer tampil lebih
baik sejak ketiadaan pemain antarabangsa Perancis itu.
Sejak ketiadaan Pogba, United
sudah mengharungi sembilan perlawanan dalam semua peringkat kejohanan. Dari
jumlah tersebut, mereka menang lima perlawanan, seri dua kali dan kalah dua
kali. Di pentas Liga Europa, United mengesahkan status mereka selaku pasukan
pilihan dalam Kumpulan L apabila layak ke pusingan kalah mati meskipun masih
memiliki baki dua perlawanan peringkat kumpulan.
Dalam saingan domestik pula,
United layak ke peringkat suku akhir saingan Piala Liga (Carabao Cup) selepas
mereka menewaskan Chelsea di Stamford Bridge selain berada dikedudukan ketujuh dalam
carta liga. Kecederaan Pogba umpama satu `rahmat’ buat United, kerana kini
mereka berjaya membuktikan tanpa kelibat pemain tengah itu di atas padang,
mereka tetap `mampu hidup’. Untuk itu terima kasih atas prestasi cemerlang yang
dipamerkan Fred dan Scott McTominay.
Keberadaan
Fred
Pemain yang sepatutnya paling
bersyukur sepanjang ketiadaan Pogba ialah Fred. Menerusi skema permainan
4-2-3-1 yang digunakan Solskjaer, Fred akhirnya menemui potensi sebenar beliau
di sektor tengah United. Potensi inilah sebenarnya yang memaksa United membayar
sehingga £52 juta kepada Shakhtar Donetsk demi membawa Fred beraksi di Liga
Perdana. Bersama Scott McTominay, Fred berjaya membentuk keserasian selaku dua
pemain tengah bertahan yang memberikan kestabilan kepada permainan United
terutamanya dalam situasi defensif.
Musim ini Fred melakukan
lapan penampilan liga untuk United tetapi titik sebenar kebangkitan Fred ialah
ketika beliau diturunkan selama 90 minit dalam aksi North West Derby pada 20 Oktober lalu. Selaku pemain tengah
bertahan, tugas utama Fred ialah menghentikan aliran bola dari masuk ke zon
bahaya atau sebagai perosak kepada tempo gerakan-gerakan serangan lawan. Jadi
tidak hairanlah mengapa beliau mengumpul 27 kad kuning dan satu kad merah
ketika menyarung jersi Shakhtar Donetsk.
Suka
Duka Di Kharkiv
Shakhtar Donetsk
menandatangani Fred pada 2013 bagi menggantikan posisi Fernandinho yang
berhijrah ke Manchester City. Nilai €15 juta yang dibayar Shakhtar kepada
Internacional untuk seorang pemain yang baru berusia 20 tahun ketika itu
sebenarnya satu perjudian yang besar memandangkan kemampuan Fred yang masih
belum teruji, terutamanya dalam kancah bolasepak Eropah. Bagaimanapun jika
diteliti perjalanan karier Fred di peringkat remaja, memang wajar Shakhtar merekrut
beliau selaku successor Fernandinho.
Pada usia 18 tahun, Fred
sudahpun melakukan penampilan profesionalnya bersama Internacional. Dua musim
di Porto Alegre, Fred berjaya membantu skuad `Colorado’ itu menjulang trofi
Campeonato Gaucho dua musim berturut-turut sebelum berhijrah ke Ukraine. Di
Donetsk, Fred menjadi pilihan utama Mircea Lucescu untuk membentuk trio bersama
Fernando Martins dan Taras Stepanenko di bahagian tengah, manakala Alex Texeira
pula berperanan selaku pemain tengah menyerang.
Titik hitam menyelubungi
karier Fred apabila beliau digantung selama 16 bulan kerana gagal ujian doping
dalam kejohanan Copa America 2015. Kes tersebut merencatkan minat beberapa
kelab Eropah untuk mendapatkan khidmatnya manakala Shakhtar yang menyedari potensi
besar dimiliki Fred cuba untuk terus mengekalkan pemain itu di Kharkiv. Tidak
beraksi di peringkat tinggi dalam tempoh lebih setahun rupa-rupanya tidak
langsung melunturkan kualiti beliau sebagai pemain.
Musim 2017/18, Fred kembali
ke dalam kesebelasan utama Shakhtar untuk bergandingan semula bersama
Stepanenko. Dalam kempen Liga Juara-Juara pula, Fred bermain semua enam
perlawanan peringkat kumpulan untuk Shakhtar. Shakhtar layak ke pusingan kalah
mati selepas mereka muncul naib juara di peringkat kumpulan, tetapi paling
menarik ialah kemampuan gergasi Ukraine itu memaksa Manchester City pulang
dengan tangan kosong dalam kunjungan mereka ke Kharkiv pada 13 September 2017.
Selepas perlawanan muncul
perkhabaran tentang minat Pep Guardiola untuk membawa Fred beraksi di Stadium
Etihad. Hal tersebut turut disahkan oleh Tite yang juga merupakan ketua
jurulatih skuad kebangsaan Brazil. Tite mengakui bahawa Guardiola menghubungi
beliau untuk bertanyakan kualiti Fred. Desas desus tentang kemungkinan beliau
berhijrah ke England mula tersebar luas selepas Gilberto Silva yang juga
merupakan bekas pemain Arsenal mengesahkan bahawa ada kelab Inggeris yang
berminat mendapatkan khidmat Fred.
“Sangat menyenangkan kerana
menjadi mentornya di luar padang. Saya bukan agen, tetapi saya memiliki
pengalaman bekerjasama dengan pemain. Jadi saya lebih mirip kepada mentor bukan
sebagai agennya. Ia seperti lebih kepada melakukan analisis dan kemudian
berkata kepadanya apa yang harus dia lakukan untuk memperbaiki permainannya. Ada
beberapa tawaran untuk Fred dari England pada Januari tetapi perpindahan
nampaknya tidak berlaku”, kata Gilberto kepada Sky Sports pada Mac 2018.
Terbang
Ke England
Apa yang keluar dari mulut
Gilberto bukanlah cakap-cakap kosong kerana empat bulan selepas itu ada kelab
England yang melakukan tawaran kepada Shakhtar untuk mendapatkan khidmat Fred.
Bukan Manchester City sepertimana yang digembar-gemburkan pada awalnya tetapi tawaran
terhadap Fred datang dari United yang ketika itu dibawah kendalian Jose
Mourinho.
Tanda harga sebanyak £52 juta
yang diletakkan Shakhtar menjadi penyebab utama mengapa City menarik diri
meskipun mereka pernah berurusan dengan kelab Ukraine itu ketika menandatangani
Fernandinho dan Elano. Kini Fred meninggalkan Shakhtar dengan sepuluh medal
kejuaraan dimana tiga daripadanya adalah medal kejuaraan Liga Perdana Ukraine.
Catatan itu sebenarnya hampir
menyamai pencapaian Fernandinho yang berjaya memenangi 13 medal kejuaraan dalam
tempoh lapan musim beliau menyarung jersi Shakhtar. Selaku successor Fernandinho di Kharkiv, sudah tentu Mircea Lucescu ketika
itu mahukan seorang pemain yang mampu mengisi kekosongan ditinggalkan pemain
Manchester City itu di bahagian tengah skuadnya.
Jadi tidak hairanlah juga
mengapa corak permainan Fred seringkali dibandingkan dengan Fernandinho.
Bagaimanapun Lucescu sendiri berpendapat bahawa Fred merupakan pemain tengah
yang lebih complete berbanding
Fernandinho kerana kebolehannya dalam melepasi kekangan lawan atau ketika
melakukan key passes terus kepada
rakan di bahagian hadapan.
Dari lapan penampilannya di
Liga Juara-Juara musim 2017/18, Fred berhasil melakukan purata 2.9 gelecekan
per perlawanan berbanding Fernandinho (yang melakukan 0.9 per perlawanan).
Catatan ini juga meletakkan Fred di tangga ke-18 dalam senarai pemain yang
paling kerap melakukan dribble dalam
saingan Liga Juara-Juara musim tersebut.
Penutup
Kehadiran Fred musim lalu
pada mulanya diharap mampu menjadikan sektor tengah United lebik kompak. Fred
adalah tipikal pemain tengah yang diperlukan United tetapi malangnya beliau
bergelut dalam usahanya menyesuaikan diri dengan pasukan baharu dan corak
permainan bolasepak di England. Gambaran awal bagaimanapun tidak menjadi
kenyataan kerana potensi sebenar Fred terus tenggelam di sebalik kemelut yang
melanda Mourinho di penghujung era beliau selaku pengendali di Old Trafford.
Kedatangan Solskjaer selepas
itu turut tidak banyak membantu perkembangan karier Fred bersama United
hinggalah malang menimpa Pogba yang menyaksikan beliau tersisih selama dua
bulan akibat kecederaan pergelangan kaki. Kehilangan Pogba pada mulanya sangat
dibimbangi tetapi mujurlah Fred mula menemui sisi terbaik dalam permainannya.
Apa yang anda lihat sekarang ialah Fred yang sangat berbeza berbanding fasa
awal kehadirannya di Old Trafford.
Tatkala tahap keyakinan dalam
diri Fred mula meningkat dari satu perlawanan ke satu perlawanan,
penyokong-penyokong United pula akhirnya dapat melihat prestasi seorang pemain
tengah yang selayaknya United tandatangani. Sangat menyenangkan bila melihat
seorang pemain yang pada awalnya berdepan kesukaran kini sibuk menikmati minit
permainan di atas padang. Semoga Fred akan terus menemui sisi terbaik dalam
permainannya dan semoga peningkatan prestasi beliau akan membuatkan kita terlupa
bahawa United kini bermain tanpa Paul Pogba. Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan