Selepas tewas kepada
Bournemouth minggu lalu, Manchester United kembali meraih kemenangan sekaligus
memperbaiki kedudukan mereka dalam carta liga. Kemenangan (3-1) yang dilakar
mereka ke atas Brighton & Hove Albion ini sangat penting dalam memastikan
United tidak terus ketinggalan terlalu jauh dari kelompok empat teratas liga.
Selepas mengesahkan kemaraan mereka di pusingan kalah mati Liga Europa ketika
membenam Partizan Belgrade dua hari sebelumnya, kemenangan ke atas Brighton
pula melonjakkan kembali kedudukan United di tangga ketujuh carta liga.
Apa yang menariknya ialah,
aksi menentang Brighton juga menjadi pentas buat beberapa pemain muda
memperagakan aksi mereka dan paling mencuri tumpuan ialah kelibat Brandon
Williams di posisi bek kiri. Ketiadaan Ashley Young yang menjalani
penggantungan kerana memungut mata mandatori akibat layangan kad kuning membolehkan Williams melakukan
penampilan ketiganya untuk United dalam saingan liga musim ini selepas kali
pertama diturunkan Solskjaer ketika berdepan Liverpool dan kedua ketika
berdepan Bournemouth.
Penampilan
Pertama
Williams melakukan penampilan
pertama untuk kesebelasan United ketika berdepan Rochdale dalam kempen Piala
Liga (Carabao Cup) dan sejak itu beliau kekal dalam skuad senior meskipun rakan
seangkatannya seperti Tahith Chong dan Angel Gomes dihantar kembali ke skuad
remaja. Peningkatan prestasi yang ditunjukkan Williams ini sebenarnya sangat
drastik memandangkan beliau sebenarnya tidak tersenarai dalam skuad yang dibawa
Solskjaer ketika kempen pra musim United.
Williams tidak perlu menunggu
lama untuk mencuri perhatian Solskjaer dan peluang beraksi menentang Rochdale
digunakan beliau untuk memperagakan bakatnya. Dalam perlawanan itu, beliau
diturunkan di separuh masa kedua menggantikan Phil Jones, satu perubahan
taktikal yang cuba dilakukan Solskjaer dalam perlawanan itu bagi membolehkan
Andreas Perreira bergerak ketengah dan jauh ke atas dalam misi menekan benteng
pertahanan lawan.
Aksi menentang Rochdale
merupakan penampilan pertama Williams untuk skuad senior tetapi kesan sebenar
yang beliau berikan menerusi penampilannya di atas padang ialah ketika United
berdepan AZ Alkmaar dalam saingan Liga Europa. Secara keseluruhannya, United
memang tidak beraksi dengan baik ketika berdepan Alkmaar, malah penampilan mereka
di padang sintetik Cars Jeans Stadium boleh dilabel sebagai antara penampilan
terburuk mereka musim ini meskipun United pulang ke England dengan satu mata.
Namun begitu tatkala
rakan-rakan sepasukan yang lain beraksi di bawah par, Williams pula `mungkin’
satu-satunya pemain United paling cemerlang di Cars Jeans Stadium. Sepanjang
perlawanan, beliau tampil dengan begitu tenang mengawal sektor kiri pertahanan
United meskipun itu merupakan aksi pertamanya di pentas Eropah. Menurut catatan
WhoScored, sepanjang perlawanan beliau melakukan tiga tackle bersih, satu intercept,
menang dua perebutan bola tinggi dan melakukan dua clearance, manakala peratusan ketepatan hantaran yang dilakukannya
pula mencapai angka 82%.
Ketenangan beliau di benteng
pertahanan khususnya dalam mengawal sektor kiri pertahanan United ketika
berdepan AZ Alkmaar menyaksikan Williams terus diberikan kepercayaan oleh
Solskjaer untuk diturunkan selama 90 minit ketika United berdepan FK Partizan
di Belgrade. Kepercayaan terhadap potensi beliau sekali lagi diterjemahkan
Solskjaer apabila pengendali itu menurunkan Williams selama 90 minit ketika
United menyingkirkan Chelsea dari saingan Piala Liga di Stamford Bridge pada 31
Oktober lalu.
Kelebihan
Faktor utama yang menjadi
nilai tambah kepada corak permainan Williams ialah kemampuan beliau ketika
melakukan gerakan-gerakan ke kubu lawan dalam situasi offensive. Ketika Luke Shaw sering dikritik kerana kemampuan offensive beliau yang dikatakan agak
kurang bagus, Williams pula lebih berani untuk tampil menyerang dan melakukan
gerakan-gerakan overlap. Atas sebab
itulah mengapa Samuel Luckhurst (yang juga merupakan jurnalis dari Manchester
Evening News) melabelkan Williams sebagai bek kiri yang lebih complete berbanding Shaw ataupun Young.
Selain itu kelebihan yang
dimiliki Williams ialah kemampuan beliau bermain di dua posisi berbeza, iaitu
sebagai bek kiri dan juga kanan. Apa yang menariknya, bek kanan merupakan
posisi asal Williams, dan di Stamford Bridge beliau menghabiskan baki 10 minit
aksi Piala Liga menentang Chelsea di posisi bek kanan selepas Young di bawa
masuk menggantikan Marcus Rashford. Fleksibiliti Williams yang boleh bermain
lebih dari satu posisi merupakan bonus tambahan untuk Solskjaer, terutamanya
ketika beliau mahu melakukan pertukaran taktikal dalam satu-satu perlawanan.
Harapan
Menoleh ke belakang dan
melihat deretan pemain-pemain hebat yang pernah menguasai sektor kiri
pertahanan United seperti Roger Byrne, Tony Dunne, Arthur Albiston, Denis Irwin
dan Patrice Evra, harapan sememangnya cukup tinggi untuk kita melihat seorang
lagi sensasi baharu dilahirkan bagi mengisi posisi tersebut. Kecederaan demi
kecederaan yang dialami Luke Shaw nampaknya menganggu penampilan beliau di Old
Trafford meskipun pada mulanya bekas pemain Southampton ini digembar-gemburkan
sebagai penerusi legasi Evra.
Sejak persaraan Evra, Marcos
Rojo, Daley Blind, Ashley Young dan Luke Shaw antara pemain yang silih berganti
mengisi posisi selaku bek kiri. Selain
itu Tyler Blackett, Cameron Bothwick-Jackson dan Joe Riley pula antara bakat
dari akademi yang pernah dicuba untuk mengisi posisi tersebut namun semuanya
gagal memenuhi jangkaan. Kini di bawah regim Solskjaer, muncul pula nama
Brandon Williams ditengah-tengah keobsesan beliau dalam mengetengahkan
bakat-bakat muda dalam skuad kendaliannya.
Segunung harapan untuk kita
melihat Williams mampu mengikut jejak Scott McTominay selaku antara pemain
sandaran utama United ketika ini. Sejak melakukan debut untuk United dalam saingan liga pada 7 Mei 2017, McTominay
tidak lagi menoleh kebelakang dan kini antara tulang belakang di sektor tengah
barisan The Red Devils. Pada 25
Oktober lalu, Williams diberikan pujian melambung oleh Solskjaer menerusi
`keberanian’ yang ditunjukkan beliau di Beograd selepas United meraih tiga mata
ketika berdepan FK Partizan dalam kempen Liga Europa.
Di sebalik kritikan Solskjaer
terhadap penampilan keseluruhan skuadnya di Beograd, tetap ada pengecualian
untuk anak muda bernama Brandon Williams ini. “Sikapnya fantastis. Dia hebat
ketika bertahan dan kuat ketika di udara. Dia membolehkan kami mendapatkan
penalti menerusi keberaniannya membawa bola kedepan. Budak ini tiada rasa takut
dan membuatkan kami memenangi perlawanan ini. Dia adalah man of the match dan saya fikir dia sungguh hebat”, kata Solskjaer
selepas tamat perlawanan.
Penutup
Kemunculan beberapa pemain
muda seperti Mason Greenwood, James Garner dan Brandon Williams antara sisi
positif yang diberikan Solskjaer meskipun prestasi United setakat ini tidak
menggembirakan majoriti penyokong-penyokong mereka. Dengan penampilan kian
menyakinkan Scott McTominay serta pembelian bijak yang dilakukan Solskjaer ke
atas pemain-pemain muda seperti Aaron Wan-Bissaka dan Daniel James, beliau
nampaknya memberikan isyarat jelas bahawa United sedang dibina berteraskan
potensi bakat-bakat muda.
Kecenderungan Solskjaer
terhadap bakat-bakat muda sekali lagi dipamerkan beliau ketika berdepan
Brighton kelmarin. Purata umur skuad yang diturunkan Solskjaer ketika berdepan
Brighton ialah 23 tahun dan 350 hari, sekaligus membolehkan mereka muncul skuad
termuda di Liga Perdana musim ini. Melihat kepada pendekatan yang dilakukan
Solskjaer, saya percaya pemain-pemain muda seperti Williams, McTominay,
Wan-Bissaka, James, Greenwood dan Rashford bakal memainkan peranan yang sangat
penting untuk United buat tempoh yang panjang. Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan