08 November 2019

WAJARKAH UNITED MENIRU PENDEKATAN BAYERN MUNICH?



Kesabaran pihak pengurusan Bayern Munich terhadap Niko Kovac akhirnya sampai kekemuncak. Sehari selepas diaibkan Eintracht Frankfurt, Kovac akhirnya ditunjukkan pintu keluar meskipun musim lalu beliau berjaya mengemudi Bayern menjulang kejuaraan Bundesliga, DFB Pokal dan DFL Supercup. Kekalahan (1-5) di tangan Frankfurt itu juga merupakan kekalahan terbesar yang dialami Bayern di Bundesliga dalam tempoh sedekad lantas memaksa satu keputusan drastik diambil.

Bayern muncul kelab besar Eropah pertama yang memecat pengurus mereka musim ini berikutan prestasi hambar meskipun musim 2019/20 belum lagi memasuki fasa pertengahan. Prestasi hambar yang dipamerkan Bayern selain hubungan buruknya dengan beberapa pemain senior menjadi penyebab utama mengapa Kovac dipecat, dan saya yakin beliau tidak akan bersendirian kerana akan ada beberapa lagi rakan sejawat beliau di sekitar Eropah yang bakal menerima nasib sama.

Kedudukan Ernesto Valverde di Nou Camp juga diberitakan sedang goyah kerana ramai pihak yang kurang senang dengan taktikal permainan diterapkan beliau meskipun Barca adalah peneraju carta La Liga. Suasana di kota Paris juga nampaknya kurang harmoni kerana Thomas Tuchel sudah merasakan bahangnya selepas PSG tewas mengejut (1-2) kepada Dijon. Kini sudah terdengar cerita-cerita kurang senang tentang penampilan gergasi Perancis itu sejak kehadiran Tuchel di Parc des Princes musim lalu.

Di Sepanyol, Real Madrid masih memberikan tekanan kepada Barcelona selaku pendahulu liga tetapi saya tidak pasti adakah Florentino Perez mampu bersabar jika Real di bawah kendalian Zinedine Zidane tersingkir awal dalam saingan Liga Juara-Juara musim ini? Nasib Unai Emery dan Mauricio Pochettino di England juga sedang hangat dibahaskan berikutan prestasi hambar yang dipamerkan barisan Arsenal dan Spurs dalam saingan liga.

Senasib Dengan Mourinho

Berbanding situasi Ole Gunnar Solskjaer di Old Trafford, prestasi Kovac di Allianz Arena sebenarnya tidaklah begitu buruk.  Musim lalu tiga kejuaraan domestik berjaya beliau berikan untuk Bayern manakala kedudukan mereka dalam carta liga musim ini masih dalam kelompok empat teratas. Di Bundesliga, Bayern berada dikedudukan keempat selepas mereka memungut 18 mata dari 10 perlawanan, hanya empat mata di belakang Borussia Monchengladbach selaku pendahulu liga.

Tiga kejuaraan domestik yang berjaya dimenangi Bayern musim lalu nampaknya tetap gagal menyelamatkan kerjaya Kovac di Allianz Arena, kerana Ulli Hoeness (presiden), Karl Heinz Rummenigge (pengerusi) dan Hassan Salihamidzic (pengarah sukan) lebih melihat konsistensi dan gaya permainan Bayern yang dianggap tidak sesuai dengan falsafah bolasepak kelab sebagai penyebab utama mengapa mereka menamatkan kontrak pengendali warga Croatia itu lebih awal.

Apa yang berlaku kepada Kovac ini sebenarnya hampir sama dengan situasi dialami Jose Mourinho sebelum beliau dipecat pada Disember tahun lalu. Isu pemecatan Kovac bukan sahaja berkisar tentang konsistensi dan falsafah bolsepak, tetapi pemecatan beliau turut disumbang faktor hubungan buruknya dengan beberapa pemain senior Bayern. Musim lalu Franck Ribery, Arjen Robben dan Matt Hummels antara pemain senior yang diberitakan sanggup melakukan apa sahaja bagi memastikan Kovac `ditendang keluar’.

Mentaliti Kelab Besar

Siapalah Ed Woodward jika mahu dibandingkan dengan Ulli Hoeness dan Karl Heinz-Rummenigge. Berbanding Woodward yang dilabel sebagai `tidak tahu apa-apa tentang bolasepak’, Bayern pula dipimpin oleh dua sosok legenda bolasepak Jerman. Hoeness dan Rummenigge ketika era mereka sebagai pemain adalah pemenang medal kejuaraan Piala Dunia dan juga Piala Eropah untuk Jerman Barat. Di peringkat kelab, mereka juga sudah memenangi kesemua kejohanan utama domestik dan juga Eropah bersama Bayern.

Selaku bekas pemain yang sudah memenangi segala-galanya untuk negara dan juga kelab, maka tidak hairanlah mengapa Hoeness serta Rummenigge sangat taksub dengan kesuksesan. Tanpa kompromi, mereka akan mengambil tindakan drastik dengan memecat pengurus jika mereka mendapati penampilan pasukan berada di bawah standard yang ditetapkan. Louis Van Gaal, Jurgen Klinsmann, Carlo Ancelotti dan Kovac antara yang menjadi mangsa kerana mereka gagal memuaskan hati dua legenda bolasepak Jerman ini.

Mungkin ada di kalangan anda berpendapat bahawa tindakan Bayern memecat Kovac dilakukan secara terburu-buru memandangkan musim saingan kompetitif 2019/20 masih lagi panjang. Bagaimanapun tindakan ini sebenarnya lebih cenderung kepada usaha mereka memelihara kestabilan kelab serta mengekalkan identiti Bayern selaku antara kuasa besar di Eropah. Selaku kelab besar, Bayern perlu mengekalkan sejarah gemilang mereka dan itu antara tugas Hoeness serta Rummenigge memastikan agar The Hollywood tidak merosot terlalu jauh.

Tiru Cara Bayern?

Pendekatan yang sering digunakan oleh kelab-kelab besar Eropah seperti Bayern, Real Madrid, Paris St Germain atau Barcelona ketika kesebelasan mereka berdepan prestasi buruk ialah dengan melakukan penggantian pengurus. Cara ini merupakan cara paling cepat dan praktikal dalam usaha mereka mengembalikan semula prestasi pasukan ke tahap lebih baik, atau menyuntik idea lebih segar dalam corak permainan kesebelasan mereka menerusi kehadiran pengganti yang difikirkan lebih kredibel dari pengendali sebelumnya.

Melihat kepada prestasi semasa di Old Trafford pula, saya percaya ramai penyokong-penyokong Manchester United mahukan kelab melakukan perubahan segera bagi menyelamatkan The Red Devils dari terus terjerumus ke posisi lebih bawah dalam carta liga. Melihat United berada dalam zon penyingkiran adalah situasai paling teruk yang tidak pernah dibayangkan, jadi cara paling tepat dan mudah dari pandangan penyokong adalah menggantikan Solskjaer dengan pengurus baharu sepertimana dilakukan Bayern keatas Kovac.

Meskipun United menang tiga perlawanan berturut-turut di gelanggang lawan ketika mereka berdepan FK Partizan, Norwich City dan Chelsea, tetapi kekalahan kepada Bournemouth di Dean Court akhirnya meletakkan kembali barisan kendalian Solskjaer kepada realiti sebenar. Barisan Solskjaer `miskin’ kreativiti dalam usaha mereka memecah blok pertahanan rendah lawan, isu terbesar yang masih belum mampu diselesaikan Solskjaer di sebalik tindakan beliau melepaskan Romelu Lukaku ke Inter Milan.

Musim lalu, ketika fasa awal kedatangan Solskjaer di Old Trafford, beliau berjaya menjadikan permainan United menarik untuk ditonton menerusi pendekatan penguasaan bola dan build up play dari bahagian tengah tanpa terlalu bergantung kepada serang balas pantas. Kemenangan demi kemenangan yang diraih United ketika itu selain kecenderungan beliau mengetengahkan bakat-bakat muda dari akademi menyebabkan nama Solskjaer mula didendangkan sebagai `Jelmaan Fergie’.

Musim ini Solskjaer bermula dengan baik selepas United menang besar pada perlawanan pertama liga ketika berdepan Chelsea, tetapi selepas itu segalanya tampak seperti tidak lagi menyebelahi warga Norway itu. 13 mata dari 11 perlawanan adalah satu permulaan terburuk yang dilakukan United dalam tempoh 33 tahun. Bagi golongan penyokong yang mahu melihat perubahan segera, pemecatan Solskjaer adalah berita yang sememangnya mereka nanti-nantikan.

Bagaimanapun hasrat mereka yang mahu agar Solskjaer dipecat mungkin tidak akan kesampaian, sekurang-kurangnya dalam waktu terdekat. Berbanding David Moyes, Louis Van Gaal dan Jose Mourinho, Solskjaer nampaknya masih lagi menerima sokongan dari pihak pengurusan United meskipun prestasi kesebelasan kendalian beliau di atas padang mengundang kritikan dari pelbagai sudut. Malah beliau juga sudah dijanjikan dengan dana tambahan untuk mendapatkan pemain-pemain baharu pada bursa perpindahan musim sejuk nanti.

Penutup

Selepas persaraan Fergie, Old Trafford sudah menyaksikan era empat pengendali berbeza dan itu bermakna, anda juga sudah melihat empat falsafah bolasepak berbeza diperagakan di Theatre of Dreams. Bukan itu sahaja dalam tempoh enam tahun sejak persaraan Fergie, kelab juga sudah membelanjakan lebih £600 juta untuk membeli pemain-pemain baharu tetapi sehingga kini tetap gagal mengubah United kepada kesebelasan yang digeruni baik di peringkat domestik mahupun Eropah sepertimana ketika era Fergie.

Kita tidak pasti apa yang akan berlaku jika United tewas lagi dalam dua atau tiga perlawanan liga mereka selepas ini. Buat masa ini nasib Solskjaer akan ditentukan oleh masa dan keadaan kerana kesabaran pihak pengurusan mungkin akan tiba kekemuncaknya jika prestasi kesebelasan kendalian beliau masih sama sepertimana ketika mereka tewas kepada Bournemouth, Newcastle United, West Ham dan Crystal Palace. Atau adakah Woodward akan menunggu hingga United terjerumus ke zon penyingkiran sebelum satu langkah lebih drastik diambil? Glory Glory Manchester United!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan