Ada momen yang sangat menarik
dalam aksi antara Arsenal dan Crystal Palace di Stadium Emirates pada 28
Oktober lalu. Dua keputusan VAR yang menyaksikan layangan kad kuning kepada
Wilfried Zaha ditarik balik dan Palace kemudiannya dihadiahkan sepakan penalti.
Manakala `gol’ penghujung perlawanan Sokratis Papastathopoulos yang dibatalkan pengadil
(selepas merujuk kepada VAR) antara elemen dramatik yang menghiasi aksi
tersebut.
Selepas mendahului lawan 2-0
dalam tempoh hanya sepuluh minit pertama permainan, keputusan seri itu tentunya
bukanlah keputusan yang dibayangkan oleh para penyokong The Gunners. Apatah lagi seminggu sebelumnya Arsenal tewas kepada
Sheffield United dalam aksi yang dilangsungkan di gelanggang lawan. Kekecewaan para
Gooners itu kemudiannya dilampiaskan
mereka kepada Granit Xhaka, saat kapten Arsenal itu dikeluarkan diminit ke-61.
Ketika Xhaka berjalan keluar
padang, beliau di-boo penyokong-penyokong Arsenal lantas memancing emosi pemain
antarabangsa Switzerland itu. Respon marah dan memperolok penyokong-penyokong
yang dilakukan Xhaka itu akhirnya mendapat teguran dari Unai Emery selepas
tamat perlawanan. Ejekan di Stadium Emirates itu bukanlah yang pertama di
terima Xhaka kerana ketika berdepan Aston Villa sebulan sebelum itu, Emery juga
terpaksa bertindak mempertahankan kaptennya itu dari serangan penyokong sendiri.
Di Arsenal, Xhaka antara
pemain yang sering dijadikan sasaran cemuhan penyokong-penyokong mereka
sendiri, tetapi di Old Trafford juga apa kurangnya. Jika penyokong-penyokong
Arsenal tidak gembira dengan prestasi kapten mereka, Ashley Young juga turut
menerima nasib yang sama di Old Trafford. Cacian dan makian adalah resam yang
terpaksa dihadapi pemain-pemain bolasepak, jadi penting untuk mereka mengawal
emosi agar tidak terjebak dengan provokasi yang dilakukan oleh penyokong
sendiri mahupun penyokong lawan.
Xhaka dan Young adalah kapten
pasukan masing-masing, cuma bezanya pemilihan bekas pemain Aston Villa untuk
memakain armband ketua pasukan
dilakukan menerusi undian. Jika anda mahu belajar bagaimana caranya `menikmati’
segala cacian dan kejian, Young mungkin boleh dijadikan sebagai mentor terbaik.
Ketika tindakan Xhaka mengundang kritikan keras dari Nigel Winterburn dan Ian
Wright yang juga merupakan legenda Arsenal, Young pula melayan setiap cacian
dan kejian dengan cara yang cukup santai.
Keberadaan Young di bilik
persalinan dikatakan sangat menghiburkan kerana sisi humorist yang ada dalam diri beliau. Untuk seorang kapten yang
dijadikan `objek kebencian’ oleh penyokong-penyokong sendiri, keupayaan beliau
untuk kekal fokus, santai dan memberikan motivasi kepada rakan-rakan sepasukan
yang lain sama ada di atas padang mahupun ketika di bilik persalinan sebenarnya
sesuatu yang sangat mengagumkan. Untuk itu sebagai seorang kapten, Young
berjaya melakukan tugasnya dengan baik.
Rahsia
Young
Sebagai pemain yang pernah
berperanan selaku seorang winger,
Young tidaklah sehebat David Beckham, Ryan Giggs atau Cristiano Ronaldo.
Selepas bertukar di posisi fullback
pula, kemampuannya masih jauh jika mahu dibandingkan dengan Dennis Irwin,
Patrice Evra atau Gary Neville sekalipun. Manakala kekerapan beliau melakukan
hantaran-hantaran jauh pula dikatakan tidak lagi sesuai dengan tuntutan
bolasepak moden.
Atas semua itu, sangat
menghairankan apabila memikirkan kemampuan beliau untuk terus bertahan di Old
Trafford tatkala pemain-pemain kesayangan penyokong seperti Ander Herrera, Zlatan
Ibrahimovic, Daley Blind, Shinji Kagawa
dan Henrikh Mkhitaryan terpaksa angkat kaki lebih awal. Mungkin kata-kata yang
pernah keluar dari mulut Louis Van Gaal tatkalah beliau diwawancara Inside
Football pada 2015 boleh meredakan sedikit kehairanan anda.
“Saya fikir Young sangat
sesuai dengan saya. Dia antara pemain yang mampu melaksanakan segala arahan
saya dengan baik”, kata Van Gaal. Nada hampir sama juga pernah diutarakan Gary
Neville ketika beliau ditanya mengapa kelibat Young begitu penting di mata
Solskjaer. “Ketika ramai yang mahu Young berhenti dari bermain, dia sebaliknya
sering sahaja diturunkan bermain. Sama ada sebagai bek kiri, bek kanan, bek
kiri lagi dan bek kanan lagi. Young akan memberikan segalanya bila diberikan
peluang”, kata Gary.
Unsung Hero
Masih ingatkah anda dengan
aksi Manchester Derby pada 8 April 2018 yang dilangsungkan di Stadium Etihad? Sebelum
aksi Manchester Derby itu berlangsung, skuad The Citizen pada mulanya sudah berkira-kira mahu mengesahkan
kejuaraan liga mereka di hadapan penyokong-penyokong sendiri. Tiada tempat dan lawan
paling ideal untuk melakukannya, selain menewaskan United yang juga merupakan
seteru setempat di hadapan penyokong mereka sendiri.
Apa yang berlaku kemudian
adalah sebaliknya, kerana barisan kendalian Jose Mourinho berjaya melaksanakan
misi mustahil mereka di Stadium Etihad dengan cemerlang. Dalam perlawanan itu,
United ketinggalan dua gol dalam tempoh lima minit menerusi jaringan yang
dihasilkan oleh Vincent Kompany (minit ke-25) dan Ilkay Gundogan (minit ke-30).
Di separuh masa kedua keajaiban kemudiannya datang apabila United bangkit memadam
segala kemustahilan dan berjaya menjaringkan tiga gol dalam tempoh 16 minit.
Gol jaringan Paul Pogba
(minit ke-53 dan 55) serta Chris Smalling (minit ke-69) akhir memberikan United
tiga mata di Etihad sekaligus menunda pesta kejuaraan liga kelima City buat
sementara waktu. Selepas tamat perlawanan, Pogba muncul pemain United paling dominan
menerusi dua gol yang dihasilkannya, selain prestasi terpuji yang dipamerkan
beliau di bahagian tengah.
Dari segi taktikal pula, kredit
juga wajar diberikan kepada Mourinho, kerana strategi permainan beliau akhirnya
berjaya memerangkap City meskipun segala statistik memihak kepada skuad
bimbingan Pep Guardiola itu (kecuali jumlah jaringan gol). Bagaimanapun ada
nama yang tidak didendang di sebalik kejayaan United di Etihad. Penampilannya
tidaklah sehebat Pogba, tetapi peranan dimainkan beliau sebenarnya sangat
signifikan dalam perlawanan itu.
Wira tidak didendang dalam
perlawanan itu adalah Ashley Young, pemain paling tua dalam kesebelasan United
di Etihad selain Antonio Valencia. Rahsia sebenar bagaimana United mampu mengubah
defisit dua gol yang dimiliki mereka kepada kemenangan di Etihad adalah kata-kata
motivasi Young kepada rakan-rakan sepasukan di bilik persalinan yang akhirnya mencetuskan
kebangkitan The Red Devils di separuh
masa kedua.
Inilah antara kata-kata
keramat Young yang dipetik dari laporan The
Times, “Tunjukkanlah kebanggaan kamu di atas padang kerana kamu bermain
untuk Manchester United. Sebagai pemain kamu juga bertanggungjawab kepada
penyokong dan juga kelab. Adakah kamu sanggup membiarkan penyokong-penyokong
lawan memalukan kamu selepas perlawanan? Jangan biarkan itu berlaku kerana kamu
adalah Manchester United”.
Kata-kata itu mungkin agak
ringkas dan sederhana, tetapi kata-kata itulah yang memotivasikan rakan-rakan
sepasukan, lantas membolehkan United bangkit mengejar dari belakang di babak
kedua. Paling menarik dalam sebuah wawancara dengan media, Ander Herrera
mengatakan bahawa taktikal adalah aspek yang paling kurang disentuh selepas
tamat perlawanan, tetapi kebangkitan United pada baki 45 minit selepas itu sebenarnya
tercetus dari bilik persalinan.
Belajarlah
Dari Young
Young sudah bersama kelab
sejak era Sir Alex Ferguson, David Moyes, Louis Van Gaal, Jose Mourinho dan kini
Ole Gunnar Solskjaer. Dalam tempoh tersebut bukan sedkit pemain berbakat yang
datang dan kemudiannya pergi, tetapi selepas lapan tahun nama Ashley Young
masih kekal dalam skuad utama United. Anda boleh katakan apa sahaja tentang
beliau, tetapi akhirnya anda juga terpaksa mengakui bahawa kuasa untuk
menentukan siapa yang patut tersenarai dalam kesebelasan utama United berada di
tangan pengurus.
Bakat beliau tidaklah setanding
legenda-legenda United yang lain tetapi sebagai insan, saya akui bahawa Young
adalah seorang individu yang hebat. Di sebalik segala kejian dan cacian yang
diterimanya, Young memilih untuk tidak bertindak balas. Tetapi beliau membalas
segala cercaan tersebut dengan kesungguhan di padang latihan. Dan kerana
kesungguhan beliaulah, Young masih menjadi pilihan dalam kesebelasan United sejak
era Fergie hinggalah ke era Solskjaer.
Sebagai kapten, Young perlu
menunjukkan contoh terbaik meskipun dirinya dihujani tekanan demi tekanan oleh
penyokong, aspek yang masih kekurangan dalam diri Granit Xhaka. Tidak salah juga
sekiranya kapten Arsenal itu membuat satu panggilan kepada Young untuk
bertanyakan apakah rahsia sebenar rakan sejawatnya itu kekal tenang dan
menjadikan segala cercaan sebagai satu perkara yang perlu `dinikmati’ oleh
seorang pemain profesional. Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan