Tewas
kepada Liverpool, Sergio Romero kemalangan, Marcus Rashford pula bakal
diketepikan buat tempoh yang lama kerana kecederaan dan kalah dengan cara yang
sangat memalukan kepada Burnley di gelanggang sendiri. Nasib buruk nampaknya
datang bertalu-talu menimpa Manchester United meskipun alaf baharu 2020 belum
berusia sebulan. Dari semua itu, khabar tentang kecederaan Rashford yang
menyaksikan beliau bakal terlepas aksi selama dua bulan benar-benar menusuk
jantung penyokong-penyokong United di seluruh dunia.
Sudahlah
kelab kehilangan sentuhan Paul Pogba dan Scott McTominay di bahagian tengah,
kini Solskjaer terpaksa berdepan pula satu lagi masalah kecederaan panjang yang
menimpa Rashford, penyumbang utama gol-gol untuk United musim ini. Sekiranya
benar Rashford akan terlepas aksi selama enam minggu sepertimana yang dikatakan
Solskjaer, ini bermakna penyerang England itu tidak akan bermain
sekurang-kurangnya 15 perlawanan untuk United.
Bulan
Februari hingga April merupakan fasa yang sangat penting untuk United. Tatkala
harapan untuk menamatkan saingan musim ini di kelompok empat teratas masih
menyala, United juga bakal berdepan dua perlawanan timbal balik Liga Europa
menentang Club Brugge pada bulan Februari. Di samping itu, United juga masih
berada dalam persaingan dua kejohanan kalah mati domestik (Piala FA dan Piala Liga),
jadi ketiadaan Rashford bakal memberikan kesan besar kepada misi United pada
baki saingan musim ini.
Peranan
Rashford di bahagian hadapan skuad United musim ini memang sangat penting.
Mungkin juga tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa Solskjaer sangat
bergantung kepada sentuhan beliau untuk menembusi pintu gol lawan. Setakat ini
Rashford sudah menjaringkan 19 gol untuk United dalam semua peringkat
kejohanan. Tidak cukup dengan itu, beliau juga sudah mencipta lima bantuan gol,
sekaligus membuktikan betapa besarnya sumbangan pemain itu dalam survival
United musim ini.
Apakah
Solusi Solskjaer?
Solskjaer
tentunya individu paling resah ketika ini. Akhirnya keputusan beliau menurunkan
Rashford ketika aksi ulangan pusingan ketiga Piala FA menentang Wolverhampton
memakan diri. Siapa lagi pemain hadapan yang dimiliki Solskjaer untuk beliau
harapkan bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Rashford selain Anthony Martial
dan Mason Greenwood. Bagaimanapun dua pemain ini (Martial dan Greenwood) juga
sebenarnya masih memeningkan kepala Solskjaer.
Martial
kerap `hilang’ ketika sentuhannya benar-benar ditagih. Lihat apa yang berlaku
ketika aksi menentang Liverpool 20 Januari lalu. Juga apa yang berlaku kepada
Martial ketika United tewas 0-2 kepada Burnley minggu lalu. Manakala Greenwood
pula masih terlalu muda untuk memikul beban selaku penggempur utama. Lumrah
buat pemain muda seperti Greenwood yang kerap berdepan isu konsistensi, jadi
meletakkan beban serta harapan di bahu beliau tetap satu perjudian yang besar.
Untuk itu, apa lagi pilihan yang ada di tangan Solskjaer bagi mengatasi masalah
ini?
Sebenarnya
ada dua lagi pemain yang boleh beraksi di posisi Rashford. Pemain yang saya
maksudkan ialah Tahith Chong dan Angel Gomes. Bagaimanapun berbanding
Greenwood, penampilan Chong dan Gomes tampak masih belum menyakinkan selepas
beberapa peluang diberikan oleh Solskjaer untuk dua pemain muda ini menikmati
minit permainan bersama skuad utama. Lupakan tentang Alexis Sanchez kerana
tiada klausa dalam perjanjian pinjaman untuk membolehkan kelab memanggil beliau
kembali ke Old Trafford pada pertengahan musim.
Dapatkan
Penyerang Baharu
Hanya
satu solusi yang cepat dan tepat boleh dilakukan Solskjaer bagi mengatasi
masalahnya, iaitu dapatkan pemain baharu ketika tempoh bursa perpindahan pemain
pertengahan musim masih lagi tersisa. Untuk itu, sudah muncul beberapa nama
yang dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford bagi mengatasi masalah
ketumpulan jentera serangan The Red Devils berikutan ketiadaan Rashford.
Mereka yang dimaksudkan ialah Edinson Cavani, Moussa Dembele serta Krzysztof
Piatek.
Leonardo
yang juga merupakan Pengarah Sukan Paris St Germain mengesahkan bahawa
penyerang antarabangsa Uruguay itu sudah menyatakan keinginan beliau untuk
berhijrah dari Stade des Princes pada Januari ini. Bagaimanapun jika United
serius mahu mendapatkan tandatangan Cavani, mereka nampaknya terpaksa bersaing
dengan Atletico Madrid, kelab yang disebut-sebut sebagai pilihan utama
mendapatkah khidmat penggempur Uruguay itu.
Bagaimana
pula dengan Piatek? Sama seperti Cavani, Piatek juga tidak pernah di rumours-kan
berada dalam radar United. Jika Solskjaer tiba-tiba berminat mendapatkan
khidmat penyerang AC Milan itu, United nampaknya terpaksa bersaing dengan
seteru domestik mereka iaitu Tottenham Hotspurs. Jose Mourinho khabarnya sedang
memantau perkembangan Piatek di San Siro dengan penuh teliti. Misi beliau ialah
membawa warga Poland itu ke London bagi mengatasi krisis barisan hadapan
skuadnya berikutan kecederaan dialami Harry Kane.
Jika
bukan Cavani atau Piatek, siapa lagi pilihan realistik yang boleh
ditandatangani Solskjaer Januari ini? Satu-satunya penyerang yang pernah
dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford ialah Moussa Dembele. Jika mahu
dibandingkan statistik jaringan gol antara Cavani, Piatek dan Dembele musim
ini, jelasnya penggempur Lyon itu sewajarnya diletakkan dalam radar buruan
Solskjaer bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Rashford.
Satu-satunya
halangan yang perlu diatasi Solskjaer ialah tandaharga yang diletakkan Lyon
kepada penggempur berusia 23 tahun itu. Lyon khabarnya mahukan £43 juta jika
ada mana-mana kelab yang mahu membawa keluar Dembele dari Groupama Stadium. £43
juta adalah jumlah yang sangat besar untuk dibelanjakan di pertengahan musim,
jadi sepertimana kes Bruno Fernandes, perpindahan Dembele juga nampaknya sukar
direalisasikan.
Jalan
Terakhir
Ketika
tempoh masa bursa perpindahan pertengahan musim semakin menuju ke
penghujungnya, saya tidak nampak akan ada penyerang baharu yang bakal
ditandatangani United. Buat masa ini anggap sajalah berita tentang Cavani,
Piatek atau Dembele cumalah sekadar cakap-cakap `kedai kopi’ yang menjadi tajuk
cerita paling popular untuk penyokong-penyokong United menghabiskan masa santai
mereka di restoran mamak.
Sedikit
petunjuk sudah diberikan Solskjaer selepas aksi menentang Liverpool, iaitu
beliau ada cuba menampung kehilangan Rashford dengan mendapatkan pemain
pinjaman. Cara ini jugalah yang pernah dipraktikkan Sir Alex Ferguson kira-kira
13 tahun lalu ketika beliau meminjam Henrik Larsson selama tiga bulan dari
Helsingborg berikutan masalah kecederaan yang menimpa Wayne Rooney dan Louis
Saha ketika itu.
Jika
Solskjaer berniat meminjam mana-mana pemain, siapakah pemain yang beliau
fikirkan sebagai `pilihan tepat’ untuk menggantikan Rashford buat sementara
waktu. Di Jerman, Paco Alcacer nampaknya sudah tidak betah lagi berada di Signal
Iduna Park berikutan kehadiran Erling Braut Haaland selaku pilihan lebih baik
di barisan serangan Dortmund. Bagaimanapun Paco bukanlah pemain yang `tepat’
seperti diinginkan Solskjaer kerana berbanding Rashford, beliau lebih kepada
baka poacher dalam era bolasepak moden.
Melihat
kepada maneuver United dalam setiap jendela perpindahan, kita akhirnya
mungkin akan melihat Martial serta Greenwood terus menjadi sandaran selaku
penggempur, sementara Rashford menjalani sesi rawatan. Ketika tempoh bursa
perpindahan pertengahan musim cuma bersisa beberapa hari lagi sebelum ditutup, idea
untuk mempromosikan Largie Ramazani ke skuad utama boleh menjadi alternatif
tambahan sekiranya Solskjaer tidak menandatangani mana-mana penyerang baharu
Januari ini. Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan