Selepas tertangguh selama 97
hari berikutan penularan pandemik virus Covid-19, aksi Liga Perdana kembali
bersambung semula dengan aksi pertama berlangsung pada Rabu lalu melibatkan
pertemuan antara Aston Villa menentang Sheffield United dan Manchester City
menentang Arsenal. Bagi Manchester United pula, bersambungnya aksi Liga Perdana
merupakan cabaran besar bagi mereka untuk meneruskan trend positif
selepas mengharungi sebelas perlawanan tanpa kalah sebelum graf peningkatan
mereka terhenti akibat dari penularan pandemik Covid-19 yang mencetuskan panik
di seluruh dunia.
Bagi penyokong United, saya
juga sama seperti anda yang tidak sabar untuk menyaksikan kembali aksi barisan
kendalian Ole Gunnar Solskjaer di atas padang. Kita tertanya-tanya adakah
barisan pemain The Red Devils mampu mengekalkan prestasi mereka selepas
`terkurung’ selama lebih tiga bulan, atau adakah virus Covid-19 yang ditakuti
seluruh dunia turut memberikan kesan kepada penampilan mereka di atas padang? Akhirnya
jawapan kepada persoalan ini telah kita perolehi selepas melihat aksi skuad
kendalian Solskjaer ketika mereka menentang Tottenham Hotspurs di gelanggang
lawan awal pagi Sabtu lalu.
Tarikan Utama
Selain dapat menyaksikan
kembali aksi United selepas lebih tiga bulan saingan liga ditangguhkan, tarikan
utama dalam perlawanan ini tentunya kemungkinan untuk kita menyaksikan duet
Bruno Fernandes dan Paul Pogba buat pertama kali sebagai penggerak jentera
tengah United. Ia tidak berlaku di awal permainan kerana Pogba disenaraikan
Solskjaer di bangku simpanan. Dalam kesebelasan utama pula, Solskjaer
sebaliknya memilih kombinasi Bruno Fernandes, Fred dan Scott McTominay.
Impian untuk menyaksikan
Fernandes dan Pogba bermain bersama buat pertama kali akhirnya tiba juga
apabila bintang antarabangsa Perancis itu menggantikan Fred ketika permainan
berbaki 27 minit sebelum ditamatkan. Sepertimana yang anda tahu, aksi menentang
Spurs ini merupakan penampilan pertama Pogba dalam perlawanan kompetitif sejak beliau
diketepikan akibat kecederaan yang dialaminya pada 26 Disember 2019.
Selepas ketinggalan menerusi
gol jaringan Steven Bergwijn dan menyedari bahawa United perlukan lebih
kreativiti serta visi dalam permainan mereka, Solskjaer akhirnya memberikan
penampilan pertama kepada Pogba buat pertama kali dalam tempoh lebih lima
bulan. Satu keputusan yang tepat dilakukan Solskjaer kerana selepas kemasukan
Pogba, gerakan-gerakan serangan United lebih `hidup’. Menurut catatan Squawka,
Pogba melakukan 18 hantaran tepat sepanjang aksinya di atas padang.
Akhirnya impak kemasukan Pogba
dapat anda lihat menerusi gerakan yang dilakukannya diminit ke-80 hingga United
dihadiahkan sepakan penalti. Fernandes yang ditugaskan untuk mengambil sepakan
tersebut mudah menewaskan Hugo Lloris sekaligus melebarkan rekod tanpa kalah
United kepada 12 perlawanan dalam semua peringkat kejohanan. Gol itu juga
merupakan gol ketiga Fernandes dalam saingan liga selepas beliau menyertai
United pada Januari lalu.
Secara keseluruhannya sejak
musim 2017-18, Fernandes tidak pernah gagal menyempurnakan 18 sepakan penalti yang
beliau ambil dalam saingan domestik mahupun Eropah. Secara keseluruhannya
selama 27 minit di atas padang, Pogba pula memainkan peranannya dengan sangat
berkesan, manakala Fernandes pula terus membuktikan bahawa keputusan kelab menandatanganinya
dari Sporting Lisbon merupakan satu tindakan yang tepat.
Penampilan semula Pogba memang
dinantikan tetapi sebagai seorang pemain kelas dunia, penyokong United pastinya
mengharapkan agar beliau lebih konsisten. Tiada keraguan bahawa Pogba memang
pemain berbakat dan semoga penampilan cemerlang beliau ketika berdepan Spurs
akan berterusan dari minggu ke minggu. Bersama Fernandes di bahagian tengah,
ini adalah masa yang tepat untuk Pogba menunjukkan karakter sebenar beliau bagi
membantu United mencapai misi menamatkan saingan liga di posisi empat teratas.
United Sepatutnya Menang
Meskipun terpaksa bertandang ke
gelanggang lawan selepas `terkurung’ selama lebih tiga bulan, saya sebenarnya
agak optimis yang United mampu menewaskan Spurs dalam perlawanan ini. Selain
catatan rekod 11 perlawanan tanpa kalah, Spurs pula di era Jose Mounrinho masih
tercari-cari rentak sebenar mereka. Tiga aksi terakhir mereka sebelum liga
ditangguhkan berakhir dengan satu keputusan seri dan dua kekalahan.
Walaupun begitu, tetap ada
kegusaran kerana Mourinho adalah Mourinho, pengendali yang kita sangat kenali
penuh dengan taktik licik beliau. Meskipun statistik pertemuan antara kedua-dua
pasukan tidak memihak Spurs kerana dari 116 pertemuan menentang United, mereka
menang 25 kali, seri 24 kali dan tewas 67 kali. Bagaimanapun di sebalik semua
itu, Mourinho sebenarnya memiliki catatan yang cukup bagus setiap kali skuad
kendaliannya berdepan United.
Untuk rekod, dari 21
pertembungan menentang United ketika beliau bertindak selaku pengendali untuk
empat pasukan berbeza, Mourinho hanya tewas empat perlawanan, meraih sembilan
kemenangan dan lapan keputusan seri. Apa yang menariknya, tiga dari empat kekalahan
yang beliau alami ketika berdepan United berlaku di Old Trafford. Catatan ini
juga menunjukkan bahawa Mourinho sebenarnya sangat sukar ditewaskan ketika
pasukan kendaliannya bermain di gelanggang sendiri.
Sekali lagi Mourinho berjaya
membuktikan biarpun Spurs masih tercari-cari rentak sebenar mereka sejak beliau
mengambilalih teraju dari Mauricio Pochettino, rekod cemerlang beliau ketika
berdepan United masih berterusan. Selepas Steven Bergwijn menewaskan David De
Gea, Mourinho kemudiannya cenderung mengamalkan taktik `parkir bas’ yang sangat
sinonim dengan beliau. Menyedari bahawa United agak lemah ketika melakukan `build
up’, beliau mengarahkan pemain-pemainnya agar membiarkan lawan menguasai
bola.
“Saya sudah menganalisis
permain United, tetapi bukan urusan kami juga untuk bercakap tentang mereka.
Kami membiarkan mereka menguasai bola dan merancang gerakan. Bagi saya, mereka
lebih berbahaya ketika melakukan serang balas berbanding membina gerakan kerana
mereka memiliki pemain-pemain yang cukup laju untuk melakukannya. Bagaimanapun
kami berjaya mengawal situasi dengan cukup luarbiasa”, komen Mourinho selepas
tamat perlawanan.
Ada kebenarannya apa yang
dikatakan Mourinho kerana meskipun United berjaya mendominasi permainan
terutama di babak kedua, mereka kurang klinikal dalam menyudahkan peluang. Hanya
selepas masuknya Pogba barulah setiap gerakan-gerakan yang diatur United tampak
lebih berbahaya. Keputusan ini menyaksikan United kekal di tangga kelima carta
liga, hanya dua mata di belakang Chelsea tetapi kelab dari London itu memiliki
kelebihan satu perlawanan dalam tangan.
Blunder
De Gea
Apa sudah jadi De Gea? Itulah
persoalan yang bermain difikiran sebaik melihat kegagalan beliau menghalang rembatan
Steven Bergwijn yang menghasilkan gol pertama perlawanan. Ini bukanlah kali
pertama De Gea melakukan blunder yang akhirnya menyaksikan pintu gol
beliau dibolosi lawan. Menurut catatan Premier League, sepanjang musim
2019/20, gawang United berjaya dibolosi lawan sebanyak tiga kali akibat dari
kesilapan De Gea sebelum pertemuan menentang Spurs.
Tiga blunder yang
dilakukan De Gea sebelum aksi menentang Spurs berlaku ketika beliau gagal
menahan sepakan Patrick Van Aanholt saat United tewas 1-2 kepada Crystal
Palace. Kemudian blunder kedua berlaku bila bola sepakannya yang dihadang
Dominik Calvert-Lewin melantun ke gawang sendiri ketika berdepan Everton, dan
paling diingati tentunya kegagalan beliau menangkap kemas percubaan lemah Ismaila
Sarr dalam aksi menentang Watford.
Penampilan De Gea di Tottenham Hotspurs
Stadium mengundang kritikan keras dari bekas pemain United sendiri. Paling
vokal tentunya kritikan yang keluar dari mulut Roy Keane. Selain De Gea, dua
lagi pemain yang dijadikan sasaran kritikan Keano ialah Harry Maguire dan Luke
Shaw. Jika De Gea gagal menampan sepakan Bergwijn, Maguire dan Shaw pula
dipersalahkan kerana menjadi punca berlakunya gol tersebut.
“Saya terkejut. Saya sudah
menyaksikan banyak perlawanan dari tahun ke tahun. Tetapi untuk melihat
bagaimana seorang pemain boleh kehilangan bola seperti itu, saya sangat marah.
Saya tidak percaya yang Shaw menanduk bola dan kemudiannya berlari kedepan.
Saya juga kecewa dengan Maguire kerana sebagai pemain skuad kebangsaan, beliau berjaya
diperdayakan dengan mudah. Untuk De Gea, saya muak dengan pemain ini. Saya
boleh bertengkar dengannya di pertengahan babak dan ingin sangat menumbuk muka dia”,
kata Keane.
Jika dihitung blunder
yang dilakukan De Gea sejak musim lalu, gawang United sudah dibolosi sebanyak
lapan kali hasil dari kesilapan yang dilakukannya. Jumlah ini sebenarnya agak
membimbangkan apatah lagi selepas memikirkan bahawa De Gea adalah pemenang
anugerah Golden Gloves bagi musim 2017/18. Selaku penjaga gol utama
United, De Gea perlu segera meningkatkan semula prestasinya atau berdepan
kemungkinan Dean Henderson pulang dari tempoh pinjaman di Bramall Lane dan
mengambilalih posisinya.
Penutup
Secara keseluruhannya, saya
berpuashati melihat penampilan pertama United selepas `berehat’ lebih dari tiga
bulan. Melihat pemain-pemain seperti Marcus Rashford serta Paul Pogba keluar
dari bilik rawatan dan kembali mempamerkan prestasi terbaik mereka, saya
optimis bahawa misi menamatkan saingan liga di posisi empat teratas bukanlah
satu misi yang mustahil untuk dicapai. Ketika United berdepan kesulitan
menembusi pertahanan Spurs menerusi gerakan-gerakan dari sisi sayap, kemasukkan
Pogba dan Mason Greenwood memberikan dimensi berbeza kepada permainan mereka.
Gandingan antara Pogba dan
Fernandes yang selama ini dinanti-nantikan akhirnya dapat anda lihat biarpun
dalam tempoh selama 23 minit. Kehadiran Pogba membolehkan United secara
perlahan-lahan mengatasi pressing yang dilakukan oleh pemain-pemain
Spurs. Teknik dan skill permainan yang dimiliki Pogba menyaksikan Eric
Dier akhirnya melakukan kesilapan yang membolehkan United menyamakan kedudukan
menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Fernandes diminit ke-81.
Apa yang berlaku sepanjang aksi
menentang Spurs itu sebenarnya mendedahkan `penyakit’ lama United iaitu
kesukaran mereka ketika berdepan lawan yang mengamalkan pendekatan permainan
defensif. Meskipun mendominasi permainan, tidak banyak peluang jaringan yang berjaya
dicipta. Cuma rembatan Marcus Rashford di babak pertama, percubaan Anthony
Martial yang berjaya ditepis Hugo Lloris di babak kedua dan peluang di penghujung
permainan dari Mason Greenwood antara yang berpotensi untuk menghasilkan gol.
Selain aksi liga, pada baki
saingan musim ini United masih akan bertarung di peringkat suku akhir Piala FA
dan pusingan kalah mati 16 pasukan Liga Europa. Dengan kembalinya Pogba dan
Rashford dari kecederaan panjang, Solskjaer kini memiliki skuad yang lebih kuat
berbanding sebelumnya. Selain masih punya peluang menamatkan saingan liga di
posisi empat teratas, United juga turut berkesempatan menamatkan saingan musim
ini dengan sekurang-kurang menjulang satu trofi. Jadi bergembiralah untuk
menyambut kehadiran semula United dalam hidup anda.. Glory Glory Manchester
United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan