Ketika bursa perpindahan pemain
musim panas semakin hampir dibuka, kelab-kelab sekitar Eropah juga rancak
menyusun strategi untuk cuba memancing pemain-pemain idaman bagi memperkuatkan
pasukan masing-masing. Di England, Chelsea antara kelab yang mengorak langkah
awal apabila Timo Werner diberitakan semakin hampir beraksi di Stamford Bridge
musim depan. Selain Werner, gergasi dari London itu juga sudah menandatangani
Hakim Ziyech dalam misi Frank Lampard membentuk skuad idamannya.
Manchester United juga
sepertimana tahun-tahun sebelumnya sudah mula dikaitkan dengan perpindahan
beberapa pemain ke Old Trafford. Dari bakat-bakat muda yang sedang beraksi di
liga domestik seperti James Maddison dan Jack Grealish, kelab juga dikaitkan
dengan minat mendapatkan khidmat `bintang masa depan’ yang sedang beraksi di Bundesliga
seperti Jadon Sancho serta Kai Havertz. Maddison, Grealish dan Sancho sudah
lama dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford, tetapi bagaimana pula dengan
anak muda bernama Thiago Almada?
Permata Dalam Lumpur
Siapakah Thiago Almada yang
secara tiba-tiba mencetuskan persaingan dua kelab dari bandar Manchester untuk
mendapatkan khidmatnya? Almada dilahirkan dan dibesarkan di Fuerte Apache,
sebuah daerah yang tidak jauh dari kota Buenos Aires. Meskipun beliau
menjadikan Eden Hazard serta bekas maestro skuad kebangsaan Argentina
iaitu Juan Roman Riquelme sebagai idolanya, Almada sebenarnya memiliki lebih
`persamaan’ dengan Carlos Tevez kerana mereka lahir dari daerah yang sama.
Lahir dan membesar di
penempatan miskin seperti Fuerte Apache bukanlah mudah buat mana-mana remaja
seperti beliau. Di bawah pemerintahan regim diktator Juan Carlos Ongania, Fuerte
Apache dahulunya pernah dijadikan sasaran pembanterasan penempatan haram oleh
regim beliau. Sepertimana Tevez, Almada antara warga Fuerte Apache yang sangat
beruntung kerana berjaya keluar dari dunia kemiskinan dan pergelutan hidup di
daerah kelahirannya. Semuanya kerana bakat bolasepak yang dianugerahkan
kepadanya.
Berbanding remaja seusianya,
Almada tidak perlu membawa senjata api demi meneruskan kelangsungan hidupnya. Pada
usia seawal empat tahun, Almada mengasah bakatnya dengan menyertai Santa Clara,
kelab sama yang disertai Tevez sebelum beliau menyinar bersama Boca Juniors.
Jika Tevez memilih Boca Juniors, Almada pula sebaliknya menyertai Velez
Sarsfield untuk mengembangkan kariernya. Di Argentina, Velez bukanlah setaraf
Boca ataupun River Plate yang jauh lebih hebat pencapaian mereka di peringkat
domestik ataupun antarabangsa.
Secara keseluruhannya, skuad
bergelar El Fortin itu baru mengumpul 10 koleksi trofi Primera Division,
berbanding duo Superclasico Argentina iaitu River Plate (36 kejuaraan)
dan Boca (34 kejuaraan). Menyertai Velez umpama satu perjudian yang diambil
Almada dalam kariernya. Memetik kata-kata legenda tinju dunia, Muhammad Ali,
“Orang yang tidak ada keberanian untuk mengambil risiko, nescaya dia tidak akan
mendapat apa-apa dalam hidupnya”. Ya…itulah yang dilakukan Almada apabila
beliau memilih menyertai Velez berbanding kebanyakkan remaja Argentina yang
mengimpikan menyarung jersi Boca atau River Plate.
Jelmaan Messi?
Menyertai Velez juga bermakna
satu permulaan baharu dalam hidup Almada. Keluar dari kehidupan yang serba
sukar di Fuerte Apache dan berpindah ke Liniers juga bermakna beliau mula
menjauhi bayang-bayang Tevez kerana secara asasnya kedua-dua mereka memang
memiliki gaya permainan berbeza. Eduardo Hernandez, individu yang pernah
melatih Tevez dan Almada menggambarkan bahawa Carlitos merupakan seorang
penyerang yang lebih klinikal manakala Almada pula memiliki kekuatan dalam visi
permainan serta kawalan bola.
“Almada lebih teknikal,
manakala Carlitos sentiasa menonjol dengan semangat dan keinginannya.
Tetapi dengan bola, Thiago lebih baik”, kata Hernandez. Kerana itulah Almada
lebih bagus ketika berperanan sebagai pemain tengah menyerang meskipun beliau
juga adakalanya diletakkan di sisi kiri atau kanan sesuai dengan keperluan
taktikal pasukan. Secara tepatnya, Almada adalah pemain serba boleh kerana
kemampuan beliau untuk bergerak di tengah atau di sektor sayap kiri dan kanan.
Sejak dipromosikan ke skuad
utama Velez pada musim 2018/19, Almada sudah melakukan 46 penampilan,
menjaringkan sembilan gol serta mencipta empat bantuan gol. Sepertimana
kebanyakkan remaja seusianya, Almada memulakan karier beliau bersama skuad
remaja terlebih dahulu sebelum diserap ke skuad utama. Namun untuk beliau agak
istimewa sedikit kerana Almada melakukan debut untuk skuad utama Velez
pada Ogos 2018, iaitu kira-kira empat bulan selepas menyambut ulang tahunnya
yang ke-17.
Almada mengharungi musim
pertamanya di Primera Division dengan cemerlang selaku pemain muda.
Sepanjang 16 penampilan, beliau menjaringkan tiga gol dan mencipta dua bantuan
gol. Pada penampilan pertamanya dalam kesebelasan Velez pula, Almada berjaya
menjaringkan dua gol ketika berdepan Defensa. Penampilan cemerlang beliau
bersama Velez menarik minat Fernando Batista untuk menyenaraikan namanya dalam
skuad beliau ke kejohanan Sudamericano U20 2019 yang berlangsung di
Chile.
Skuad junior Argentina tewas
di perlawanan akhir kepada Ecuador, tetapi Almada muncul pemain termuda dalam barisan
pemain kendalian Batista pada kejohanan tersebut. Musim ini prestasi cemerlang
beliau berterusan apabila jumlah jaringan yang dihasilkannya meningkat kepada
lima gol, selain berjaya mencipta dua bantuan gol dari 22 penampilan liga.
Mengambilkira corak permainan defensif yang diamalkan Gabriel Heinze, lima gol
yang dijaringkan beliau selaku pemain tengah menyerang bukanlah satu statistik
yang buruk.
Berasal dari negara yang sama,
serta bakat yang memungkinkan beliau muncul bintang besar bolasepak dunia suatu
hari nanti, suka atau tidak, Almada tidak dapat menolak dari disamakan dengan
Lionel Messi. Sudah berderet pemain yang pernah dilabel sebagai `Next Lionel
Messi’ tetapi dimana kedudukan mereka sekarang. Pada 2006, Foot Mercato
pernah menerbitkan artikel berjudul `Bojan Krkic: le future Messi’. Bojan
memang pemain berbakat tetapi akhirnya pada usia beliau mencecah 29 tahun,
Bojan kini bermain di liga bolasepak Amerika (MLS).
Pada 2012, nama Alan Dzagoev
pula menjadi hit di dada akhbar selepas beliau berkongsi kedudukan
selaku penjaring terbanyak Euro 2012 bersama Mario Gomez, Cristiano Ronaldo,
Mario Balotelli, Mario Mandzukic dan Fernando Torres. Serta merta Dzagoev
dilabel sebagai `Messi Russia’ dan dikaitkan dengan perpindahan ke Real Madrid
dan Chelsea. Hakikatnya tidak semua impian menjelma menjadi kenyataan dan
Dzagoev tidak pernah kemana-mana melainkan kekal beraksi di Russia bersama CSKA
Moscow sejak 2008 hingga sekarang.
Krkic dan Dzagoev antara
contoh, kerana selain daripada mereka ada beberapa pemain yang pernah menikmati
label `Next Messi’ atau lebih tepatnya `jelmaan Messi’. Ryo Miyaichi
pernah dilabel `Ryodinho’ dan `Japanese Messi’ ketika Arsene Wenger
mendaratkan beliau di Stadium Emirates pada 2011. Ryan Gauld juga pernah
mencetuskan sedikit sensasi pada 2014 apabila Sporting Lisbon mendapatkan
khidmat pemain tengah Dundee United ini menerusi nilai perpindahan sebanyak £3
juta.
Sejak itu juga `Mini Messi’ ini
cuma mampu melakukan dua penampilan bersama skuad utama Sporting sebelum
menghabiskan tempoh selama lima tahun sebagai pemain pinjaman di beberapa buah
kelab. Akhirnya pada 2019, Gauld menyerai SC Farense, kelab yang beraksi di
LigaPro iaitu saingan kedua tertinggi dalam hirarki bolasepak Portugal. Akhirnya
label sebagai `Next Messi’ umpama sumpahan kerana tiada seorang pun di
antara mereka mampu menghampiri status `La Pulga’ sebagai antara bakat
terbaik pernah disaksikan dalam dunia bolasepak.
Penutup
Sejak Ole Gunnar Solskjaer
menggantikan posisi Jose Mourinho di Old Trafford, pendekatan United dalam
urusan pembelian pemain nampaknya juga sudah mula berubah. Saya percaya di tangan
Solskjaer, anda tidak akan melihat `superstar’ seperti Angel Di Maria,
Alexis Sanchez atau Paul Pogba di bawa masuk. Pendekatan kelab yang cenderung
mendapatkan pemain-pemain muda sudah mula dilihat menerusi pelaburan yang dilakukan
mereka ke atas Daniel James dan Aaron Wan-Bissaka musim lalu.
Di samping itu juga, Solskjaer
semakin galak mengetengahkan bakat-bakat muda dari akademi United sendiri
seperti Brandon Williams, Mason Greenwood, James Garner, Tahith Chong dan Angel
Gomes. United akan tetap berbelanja dan menghabiskan banyak wang untuk merekrut
pemain baharu tetapi tumpuan mereka pastinya akan terarah kepada pemain yang
boleh dibentuk menjadi `superstar’ di Old Trafford buat jangkamasa
panjang. Untuk itu mereka sudah melakukannya musim lalu ketika menjadikan Harry
Maguire sebagai pemain pertahanan termahal dunia.
Kecenderungan Solskjaer untuk
`meremajakan’ skuadnya berterusan lagi apabila United ketika ini sudah mula
dikaitkan dengan minat untuk mendapatkan khidmat Jadon Sancho, Jack Grealish
dan Jude Bellingham. Jika United berjaya mendapatkan salah seorang dari mereka,
ianya merupakan kesinambungan kepada usaha Solskjaer membentuk skuad jangka
panjang United. Usaha tersebut sudah bermula sejak tahun lalu ketika kelab
membayar £9 juta kepada AS Monaco bagi mendapatkan khidmat Hannibal Mejbri,
manakala misi mendaratkan Marc Jurado ke Old Trafford masih diteruskan.
Secara peribadi, saya merasakan
bahawa sukar untuk United mendapatkan tandatangan Thiago Almada ketika seteru sekota
mereka turut memiliki impian yang sama. Pep Guardiola diberitakan mahukan
Almada sebagai pengganti jangka panjang kepada David Silva. Keberadaan Carlos
Tevez ketika beliau menyarung jersi City dari 2009 hingga 2013 juga sebenarnya
boleh mempengaruhi pilihan Almada kerana beliau memang diketahui menjadikan
penyerang Boca Juniors itu sebagai antara idolanya.
Almada adalah obsesi terbaru
Solskjaer terhadap pemain muda. Pada usia 19 tahun, beliau sudah mengharungi
tempoh dua musim dalam skuad utama Velez. Ketika Heinze tidak dapat menolak
untuk menurunkan seorang pemain muda yang boleh memberikan perbezaan kepada
skuadnya di atas padang, Solskjaer pula berharap agar beliau boleh menjadikan
Almada pemain Argentina terunggul pernah beraksi di Old Trafford. Hampir
mustahil Velez mampu mengekalkan Almada di Liniers, cuma persoalan paling besar
sekarang ialah pasukan mana yang bakal dipilih `The Next Messi’ itu.
Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan